Datuk dituduh tipu Datuk Seri
|
PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menipu seorang lagi ahli perniagaan membabitkan cek bernilai RM2.5 juta tahun lepas.
Datuk Syed Ahamed Malik Syed Hamid (gambar), 59, didakwa memperdayakan Datuk Seri Lee Wan Beng, 62, dengan menyamar sebagai wakil jualan barangan kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga mendorong mangsa menyerahkan dua keping cek masing-masing RM500,000 dan RM2 juta.
Tertuduh yang menjalankan perniagaan barangan lusuh dan produk halal dipercayai menyamar sebagai wakil syarikat Minat Jasa Sdn. Bhd. yang menawarkan kontrak penjualan barang-barang lusuh dan berjadual kononnya kepunyaan KTMB di Bengkel Sentul serta tiga depoh lain di Pelabuhan Klang, Selangor; KL Sentral, Kuala Lumpur dan Falim, Perak.
Kontrak yang mengambil tempoh selama dua tahun itu bagaimanapun sebenarnya tidak wujud.
Peniaga buta angkara rusuhan bola dapat ganti rugi RM150,000
KOTA BHARU - Seorang pemuda yang mata kanannya buta akibat terkena kelongsong gas pemedih mata sewaktu rusuhan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini tiga tahun lalu menang kes tuntutan ganti rugi sebanyak RM150,000 berikutan kecederaan yang dialaminya.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut membenarkan tuntutan kos oleh Muhammad Huzaifah Mohd. Noor, 21, sebanyak RM20,000.
Kesemua defendan iaitu Pegawai Medan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Superintendan M. Sathasivam (defendan pertama); Polis Diraja Malaysia (defendan kedua) dan kerajaan Malaysia (defendan ketiga) yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Rohaiza Zainal diarah membayar ganti rugi tersebut kepada plaintif.
Huzaifah yang diwakili peguam Mohamad Marwalis Mahmud gembira dengan keputusan tersebut.
"Saya gembira dan berpuas hati dengan keputusan tersebut setelah menunggu kes ini dibicarakan dari tahun 2009," katanya yang ditemani ahli keluarga termasuk isterinya, Ibnati Solihatul Nuri Mat Taib, 22
Pelantikan Lajim dibatal
KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibatalkan serta-merta.Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.
Ia adalah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.
Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai anggota UMNO.
Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Guru pusat tuisyen minta maaf
JOHOR BAHRU – Guru dan pengusaha pusat tuisyen di Tangkak, Muar yang menimbulkan kontroversi apabila memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas yang diedarkan kepada pelajar baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka semalam.
Ku Chong Yoong, 22, yang merupakan guru dan individu yang bertanggungjawab menyediakan bahan tersebut serta pengusaha pusat tuisyen Indah Permai Jaya, Lim Lee Yee, 26, mengaku tidak berniat untuk menyentuh sensiviti umat Islam apatah lagi menghina sahabat Nabi.
“Saya kesal perkara ini berlaku. Niat saya hanya ingin membantu pelajar agar lebih mudah faham dan saya tidak berniat untuk menyentuh isu sensitif orang Islam.
“Di sini, saya dengan ikhlas ingin memohon maaf kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya di Tangkak serta di seluruh dunia. Saya mengaku, tindakan saya ini kurang matang dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Chong Yoong yang sudah dua tahun mengajar di pusat tuisyen terbabit.
Sementara itu, Lee Yee pula mengaku tidak tahu mengenai bahan yang disediakan tenaga pengajarnya sehinggalah isu terbabit disiarkan di akhbar.
“Selepas ini, saya janji akan lebih berhati-hati dan memantau bahan-bahan yang digunakan oleh guru tuisyen untuk mengajar. Kami juga telah meminta balik semua nota tersebut daripada pelajar dan telah menerangkan hal sebenar kepada mereka,” katanya.
Cadangan bayar saman trafik serta-merta
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam mencadangkan agar pengguna jalan raya yang dikenakan saman perlu membayar saman berkenaan pada masa yang sama ia dikeluarkan.
Pengerusinya, Tun Zaki Azmi erkata, jika pesalah berkenaan gagal berbuat demikian, kenderaan mereka dicadangkan agar ditahan pihak berkuasa terbabit.
Bagi kesalahan yang membabitkan kesalahan meletak kenderaan pula, katanya, kenderaan berkenaan akan dikunci dan ditarik.
"Sehingga kini berjuta-juta saman seluruh negara yang tidak dibayar hanya diketepikan oleh pesalah yang tidak menghormati undang-undang negara.
"Jadi kita kena paksa dia hormat undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya khas berkenaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan pengangkutan jalan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.
Zaki berkata, antara jumlah tunggakan saman yang diketahui pada masa ini adalah RM5 juta bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), RM2.5 juta bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), RM5 juta untuk Majlis Bandaraya Kuching dan RM600,000 bagi Majlis Perbandaran Kuantan, tidak termasuk bagi PDRM.
Hafiz AF7 disaman RM200,000
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus pentas mengemukakan saman ganti rugi sebanyak RM200,194 terhadap juara Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), Hafiz AF atas dakwaan mencederakan wanita itu sehingga kehilangan mata pencariannya dalam satu kejadian pada tahun lalu.Plaintif, Nur Haniza Mohd. Azhar, 25, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan memfailkan writ saman itu di Pejabat Pendaftar, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.
Dia yang sebelum ini, pekerja separuh masa untuk Syarikat Global Station Sdn. Bhd. menamakan Hafiz atau nama sebenar Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 22, selaku defendan.
Menurut penyata tuntutan itu, plaintif mengenali defendan menerusi kenalan serta ketika menjalankan kerja-kerja di Astro Holding Sdn. Bhd.
Dakwa plaintif, pada pukul 3.15 petang, 17 Mei 2011, ketika bekerja sebagai pengurus pentas untuk rancangan Salih Yaacob Show, bahunya ditepuk oleh defendan yang mahu berjumpa namun ditolak dengan baik oleh plaintif.
Defendan kemudian didakwa memeluk bahu plaintif dan mendesak untuk berbincang tapi sekali lagi plaintif menolak kerana sibuk.
Wanita minta ditangkap semasa panjat pagar penjara di AS
HAMILTON, Ohio - Polis di sini bingung memikirkan punca seorang wanita, Tiffany R. Hurd (gambar) cuba menceroboh masuk ke dalam sebuah penjara.
Hurd turut memberitahu anggota-anggota pihak berkuasa supaya menangkapnya semasa dia cuba memanjat pagar penjara itu.
Beberapa anggota pejabat Syerif daerah Butler menangkap wanita itu, Hurd, 36, pada pagi Ahad lalu selepas dia dilihat cuba memanjat pagar untuk masuk ke dalam sebuah penjara tersebut di Hamilton, dekat Cincinnati, Amerika Syarikat (AS).
Kejadian berlaku selepas seorang staf penjara meminta Hurd supaya meninggalkan kawasan tersebut tetapi dia memberitahu mereka supaya menangkapnya.
"Kami tidak dapat memujuknya supaya meninggalkan kawasan penjara," kata seorang anggota polis, Sarjan Monte Mayer.
Menurutnya, wanita itu ditangkap selepas dia kembali cuba memanjat pagar penjara selepas diminta tidak melakukan perbuatan tersebut.
"Impiannya menjadi kenyataan," kata Mayer.
Beberapa anggota polis menyatakan, Hurd didapati berada dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Hamilton, Syerif Richard Jones berkata, dia terkejut dengan tindakan Hurd.
"Saya tahu ekonomi negara kini teruk tetapi saya tidak fikir ia begitu teruk sehingga seseorang tergamak untuk masuk ke dalam penjara secara sukarela," katanya.
Dua balai polis ditawan di Aleppo
ALEPPO - Pemberontak Syria menyerang beberapa sasaran ketenteraan dan menawan dua balai polis di sini selepas membunuh 40 anggota keselamatan, kata sebuah kumpulan pemantau ketika pertempuran di ibu kota komersial Syria itu terus memuncak semalam.
Pertempuran antara pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Bashar Al-Assad turut dilaporkan di ibu kota Syria, Damsyik, bandar Deir Ezzor di timur dan Daraa di selatan negara berkenaan.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, Aleppo semalam digegarkan dengan pertempuran paling sengit selepas bandar raya ini digempur FSA.
Seorang pegawai kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman berkata, pemberontak menggunakan sejumlah pelancar grenad dalam serangan menjelang subuh ke atas sebuah pekarangan tentera, ibu pejabat perisikan tentera udara dan cawangan Parti Baath di sini.
Tidak lama kemudian, beratus-ratus pemberontak menyerang beberapa buah balai polis di kawasan penempatan penduduk Salhin dan Bab al-Nayrab.
"Sekurang-kurangnya 40 anggota polis terbunuh dalam pertempuran tersebut yang berlanjutan selama beberapa jam," kata Abdel Rahman.
Antara yang maut termasuk ketua polis balai Salhin, selatan bandar raya ini manakala tiga buah kenderaan turut musnah, tambahnya.
Siri serangan itu berlaku selepas misi pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, tentera rejim Bashar menggunakan beberapa buah helikopter, kereta kebal dan meriam untuk memerangi pemberontak.
Badan pemerhati itu turut merayu kedua-dua belah pihak supaya melindungi kira-kira 2.7 juta penduduk awam yang tinggal di bandar raya ini.
"Pertempuran sengit ini menunjukkan betapa pentingnya bandar raya ini kepada rejim Bashar. Mereka tidak mahu Aleppo menjadi kubu pemberontak seperti yang berlaku ke atas bandar Benghazi di Libya," kata Abdel Rahman.
Kelmarin, pemberontak merampas pos kawalan Anadan yang terletak sekitar lima kilometer ke barat daya bandar raya ini sekali gus memastikan laluan terus ke sempadan Turki.
"Dalam beberapa jam akan datang, impak kejatuhan pos kawalan ini akan dapat dilihat apabila banyak bekalan tiba melalui pos ini untuk dihantar ke Aleppo," tambahnya.
Penentangan rakyat Syria ke atas rejim Bashar bermula sejak Mac tahun lalu.
Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak. - Agensi
Makanan tradisional tarikan Bazar Ramadan Satok
KUCHING – Bagi mereka yang mengunjungi bazar Ramadan Satok di sini yang menampilkan pelbagai makanan tradisi masyarakat tempatan dan tidak ketinggalan makanan dari Semenanjung, pasti dapat merasai betapa meriahnya sambutan Ramadan di Bumi Kenyalang ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, bazar tersebut sejak awal, pasti dikunjungi ribuan manusia setiap hari yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum seperti Iban, Cina, Bidayuh, India dan Melayu.
Dengan tarikan pelbagai makanan tempatan Sarawak seperti terubuk bakar, ayam panggang, bubur pedas, tapai madu dan sebagainya, ia sudah tentu menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang berpuasa.
Mayat bayi dalam longkang
KUALA LUMPUR - Ketika orang lain berlumba-lumba melakukan ibadat pada bulan Ramadan, terdapat manusia yang tidak takut langsung melakukan perbuatan terkutuk apabila tergamak membuang mayat bayi lelaki ke dalam longkang semalam.Mayat bayi tersebut ditemui tanpa pakaian di dalam longkang besar sedalam kira-kira tiga meter di kawasan perumahan di Taman Salak Jaya, Cheras di sini oleh seorang lelaki warga emas yang sedang melakukan regangan badan ketika melakukan senaman ringan pada pukul 10.15 pagi.
Dia yang terkejut kemudian bertindak memberitahu jirannya sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, berdasarkan pemerhatian pada mayat bayi tersebut, pihaknya percaya mayat bayi berkenaan di buang ke dalam longkang pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment