Wednesday, August 1, 2012

PATUT KITA TAHU TINDAKAN BETUL DENGAN TIDAK....JANGAN SAMPAI ALLAH MURKA...HUKUM@KESAN SENDIRI TANGGUNGLAH

Suami ganas dipenjara 15 bulan

MOHD. ASRI didakwa memukul kepala isterinya dengan topi keledar ketika mangsa menjamu selera di Kelab Golf dan Desa Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu ini.


KOTA BHARU – Seorang lelaki yang sedang dipenjara dua tahun kerana membelasah isterinya dengan kayu hoki terpaksa menjalani hukuman tambahan selama 15 bulan lagi dengan satu sebatan selepas Mahkamah Majistret di sini semalam menyabitkan kesalahan tertuduh kerana memukul mangsa yang sama dengan topi keledar.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Asri Ahamed @ Mohammad, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Beliau kemudian mengarahkan Mohd. Asri untuk menjalani hukuman itu selepas dia menamatkan hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan yang sedang dilaluinya itu.
Ketika kejadian, Mohd. Asri yang merupakan seorang kedi golf didakwa memukul Nik Rosdiana Mohamed, 22, dengan topi keledar sehingga mencederakan mangsa di kantin Kelab Golf dan Desa Kelantan, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 8 malam, 3 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Noryn akui jadi isteri Raja Bahrin


NORYN bersama Raja Bahrin ketika hadir pada satu majlis pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Noryn Aziz akhirnya secara terbuka mengakui bahawa sudah lebih dua tahun bergelar isteri kepada arkitek terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Bahrin.
Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 36, bertindak untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi apatah lagi memberi sebarang kenyataan berhubung desas-desus perkahwinannya.
Tegas Noryn, tindakan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk menghormati keluarga pihak suami.
“Rasanya sudah lebih dua tahun saya mendiamkan diri dalam soal berkenaan. Saya fikir, kemunculan sekarang ini adalah masa yang paling sesuai.
“Cerita kahwin dahulu pun sudah tidak panas lagi, rasanya semua orang sudah tahu status saya selama ini,” kata Noryn dalam satu pertemuan bersama Kosmo!.
Jelas Noryn, dia dan Raja Bahrin berkahwin pada satu majlis tertutup di Terengganu pada 22 Januari 2010. Pernikahan dengan Raja Bahrin menamatkan kehidupan janda Noryn selepas 12 tahun berdepan kegagalan daripada perkahwinan pertamanya.

Jalan TAR mula jadi tumpuan


KASMAN sedang menyiapkan tempahan baju raya pelanggan di gerainya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ramai warga kota kini mula membanjiri kedai-kedai dan premis perniagaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India di sini untuk membuat persiapan awal menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Mereka mula mengunjungi kawasan tersebut yang menyediakan pelbagai barangan kelengkapan raya seperti baju Melayu, baju kurung, tudung, songkok dan beraneka jenis biskut raya.
Meskipun belum sampai dua minggu Ramadan, para peniaga di kawasan itu sudah tidak menang tangan melayan para pelanggan mereka yang datang sejak dari awal pagi hingga larut malam.
Tinjauan Kosmo! ke kawasan tersebut semalam mendapati, keadaan sesak tidak menghalang kunjungan orang ramai walaupun terpaksa meredah lorong-lorong sempit semata-mata untuk mendapatkan barangan yang diingini.
Pemilik butik Kastailor, Kasman Yahya, 52, berkata, sambutan orang ramai pada tahun ini agak luar biasa kerana ramai yang memilih untuk menempah baju Melayu lebih awal iaitu sebulan sebelum Ramadan.

Cerita duka menjelang raya


ORANG ramai melihat keadaan motosikal yang remuk selepas tersepit antara dua buah bas sekolah hingga mengorbankan Mohd. Hafeeze dan isterinya, Siti Noor Edayu di AU3 Keramat, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hari ke-12 Ramadan tahun ini merupakan yang paling menyedihkan buat sebuah keluarga apabila bukan sahaja kehilangan anak dan menantu serentak malah, penantian mereka untuk menyambut kehadiran orang baharu berkecai apabila kesemuanya maut dalam satu kemalangan semalam.
Kejadian pukul 7 pagi di Jalan 15/56 AU3 Keramat di sini itu mengakibatkan anggota tentera berpangkat Koperal, Mohd. Hafeeze Mohd. Hanapi, 30, maut. Dia bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan di sini.
Isterinya, Siti Noor Edayu Roslan, 26, turut maut ketika dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kerani di Jabatan Kerja Raya cawangan Cheras itu sedang hamil anak lelaki berusia tujuh bulan.
Kemalangan menyayat hati itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda Z yang dinaiki mereka tersepit antara dua buah bas sekolah. Motosikal itu pula remuk manakala kedua-duanya tersepit dan terperosok ke bawah perut bas.
Difahamkan, sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan ke tempat kerja Siti Noor Edayu selepas menghantar anak lelaki mereka yang berusia dua tahun ke rumah pengasuh berdekatan.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku apabila motosikal pasangan itu dirempuh sebuah bas sekolah semasa berhenti di belakang sebuah bas sekolah lain di satu persimpangan lampu isyarat.

Amukan gagal beli rokok


ANGGOTA keselamatan memberikan bantuan awal kepada seorang lelaki yang cedera akibat dipukul dengan batang kayu mop oleh anaknya dalam kejadian di George Town Isnin lalu.


GEORGE TOWN - Seorang pesakit mental mengejutkan sebahagian penghuni flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini apabila pemuda itu bertindak mengamuk dan memukul kedua-dua ibu bapanya menggunakan batang kayu mop Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, suspek berusia 30-an sebelum itu dipercayai meminta wang daripada bapanya untuk membeli sebatang rokok tetapi permintaannya ditolak.
Suspek yang berang kerana hajatnya tidak ditunaikan tiba-tiba bertindak ganas dengan mencapai batang kayu mop di dalam rumah lalu melibas ke arah muka bapanya yang berumur 60-an.
Bagaimanapun, libasan pertama batang kayu mop tersebut mengenai kepala ibunya yang ketika itu cuba melindungi si suami. Suspek tidak berhenti di situ malah bertubi-tubi menghayun kayu mop tersebut sehingga menyebabkan pasangan warga emas itu cedera.
Bunyi bising daripada jeritan anak beranak itu mengejutkan jiran yang sebahagian besar sedang nyenyak tidur.

Bantah tazkirah politik di masjid


HAMIDZUN (tengah) dan beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Mohd. Shahzihan (dua kiri) di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Kira-kira 50 orang berhimpun di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini bagi mendesak pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang memberi tazkirah berbau politik di masjid dan surau sepanjang Ramadan.
Mereka merupakan wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Ikatan Kebajikan dan Dakwa Selangor, Jalur Tiga (Jati) dan Gerakan Masyarakat Prihatin Selangor (GMPS).
Satu memorandum berhubung perkara tersebut yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO turut diserahkan kepada Pemangku Timbalan Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad.
Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, desakan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa aduan mengenai wujudnya usaha untuk membawa pengaruh politik ke masjid dengan menjemput ahli politik yang tidak bertauliah bagi menyampaikan tazkirah.

China larang pegawai, pelajar berpuasa

SEORANG penduduk Islam membaca al-Quran di Aksu, Xinjiang pada 27 Julai lalu.


BEIJING - Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, barat daya China melarang para pegawai dan pelajar beragama Islam daripada berpuasa pada bulan Ramadan.
Tindakan itu mendorong sebuah kumpulan hak asasi memberi amaran keganasan terbaharu akan berlaku di rantau berkenaan.
Pekeliling yang disiarkan di beberapa laman web pemerintah meminta pemimpin Parti Komunis supaya mengehadkan aktiviti keagamaan penduduk Islam sepanjang bulan puasa termasuk berpuasa dan berkunjung ke masjid.
"Para pegawai Parti Komunis, kakitangan awam (termasuk mereka yang bersara) dan pelajar dilarang daripada menyertai aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan," menurut pekeliling berkenaan.
Xinjiang dihuni oleh sembilan juta etnik minoriti Uighur yang beragama Islam.
Penduduk Islam sebelum ini mendakwa sering menjadi mangsa penganiayaan pemerintah China.
Keganasan etnik terburuk berlaku di Xinjiang pada 2009 apabila penduduk Uighur menyerang bangsa Han di bandar Urumqi yang menyebabkan 200 orang terbunuh. - AFP

Kumpulan K-Pop cetus kontroversi


HWA-YOUNG (kiri) bergambar bersama anggota T-ara pada 26 Julai lalu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.


SEOUL - Sebuah kumpulan nyanyian Korea Selatan, T-ara mencetuskan kontroversi apabila membuat keputusan mengejut untuk menyingkirkan salah seorang anggotanya.
Bagaimanapun, kira-kira 300,000 orang melancarkan kempen di internet bagi membantah pemecatan tersebut.
Perbalahan itu bermula apabila lima daripada lapan anggota wanita kumpulan tersebut menghantar mesej dengan mengkritik sikap seorang ahli T-ara, Hwa-Young.
Pada Isnin lalu, agensi pengurusan kumpulan tersebut, Core Content Media mengumumkan ia menamatkan kontrak Hwa-Young.
Para peminat kumpulan tersebut kemudian mengesyaki bahawa Hwa-Young dibuli oleh anggota-anggota lain kumpulan tersebut.
Isu tersebut telah mencetuskan perhatian media di negara berkenaan.
Korea Selatan mempunyai peningkatan bilangan belia yang membunuh diri kerana dibuli oleh rakan-rakan.
Namun, pihak pengurusan kumpulan tersebut menafikan Hwa-Young dibuli.
Sejumlah peminat yang tidak berpuas hati kemudian mewujudkan sebuah laman web yang meminta kebenaran didedahkan berhubung pemecatan Hwa-Young.
Laman tersebut berjaya menarik seramai 330,000 pelanggan.
Bagaimanapun, Hwa-Yoong mengambil langkah dengan menafikan kontroversi tersebut.
"Saya meminta maaf kepada semua peminat kerana mengecewakan anda. Tolonglah berhenti (memberi kritikan)," katanya di akaun Twitternya.
Dia turut meminta maaf kepada agensi pengurusan kumpulan tersebut.
Pemecatan itu masih menjejaskan kumpulan itu.
Kelab peminat T-ara kehilangan 6,000 anggota, lapor agensi berita Yonhap. - AFP

Misteri tempat persembunyian Bashar


BASHAR


ALEPPO - Presiden Syria, Bashar Al-Assad memberitahu tenteranya semalam bahawa perang menentang pemberontak akan menentukan nasib Syria.
Namun, mesejnya tidak memberikan petunjuk berhubung di mana lokasi beliau, dua minggu selepas satu serangan bom mengenai beberapa orang pentingnya termasuk Menteri Pertahanan, Daoud Rajha.
Bashar tidak pernah berucap di khalayak ramai sejak tragedi pengeboman di Damysik pada 18 Julai lalu yang meragut nyawa empat pegawai kanan keselamatannya walaupun beliau dilihat muncul di kaca televisyen.
Ucapan terbaharu Bashar itu disiarkan di sebuah majalah tentera sempena sambutan hari pasukan keselamatan Syria.
Namun, waktu dan lokasi ucapan tersebut dibuat masih tidak diketahui sekali gus menunjukkan kebimbangan berhubung keselamatan Bashar.
"Nasib rakyat kita dan negara kita, masa kini dan pada masa hadapan bergantung kepada pertempuran ini," kata Bashar yang merujuk kepada pertempuran sengit yang sedang berlaku di bandar terbesar di negara itu di sini.
Sementera itu, pejuang-pejuang pemberontak menawan tiga buah balai polis ketika mereka menentang pihak tentera untuk menguasai sebuah daerah strategik.
Beberapa letupan kedengaran semalam dengan sejumlah helikopter berlegar di udara ketika tentera pemerintah cuba mengusir pemberontak dari bandar ini yang merupakan antara pusat pemerintahan Bashar.
Sementara itu, para pemberontak kini berusaha untuk merampas cawangan perisikan Syria di bandar Aleppo.
Usaha itu dilakukan selepas tiga balai polis ditawan tentera pemberontak di sini.
Pertempuran antara tentera pemberontak dengan tentera Bashar telah meragut lebih 19,000 orang.
Kebangkitan rakyat itu berlaku sejak Mac tahun lalu.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalan melancarkan pembaharuan dalam pentadbiran selepas kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.
Pertempuran itu turut melibatkan Tentera Pembebasan Syria yang dianggotai penduduk tempatan.
- Agensi

Suami kelar leher isteri diburu


PREMANANTH (kiri) diburu polis selepas menghilangkan diri sebaik mengelar leher isterinya di bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal semalam.


NIBONG TEBAL – Seorang wanita kini berada di ambang maut selepas dia cedera parah apabila lehernya dikelar oleh suaminya yang gagal mengawal emosi ketika bertengkar mengenai penceraian dan hak penjagaan anak yang berlarutan sejak tujuh bulan lalu.
Kejadian pukul 7 pagi di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, dekat sini itu mengakibatkan operator kilang, R. Sawarwathi, 36, koma dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas dia dapat diselamatkan ketika menerima rawatan awal di Hospital Sungai Bakap (HSB).
Polis kini memburu suaminya, N. Premananth, 41, yang telah menghilangkan diri selepas kejadian. Pihak berkuasa itu percaya yang lelaki itu masih berada di dalam negeri ini.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kedua-duanya yang sudah tinggal sebumbung akibat konflik rumah tangga gagal mencapai kata persetujuan ketika bertengkar.
Premananth dikatakan datang ke rumah didiami isterinya dan ketika itu, dua anak mereka masing-masing berusia lapan dan 11 tahun berada di rumah bapa Sawarwathi di dalam kawasan taman perumahan sama.

Dadah RM7.9 juta dalam rumah kedai


NOOR RASHID (dua dari kiri) menunjukkan pil eramin 5 yang dirampas daripada sebuah rumah kedai di Puchong pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR – Kesungguhan pasukan Polis Diraja Malaysia mengekang aktiviti pengedaran dadah terbukti apabila pihak berkuasa itu berjaya membuat rampasan sebanyak 395,000 biji pil eramin 5 bernilai RM7.9 juta selepas menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Damai Utama, Puchong dekat sini kelmarin.
Bagaimanapun, serbuan pukul 3 petang itu tidak dapat menahan mana-mana suspek sebaliknya hanya dapat merampas dadah yang siap dibungkus di dalam 20 buah kotak.
Difahamkan, kejayaan itu rentetan usaha berterusan polis membanteras kegiatan pengedaran bahan khayal itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di mana pihaknya telah merampas lebih empat juta biji pil eramin 5 termasuk menyerbu makmal haram di Klang yang keseluruhannya bernilai RM80 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan terbaharu itu, pihaknya percaya dadah tersebut diseludup dari luar negara menggunakan laluan laut.
“Kita masih mencari sindiket terlibat dan setakat hari ini (semalam) tiada tangkapan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment