Thursday, August 11, 2011

TAK TAHU BERAPA KEJAM...DAN TIADA PERIKEMANUSIAN....MOHONLAH KEPADA ALLAH BALAS SETIMPAL KEJAHATAN...DOA ORANG DIZALIMI MAKBUL...TIADA HIJAB....

Simbah asid selepas perkosa

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bukan saja dirogol dan disamun, malah wajahnya turut disimbah sejenis cecair dipercayai asid menyebabkan mangsa berdepan risiko kemungkinan buta dan kini terlantar menerima rawatan di hospital.
Itu nasib yang menimpa seorang wanita bujang dan tinggal bersendirian selepasnya rumahnya dicerobohi seorang penjenayah bertopeng, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki menceroboh masuk dan bersembunyi.


“Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya,” katanya

Dikejut buaya waktu sahur

Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

TUMPAS...pemilik ayam bersama buaya yang memasuki kawasan rumahnya.
TUMPAS...pemilik ayam bersama buaya yang memasuki kawasan rumahnya.
KUCHING: Bunyi bising ayam dalam sangkar ketika waktu sahur mengejutkan seorang penduduk Kampung Tanjung di tebing Sungai Sarawak, di sini apabila pemeriksaannya membawa kepada penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter, pagi semalam.
Mohammad Ali Jais, 51, berkata dia baru bangun untuk bersahur bersama keluarganya pada kira-kira jam 4 pagi sebelum terdengar ayam diternak dalam sangkar depan rumahnya bising seperti ‘diganggu’ sesuatu.

“Saya terus melakukan pemeriksaan selepas mendapati bunyi itu tidak berhenti, sebaliknya semakin kuat dan bergegas keluar sebelum terkejut mendapati buaya berkenaan cuba menyambar ayam saya.
“Buaya itu dilihat sudah berada di tepi sangkar dan menunggu mangsa untuk menerkam ayam itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Mohammad Ali berkata, dia meminta bantuan tiga jiran sebelum menangkap dan mengikat kaki buaya itu dalam tempoh 15 minit walaupun reptilia itu cuba melawan.

Mohammad Ali mengakui sering melihat buaya itu timbul di sekitar tebing Sungai Sarawak, namun kejadian reptilia terbabit naik ke darat adalah pertama berlaku di perkampungan berkenaan.

“Sepanjang menetap di perkampungan ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan saya percaya buaya itu naik ke darat kerana mahu mencari makanan disebabkan kelaparan,” katanya.

Katanya, dia bernasib kerana menyedari kehadiran buaya itu dan tidak menolak berkemungkinan reptilia itu bertindak ganas dan menyerang penduduk yang melalui kawasan berkenaan.

Jerat menjelang Aidilfitri

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Golongan ceti haram atau along dikesan mengambil kesempatan memerangkap umat Islam yang kini sibuk membuat persiapan Aidilfitri dengan menawarkan pelbagai pakej pinjaman khas termasuk dinamakan Promosi Hari Raya 2011.
Berdasarkan hebahan yang dibuat melalui pelbagai cara termasuk pengedaran risalah, tampalan poster di tepi jalan raya, malah melalui paparan iklan di akhbar, wartawan Harian Metro menghubungi beberapa along dan menyamar sebagai bakal peminjam untuk mendapat maklumat lebih lanjut.

Along pertama yang dihubungi berkata, pihaknya mempunyai banyak cawangan di sekitar Lembah Klang dan mampu memberikan pinjaman sehingga RM10,000 khas untuk umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, kadar faedah atau bunga dikenakan lima peratus dan menyasarkan pinjaman itu kepada pekerja sektor awam, swasta dan kakitangan serta pesara kerajaan.

Namun, syarat utama ialah semua peminjam dikehendaki membuat pembayaran selepas musim Aidilfitri berakhir.

“Kami hanya mahu tolong, kalau anda sudah buntu, kami sedia bantu,” katanya.

Menurutnya, setiap peminjam harus melangsaikan jumlah pinjaman sebanyak RM10,000 secara ansuran selama setahun atau dua tahun dan jumlah faedah dikenakan RM5,677 setahun.

“Untuk meminjam kami mahukan penyata gaji terbaru selama tiga bulan, kad ATM, bil air dan elektrik serta penyata bank selama tiga bulan. Kami berjanji tidak mengapa-apakan peminjam sekiranya mereka gagal membayar hutang,” katanya.
Along kedua yang dihubungi pula berkata, pihaknya memberikan pinjaman khas berikutan mahu membantu orang Melayu mendapatkan perabot baru, kuih, pakaian dan juga duit raya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami mempunyai banyak skim antaranya pinjaman jangka panjang, pinjaman bulanan, pinjaman bayaran bunga dan pinjaman mingguan,” katanya.

Along yang berpangkalan di Shah Alam itu mendakwa mengenakan bunga serendah 1.5 peratus dan proses permohonan hanya memakan masa selama 30 minit.

“Jika anda mahu kami boleh beri pinjaman dari RM5,000 sehingga RM10,000 khas untuk Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, untuk meminjam pelanggan dikehendaki membawa surat pengesahan kerja, buku bank, penyata gaji tiga bulan dan bil air.

Sementara itu, along ketiga yang dihubungi berkata, pihaknya menyediakan pinjaman khas Aidilfitri sehingga RM20,000 tetapi ia terhad untuk kakitangan awam atau pekerja swasta yang bekerja di syarikat besar saja.

“Kami ada tawaran untuk raya, tapi kalau kerja kilang kerja biasa-biasa saja kami tak mahu,” katanya.

Mengulas taktik licik golongan along ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, umat Islam perlu sedar sambutan Aidilfitri tidak menuntut mereka berhabis-habisan sehingga berhutang.

“Tindakan berhutang semata-mata membeli kelengkapan raya tidak wajar dilakukan dan hanya menyusahkan diri sendiri kerana mereka ini dibebani beban membayar hutang.

“Sepatutnya puasa mengajar kita erti mengawal nafsu, seelok-eloknya ukur baju di badan sendiri sebelum membuat sesuatu. Kita harus faham bila tibanya waktu perayaan peniaga pasti mengambil kesempatan mempromosikan perniagaan mereka dan ini termasuklah kehadiran ceti haram memberikan pinjaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment