Thursday, August 2, 2012

APA YANG KITA SAYANG DAN BERHARGA SEKALI PUN AKAN KITA TINGGAL...YANG DIBAWA AMAL...JIKA BAIK SYURGA LAH...JIKA BAWA AMALAN JAHAT NERAKA LAH....MAKA FIKIR2KAN SELAGI HIDUP...DAH MATI TAK DAPAT NAK TOLONG.....

Menyamar jadi pengemis Muslim


DUA pengemis berketurunan Cina menutup muka ketika ditahan penguat kuasa di Bazar Ramadan, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor kelmarin.


SHAH ALAM – Taktik licik dua beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim bagi menagih simpati pengunjung sebuah Bazar Ramadan di sini terbongkar dengan penahanan mereka kelmarin.
Kedua-dua wanita berusia 65 dan 63 tahun itu ditahan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor ketika mereka mengemis di Bazar Ramadan Seksyen 13 di sini dengan memakai jubah dan bertudung labuh.
Siasatan awal JKM mendapati kedua-dua beradik berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu mula mengemis sejak awal Ramadan.
Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.
Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Abd. Rahman berkata, kedua-dua wanita itu turut menipu kerana mereka merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 seorang setiap bulan.
Beliau berkata, mereka ditahan selepas menukar seluar dan baju biasa yang mereka pakai dengan jubah dan tudung labuh yang mereka bawa di sebuah tandas berdekatan.
“Ketika ditahan, mereka cuba memberi alasan menggunakan hasil jualan tisu berharga RM1 sepeket kepada orang ramai untuk menyara anak mereka yang sedang terlantar sakit.
“Malangnya, apabila pihak kami menyuruh mereka mengucap dua kalimah syahadat bagi membuktikan mereka orang Islam, kedua-duanya tidak tahu.
“Yang sebenarnya, pengunjung Bazar Ramadan tidak beli pun tisu mereka sebaliknya terus beri duit kepada kedua-dua pengemis itu,” katanya.

Kereta terbakar: 2 lelaki hilang, wanita diberkas


Keadaan kereta Proton Waja yang hangus selepas melanggar tiang elektrik di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Polis menahan seorang wanita manakala dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah berjaya meloloskan diri selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum terbakar ketika mengelak daripada diperiksa polis di Jalan Pasir Mas-Salor di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian pada pukul 2 pagi, sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, polis cuba menahan kereta itu untuk diperiksa namun pemandu kereta tersebut memecut laju menghala ke Pasir Mas.
“Bagaimanapun, polis berjaya memintas kereta tersebut di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas.
“Ketika polis memperkenalkan diri, pemandu kereta tersebut terus dipecut laju dan hampir melanggar anggota polis tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Penjaga gol kebangsaan tidak hadir tuduhan khalwat




PETALING JAYA – Penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias (gambar) yang sepatutnya dituduh di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas kesalahan berkhalwat dengan isteri orang tidak muncul di mahkamah semalam kerana kurang sihat.
Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berkata, penjamin Mohd. Farizal, 26, iaitu Khairul Izwan Mohamed Jamaluddin hadir untuk menyerahkan salinan sijil sakit kepada mahkamah sejurus prosiding berakhir.
Terdahulu, semasa kes khalwat Mohd. Farizal yang masih bujang disebut di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, tertuduh yang juga penjaga gol utama skuad bola sepak Negeri Sembilan tidak kelihatan begitu juga dengan pasangannya, Zaiton Othman, 29.

GRO terkedu kelab malam diserbu


SEBAHAGIAN daripada GRO yang ditahan di sebuah kelab malam di Bandar Hilir malam kelmarin.


MELAKA – Keghairahan 35 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing membelai pelanggan masing-masing tersentak apabila kelab malam di Bandar Hilir di sini diserbu Imigresen.
Dalam serbuan pada pukul 11 malam kelmarin, macam-macam gelagat GRO yang cuba mengelakkan diri daripada ditangkap.
Ada antara gadis-gadis yang berpakaian menjolok mata itu menyorok secara berasak-asak di belakang sofa atau sinki bilik air.
Lebih melucukan ada beberapa orang GRO itu cuba berlagak bagai wanita tempatan dengan bersikap selamba.

Rumah Aznil digeledah perompak

KUALA LUMPUR - Rumah yang didiami pengacara televisyen popular Aznil Nawawi di Taman Yarl di sini dipecah masuk penjenayah malam kelmarin menyebabkan selebriti itu kerugian kira-kira RM40,000.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 malam ketika ibunya dan dua orang amah berada di dalam rumah tersebut.
Bagaimanapun, semasa kejadian Aznil tiada di situ.
Menurut sumber, penjenayah itu melarikan sejumlah barang-barang kemas berupa cincin, gelang emas, anting-anting dan rantai kaki.
Turut hilang ialah komputer riba dan beberapa helai pakaian.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari sesiapa.
Penjenayah terbabit dipercayai memasuki rumah tersebut dengan cara mengumpil besi jeriji tingkap.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan kejadian tersebut dengan memberitahu rumah milik adik Aznil itu turut didiami selebriti tersebut bersama ibu dan adiknya.

Daging bangkai ikan paus dipotong


JENGKAUT digunakan untuk mengangkut daging ikan paus itu semalam.


SYDNEY - Anggota-anggota agensi Hidupan Liar dan Taman Negara Australia semalam menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan daging seekor ikan paus yang ditemui di dalam sebuah kolam buatan manusia di sini.
Ikan paus humpback itu yang seberat 20 tan dan sepanjang 13 meter terdampar di dalam kolam tersebut selepas dihanyutkan ombak kuat kelmarin.
Anggota-anggota agensi itu yang memakai pakaian perlindungan kuman menggunakan gergaji rantai untuk memotong daging ikan tersebut.
Bangkai ikan tersebut itu turut disembur dengan bahan pembasmi kuman.
Daging ikan tersebut akan ditanam di sebuah tapak pelupusan. - Agensi

Ikan yu paus terdampar di pantai Jawa


DUA penduduk memeriksa ikan yu paus yang mati di pantai Pandan Simo Baru.


BANTUL, Indonesia - Seekor ikan yu paus yang terdampar kelmarin di pantai Pandan Simo Baru, Yogyakarta akhirnya mati, lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Ikan sepanjang 13 meter itu mati selepas satu pasukan penyelamat yang terdiri daripada nelayan tempatan gagal untuk menariknya ke laut.
Pada minggu lalu, seekor ikan paus sperma turut terdampar di laluan cetek di pantai Pakis Jaya, Karawang, Jawa Barat.
Namun, ikan sepanjang 11 meter itu juga mati selepas sehari ia ditarik dengan beberapa buah bot ke kawasan laut dalam.
"Ia masih hidup semasa kami menemuinya pada pukul 6 petang kelmarin," kata seorang nelayan, Gambos.
Menurut seorang anggota penyelamat, ikan tersebut mati kerana kelemasan selepas ia cuba untuk kembali ke laut.
Dia berkata, anggota-anggota pasukan penyelamat cuba untuk memindahkan ikan tersebut kembali ke laut dengan menggunakan sebuah bot.
Namun, katanya, bot tersebut terlalu kecil untuk menarik ikan seberat empat tan itu.
"Selain saiz yang besar, ikan itu masih muda. Panjangnya mungkin mencecah 20 meter (dalam tempoh beberapa tahun)," katanya.
Menurut Bandis yang merupakan seorang penyelaras pertubuhan Rakan-Rakan Haiwan Yogyakarta, ikan tersebut mendekati pantai kerana ia mencari makanan.
Ikan itu makan ikan-ikan dan sotong kecil, plankton, kerang-kerangan kecil dan alga.
Bandis berkata, ikan tersebut berhijrah dari perairan Australia dan melalui perairan Indonesia," kata Bandis.
Beliau menjelaskan, ikan itu berpisah daripada kumpulannya.
Menurutnya, beliau telah melihat tujuh ekor ikan yu paus yang mendekati kawasan pantai.
"Namun, ikan-ikan tersebut boleh mencari arah ke laut dalam," tambahnya.
Bandis menyatakan pihaknya telah berunding dengan penduduk tempatan tentang cara untuk menanam bangkai ikan tersebut.
Bangkai ikan itu menjadi tumpuan ramai penduduk tempatan yang mahu melihat haiwan tersebut.
"Bukannya setiap hari kami melihat ikan gergasi itu," kata seorang penduduk tempatan Santoso. - Agensi

Pindah rumah dengan baj


TIGA buah rumah diangkut dengan menggunakan sebuah baj yang bergerak di Sungai Fraser, Richmond kelmarin.


RICHMOND - Sebuah baj digunakan untuk mengangkut tiga buah rumah yang dibina pada tahun 1915 ke Teluk Union dekat Comox di Pulau Vancouver, Kanada kelmarin.
Rumah tersebut dibeli oleh Ben Ford dan isterinya bagi mengelak ia dirobohkan oleh sebuah syarikat hartanah di 37th Avenue, Vancouver.
Ia dihantar ke Sungai Fraser dengan menggunakan sebuah trak sebelum diangkut dengan menggunakan baj.
Pembelian dan pemindahan rumah itu melibatkan kos sebanyak K$150,000. (466,073.91). - Agensi

Waris akan peroleh rangka penjenayah paling kejam


GAMBAR fail menunjukkan rangka tulang Ned Kelly di Rumah Mayat Institut Perubatan Forensik Victoria di Victoria pada 1 September 2011.


SYDNEY - Rangka penjenayah yang paling kejam di Australia akan dikembalikan kepada keluarganya selepas 132 tahun dia dihukum mati.
Pegawai kerajaan negeri Victoria semalam berkata, rangka penjenayah itu, Ned Kelly akan diberikan kepada waris keturunannya.
Kelly mengetuai sekumpulan perompak bank di Victoria pada abad ke-19 dan dia telah dihukum gantung pada tahun 1880.
Lokasi mayatnya tidak diketahui sejak beberapa dekad lalu namun tengkoraknya dilaporkan hilang dicuri.
Namun, pada tahun lepas beberapa saintis forensik mengenal pasti rangka itu milik Kelly selepas ia ditemui di dalam sebuah kubur besar di sebuah penjara yang telah ditutup pada 1929.
Waris-waris keturunan Kelly mahu rangka itu dikembalikan kepada mereka supaya satu upacara pengebumian yang teratur boleh dilakukan. - Agensi

Cari makan dengan menari hip hop


CARLOS menari hip hop di sebatang laluan di Lisbon kelmarin.


LISBON - Seorang pemuda, Elizeu Carlos menari hip hop di jalanan untuk mendapatkan wang di sini.
Carlos, 22, terpaksa 'mencari makan' di jalanan selepas bilangan anak muridnya untuk mempelajari tarian tersebut semakin merosot sejak dua tahun lalu.
Bilangan tempahan untuk mendapatkan khidmatnya menari dalam beberapa festival juga kian merosot ketika Eropah dilanda krisis kewangan.
Justeru, dia terpaksa menari di jalanan untuk mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menyara kehidupannya. - Agensi

Pemberontak Syria bedil pangkalan tentera

GAMBAR menunjukkan seorang lelaki membawa barangnya dari kedai miliknya di Aleppo kelmarin.- REUTERS


BEIRUT – Kumpulan pemberontak Syria semalam membedil Pangkalan Tentera Udara Menagh di Aleppo dengan menggunakan sebuah kereta kebal yang dirampas daripada askar-askar tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Penggunaan kereta kebal itu menunjukkan kumpulan pemberontak mula menempatkan senjata berat yang dirampas sejak beberapa minggu lalu daripada tentera Syria.
Pangkalan tentera Menagh di utara Syria itu digunakan helikopter dan pesawat untuk mengebom kumpulan pemberontak.
Bandar Aleppo dianggap penting buat kumpulan pemberontak yang menentang kepimpinan Bashar.
“Jika Aleppo jatuh (menjadi milik pemberontak) kami akan menubuhkan ibu pejabat di Istana Presiden,” kata seorang anggota Majlis Kebangsaan Syria, Burhan Ghalioun lewat kelmarin di Paris.
Tentera Bashar turut melakukan serangan dekat Damsyik, Syria menyebabkan 43 orang terbunuh.
Serangan itu dilakukan kelmarin di daerah Jdaidet Artuz.
Tentera Bashar menangkap kira-kira 100 belia dan dibawa ke sebuah sekolah dan didera.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga juta penduduk Syria memerlukan bekalan makanan ekoran krisis di negara itu yang bermula sejak Mac tahun lalu.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pemerintah Syria, seramai 1.5 juta penduduk memerlukan bekalan makanan dengan segera terutama di kawasan yang dilanda pertempuran.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah menandatangani satu dokumen yang membenarkan AS memberi sokongan kepada para pemberontak Syria.
Dokumen tersebut membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) melakukan tindakan secara rahsia.
Bagaimanapun, para pegawai White House enggan memberikan komen berhubung laporan tersebut.
Lebih 19,000 orang dilaporkan mati dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar sejak Mac tahun lalu.
Pertubuhan Kerjasama Islam juga dijangka membincangkan untuk menggantung keanggotaan Syria.
Agensi berita Antara melaporkan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata lebih banyak langkah perlu dilakukan bagi menamatkan konflik di Syria. – Agensi

No comments:

Post a Comment