Thursday, August 2, 2012

BACA...DAN NILAILAH MORAL ....KEFAHAMAN AGAMA....SIKAP...DLL...APA PERANAN PEMERINTAH AGAR MENDIDIK RAKYAT JADI BAIK SERTA TAAT SERTA PATUH PADA AGAMA

Leka berurut sambil bogel
NUR FARHANA ABDUL MANAN
1 Ogos 2012
Tukang urut wanita dan pelanggan terkedu ketika premis diserbu pihak berkuasa.
Tukang urut wanita dan pelanggan terkedu ketika premis diserbu pihak berkuasa.
PUCHONG – Keasyikan beberapa pelanggan diurut tanpa seurat benang di pusat refleksologi Bandar Puteri di sini terbantut apabila premis dikunjungi mereka diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, premis sama pernah diserbu sebelum ini namun pengusaha dikatakan tidak serik mengulangi kesalahan lama.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, seramai 11 wanita warga asing, dua penjaga premis dan tiga pelanggan ditahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu rumah urut dan pusat penjagaan kesihatan di Jalan Puteri 1/4 dan Puteri 1/8.

Menurutnya, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu masuk utama kerana penjaga premis menutup kesemua pintu bagi menyukarkan tindakan pecah masuk ke dalam premis.

Katanya, premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pintu dan di bahagian luar dipercayai untuk mengawal kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, berapa kondom yang sudah digunakan ditemui dan hasil siasatan mendapati pengusaha premis menawarkan khidmat seks serta urutan badan ke badan (B2B) kepada pelanggan.

“Ketika tindakan operasi diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd dijalankan di premis kedua, terdapat pelanggan yang diurut dalam keadaan berbogel.

“Kedua-dua premis dikenakan tindakan di bawah UUK 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat sekatan lesen yang dikeluarkan majlis dengan menggajikan wanita warga asing,” katanya.

Ahmad berkata, semua yang dicekup diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sehingga Julai lalu katanya, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan manakala 36 premis rumah urut dikenakan tindakan sitaan dan penutupan premis oleh MPSJ.
Dicekup dalam kedai kopi
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
2 Ogos 2012
Dicekup dalam kedai kopi
Pemuda dan warga emas yang ditahan sedang makan di sebuah kedai Siam semasa operasi Jhaeik dan MDK di Peringat sedang disoal siasat.
KOTA BHARU - “Saya bekerja kuat sebab itulah tidak berpuasa,” alasan seorang pemuda berumur 37 tahun ketika ditahan makan di sebuah kedai kopi milik peniaga Siam di Cabang Tiga Perol, Peringat di sini, oleh Majlis Daerah Ketereh (MDT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik), semalam.

Bagaimana pun, alasan pemuda yang sihat tubuh badan itu tersebut tidak berjaya melepaskan dirinya daripada dikenakan denda maksimum RM500 dan jika disabitkan kesalahan kali kedua akan didenda sebanyak RM1,000.

Pada masa yang sama turut ditahan, seorang warga emas berumur 69 tahun yang bersama pemuda itu dalam kedai tersebut, namun dia dilepaskan selepas mendakwa mempunyai penyakit asma dan menunjukkan kad kesihatan hospital yang dibawa bersama.

Sebelum itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jheaik dan polis mengadakan Operasi Jaring di sekitar bandar ini bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Dalam operasi tersebut juga, MPKB-BRI berjaya menahan 11 pelajar berusia antara 14  hingga 18 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di taman permainan di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, di sini.

Ketua Penolong Pengarah, Ramli Che Hussin berkata, semasa operasi, pihaknya melihat sekumpulan remaja melepak di sebuah taman permainan dan berpakaian sekolah.

 “Apabila melihat kelibat kenderaan penguatkuasa, dianggarkan kira-kira 40 motosikal yang ditunggangi oleh beberapa orang remaja bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun pihak kami berjaya menahan tiga pelajar lelaki dan  lima pelajar perempuan yang tidak sempat melarikan diri sebelum menahan tiga lagi di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, semasa ditahan antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah tujuan berada di taman tersebut adalah untuk menunggu rakan-rakan yang lain sebelum masuk ke sekolah yang bermula pada sesi petang.

Ramli berkata, semua mereka adalah pelajar dan diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan Operasi Jaring bagi menangkap orang Islam yang tidak berpuasa, bagaimanapun terpaksa diubah kepada operasi biasa berikutan tiada tangkapan membabitkan orang yang tidak  berpuasa,” katanya.
Terkejut kereta bapa di depan rumah terbakar
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Terkejut kereta bapa di depan rumah terbakar
Mek Zah menunjukkan kereta suaminya tinggal rangka selepas terbakar dengan sendirinya, kelmarin
TUMPAT – Sebuah keluarga di sini, terkejut apabila kereta Proton Saga milik bapanya yang di parkir di hadapan rumah tiba-tiba terbakar di Kampung Kebakat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi , kereta milik Omardin Bon, 49, tiba-tiba berasap di bahagian depan lalu terbakar dengan sendirinya.
Isterinya, Mek Zah Junus, 47, berkata, kejadian itu disedari apabila rumahnya berbau hangit seperti ada barangan elektrik terbakar.

“Curiga dengan apa yang berlaku, saya memeriksa semua suis dan barangan elektrik di dalam rumah, tetapi semuanya dalam keadaan baik.

“Tetapi bau hangit itu masih menjadi misteri sehingga salah seorang anak saya,  Muhammad Adam Hayqal menyedari kereta yang di pakir di halaman rumah berasap,” katanya.

Mek Zah berkata, panik dengan apa yang berlaku, dia memaklumkan kepada suaminya yang berada di dalam bilik dan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Beberapa anggota JPAM datang membantu, tetapi akhirnya terpaksa memanggil bomba kerana api tiba-tiba marak membakar kereta tersebut,” katanya yang memaklumkan kereta itu sudah seminggu di pakirkan di situ.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Ya’cob Abdullah berkata, satu jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran kereta terbabit.

“Kebakaran dapat dipadamkan dalam masa 25 minit, dan punca kebakaran adalah disebabkan kerosakan pada sistem pendawaian audio kereta tersebut,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan pemilik kereta itu mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Hanya kerana mercun RM30
RUBIAH OMAR
2 Ogos 2012
Hanya kerana mercun RM30
Wan Yusri didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam setelah mengaku salah menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM30.
KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada empat anak tidak menyangka tindakannya menyimpan pelbagai mercun dan bunga api yang hanya bernilai RM30 dipercayai untuk dijual mengheret dirinya ke mahkamah.

Lebih malang, tertuduh, Wan Yusri Wan Dagang, 44, dari Kampung Rusila, Marang, dikenakan denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah
Majistret, di sini, semalam hanya kerana memiliki bahan terlarang itu.

Dia yang sebelum ini iaitu dua tahun lalu pernah dikenakan hukuman sama seolah-olah tidak serik malah dengan selamba mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bagi tujuan menyalahi undang-undang di rumahnya di Kampung Rusila, Marang pada 31 Julai lalu kira-kira jam 8 malam.

Dengan itu, dia yang bekerja sebagai buruh itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (disemak 1978) Akta 207 yang boleh di penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8 malam kelmarin (31 Julai), anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Rusila, Marang (rumah tertuduh) dipercayai ada menyimpan atau memiliki bahan letupan.

Hasil pemeriksaan polis menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan di ruang tamu rumah.

Antaranya ialah tujuh paket mercun bertulis ‘Cracker Ball’; sekotak mercun bertulis ‘8801A’; lima batang bunga api bertulis ‘Magical Shots With Report’ dan 30 kotak mercun bertulis ‘8801A’..
Rayuan spontan bapa diterima
Nik Amirulmu’Min Nik Min
2 Ogos 2012
Rayuan spontan bapa diterima
Kedua-dua tertuduh menutup muka cuba mengelak wajah dirakam jurugambar
KUANTAN- Bapa kepada dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pengkalan Udara Kuantan, Kem Batu 10, Jalan  Gambang dekat sini yang tampil ke mahkamah sebagai penjamin anak mereka setelah didakwa atas tuduhan merompak terpaksa merayu kepada mahkamah supaya jumlah jaminan RM10,000 diringankan.
Rayuan spontan di kerusi awam itu bagaimanapun diterima Hakim Fathiyah Idris  apabila beliau membenarkan jumlah jaminan  ke atas Mohd Affiz Ahmad, 22 dan Mohd Fazeli Mohd Fodzi, 24 dikurangkan kepada RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mohd Affiz yang hadir dengan tangan berbalut selain  kesan kecederaan akibat dibelasah suami mangsa selepas gagal menyamun wanita itu dan Mohd Fazeli mengaku faham terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abdidin.

Bagaimanapun mereka berdua mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dua penjawat awam ini didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan ke atas premis siber kafe dan salah seorang pekerja wanita dengan merampas wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit membabitkan kerugian kira-kira RM700.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis yang terletak di Lorong Tun Ismail 4 di sini kira-kira jam 3.40 pagi, 26 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, mereka juga didapati menggunakan dua bilah parang yang boleh mendatangkan kematian, kecederaan  serta ketakutan kepada mangsa.

Tertuduh  memberitahu mahkamah bahawa mereka akan melantik peguam sebelum sebutan seterusnya kes tersebut yang ditetapkan 3 September depan.
Lelaki terima padah curi kabel
Wartawan Sinar Harian
1 Ogos 2012
Lelaki terima padah curi kabel
Tertuduh dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Temerloh, semalam kerana mencuri kabel TM
BANDAR TEMERLOH - Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas seorang pekerja bengkel selepas dia mengaku bersalah mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) Berhad bernilai RM4,500.

Tertuduh, Sidek Abu Bakar Rashid, 32, dituduh melakukan kesalahan itu dengan mencuri kabel milik TM Berhad sepanjang 200 meter dekat jalan Kampung Bangau Parit ke Kampung Telok Ira, di sini, jam 6.07 pagi, Ahad lalu.

Tertuduh dari Kampung Pangsenam, di sini, yang didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagaimanapun merayu dikenakan hukuman ringan kerana terpaksa menanggung ibu di kampung.

Majistret, Rosnaida Abd Razak kemudian menjatuhkan hukuman tersebut bermula dari tarikh sabitan kes.

Berdasarkan laporan orang awam, tertuduh dilihat berada di kawasan seperti dinyatakan dalam keadaan mencurigakan oleh dua penduduk kampung yang sedang melakukan rondaan.

Penduduk Kampung Telok Ira yang ditemui kelmarin, Saiful Fazly Shaharudin berkata, belia Kampung Telok Ira terpaksa melakukan rondaan siang dan malam selepas kegiatan curi kabel kerap berlaku di kampung mereka sehingga menyusahkan penduduk.

Menurutnya, talian Internet dan telefon tetap kerap terputus sejak dua bulan lalu dan pernah terjadi kabel dibaiki pada sebelah pagi tetapi dicuri pada sebelah malamnya.
“Kali ini kami berjaya tangkap mereka yang bertanggungjawab, malah difahamkan terdapat dua lagi rakannya yang masih bebas.

“Kita tangkap dengan bukti bersama peralatan mencuri kabel dan kabel yang telah dipotong dan semuanya diserahkan kepada polis,” katanya.
Sarjan didakwa terima rasuah
NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN
1 Ogos 2012
Sarjan didakwa terima rasuah
Ismail (kiri) bersama seorang kenalan di luar kamar Mahkamah Sesyen Kuantan semalam.
KUANTAN- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyan Kuantan semalam atas tuduhan menerima suapan RM800 daripada seorang penagih dadah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan dan menutup kes lelaki terbabit setelah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh, Ismail Che Ngah dari Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nor Azman Mohd Jaya di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Berdasarkan pertuduhan, Ismail didakwa menerima suapan itu kira-kira jam 1.50 petang, di KM1, Simpang Karayong, Bera, 7 Jun lalu dan ditahan pada masa serta tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya jaminan ke atasnya ditetapkan sebanyak RM2,000 memandangkan dia terpaksa menyara keluarga serta dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, dia juga perlu menyediakan keperluan keluarga menjelang sambutan hari raya akan datang justeru sekiranya mahkamah meletakkan jumlah jaminan yang tinggi akan membebankan dirinya.
“Saya juga berdepan tindakan tatatertib oleh jabatan dan kemungkinan kehilangan pekerjaan,” katanya dalam rayuan itu.

Mengambil kira tuduhan dan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala 30 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Tertuduh difahamkan membayar wang jaminan dan dibebaskan sementara menunggu tarikh sebutan nanti.
Mengaku tidak bersalah dera anak teman wanita
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
KUANTAN- Seorang pekerja sebuah pusat snuker di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak teman wanitanya hingga pecah usus dan lebam kepala serta badan dalam sebuah bilik sewa di Jalan Wong Ah Jang di sini, 23 Julai lalu.

Tertuduh Khoirumminan Ranizal, 19 dari Kampung Tanjung Chempaka, Pekan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khoirumminan didakwa mencederakan Muhammad Adam Mikhail Abdullah, 10 bulan yang ditinggalkan di bawah jagaannya ketika teman wanitanya keluar bekerja.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 malam, 23 Julai hingga jam 3.30 petang hari berikutnya di dalam bilik sewa di jalan Wong Ah Jang di sini.

Kecederaan pada mangsa disedari ibunya berusia 22 tahun selepas mendapati anaknya itu  menangis dan muntah–muntah.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana mensyaki tertuduh mendera anaknya hingga terpaksa dirawat di Unit PICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Susulan laporan tersebut, tertuduh berjaya ditahan sehari selepas kejadian dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 selepas dia membuat rayuan.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar jumlah jaminan yang ditawarkan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penjaga premis snuker dengan gaji RM400 sebulan.

Tertuduh pada mulanya memberitahu mahkamah bahawa dia terpaksa menyara teman wanitanya itu namun mengubahnya kepada menyara dua adik yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 September depan sebagai tarikh perbicaraan berhubung kes tersebut.
Cedera ditetak perompak
TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
2 Ogos 2012
Cedera ditetak perompak
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang pekerja asing ditetak penyamun yang memecah masuk kilang di kawasan perindustrian Selesa Jaya, Balakong Ahad lalu.
KAJANG - Sebuah kilang di kawasan Perindustrian Selesa Jaya, Balakong, di sini dipecah masuk Ahad lalu, menyebabkan lebih tiga pemilik premis yang beroperasi di dalam kawasan kilang tersebut mengalami kerugian.

Difahamkan, kilang tersebut menempatkan 12 premis kilang kecil yang menjalankan perusahaan aluminium, kejuruteraan dan proses makanan sejuk beku dimana 10 daripadanya dipecah masuk.

Seorang pemilik premis, Lee Yih Feng, 34, berkata, premisnya menjalankan kerja kejuruteraan malah baru dua bulan menyewa di dalam kawasan kilang berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia menerima panggilan daripada pekerja memaklumkan kilang mereka dipecah masuk.

“Saya segera ke kilang dan memeriksa kawasan namun tiada barang yang hilang kerana tiada barang bernilai di kawasan kilang berikutan kami hanya menjalankan operasi pengeluaran sahaja di sini.

“Namun jentera forklift kami dialihkan dan dijumpai di kilang berdekatan mungkin digunakan penyamun untuk mengangkut barang dari kilang berdekatan,” katanya.

Seorang lagi pemilik premis, Hee Meow Loong, 41, berkata, seorang pekerja asing di kilang berdekatan turut dicederakan penyamun menggunakan parang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman, lebih enam penyamun yang memecah masuk premis bersenjatakan parang malah bertindak menetak seorang pekerja, namun mujur dia hanya mengalami cedera ringan.

“Saya telah lima tahun menjalankan perindustrian kejuruteraan di kawasan kilang ini dan ini kali pertama kes besar dihadapi berlaku,” katanya.
Meow Loong berkata, dia mengalami kerugian sekitar RM100,000 apabila wang asing lebih RM10,000 dikebas, lori syarikat, sistem CCTV, buku cek persendirian dan syarikat, pasport dan dua komputer riba dilarikan perompak.

“Ketika kejadian itu juga, sistem penggera dipotong dan pengawal turut diikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
‘Pelanggan’ rogol pekerja butik
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
‘Pelanggan’ rogol pekerja butik
Suspek yang merogol mangsa dicari.
SUBANG JAYA – Polis mengedarkan fotofit seorang lelaki dipercayai warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubungan kes rogol pekerja butik di SS15, 21 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, butik tempat kerja mangsa berumur 23 tahun itu dikatakan didatangi lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dikatakan membelek-belek pakaian di rak dan memaklumkan kepada mangsa dia ingin menghadiahkan baju itu kepada teman wanitanya.

Katanya, suspek yang bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian memaksa pekerja butik itu masuk ke dalam bilik stor dan terus mengikat kaki tangan serta mulut mangsa.

“Suspek kemudian merogol mangsa dan menyamun beg duit, telefon bimbit serta hasil jualan yang berada di kaunter pembayaran,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Argentina bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan melanggar kereta polis di USJ 18/2A pada 26 Julai lalu.

Dalam kejadian 9.25 malam itu, empat lelaki melarikan diri selepas melihat kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah teres dua tingkat tersebut yang telah dipecah masuk.

“Kita minta orang ramai tampil memberi maklumat sekiranya mengetahui kedudukan lelaki dikenali Ignacio Marcelo, 45, yang masuk ke negara ini sebagai pelancong sejak Oktober lalu,” katanya.
Jaim serbu kedai makan, 10 saman dikeluarkan
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Jaim serbu kedai makan, 10 saman dikeluarkan
Penguat kuasa Jaim melakukan pemeriksaan dalam serbuan semalam.
BANDARAYA MELAKA - Segelintir umat Islam di negeri ini bukan sahaja tidak menunaikan kewajipan berpuasa, malah turut mempertikaikan tindakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan serbuan di beberapa lokasi, semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 10 saman dikeluarkan membabitkan individu berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan perilaku individu terbabit yang secara sengaja berada di lokasi berkenaan sehingga menimbulkan syak wasangka masyarakat lain.
“Kita kesal dengan keadaan ini kerana walaupun kita tidak nampak perbuatan sebenar mereka namun tindakan kebanyakan mereka ini boleh menimbulkan syak dan dianggap seolah-olah mempersendakan agama.
“Tindakan mereka juga boleh menjejaskan imej Islam di mata bukan Islam kerana pastinya akan memandang remeh terhadap perintah berpuasa di bulan Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Rahimin berkata, antara kawasan yang terbabit dalam serbuan itu adalah Bukit Rambai, Pantai Puteri, Tangga Batu, Cheng, Ujung Pasir dan sekitar pusat bandar.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang diambil tindakan berada di premis makanan milik bukan Islam.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 49 (1) dan (2), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana makan atau minum atau membeli makanan atau minuman atau merokok pada waktu siang di bulan Ramadan.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali dan untuk kesalahan kedua berikutnya denda RM2,000 atau penjara 24 bulan,” katanya.
Rahimin berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi hampir setiap hari bagi memastikan golongan yang tidak menghormati kesucian Ramadan dibanteras.
Gegendang telinga anak pecah selepas menjalani rawatan
NUR SHARIEZA ISMAIL
1 Ogos 2012
Gegendang telinga anak pecah selepas menjalani rawatan
Mohd Fadzli Shah bersama Natasha Maria menunjukkan laporan polis yang dibuat dan gambar telinga yang bengkak selepas rawatan.
SEREMBAN – Seorang bapa kesal dengan kecuaian seorang doktor yang menjalankan rawatan terhadap telinga anak perempuannya sehingga menyebabkan gegendang telinga rosak.

Mohd Fadzli Shah Lim Abdullah, 55, mendakwa, selain kedua-dua belah telinga anaknya yang berusia 8 tahun terjejas, ia turut mendatangkan kecederaan selepas rawatan.

"Sudah hampir tiga bulan anak kedua saya, Natasha Maria Clara Lim menderita akibat kesakitan pada kedua-dua belah telinganya. "Natasha kini tidak boleh mendengar dengan baik kerana gegendang telinganya pecah selepas  rawatan dijalankan doktor terbabit," katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Fadzli Shah berkata, pada mulanya seorang cikgu di sekolah tempat anaknya belajar mengesyorkan supaya Natasha Maria dibawa menjalani pemeriksaan pembelajaran di mana-mana klinik mahupun hospital selepas mendapati anaknya itu lemah dari segi pembelajaran, selain sukar berkomunikasi dengan orang lain.

“Saya kemudiannya membawa Natasha Maria menjalani pemeriksaan pembelajaran di hospital berkenaan dan diarahkan supaya terus merujuk ke bahagian mata dan telinga, pada awal April lalu.

“Doktor berusia 28 tahun itu memberitahu anak saya tidak mempunyai apa-apa masalah di bahagian mata dan kedua-dua telinganya selepas pemeriksaan awal dilakukan," katanya.

Menurutnya, doktor terbabit memberikan ubat titis dan mengarahkannya mengikut arahan tertera sebaik tiba di rumah.

"Namun, tiba-tiba doktor terbabit membantu menitiskan ubat berkenaan ke dalam telinga anak saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fadzli Shah yang berasal dari Nilai berkata, ketika itu dia berada di dalam bilik rawatan semasa doktor tersebut menjalankan rawatan terhadap anaknya.

“Apa yang saya nampak, dia tidak pula menitiskan ubat berkenaan seperti diberitahu, sebaliknya menyembur sejenis cecair di luar cuping telinga kanan anak saya.

“Selepas beberapa saat, dia ambil sebatang besi pencuci telinga dan beberapa kali menukarnya selepas memasukkan ke dalam telinga Natasha Maria," katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat darah memancut keluar dari telinga anaknya sehingga urat saraf pada gegendang telinganya turut terkeluar.

“Doktor terbabit seperti tidak mengambil peduli ketika saya bertanyakan hal itu, sebaliknya terus menjalankan rawatan sebelum anak saya menjerit dengan kuat akibat kesakitan.

"Selepas kejadian berkenaan, saya membawa Natasha Maria membuat pemeriksaan di klinik kesihatan dan juga di klinik swasta lain," katanya.

Mohd Fadzli Shah berkata, doktor mengesahkan gegendang telinga anaknya pecah dan terdapat pendarahan yang banyak pada kedua-dua telinga akibat daripada rawatan awal yang dilakukan.

“Saya membuat aduan terhadap hospital terbabit tetapi sehingga kini tiada maklum balas.

“Anak saya perlu menjalani rawatan pemeriksaan pembelajaran disebabkan dia menghadapi masalah pembelajaran, bukannya rawatan pendengaran sehingga menyebabkan kecederaan keduadua telinganya," katanya yang telah  membuat laporan polis di Bandar Baru Salak Tinggi. 
Dihasut murtad ketika berbuka
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Dihasut murtad ketika berbuka
Dua lelaki asing ini dirakam sedang menyampaikan fahaman agama mereka.
GEORGETOWN – Ketika sedang berbuka puasa di sebuah pusat membeli belah, Mohd Noor Farid Mohd Alwi, 28, dan tiga lagi rakannya didatangi dua lelaki asing yang juga dipercayai pelancong luar negara.
Pada masa itu, dia dan rakan hanya menunggu waktu untuk berbuka puasa, sementara dua lelaki yang dipercayai pelancong itu mendekati mereka secara tiba-tiba.
Mohd Noor Farid berkata, pada mulanya dia menyangka lelaki berkenaan mahu bertanya jalan atau tempat.
Namun, sangkaannya meleset kerana mereka bertanya tentang ibadah puasa.
“Kami tertarik kerana ada juga pelancong asing yang mahu bertanya tentang puasa sedangkan mereka bukan orang Islam, mereka tanya ‘kamu berpuasa ya?’ dalam Bahasa Inggeris dan kemudiannya kami mengangguk dan bercerita waktu bersahur dan berbuka.
“Soalan mereka tidak sampai di situ sahaja kerana mereka bertanya kenapa perlunya umat Islam berpuasa.
“Saya dan rakan-rakan jawab dengan penuh keyakinan dan kami saling menyampuk untuk menjawab soalan ‘mat saleh’ berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hampir 15 minit berlalu menceritakan ibadah berpuasa umat Islam, lelaki asing terbabit menanyakan soalan yang agak mengejutkan Mohd Noor dan rakannya yang lain.
“Kenapa kamu perlu percaya kepada tuhan kamu? Mari percaya kepada agama kami,” kata lelaki berkenaan tanpa ragu-ragu.
Agak lama bercerita mengenai agamanya, lelaki berkenaan seolah-olah menyampaikan dakyahnya dalam keadaan yang amat halus dan seolah-olah memujuk.
Namun, Mohd Noor Farid dan rakannya cuba mematikan perbualan dengan alasan mahu berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib segera.
Menurutnya, ia adalah kali pertama kejadian sebegitu berlaku ketika dia berkunjung ke pusat membeli-belah.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan dan seolah-olah mereka bebas dan tidak menghormati kita yang beragama Islam.
“Tindakan perlu diambil memandangkan mereka bukan penduduk negara ini dan hanyalah pelancong, sudah begitu berani mendekati dengan cara sedemikian rupa, nasib baik saya bersama kawan-kawan, jika berseorangan bagaimana,” katanya.
Bukan itu sahaja, melalui tinjauan dalam laman sesawang Facebook, Sinar Harian menemui seorang pengguna yang juga anggota sukarelawan berkongsi gambar yang disyaki dua pelancong asing sedang menyampaikan ceramah agama kepada seorang lelaki Melayu Islam.
Gambar yang dirakam sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling itu mendapati dua lelaki bangsa asing sedang berbual dengan pengayuh beca yang sedang berehat.
Melalui laman berkenaan, pengguna Facebook  Asti Toba berkata, gambar berkenaan dirakamkan semasa mereka menjalankan program mengumpul data golongan gelandangan.
Namun, tiba-tiba terdengar perbualan dua ‘pelancong’ dengan seorang pengayuh beca yang tidak berumah.
"Apa yang mengejutkan saya, dua ‘pelancong’ itu tadi memberikan ceramah agama, bukan agama Islam sedangkan pakcik berkenaan ialah orang Islam.
"Dipercayai mereka ialah ketua agama dan menyamar sebagai pelancong, malah dia juga menyogok pakcik berkenaan dengan RM50 dan berkata, 'Muhammad tidak betul," katanya.
Itu antara cerita yang dikongsi Asti  dan tidak ketinggalan dia juga sempat memberi nasihat kepada penduduk Pulau Pinang supaya berhati-hati.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pandangan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Salleh Man Mat Aji.
Salleh Man berkata, setakat ini dia masih tidak menerima sebarang aduan mengenai kes sedemikian.
Menurutnya, namun tidak dinafikan Jabatan Mufti Pulau Pinang ada menerima beberapa risalah penyebaran agama yang diedarkan kepada orang ramai.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia berlaku semasa bulan Ramadan bulan yang amat suci buat umat Islam.
“Bila ada perkara sebegini sememangnya menggusarkan kita dan sekiranya terdapat aduan dari orang ramai boleh segera ke Jabatan Mufti kerana di sana ada bahagian yang akan menguruskan aduan sebegini,” katanya.
Beliau juga menegaskan terdapat enakmen yang diperuntukkan sekiranya mendapati sememangnya ada pihak yang cuba memesongkan akidah umat Islam secara terang-terangan.
“Kita memang boleh ambil tindakan namun wajah individu berkenaan perlu dikenal pasti supaya dapat membuat pencegahan, dan saya ingin nasihatkan kepada umat Islam di negeri ini supaya ambil langkah berjaga-jaga.
“Tambahan lagi sekarang bulan Ramadan, pelbagai ujian yang datang dan kita perlu hadapi dengan baik dan tidak terpesong,” katanya.
Terkejut nasi kandar RM18.50
Wartawan Sinar Harian
1 Ogos 2012
Terkejut nasi kandar RM18.50
Terkejut nasi kandar RM18.50
Terkejut nasi kandar RM18.50
Resit pembelian berkenaan.
KULIM - Seorang pemandu bas pekerja industri terkejut apabila dikenakan bayaran RM18.50 bagi sebungkus nasi yang dibelinya dari restoran nasi kandar di sini.

Mohamad Yusri Hanafiah, 32, berkata, dia hanya membeli nasi bersama ayam goreng, dua kacang bendi dan dua ekor sotong berukuran kirakira tiga sentimeter.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan harga dikenakan telah meminta pekerja di restoran itu mengira nasi bungkus serta lauk yang dibelinya beberapa kali.

“Nak buat macam mana. Saya nak bersahur terpaksa juga membayarnya. Saya kemudian mengadu kepada seorang rakan yang menjual nasi di pasar Ramadan dan dia beritahu penjual nasi restoran sedemikian tidak menjalankan perniagaan mereka waktu siang dan ini mengakibatkan pemilik premis mengalami kerugian.

"Untuk memastikan mereka dapat semula modal telah dikeluarkan, pemaju restoran akan naikkan harga makanan mereka berlipat kali ganda terutama waktu sahur,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, pihak berkenaan seharusnya membuat pemantauan permasalahan itu dan ia harus ditangani segera.

Menurutnya, pengusaha restoran tidak seharusnya menaikkan harga makanan dengan sewenangnya semata-mata untuk kepentingan dan keuntungan mereka.

"Penguna yang terlibat seharusnya boleh membuat aduan kepada persatuan pengguna untuk memastikan mereka tidak ditipu.

“Apabila restoran mengenakan harga yang terlampau, pengguna harus bersikap terbuka dan meminta resit pembayaran. Mereka kemudian boleh pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan dan menyerahkan laporan  dibuat kepada persatuan pengguna," katanya.

Menurutnya, dengan cara itu pihak persatuan boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik premis terlibat.
Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam
Wartawan Sinar Harian
1 Ogos 2012
Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam
Gelagat pasangan remaja ini dirakam sekitar jam 3.16 pagi.
KULIM - Mungkin terlalu asyik dibuai cinta, sepasang kekasih lingkungan 17 tahun tidak sedar gelagat mereka dirakam lensa Sinar Harian kira-kira jam 3.16 pagi di parkir motosikal sebuah restoran makanan segera, di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih yang juga Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Elyas Saad berkata, fenomena itu sering dilihat lokasi terbabit termasuk di sekitar Kulim menjelang subuh.

Namun, timbul kehairanan apabila ketiadaan remaja itu di rumah tidak langsung menjadi kebimbangan ibu bapa mahupun penjaga mereka.

"Sekarang ini anak lebih banyak habiskan masa di luar bersama rakan sebaya dan tidak bersama keluarga. Ramadan ini ibu bapa seharusnya menjalinkan hubungan baik dengan anak dan Tarawih bersama-sama.

"Malangnya semua ini tidak berlaku kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan aktiviti sendiri hingga lupa tanggungjawab terhadap anak," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian difahamkan oleh pengadu yang mengenali pasangan berkenaan, kedua remaja terbabit sering berduaan di sudut sunyi lokasi restoran tersebut.

Elyas berkata, sehingga kini pelbagai perlakuan jenayah termasuk ragut, samun dan pergaduhan dilaporkan berlaku dan remaja yang sering menghabiskan masa mereka melepak di restoran makanan segera lebih mudah menjadi  mangsa.

Menurutnya, selain itu ada kes kalangan kanak-kanak berusia sembilan tahun, di sini terlibat jenayah, berpunca daripada kepincangan rumah tangga dan sikap ibu yang terlalu memanjakan anak-anak mereka.

"Misalnya penggunaan motosikal merupakan keperluan, tetapi ibu bapa hari ini membeli motosikal kepada anak mereka tanpa menyedari anak mereka itu tidak mempunyai lesen. Ini bukan sahaja membahayakan orang lain malah ia  turut membahayakan diri anak mereka.

“Pantaulah ke mana anak kita berada dan dengan siapa mereka berkawan. Bagi remaja perempuan kita harus ingat perlakuan rogol sering berlaku dimana ia melibatkan suka sama suka," katanya.

Menurutnya lagi, ibu bapa harus menerapkan ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak mereka.
Pecah masuk empat kedai
ROSDALILAH ZAHARI
2 Ogos 2012
Pecah masuk empat kedai
Chong menunjukkan kesan umpil yang dilakukan penjenayah untuk memasuki premisnya
IPOH - Kaedah umpil dikesan sebagai kaedah yang digunakan sekumpulan penjenayah untuk memecah masuk ke dalam empat kedai di Persiaran Bercham Selatan 2, di sini, sekitar jam 1 hingga 6 pagi semalam.

Sebanyak tiga daripada empat premis kedai yang menjadi sasaran kumpulan penjenayah terbabit adalah salun kecantikan dan satu kedai langsir.

Seorang mangsa, iaitu pemilik sebuah kedai salun yang hanya ingin dikenali sebagai Chong, 40 berkata, dia hanya menyedari salunnya dimasuki penjenayah daripada
seorang rakan yang melihat pintu premisnya terbuka.

"Saya dapat tahu kejadian pada kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) dan selepas memeriksa bahagian dalam kedai, saya dapati wang RM5,000 yang disimpan dalam kaunter lesap.

"Peniaga kedai langsir berhampiran juga dimasuki penjenayah dan pemiliknya mengalami kerugian sebanyak RM2,000," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Chong, pada awalnya dia menyangka hanya kedai miliknya sahaja menjadi sasaran, namun terdapat tiga peniaga berhampiran mengalami nasib sama apabila kedai masing-masing di pecah masuk menggunakan kaedah sama.

Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga Bercham, Tan Swee Kong meminta polis menjalankan rondaan cegah jenayah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, kawasan terbabit disifatkan ‘kawasan panas’ oleh penduduk dan sentiasa menjadi sasaran penjenayah memandangkan persekitarannya yang sunyi dan gelap pada sebelah malam.

“Biasanya, penjenayah akan melakukan aktiviti pecah masuk pada lewat malam dan awal pagi memandangkan pada waktu itu penduduk di sekitar sedang nyenyak tidur.

“Justeru, saya berharap polis dapat bekerjasama dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin dengan menjalankan rondaan lebih kerap terutamanya pada waktu malam dan awal pagi,” katanya.
Ibu dakwa anak ditampar guru hingga hampir pekak
SAIFUL BAHARIL BASERI
1 Ogos 2012
Ibu dakwa anak ditampar guru hingga hampir pekak
Syed Hafiz terbaring ketika menerima rawatan susulan di KPJ Taiping Medical Centre.
KAMPAR – Gara-gara memotong rambut mengikut trend terkini seorang pelajar tingkatan tiga didakwa ditampar oleh guru disiplin di sebuah sekolah, di sini.

Ibu pelajar, Norhayati Mansor, 40, berkata, anaknya Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat di bahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada 25 Mei lalu, sehingga menjejaskan pendengaran.

Dia kesal dengan tindakan itu dan mendakwa anaknya dihukum hanya kerana gaya rambut mengikut trend terkini yang disembunyikan di sebalik songkok.

“Sikap guru yang tidak mahu bertanggungjawab di atas perkara yang dilakukannya itu menyebabkan saya sangat kecewa.

“Sudahlah permohonan maaf tidak diberikan setelah memperlakukan anak saya sebegitu, dengan saya juga dia tidak mahu berjumpa,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Norhayati, jika benar anaknya itu melakukan kesalahan tidak perlulah menghukumnya hingga cedera.

“Disebabkan kes itu saya meminta guru berkenaan memohon maaf atau membayar ganti rugi sebanyak RM6,000 sebagai memberi pengajaran kepadanya.

“Tetapi permintaan itu dibalas dengan kata-kata kesat oleh guru terbabit,” katanya. Mengikut cerita Syed Hafiz, pada hari kejadian sekitar jam 9.30 pagi dia berdiri berhampiran meja kantin sebelum ditampar secara tiba-tiba oleh guru disiplin dari arah belakang sehingga menyebabkan gegendang telinganya berdesing.

Laporan Perubatan dari Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Pembedahan Kepala dan Leher, KPJ Taiping Medical Center, Dr Lee Kean Teong mengesahkan menerima pesakit pada 16 Jun 2012 lalu.

Menurutnya, beliau telah memeriksa Syed Hafiz di Klinik Pesakit Luar Telinga Hidung dan Tekak pada 12 Jun lalu dan sekali lagi pada 15 Jun lalu di Taiping Medical Centre.

“Pesakit didapati ada masalah kurang dengar dan sakit di telinga kiri sejak 25 Mei lalu di mana pesakit mendakwa dia telah ditampar dengan kuat oleh seorang guru pada telinga kirinya serta mengemukakan satu laporan polis dari  Balai Polis Changkat Jering.

“Pemeriksaan klinikal pada 12 Jun lalu mendapati masalah kulat (Otomycosis) pada telinga kiri pesakit,” katanya.

Masalah itu turut mendapat perhatian, Pegawai Pelajaran Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Kamal Mansur yang memohon maaf atas segala yang berlaku.

Bagaimanapun katanya, ketika kes itu berlaku, beliau belum bertugas di Pejabat Pelajaran daerah ini dan hanya dipindahkan sekitar Jun lalu.

“Beri saya masa untuk menyiasat ke semua data-data serta laporan kes ini. Saya berjanji akan mengadakan pertemuan antara ibu bapa mangsa dan guru terlibat bagi meyelesaikan kes ini,” katanya.
Mercun dijual berleluasa
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Mercun dijual berleluasa
Peniaga menjual mercun dan bunga api yang dilarang di bazar Ramadan di sini.
KLUANG - Meskipun mengetahui penjualan mercun dan bunga api menjadi satu kesalahan, namun masih ada pihak yang berani melakukannya malah menjualnya secara terang-terangan.
Tinjauan Sinar Harian di salah satu bazar Ramadan di sini mendapati penjualan kedua-dua bahan terlarang itu berleluasa sehingga lima gerai menjualnya tanpa rasa bimbang.
Pengunjung bazar, Ahmad Muhammad, 49, berkata, penjualan mercun dan bunga api di bazar di sekitar Kluang ini dilihat seolah- olah tiada tindakan daripada pihak berwajib kerana penjual menjual bahan berkenaan secara terbuka seperti pisang goreng panas.
Menurutnya, pengunjung turut memberikan sambutan menggalakkan dengan membeli bahan tersebut seperti tidak mempedulikan bahaya bermain mercun seperti yang banyak dipaparkan media.
“Bagaimanapun, sewajarnya pihak yang bertanggungjawab mentadbir kawasan bazar mengadakan pemantauan terhadap penjualan mercun dan bunga api ini agar ianya tidak berleluasa.
“Jangan hanya menunggu aduan daripada orang awam baru mahu bertindak, jika mereka menjual bunga api sahaja tidak mengapa tetapi mereka menjual mercun yang membahayakan,” katanya.
Ahmad berharap pihak yang berkaitan dapat turun padang melihat sendiri aktiviti penjualan mercun di bazar Ramadan yang semakin berleluasa walaupun, mereka amat mengetahui aktiviti tersebut bertentangan dengan undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner  Abdul Majid Mohd Ali berkata, pada masa ini, pihaknya telah menjalankan serbuan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penjualan mercun di kawasan bazar.
Beliau berkata, seandainya peniaga yang ingin menjual mercun dan bunga api mereka perlu mendapatkan permit jualan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu hanya mercun jenis Pop-pop dan Happy Boom sahaja.
“Bagaimanapun, pihak polis akan tetap membuat pemantauan berterusan terhadap aktiviti menjual mercun dan bunga api.
“Malah, bagi mereka yang telah mendapat kebenaran menjual mercun dan bunga api tetapi tetapi melanggar syarat yang ditetapkan akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Majid turut menasihatkan penjual yang telah mendapat permit daripada pihak polis supaya tidak melanggar syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, pelanggan mahupun pembeli juga diingatkan supaya tidak membeli atau memiliki mercun selain daripada yang telah dinyatakan itu.
Kerani bersekongkol dengan suami pecah amanah
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
MUAR - Seorang kerani sebuah kilang perabot di Parit Jamil dekat Parit Jawa, tergamak bersekongkol dengan suaminya memalsukan 52 cek milik syarikat bernilai RM 469,087 bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.
Bagaimanapun, perbuatannya sejak setahun lalu itu terbongkar, selepas pengurus syarikat perabot berkenaan membuat laporan polis berkaitan pecah amanah selepas mendapati akuan kewangan syarikat meragukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, melalui laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan wanita berkenaan berusia 30 tahun di Jalan Temenggung Ahmad, di sini, pada 9 Julai lalu.
Menurutnya, suami wanita itu yang berusia 35 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit sama memalsukan cek berkenaan.
“Wanita ini menggunakan alat khas untuk memadamkan nama dan jumlah wang pada cek yang hendak dibayar kilangnya kepada pembekal sehingga pihak bank sendiri tidak menyedari penipuannya.
“Tetapi sebenarnya, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dan suami tanpa diketahui orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam.
Sahadan berkata, pasangan berkenaan sangat licik dan dipercayai terjebak dalam kegiatan itu sejak awal 2011 serta menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk memalsukan cek syarikat.
Jelasnya, wanita ini berhenti kerja pada hujung tahun lalu dipercayai untuk mengelak daripada kegiatannya terbongkar.
“Pasangan berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes  disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika  sabit kesalahan.
Lelaki mati terjerut
Wartawan Sinar Harian
1 Ogos 2012
Lelaki mati terjerut
Jenazah mangsa dibawa keluar dari rumahnya untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi.
KOTA TINGGI - Seorang lelaki ditemui tidak bernyawa dalam keadaan lehernya terjerut dengan wayar telefon yang digantung pada siling berhampiran pintu masuk bilik tidur di kediamannya di Felda Penggeli Timur di sini, malam kelmarin.

Di f ahamk a n mangsa berusia 31 tahun dijumpai tergantung oleh isterinya yang baru pulang dari membeli juadah untuk berbuka puasa.

Menurut sumber, sebelum kejadian, isteri mangsa keluar rumah bersama anak tunggal mereka yang  berusia empat tahun dengan menaiki motosikal untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Namun dalam perjalanan pulang motosikal yang dinaiki isteri mangsa mengalami kerosakan menyebabkan dia lewat sampai ke rumahnya.

“Sebaik tiba di rumah dia mulai hairan melihat rumahnya dalam keadaan gelap dan paling  memeranjatkan sebaik memasuki rumah dia melihat suaminya sudah tidak bernyawa berhampiran pintu bilik tidur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment