Ibu bimbang anak diculik untuk dijadikan pelacur
|
KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, Phua Cheak Hock, 42, dan Tan Lu Ceng dari Wangsa Maju di sini, mengesyaki kehilangan anak perempuannya sejak Rabu lalu adalah akibat menjadi mangsa culik dua individu yang mempergunakan pelajar-pelajar perempuan untuk kegiatan pelacuran.
Menurut ibu malang itu, Lu Ceng, 42, anaknya, Yvonne Phua Sze Kei, 18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Perempuan Air Panas, Setapak telah hilang secara tiba-tiba dari sekolah pada 1 Ogos lalu.
"Pada hari kejadian, saya telah menghantar Yvonne ke sekolah pada waktu pagi dan nampak dia terus memasuki kawasan sekolah seperti biasa.
"Namun, ketika saya ingin menjemputnya selepas tamat sesi persekolahan pada pukul 1.10 petang, saya dapati dia tidak muncul-muncul sehingga memaksa saya ke sekolah untuk bertanya kepada gurunya.
"Peliknya, gurunya menyatakan Yvonne tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Khidmat Datuk Yew Teong Look di Taman Danau Kota semalam.
Cerita Lu Ceng lagi, sebulan yang lalu, anak lelakinya telah mengadu kepadanya bahawa Yvonne sedang berkawan dengan dua individu iaitu seorang lelaki bernama Father (nama samaran) dan seorang tomboi iaitu seorang wanita yang menyerupai lelaki, Low Hong Xiu, 25, dari Skudai, Johor melalui laman sosial, Facebook.
Ekoran itu, Lu Ceng telah menasihati anak perempuannya mengenai perhubungan itu dan meminta agar berhati-hati dengan kawan-kawan baharu berkenaan.
Ujar Lu Ceng, beberapa hari kemudian sebelum anak perempuannya itu hilang, ada seorang wanita telah menghubungi anak lelakinya dan mengugut untuk melarikan Yvonne ke luar negara jika keluarganya menghalang mereka daripada berkawan.
Samun ikut jadual ilmu hitam
KAJANG - Sekumpulan empat penjenayah warga Indonesia bergelar Geng Kerinchi yang menggunakan ilmu hitam bagi memukau mangsa nampaknya tidak menjadi apabila kesemua mereka ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun tersebut ditahan pada pukul 8.30 pagi di rumah kongsi sebuah kilang papan dekat Semenyih pada 27 Julai lalu.
Kegiatan mereka berjaya ditumpaskan selepas mereka memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Teknologi, Kajang.
Suspek juga didapati berjalan kaki melalui hutan sejauh 10 kilometer dari kawasan kilang ke rumah mangsa untuk mengelak daripada terserempak dengan sesiapa.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pengurus kilang berusia lingkungan 30-an kerugian RM10,000 apabila barangan berharga milikinya dilarikan suspek.
Difahamkan, suspek menyapu minyak pukau pada badan masing-masing sebelum memecah masuk rumah supaya penghuni yang terhidu cecair itu berada dalam keadaan khayal. Minyak itu berbau wangi.
Sebelum itu, suspek menilik kad ilmu pelangkah yang dibawa khusus dari kampung halaman mereka di Kerinchi, Jambi, Indonesia untuk mengetahui sama ada mereka berjaya atau gagal memecah masuk rumah yang disasarkan.
Selepas itu, keempat-empat suspek yang masuk ke negara ini sejak seminggu lalu menghubungi ketua dukun bergelar Kiai di kampung mereka sebelum lelaki tersebut menyalakan lilin di dalam bilik untuk membuat ramalan.
Jika api bergoyang maka rancangan untuk merompak akan ada aral yang melintang.
Siasatan polis setakat ini mendapati suspek telah tiga kali keluar masuk ke negara ini dan mereka dipercayai menghantar hasil samun pulang ke kampung.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab memberitahu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah membabitkan suspek dan modus operandi yang sama dengan tertangkapnya keempat-empat penyangak tersebut.
Kerugian keseluruhan daripada lima kes pecah rumah dianggarkan RM60,000.
Suspek kes samun ditembak mati
KUALA LUMPUR – Seorang suspek kes samun yang baru dilanjutkan reman enam hari di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini semalam ditembak mati selepas lelaki itu cuba menyerang polis menggunakan parang selepas dia berjaya melarikan diri daripada tahanan polis.
Sebelum kejadian pada pukul 3 petang, suspek warga tempatan berumur 26 tahun itu berjaya melarikan diri sewaktu dia dan beberapa suspek lain sedang beratur bersama lapan tahanan lain untuk masuk ke dalam kenderaan polis untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Namun, ketika beratur, suspek tiba-tiba menghilangkan diri sebelum polis menyedari kehilangannya dan terus melancarkan gerakan mencari,” kata satu sumber.
Sebaik melarikan diri, suspek yang juga berjaya membuka garinya terus memecah masuk ke dalam sebuah stor milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang terletak bersebelahan mahkamah.
Suspek kemudian masuk ke stor tersebut dan menukar pakaian lokap dengan memakai pakaian seorang kontraktor Syabas yang ditemui di dalam stor.
Suspek turut mengambil sebilah parang di dalam stor itu dan melarikan diri ke Loji Air Puncak Templer.
Kedudukan Loji Air Puncak Templer kira-kira satu kilometer dari mahkamah.
Sumber itu berkata, setengah jam selepas gerakan mencari, polis berjaya mengesan suspek berada di Loji Air Puncak Templer, namun suspek enggan menyerah diri sebaliknya cuba menyerang polis menggunakan parang.
Selepas beberapa kali dipujuk tetapi suspek terus agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sehingga menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian.
Mayat suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Suami isteri rentung sebelum sahur
JELEBU – Hasrat suami isteri warga emas untuk bersahur tidak kesampaian apabila pasangan tersebut ditemui rentung dalam rumah mereka yang terbakar di Felda Pasoh Satu di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi itu, dua mangsa yang terkorban ialah Zahari Hassan, 77, dan isterinya, Mariam Abd. Latif, 67. Mayat pasangan itu ditemui di ruang tamu rumah.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Nizam Sapaiee berkata, dua jentera bomba bersama 18 anggota dikejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.39 pagi.
“Pasukan bomba yang tiba ke lokasi kejadian tujuh minit kemudian mendapati hampir 80 peratus rumah tersebut sudah hangus.
“Bomba kemudian mengambil masa sejam untuk memadamkan kebakaran,” kata beliau di sini.
Menurut beliau, setakat ini punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang anak pasangan itu, Ruzilawati, 38, berkata, ibunya ada menghubungi telefon bimbitnya pada pukul 4.10 pagi namun dia tidak menyedari kerana sibuk di dapur.
“Beberapa minit kemudian saya cuba menghubungi ibu semula tetapi selepas beberapa kali mencuba panggilan saya tidak dijawab menyebabkan saya gelisah,” kata wanita itu yang tinggal di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Ruzilawati memberitahu, dalam keadaan tidak keruan itu tiba-tiba dia menerima panggilan daripada jiran di kampung memaklumkan rumah ibu bapanya terbakar.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurut beliau, mayat pasangan warga emas itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dekat sini untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga.
Annan letak jawatan Utusan PBB
|
ALEPPO - Kuasa-kuasa dunia saling menuding jari semalam selepas bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan meletak jawatan sebagai utusan keamanan ke Syria berikutan inisiatif beliau untuk menamatkan pertumpahan darah di negara berkenaan gagal mendapat sokongan yang sepatutnya.
Ketika jet-jet pejuang dikerahkan untuk mengebom pemberontak yang bersenjatakan kereta kebal di sekitar ibu kota komersial negara berkenaan di sini, utusan PBB-Liga Arab itu menyuarakan kekesalan berhubung peningkatan kuasa ketenteraan dalam konflik di Syria yang berlanjutan selama 17 bulan.
Annan turut membidas tindakan saling menuding jari dalam kalangan anggota Majlis Keselamatan PBB. Menurutnya, perkembangan tersebut menghalang satu tindakan bersama dilaksanakan bagi menamatkan keganasan di Syria.
"Saya tidak menerima segala sokongan yang diperlukan untuk menjayakan inisiatif ini," kata Annan pada satu sidang media di Geneva.
"Anda perlu faham bahawa sebagai utusan keamanan saya tidak boleh lebih mementingkan keamanan berbanding Majlis Keselamatan atau masyarakat antarabangsa bagi tujuan ini," tambahnya.
Namun, beliau meramalkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad akan tumbang suatu masa nanti.
Peletakan jawatan Annan mencetuskan pertikaman lidah terbaru dalam kalangan lima anggota tetap Majlis Keselamatan dengan Amerika Syarikat menyalahkan Rusia dan China kerana menggunakan kuasa veto untuk membatalkan tiga resolusi PBB berhubung konflik di Syria.
Namun, utusan Rusia ke badan dunia itu, Vitaly Churkin bertegas bahawa Moscow menyokong Annan sepenuhnya manakala Presiden Vladimir Putin menyifatkan perletakan jawatan beliau sebagai sesuatu yang amat dikesalkan.
Kekesalan itu turut disuarakan oleh China. Menurut Beijing, negaranya mahukan PBB memainkan peranan utama dalam menamatkan konflik di Syria.
Terdahulu, beberapa aktivis menyatakan lebih 20,000 orang terbunuh sejak rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar pada Mac 2011.
Sementara itu, keganasan terus berlaku di seluruh Syria dengan pertempuran untuk menguasai bandar raya ini menjadi semakin sengit.
Tentera Bashar kini menggunakan sejumlah jet pejuang untuk mengebom beberapa kawasan yang dikuasai pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Pejuang-pejuang FSA pula melakukan serangan balas dengan membedil sebuah pangkalan udara di luar bandar raya ini. Mereka menggunakan beberapa kereta kebal yang dirampas daripada tentera Bashar.
"Kami pernah beberapa kali menyerang lapangan terbang ini tetapi ini kali pertama kami menggunakan senjata berat," kata seorang komander FSA, Abdel Aziz Salameh.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia melaporkan sekurang-kurangnya 179 orang terbunuh dalam keganasan kelmarin termasuk 14 kanak-kanak, 43 askar dan 26 pemberontak. - AFP
Wartawan selidik kapal selam Britain
BEIJING - Seorang wartawan warga Amerika Syarikat yang tinggal di Beijing membuat satu penemuan yang mengejutkan di dalam buku dan filemnya yang akan diterbitkan.
Wartawan itu, Steven Schwankert membuat penyelidikan dalam buku dan filem tersebut mengenai sebuah kapal selam tentera British yang karam di perairan China pada tahun 1930.
Beliau mendapat tahu bahawa China menaikkan semula kapal selam tersebut, HMS Poseidon pada tahun 1972.
China menaikkan kapal selam tersebut tanpa memberitahu pihak Britain.
Pendedahan itu terdapat dalam bukunya, The Real Poseidon Adventure: China's Secret Salvage of Britain's Lost Submarine dan sebuah filem dokumentarinya.
Kapal selam itu karam pada 9 Jun 1931 selepas ia berlanggar dengan sebuah kapal kargo China dalam satu latihan.
Buku tersebut juga dijangka diterbitkan pada tahun 2013 oleh Hong Kong University Press.
Beliau melakukan penyelidikan itu sejak tahun 2006 selepas mendapati maklumat di dalam talian bahawa China telah menaikkan kapal selam tersebut.
Schwankert kemudian mencari akaun operasi untuk menaikkan kapal selam tersebut menerusi senaskhah majalah China pada tahun 2002.
Namun, persoalan timbul kenapa China memilih untuk menaikkan kapal selam itu.
Penyelidikan Schwankert itu menyebabkan Kementerian Pertahanan Britain meminta maklumat lanjut tentang kapal selam tersebut.
China kemudian mengesahkan bahawa kapal selam itu telah dinaikkan dari dasar laut namun maklumat lanjut itdak diberikan kerana rekod simpanan maklumat yang tidak teratur.
Schwankert menganggap terdapat banyak motif kenapa China menaikkan kapal tersebut.
Menurutnya, antara motif itu ialah China mungkin mengkaji pembinaan kapal selama tersebut atau mengitar semula besi kapal berkenaan.
Kapal selam itu dianggap yang paling moden milik Tentera Laut Diraja Britain.
Ia karam dalam tempoh empat minit dan terdampar sedalam 30 meter di dalam laut dekat sebuah pangkalan tentera Britain di Weihai, China.
Seramai 18 kru mati semasa ia karam. - Agensi
Tanam bangkai gajah
GUWAHATI - Penduduk-penduduk dari sebuah kampung menanam bangkai seekor gajah betina dekat stesen kereta api Panbari, 50 kilometer dari sini kelmarin. Gajah itu mati pada Rabu lalu selepas haiwan tersebut dirempuh sebuah kereta api penumpang semasa ia menyeberangi landasan. - Reuters
No comments:
Post a Comment