Sunday, July 29, 2012

ADAKAH TAK SELESA DENGAN ORANG LAIN ATAU NEGERI ORANG...ALLAH DAH BERI HIDUP...MAKA BERSYUKURLAH...MASING2 BERHAK HIDUP AMAN...DUNIA NI LUAS...BERTOLAK ANSURLAH DARI KURNIAAN ALLAH SWT INI

Mati sebelum berbuka puasa


TINGGAL KENANGAN... Syaleza bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun.


SUNGAI BULOH – Seorang wanita yang mengurungkan diri kerana merajuk selepas bertengkar dengan suaminya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling di dalam sebuah bilik di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai di sini kelmarin.
Mayat Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar, 31, ditemui oleh suaminya di dalam bilik tersebut ketika beliau memanggilnya untuk bersiap-siap menjelang waktu berbuka puasa pada pukul 7 petang.
Difahamkan, suami mangsa, Norazman Bashah, 30-an, hanya memberitahu mengenai kematian isterinya kepada abang mangsa pada pukul 9.30 malam.
Ketika kejadian, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia dua tahun turut berada di dalam rumah.
Jurucakap polis memberitahu, polis dan pasukan bantuan perubatan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 10.30 malam.
Bagaimanapun, katanya, wanita itu telah disahkan meninggal dunia ketika ditemui.
“Pada mulanya kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, selepas bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh dan kesan jerut pada leher wanita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Buta akibat letupan mercun bola

MOHD. Sohibollah kini berhadapan dengan masa depan suram selepas mata kirinya dikhuatiri buta akibat letupan mercun bola.


ALOR SETAR – Seorang pemuda bersama anak jirannya yang berusia lapan tahun terpaksa dirawat di hospital malam kelmarin selepas sumbu mercun yang dipasang jatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum berlaku letupan kuat di Kampung Kuala Kangkong di sini.
Dalam kejadian pada pukul 7 malam kelmarin, pekerja syarikat percetakan, Mohd. Sohibollah Saad, 27, buta mata kiri akibat letupan tersebut sementara jirannya, Tuah Mohd. Hafiz Mohd. Razli cedera di muka dan beberapa anggota badan.
Kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah Mohd. Sohibollah di Kampung Kuala Kangkong.
Kedua-dua mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berdekatan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan ambulans berikutan kecederaan mereka serius.

Tuah Mohd. Hafiz


Mohd. Sohibollah terpaksa menjalani pembedahan mata kiri dan kini dilaporkan stabil. Bagi Tuah pula, nasib kanak-kanak itu lebih baik apabila dia dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.
Mohd. Sohibollah menceritakan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bola di depan rumahnya selepas membelinya di bazar Ramadan di Tandop di sini.
“Pada mulanya saya bermain seorang diri tetapi anak jiran (Tuah) datang dan minta nyalakan api pada satu mercun bola yang dipegangnya.

WALAUPUN berbahaya, mercun bola tetap digemari kerana bunyi serta kuasa letupan yang kuat. - Gambar hiasan


“Ketika sumbu mercun dicucuh tiba-tiba ada api terpercik dan terjatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum meletup serentak,” katanya semasa ditemui di HSB di sini.
Sebaik letupan berlaku, Mohd. Sohibollah berasa sakit pada mata kiri dan penglihatannya menjadi kabur.
“Saya nampak anak jiran itu tercampak beberapa meter dan pengsan. Saya meminta pertolongan jiran untuk menghantar kami ke klinik,” ujarnya.
Katanya, doktor yang merawatnya sudah membayangkan dia mungkin hilang penglihatan mata kiri.
Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, Mohd. Sohibollah dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mata kiri serta perlu menjalani rawatan lanjut di wad mata HSB.
“Tuah pula cedera pada mata, muka dan paha kanan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” tambah beliau.

Tunang maut, hasrat berkahwin pada hari raya terbantut

SITI MUKARAMAH menujukkan
gambar Abdullah Zawawi.


KOTA BHARU - Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan tidak kesampaian apabila tunangnya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Maktab Perguruan, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Siti Mukaramah Lajim, 19, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini dijadual melangsungkan perkahwinan dengan Abdullah Zawawi Abdullah Fauzi, 25, pada hari raya kedua nanti.
Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu Abdullah Zawawi yang merupakan seorang kerani bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Boling Pasar Raya Billion di sini pada pukul 9.30 pagi.
Siti Mukaramah yang membantu ibu bapanya menjual ikan di Pasar Gok Kapor, dekat sini berkata, kali terakhir dia menemui tunangnya kelmarin di rumahnya bagi menyerahkan borang perkahwinan untuk diproses pihak berkuasa agama.
Katanya, semua persediaan untuk majlis perkahwinan itu telah siap diatur dan kad jemputan telah diedar.
"Apa boleh buat, saya reda dengan pemergiannya," cerita Siti Mukaramah.

Maut usus pecah ditusuk hos angin


KILANG jubin di Seremban tempat Sanjaya mati akibat ditusuk hos angin oleh rakannya kelmarin.


SEREMBAN – Seorang lelaki Nepal yang gagal mengawal emosi ketika bergaduh bertindak kejam dan tidak berhati perut apabila tergamak menusuk hos angin ke dalam dubur rakannya sebelum membuka tekanan udara tinggi hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia kelmarin.
Kejadian pukul 7.10 pagi di sebuah kilang membuat jubin di Jalan Seremban-Jelebu di sini itu menyebabkan Sanjaya Yadav, 25, mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) apabila usus perutnya pecah hingga menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman yang kronik.
Difahamkan sebelum kejadian, Sanjaya dan suspek bertengkar mengenai sesuatu di kilang berkenaan.
Suspek berusia 33 tahun yang gagal mengawal emosi dikatakan terus memukul mangsa juga rakan senegara suspek sehingga lembik sebelum membuka seluar mangsa.
Bagaikan dirasuk, suspek kemudian bertindak kejam dengan mengambil pula hos sebuah pam angin elektrik lalu memasukkan muncung hos tersebut ke dalam dubur mangsa yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana dipukul suspek.
Suspek kemudian membuka tekanan udara tinggi menyebabkan perut lelaki itu kembung.

Cessna terhempas, juruterbang terbunuh


Keadaan pesawat Cessna yang terhempas di ladang kelapa sawit Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi, Pontian semalam.


PONTIAN - Seorang juruterbang Singapura terbunuh selepas pesawat ringan yang diterbangkan terhempas di ladang kelapa sawit, Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang, Samuel Ling Shi Min, 25, yang memandu pesawat Cessna milik Syarikat FRAS Flying Club maut di tempat kejadian.
Difahamkan mangsa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai pada pukul 12.30 tengah hari.
Seorang saksi Mohd. Shafian Buang, 15, berkata, sebelum terhempas, pesawat tersebut kelihatan berpusing beberapa kali di udara sebelum terhempas di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
"Saya mendengar bunyi dentuman kuat. Saya kemudian terus ke ladang kelapa sawit dan melihat mayat seorang lelaki berlumuran darah tersepit di bawah pesawat yang sudah remuk.
"Saya kemudian pulang dan memberitahu saudara saya sebelum menghubungi polis," kata Shafian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lelaki kurang siuman ganggu pelajar


SWEE CHIN (dua dari kiri) dan Wilson Lau (kiri) bersama anak perempuannya menceritakan masalah gangguan lelaki tidak siuman di Jalan Jambu, Jinjang Selatan baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Ibu bapa bagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Abdullah, Jalan Jambu, Jinjang Selatan di sini meminta pihak berkuasa segera membuat siasatan dan memberkas seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai berkeliaran di kawasan sekolah berkenaan sejak dua tahun yang lalu.
Menurut ibu bapa pelajar sekolah berkenaan, lelaki tersebut akan mengekori pelajar perempuan yang berjalan bersendirian hingga ke satu tempat kemudian ditanya sama ada pelajar tersebut mahu menerima wang yang diberikannya.
Jika soalan tersebut tidak diendahkan pelajar berkenaan maka lelaki tersebut akan membuka seluar dan menunjukkan bahagian alat sulitnya.
Seorang ibu kepada pelajar tingkatan empat sekolah tersebut, Moo Swee Chin, 41, berkata, anak perempuannya merupakan salah satu mangsa dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, ia berlaku kira-kira pukul 2 petang pada bulan Mei lalu yang mana anaknya terserempak dengan lelaki berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Anak saya diekori seorang lelaki berumur kira-kira 50-an dengan menunggang sebuah motosikal berwarna hitam dan merah selepas keluar dari kawasan sekolah.
“Ketika itu anak saya sangat takut namun terpaksa meneruskan perjalanan kerana tiada orang lain yang berada di kawasan tersebut, tiba-tiba lelaki terbabit memberhentikan motor lalu bertanya sama ada anak saya mahu menerima duit RM100 yang diajukannya.

Empat maut kemalangan ngeri


BEGINILAH keadaan kereta Proton Wira yang remuk hingga mengakibatkan empat maut dalam kemalangan di Kuantan kelmarin.


KUANTAN – Hasrat lima sekawan untuk pulang ke kampung di Dungun, Terengganu dari ibu negara berkecai apabila empat daripadanya maut manakala seorang lagi kritikal apabila kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri kelmarin.
Kejadian di Kilometer 18, Jalan Pintasan Kuantan di sini pada pukul 11.15 malam itu mengakibatkan seorang remaja lembam, Ahmad Nazrin Hafizi Abd. Latif, 19; sepupunya, Muhd. Taufik Abd. Rahman, 20; serta dua lagi rakan mereka, Mohd. Shahidan Shaari, 26, dan Mohd. Shahafiz Othman, 22, maut.
Kesemua mereka bekerja sendiri.
Kemalangan yang berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dungun itu turut mengakibatkan seorang lagi rakan mereka, Wan Samsiah Wan Ghani, 16, kritikal.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang mangsa naiki merempuh belakang sebuah lori membawa muatan bijih besi yang keluar dari satu simpang.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Honda yang berada di belakang merempuh pula kereta mangsa. Bagaimanapun, pemandu lori dan kereta Honda tersebut tidak cedera.
“Tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala Ahmad Nazrin meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada pukul 6 pagi tadi (semalam) manakala seorang lagi kritikal akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya di sini semalam.

Asmah derita penyakit kulit misteri

PENYAKIT kulit misteri yang ditanggung Asmah membuatkan dia susut berat badan.


KUALA LUMPUR – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah penderitaan ditanggung seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Asmah Mian, 51, ekoran penyakit kulit misteri dialaminya sejak dua tahun lalu.
Penyakit tersebut mula disedarinya di bahagian kiri dahi yang ditumbuhi bintik-bintik seperti jerawat dan ia semakin membesar sehingga kini dia hanya mampu terlantar kesakitan.
Menurut anak keduanya, Nur Haslindawati Rosli, 25, sebelum itu ibunya tidak pernah mengalami sebarang penyakit malah sentiasa aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.
“Mulanya bintik-bintik itu tumbuh biasa sahaja tetapi lama kelamaan ia membesar sebesar duit 50 sen.
“Kemudian, dalam tempoh dua minggu, seluruh tubuh mula timbul bintik-bintik merah seperti penyakit campak. Sejak itu, keadaan mak saya semakin serius,” katanya ketika ditemui di Flat Projek Perumahan Rakyat Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini semalam.
Nur Haslindawati menerangkan, ibunya pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi pihak hopsital menemui jalan buntu kerana doktor turut tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang dialami.
“Doktor pernah ambil sampel kulit emak saya tetapi tiada keputusan diperoleh daripadanya, sejak itu, emak hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan krim,” jelasnya.

Dilarang berkahwin kerana berkulit hitam

WASHINGTON - Satu pasangan Mississippi berasa terkejut kerana seorang pastor di sebuah gereja menyatakan bahawa mereka tidak dapat berkahwin kerana berkulit hitam.
Pastor itu, Stan Weatherford memberitahu, saluran televisyen ABC kelmarin bahawa tiada upacara perkahwinan pasangan berkulit hitam di gereja berkenaan di Crystal Springs, Mississippi sejak ia dibuka pada 1883.
Weatherford yang berkulit putih berkata, beliau menawarkan pasangan tersebut berkahwin di gereja lain yang dikunjungi penduduk berkulit hitam.
Beberapa penduduk terkejut dengan tindakan pastor tersebut. - AFP

Presiden Mesir dikritik kerana pilih Kandil sebagai Perdana Menteri

KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Morsi dikritik sekutunya kelmarin kerana memilih Hesham Kandil sebagai Perdana Menteri.
Menurut perikatan Barisan Nasional, Morsi berjanji untuk memilih seorang ahli politik yang bebas dan nasionalis.
"Adalah mengejutkan, individu itu dinamakan," kata seorang anggota Barisan Nasional, Heba Raouf.
Menurutnya, pemilihan itu tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
Pada Selasa lalu, Morsi mengumumkan pelantikan Kandil yang merupakan bekas Menteri Air Mesir.
Kandil merupakan seorang jurutera yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan berusia dalam lingkungan 40-an.
Kelmarin, beliau menyatakan barisan Kabinet akan diumumkan pada Khamis ini. - AP

Syria tidak akan guna senjata kimia

IMEJ daripada laman YouTube menunjukkan sebuah kereta kebal dinaiki anggota-anggota kumpulan pemberontak di Aleppo semalam.


TEHERAN - Menteri Luar Syria, Walid al-Muallem berkata, negaranya tidak akan menggunakan senjata kimia ke atas para pemberontak.
Beliau juga menyatakan kumpulan pemberontak akan kalah dalam pertempuran yang berlaku di Aleppo, Syria.
Walid berkata demikian pada satu sidang akhbar dengan rakan sejawatannya dari Iran, Ali Akbar Salehi di sini.
"Kami telah berdepan dengan kempen kotor media oleh negara-negara Arab dan Barat sejak beberapa hari lalu.
"Namun, tidak seperti Israel dan pertahanan nuklearnya, kami menentang sebarang kemusnahan besar-besaran dan menghormati peraturan antarabangsa," katanya.
Beliau turut memberitahu pemberita bahawa Iran dan Syria bersetuju bahawa terdapat agenda tersembunyi dalam plot menentang Syria.
Menurutnya, rejim Zionis bertindak sebagai perancang utama dan ketua provokasi plot tersebut.
"Syria bertekad untuk memerangi plot itu dan mengalahkan pihak penghasut dan tentera pengganas termasuk di Aleppo," katanya.

GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan sebuah rumah musnah di Maarat, al-Numaan di wilayah Idlib, Syria.


Beliau berkata, sebahagian pemberontak yang ditangkap merupakan anggota Al-Qaeda.
"Sebahagian mereka masuk ke dalam negara Syria menerusi Turki, terdapat juga kumpulan penduduk Libya dan Tunisia datang dari Mesir dan sebahagian penduduk Iraq dari Al-Qaeda," jelasnya.
Menteri itu turut memberi amaran Qatar, Arab Saudi dan Turki supaya tidak mengikuti langkah Israel.
Sementara itu, tentera Presiden Bashar Al-Assad melancarkan siri pengeboman di kawasan perumahan di bandar Aleppo bagi menguasai bandar kedua terbesar di negara tersebut, kata beberapa aktivis.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Majlis Kebangsaan Syria yang merupakan kumpulan pemberontak meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan situasi di Aleppo.
Jordan semalam membuka kem pelarian pertama untuk penduduk Syria.
Kem itu terletak di Mafraq di sempadan Syria yang boleh menempatkan 120,000 pelarian.
Lebih 12,000 pelarian Syria dilaporkan mendapatkan perlindungan di Algeria.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu menyebabkan lebih 19,000 orang telah terbunuh.
Kumpulan pemberontak menuntut supaya Bashar meletakkan jawatan - Agensi

Banyak kerusi kosong di Sukan Olimpik


SEORANG lelaki duduk di sebuah kawasan yang tiada penonton pada permulaan pertandingan berenang di Pusat Akuatik, London kelmarin.



KERUSI penonton kosong pada perlawanan tenis wanita antara Caroline Wozniacki dari Denmark dengan Anne Keothavong dari Britain di London kelmarin.


LONDON - Penganjur Sukan Olimpik London melakukan siasatan selepas banyak kerusi penonton didapati kosong semasa beberapa pertandingan sukan berlangsung kelmarin.
Setiausaha Kebudayaan Britain, Jeremy Hunt menyatakan beliau berasa amat kecewa dengan sejumlah kerusi kosong tanpa penonton pada hari pertama sukan itu.
Menurutnya, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik London akan melakukan siasatan itu bagi mencari punca yang menyebabkan ketiadaan penonton yang ramai.
Imej-imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan sejumlah besar kerusi di beberapa lokasi pertandingan tidak diduduki penonton.
Menteri Sukan Britain, Hugh Robertson berkata, beliau terkejut kerana penonton tidak memenuhi tempat duduk.
Kira-kira suku daripada 928,000 tiket gagal dijual pada Mei lalu termasuk untuk pertandingan bola tampar pantai dan tinju.
Namun, pada awal Jun lalu, sebanyak tujuh juta daripada 8.8 juta tiket telah dijual.
Sukan Olimpik London dibuka secara rasmi pada Jumaat lalu. - Reuters

Buat senjata di tepi sawah padi


SEORANG pekerja memeriksa selaras senjata api di kilang Shooters Arms Manufacturing di bandar Cebu pada 7 Julai lalu.


BANDAR MANDAUE - Permintaan senjata api semakin meningkat ekoran pilihan raya pertengahan penggal akan berlangsung pada 2013 di Filipina.
Seorang pembuat senjata di bandar Danao yang hanya mahu dikenali sebagai Remo, 33, berkata, dia sukar untuk memenuhi permintaan pelanggan yang remai menempah senjata api.
"Kami mempunyai kesukaran untuk memenuhi tempahan kerana pada kebiasaannya masa selama dua minggu diperlukan untuk menyiapkan sepucuk pistol .45 calibre walaupun jika saya bekerja 16 jam sehari," katanya.
Bunyi muzik yang kuat bergema di bengkel Remo yang terletak di pinggir anak sungai yang kering, tersembunyi daripada pandangan mata disebabkan rimbunan pokok buluh.

BEBERAPA orang bekerja di sebuah kilang senjata haram di Danao pada 8 Julai lalu.


Ketika ini, semua pengawal peribadi di Filipina membawa senjata api sama ada pistol atau senapang patah.
Senjata api merupakan fenomena biasa yang boleh dilihat di pasar raya, pejabat pemerintah, bank, restoran dan sekolah.
Senjata api haram di negara ini hanya dibawa oleh anggota-anggota kumpulan penjenayah, kumpulan pemisah Islam dan komunis.
Ia turut dibawa oleh ahli politik yang mempunyai askar-askar peribadi.

SELARAS senjata api diuji di sebuah kilang haram di Danao pada 8 Julai lalu.


Seorang bekas pemilik kilang senjata haram, Elmer Genzon, kini bekerja di kilang pembuat senjata yang telah didaftarkan, Shooters Arms Manufacturing, 25 kilometer dari sini.
"Kami tidak lagi bimbang tentang serbuan polis dan kami mempunyai pendapatan yang stabil, ditambah sedikit kekayaan dan manfaat sosial," katanya yang berusia 33 tahun.
Senjata-senjata itu ada yang dieksport ke Amerika Syarikat, Australia, Itali dan Thailand.
Pemilik sebuah kilang itu, Romulo de Leon III merupakan generasi kedua penjual senjata api.
Kilangnya kini mengeluarkan kira-kira 20,000 senjata api setahun.
Dia mahu mengembangkan perniagaannya ke Eropah Timur dan Amerika Selatan. - Reuters

Guna wang derma untuk tiba di London


GUANMING mengayuh beca roda tiganya di Chinatown, London kelmarin.


LONDON - Seorang petani dari wilayah Jiangsu, China, Chen Guanming menggunakan wang derma bagi membiayai kayuhannya selama dua tahun ke London untuk menyaksikan Sukan Olimpik.
Guanming, 57, berkata, rakan-rakan dan orang ramai yang bersimpati dengannya terutama komuniti Cina telah menderma wang kepadanya untuk membiayai perjalanan tersebut.
Dia tiba di London dengan menaiki feri dari Perancis pada 6 Julai lalu.
Guanming memulakan perjalanannya sejauh 60,000 kilometer itu pada April 2010 dari kampungnya di wilayah Jiangsu.
Sebanyak 16 buah negara telah dilaluinya sepanjang perjalanannya itu.
Guanming berkata, dia tidak pernah ke luar negara sebelum memulakan perjalanan ke London.
"Saya datang untuk memberi sokongan kepada peserta dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan sukan," katanya.
Guanming juga sempat mencari tiket untuk menyaksikan majlis pembukaan sukan tersebut.
Beca roda tiga miliknya dipenuhi dengan barang-barangnya.
Terdapat gambar yang menunjukkan dia berada di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan Menara Eiffel di Paris.
Guanming menyatakan dia teruja untuk datang ke sini selepas majlis penutup Sukan Olimpik di Beijing, China pada 2008.
Pengalaman paling buruknya ialah semasa mengembara ketika banjir melanda Thailand.
Menurutnya, dia juga terperangkap dengan cuaca sejuk di Turki.
Seorang broker Britain, John Beeston yang boleh bercakap bahasa Mandarin berkata, dia menemui Guanming yang sesat di bandar raya ini pada 9 Julai lalu.
Dia juga berusaha menbantu Guanming untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan majlis perasmian sukan tersebut.
Antara negara yang pernah dilaluinya dengan beca tersebut ialah Vietnam, Pakistan dan Itali.
"Saya berasa gembira kerana dapat datang ke London," katanya.
Dalam tempoh sebulan atau dua lagi, dia merancang untuk menaiki kapal ke Amerika Syarikat, Kanada dan Brazil. - Agensi

Pengasas Abu Sayyaf ditangkap

MANILA - Pihak berkuasa Filipina menangkap seorang pengasas kumpulan Abu Sayyaf, kata beberapa pegawai semalam.
Pengasas kumpulan itu, Ahmadsali Asmad Badron yang turut dikenali sebagai Ammad atau Hamad Ustaz Idris ditangkap kelmarin di Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.
Ketua Penyiasatan Jenayah Wilayah, Edgar Danao berkata, Badron merupakan antara pengasas kumpulan tersebut yang bersekutu dengan Al-Qaeda.
Kumpulan itu ditubuhkan pada 1990-an dengan menggunakan wang dari Ketua Al-Qaeda ketika itu, Osama bin Laden. Pengasas lain ialah Galib Andang juga dikenali sebagai Komander Robot.
Galib pernah melakukan serbuan bersama para pengikutnya di sebuah resort di Malaysia pada April 2000 dan menculik sejumlah pelancong asing.
Penculikan itu telah mempopularkan kumpulan tersebut sehingga para pegawai Libya menjadi orang tengah dalam rundingan untuk membebaskan tebusan melibatkan pembayaran wang.
"Badron merupakan antara anggota (Abu Sayyaf) yang paling dipercayai dan telah memperoleh berjuta-juta peso wang tebusan hasil operasi mereka," kata Danao.
Semasa dalam pelarian, Badron didakwa membantu para militan dari kumpulan lain, Jemaah Islamiah.
Badron ditangkap semasa askar-askar pemerintah memburu satu unit lain Abu Sayyaf di Pulau Basilan.
Kumpulan Abu Sayyaf terkenal dengan aktiviti penculikan dan serangan ganas. - AFP

Israel nafi AS beri taklimat serang Iran

BAITULMUQADDIS - Seorang pegawai Israel semalam menafikan laporan sebuah akhbar bahawa penasihat keselamatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tentang pelan kecemasan untuk menyerang Iran.
Menurut akhbar Haaretz, serangan itu akan dilakukan jika usaha-usaha diplomatik gagal untuk memujuk Iran menamatkan program nuklearnya.
Akhbar tersebut menyatakan, penasihat tersebut, Thomas Donilon telah membincangkan pelan itu semasa makan malam dengan Netanyahu pada awal bulan ini.
AS bimbang program nuklear Iran akan digunakan untuk menghasilkan senjata. - Agensi

No comments:

Post a Comment