Saturday, August 4, 2012

JODOH PERTEMUAN KETENTUAN ALLAH...DILERAI@PISAHKAN.. MACAM MANA PUN...DAH JODOH MAKA KAWIN JUGA MEREKA

Ibu pesan usah berebut harta

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

SIASAT...anggota polis forensik menyiasat ruang tamu yang hangus dalam kebakaran, semalam.
SIASAT...anggota polis forensik menyiasat ruang tamu yang hangus dalam kebakaran, semalam.
SEREMBAN: “Ibu telefon ketika saya bersiap untuk bersahur, tetapi saya tak sempat nak jawab. Saya hubungi semula ibu berkali-kali, tapi gagal dan cukup sedih apabila mendapat tahu ibu dan ayah sudah tiada.”
Demikian kata Ruzilawati Zahari, 38, anak kepada pasangan Zahari Hasan, 77, dan Mariam Abd Latif, 67, yang mati rentung selepas rumah mereka di Felda Pasoh 1, Jelebu, dekat sini, terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, pasangan peneroka itu ditemui rentung dalam jarak kira-kira lima meter antara satu sama lain dengan Mariam ditemui di ruang tengah rumah dihempap kipas siling, manakala mayat Zahari ditemui berhampiran pintu keluar.

Ruzilawati yang ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata, tidak lama kemudian, dia dihubungi jiran ibu bapanya yang meminta dia pulang segera ke kampung dengan alasan ibunya sakit.


“Saya keluar dari rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur selepas sahur untuk pulang ke kampung. Bagaimanapun, dalam perjalanan saya mendapat panggilan telefon dari kakak di Kajang yang memberitahu perkara sebenar bahawa ayah dan ibu meninggal dunia akibat rumah terbakar,” katanya.


Tahanan cuba lolos ditembak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

TUMPAS...anggota polis membawa mayat suspek ke Hospital Kuala Lumpur, semalam.
TUMPAS...anggota polis membawa mayat suspek ke Hospital Kuala Lumpur, semalam.
GOMBAK: Penjenayah yang melarikan diri ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang untuk lanjutan reman, mencuri parang kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di Puncak Templer, dekat sini, dan menggunakan senjata itu untuk melibas polis yang memburunya sebelum dia maut ditembak polis, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 26 tahun berkenaan yang ditahan kerana terbabit kes samun di Rawang dan Kepong, maut akibat terkena tiga das tembakan di perutnya ketika dia bersembunyi di kawasan loji air Puncak Templer selepas meloloskan diri dari mahkamah.
Ketika bersembunyi di kawasan terbabit, suspek turut menukar pakaiannya dengan pakaian kontraktor Syabas selepas menceroboh masuk stor serta melarikan parang bersamanya ke dalam hutan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes lima lelaki yang menaiki kereta Proton Waja cuba menyamun di pekan Rawang, Sabtu lalu, yang diberkas di persimpangan lampu isyarat Taman SPPK, Segambut.


Menurutnya, susulan penahanan lima lelaki itu, polis menahan empat lagi rakan mereka pada hari sama, termasuk suspek yang ditembak mati.

Azimat kebal lima jam

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

BUKTI...Ab Rashid menunjukkan minyak pukau dan jadual digunakan Geng Kerinchi.
BUKTI...Ab Rashid menunjukkan minyak pukau dan jadual digunakan Geng Kerinchi.
KAJANG: Sekumpulan lima penjenayah warga Indonesia Geng Kerinchi yang dipercayai mengamalkan sihir termasuk memakai azimat dan mempunyai minyak pukau untuk menyamun, akhirnya tumpas ditahan polis lima jam selepas mereka merompak sebuah rumah di Kajang, minggu lalu.
Kumpulan penjenayah itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kes samun sekitar Kajang membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, dua daripada suspek berasal dari Danau Kerinci, Jambi dan dua lagi dari Lombok dan seorang dari Batam, Indonesia.

“Antara modus operandi mereka ialah menggunakan sihir dan pukau sebelum memecah masuk rumah mangsa. Mereka juga menggunakan tong gas di dalam rumah untuk memecahkan pintu bilik sebelum menggugut mangsa dengan pedang panjang.


“Siasatan mendapati suspek yang berusia antara 22 dan 32 tahun mempunyai dokumen perjalanan sah serta baru dua minggu masuk ke negara ini sebelum ditangkap.

800 etnik Rohingya hampa gagal serah memo



PROTES...masyarakat Rohingya berkumpul di depan Kedutaan Myanmar untuk membantah penghapusan etnik di Arakan, semalam.
PROTES...masyarakat Rohingya berkumpul di depan Kedutaan Myanmar untuk membantah penghapusan etnik di Arakan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seramai 800 etnik Rohingya serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pulang hampa selepas gagal menyerahkan memorandum membantah penghapusan etnik di Arakan, Myanmar, ketika mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Myanmar di sini, semalam.
Peserta demonstrasi mula membanjiri pekarangan kedutaan jam 2.30 petang namun hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila dimaklumkan pengawal keselamatan tiada wakil kedutaan layak menerimanya.

Presiden Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmead berkata, dia mewakili seluruh etnik Rohingya bersama wakil NGO menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera menghulurkan bantuan makanan, minuman serta ubat-ubatan membantu etnik yang terperangkap di sana.
“Etnik di sana tidak boleh ke mana-mana dan terperangkap di sana (Arakan). Jika keluar, mereka akan dibunuh.

“PBB perlu tampil menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya yang ditindas,” katanya.

Menurutnya, dia membantah kenyataan Presiden Myanmar, Thein Sein yang mengatakan etnik Rohingya bukan rakyat negara itu.

“Dia (Thein Sein) perlu belajar semula sejarah yang etnik Rohingya sudah menetap di negara itu sejak sebelum kedatangan British dan Jepun,” katanya yang mengharapkan bantuan PBB dan negara Asean supaya menggesa kenyataan menimbulkan masalah perkauman itu ditarik balik.

Sanggup mengemis daripada mengurut

KUALA LUMPUR: Kehadiran pengemis di sekitar ibu kota masih menjadi isu perlu ditangani semua pihak, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melakukan operasi termasuk Kempen Membanteras Pengemisan sejak enam bulan lalu.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Masjid India, Masjid Jamek dan Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam mendapati masih ada pengemis di kawasan itu menjalankan kegiatan mereka tanpa berasa takut ditangkap.

Seorang lelaki cacat penglihatan dikenali sebagai Ahmad berkata, dia sanggup mengemis walaupun mampu bekerja sebagai tukang urut atas alasan jumlah sumbangan orang ramai diterima begitu lumayan.
“Sejak Ramadan, jumlah sumbangan diterima agak banyak sehingga boleh mencecah RM50 sehari. Berbanding hari biasa, ia berkurangan tetapi mungkin Ramadan, orang ramai mudah bersedekah,” katanya ketika ditemui berdekatan stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, semalam.

Katanya, dia yang berasal dari Pahang turut melakukan kerja mengurut. Namun, tidak malu untuk mengemis dengan taktik memberikan tisu pada orang ramai yang menderma.

Tinjauan mendapati ketika orang ramai mengerjakan solat Jumaat semalam, kelihatan seorang wanita bersama dua anaknya berada di pekarangan luar masjid Jamek.

Wanita itu yang hanya berdiam diri ketika ingin ditemubual mengambil kesempatan duduk di pintu masuk masjid itu untuk meraih simpati orang ramai dan tidak segan walaupun dua anaknya turut meminta sedekah.

Di kawasan Jalan Masjid India, pengemis yang juga orang cacat penglihatan turut duduk di tengah kesibukan orang ramai yang berjalan membeli keperluan untuk Aidilfitri manakala turut kelihatan pengemis berdiri di sebalik tiang di hadapan premis perniagaan.
Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Noormah Abdul Rauf berkata, aktiviti pengemis di kawasan itu masih berlaku walaupun pelbagai operasi diadakan JKM untuk menahan golongan ini.

“Perkara membabitkan pengemis ini tidak akan berkesudahan, walaupun kami berharap jumlah pengemis berkurangan. Namun, operasi JKM tetap dijalankan dari semasa ke semasa untuk membanteras,” katanya.

Dibatal berikutan amaran



SEREMBAN: Penganjuran parti kolam yang boleh dianggap lucah di sebuah kelab golf di Rasah Kemayan, malam ini dibatalkan berikutan amaran dikeluarkan beberapa pihak berkuasa kepada penganjur dan pemilik kelab itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya sudah memanggil pemilik tempat yang menjadi lokasi penganjuran parti itu dan memberi amaran supaya acara itu tidak diteruskan.

“Penganjur sudah dipanggil dan mereka ditegah supaya tidak meneruskan parti itu. Kami menasihati supaya tak dilaksanakan (parti kolam) dan setakat ini dalam perjumpaan itu mereka akur untuk membatalkannya.
“Polis akan membuat pemantauan. Apa yang menjadi masalah besar dalam hal ini ialah mereka (penganjur) menjemput orang awam dan bukan parti untuk ahli kelab saja,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian PenguatkuasaanJabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) Ahmad Husaini Mustafa pula berkata, pihaknya akan mengikuti perkembangan isu secara dekat dan bertindak mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1992 Pindaan 2003 terhadap umat Islam yang berkelakuan luar batasan jika parti itu dilangsungkan.

“Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian seksi dan mengambil minuman keras pasti dikenakan tindakan.

“Kami akan memantau perkembangan ini kerana tidak mempunyai kuasa untuk menghalang penganjurannya. Kuasa menghalang terletak pada polis,” katanya. Menurutnya, individu Islam tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita bakal berhadapan hukuman denda atau penjara, jika didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang syariah ditetapkan.

“Jika ditangkap dan disabit kesalahan kerana mengambil minuman keras, pesalah itu boleh didenda hingga RM3,000 atau dua tahun penjara, manakala jika berpakaian tidak senonoh, hukumannya pula RM1,000 atau penjara,’’ katanya.

Sedekah Yasin untuk umi, ayah

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Meskipun terkilan kerana tidak sempat memperdengarkan bacaan Yasin kepada umi (ibu), namun hati saya bangga setiap kali membaca surah itu sebagai sedekah untuk arwah ibu dan ayah,” kata Shafiq Syarifuddin Khairul Azhar, 8, yang kini bergelar yatim piatu selepas ibu bapanya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 48.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, 11 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lori dipandu bapanya, Khairul Azhar Mohamed, 31, yang turut dinaiki ibu, Masitah Omar Zokry, 26, merempuh belakang sebuah treler membawa kayu menyebabkan kedua-dua mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Katanya, sebelum kejadian malang itu, dia ada menyatakan hasrat kepada ibu untuk memperdengarkan surah Yasin yang baru dikuasainya, namun tidak berkesempatan kerana kedua-dua orang tuanya tergesa-gesa bertolak ke Klang, Selangor menghantar petai.

“Saya sedih kerana ketika umi dan ayah hendak bertolak menghantar petai di Selangor, saya tidak sempat memperdengarkan bacaan Yasin kepada mereka berikutan tergesa-gesa bertolak.


“Saya ingat lagi pesan arwah umi supaya menghafal Yasin kerana ia surah penting perlu dikuasai semua umat Islam.

Dibelasah geng along

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

IPOH: “Saya diseksa dan dihentam bertalu-talu menggunakan rotan dan pengunci stereng kereta menyebabkan seluruh badan luka dan pergelangan tangan kiri patah,” kata seorang penanam sayur, dikenali sebagai Cheng, 48, yang menjadi mangsa dera kumpulan ceti haram (along).
Dalam kejadian jam 9.45 malam kelmarin, kumpulan samseng along itu muncul di hadapan rumah mangsa di Taman Pasir Puteh, sebelum memaksa anak saudara mangsa menghubungi Cheng menerusi telefon bagi memaklumkan kehadiran mereka untuk mengutip hutang.

Lebih memburukkan keadaan apabila samseng berkenaan mengugut akan mencederakan dua anak saudara lelaki dan seorang remaja perempuan yang berada di rumahnya jika mangsa enggan muncul untuk menyelesaikan tunggakan hutang.
“Saya tidak sanggup melihat anak saudara saya menjadi mangsa kumpulan along berkenaan dan bergegas pulang. Sebaik tiba di rumah, kumpulan ceti haram itu terus menangkap saya sebelum membelasah saya.

“Saya diheret masuk ke dalam rumah sebelum dipukul lagi menggunakan rotan dan pengunci besi kereta. Biarpun merayu belas kasihan, kumpulan lima along itu tetap memukul saya lebih 10 minit,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia meraung kesakitan apabila batang besi pengunci kereta itu dipukul sekuat hati ke arah pergelangan tangan kirinya.

“Saya hanya mampu menjerit sebelum jatuh pengsan. Saya tidak sedar apa yang berlaku dan hanya bangkit dari pengsan di katil wad hospital pagi ini.

“Ketika kejadian, anak saudara dan jiran yang berada di lokasi tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketakutan.
“Mereka hanya menghantar saya ke hospital dan membuat laporan polis,” katanya.

Angkara jiran

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

AMPANG: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengelar leher seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika cuba merogol mangsa ketika memecah masuk sebuah rumah di Pangsapuri Kos Rendah, Pandan Perdana, bulan lalu, berjaya ditahan polis, kelmarin.
Lelaki tempatan itu mahu menyamun rumah berkenaan tetapi mengambil kesempatan cuba merogol anak pemilik rumah berkenaan pada 4 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, Hasrin Abdullah dan isteri sedang tidur apabila dikejutkan oleh jeritan anak perempuan berusia 17 tahun. Mereka bergegas ke bilik anaknya itu dan mendapati leher mangsa berlumuran darah akibat dikelar perompak menggunakan pisau pemotong buah.
Kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan trauma sehingga memaksa mereka tidur dalam kereta.

Bagaimanapun, hasil risikan dan intipan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di perumahan yang sama, tetapi di blok berlainan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata lelaki tempatan yang ditahan pada jam 12.45 tengah malam kelmarin itu mengaku terbabit dalam kes samun pada 4 Julai lalu.

“Pemeriksaan dalam rumah suspek menemui telefon bimbit, dompet dan barang lain dipercayai milik mangsa yang disamunnya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pandan Indah di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan kegiatan jenayah dilakukannya.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek positif syabu dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes pukul mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sedang menyiasat sama ada suspek melakukan jenayah samun secara bersendirian atau berkumpulan,” katanya.

Berikutan penahanan lelaki itu, Amiruddin berkata, kes pecah masuk dan cubaan merogol itu dianggap selesai. Dalam perkembangan lain, itu, Amiruddin menafikan jenayah di Pandan Jaya meningkat kebelakangan ini seperti dakwaan penduduk yang tersiar di sebuah akhbar.

Beliau berkata, indeks jenayah bagi jenayah kekerasan, harta benda dan jalanan menunjukkan penurunan bukan saja di Pandan Jaya, malah di seluruh daerah Ampang Jaya.

Nik Aziz sambut baik jika benar Abby nikah



KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengelak untuk menyentuh sebarang perkara peribadi membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang didakwa bernikah dengan Abby Abadi.
Beliau bagaimanapun menyambut baik berita itu jika ia benar berlaku sambil menjelaskan ia lumrah manusia.

“Ikut dia (Adun Pas itu berkahwin), itu semua berkaitan isu peribadi orang berkenaan. Dah dia nak (mahu),” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan bagi mengulas laporan blog yang mendakwa Adun Kelaboran dari Pas, Mohd Zaki Ibrahim sudah bernikah dengan Abby.

Norman Hakim Sebak Lihat Memey & Abby Berpelukan

Posted on the August 3rd, 2012 under Artis by admin

  • Share

PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.
Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.
“Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.


“Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.
“Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit ‘yeay! Mummy dan mama dah baik!”. Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini,” ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.
Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.
“Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ‘ ini rahsia perempuan’.
“Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit,” tuturnya.
Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.
“Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.
“Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama,” tuturnya.
Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.
“Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.
“Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan,” katanya.
Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.
Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
mStar

Memey Jawab Isu Sudah Berbaik Dengan Abby

Posted on the August 4th, 2012 under Artis by admin

  • Share

“Alhamdulillah, kami bersyukur sangat-sangat kerana ini yang kami impikan selama ini. Berkat bulan yang mulia ini, akhirnya mimpi kami menjadi kenyataan,” ujar pelakon Memey mengulas mengenai status terkini hubungannya dengan Abby Abadi yang dikatakan sudah kembali jernih.
Tiga hari lepas, Abby menerusi Twitter miliknya berkongsi dua keping gambar di mana menunjukkan mereka seolah-olah sudah berbaik. Bagi mendapatkan pengesahan berita baik ini, GUA telah menghubungi Memey dan isteri kepada Norman Hakim ini mengesahkan sendiri mengenai perkara tersebut.
“Kami tak pernah putus-putus mendoakan agar Tuhan menyatukan kami dan Alhamdulillah, ini semua berkat doa dari semua. Yang paling gembira mengenai perkara ini tentulah anak-anak dan bagi saya, inilah yang terbaik demi masa depan mereka. Kegembiraan juga jelas terpancar di wajah mereka apabila melihat mama dan mummy mereka berbaik.”


Menceritakan lebih lanjut mengenai bagaimana hubungan baik mereka terjalin, Memey memberitahu, “Semuanya berlaku ketika bulan Ramadhan. Kami betul-betul dapat petunjuk baik ini ketika minggu lepas masa Memey nak ambil anak-anak di rumah kak Abby di Shah Alam. Masa itu kak Abby terus peluk Memey selepas kami bersalam.
“Selepas itu, masing-masing faham itu satu petunjuk yang positif. Mengenai dua gambar itu, semua ini tak dirancang. Abang Norman jemput Kak Abby untuk berbuka puasa bersama kami kelmarin. Ini kali pertama kami buka puasa bersama dan waktu itu, ibu Kak Abby pun ada bersama. Selepas berbuka, kami mengerjakan solat Maghrib bersama di mana abang Norman yang mengimamkan solat tersebut.”
Menyentuh mengenai persiapan bulan Ramadhan serta Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, Memey yang kini hamil 3 bulan memberitahu, “Sekarang ini saya telah alami alahan yang teruk, jadi Ramadhan kali ini saya tidak dapat berpuasa sepenuhnya dalam keadaan macam ini.
Sebelum ini saya gila makan ayam, tapi kali ini, hanya ayam Nando’s saja yang boleh saya makan kerana yang lain saya dah tak boleh masuk. Saya juga suka makan makanan Barat sekarang.
“Mengenai Aidilfitri pula, kami akan pulang beraya ke rumah keluarga mertua di Kuantan terlebih dahulu. Selepas itu kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur untuk sambut raya bersama-sama dengan kak Abby sebelum kami berangkat ke Johor untuk beraya selama dua hari di sana.”
Gua

No comments:

Post a Comment