Thursday, August 2, 2012

SUSAH SANGAT NAK TUTUP AURAT...BERTUDUNG...HUKUM PALING MUDAH...TAK DE RASA MALU DAN SEGAN KE...TANYALAH USTAZ HUKUM BERLAKON HINGGA CAMPUR GAUL DIABAI...HUKUM2 LAIN DIABAI...KESANNYA PENDAPATAN KITA HALAL ATAU TAK...

Hasrat Ella Untuk Solat Terawih Bersama Suami Terlaksana

Ella seronok dapat menunaikan solat Terawih bersama suami pada 1 Ramadan yang lalu.
SHAH ALAM: Penyanyi Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin melahirkan rasa gembira apabila hasratnya untuk melakukan solat Tarawih bersama suami akhirnya tercapai pada awal Ramadan lalu.
Ella, 46, berkata, saat itu adalah antara paling manis yang pernah berlaku dalam hidupnya kerana dia telah memendam hasrat berkenaan sejak sekian lama.
"Walaupun sudah bergelar suami isteri tetapi kami jarang dapat bersama kerana tuntutan kerja masing-masing yang agak sibuk dan padat.
"Bagaimanapun hasrat saya untuk ke masjid menunaikan solat Terawih bersama suami sudah pun tercapai dan ia saat paling indah buat diri saya," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui selepas rakaman program Mentor Raya 6 di sini pada Rabu.
Tambah Ella, selepas menunaikan solat Terawih juga, dia dan suaminya iaitu Azhar Ghazali, 30-an sempat menghabiskan masa dengan melepak di kedai mamak untuk menikmati teh tarik bersama-sama.
Dalam pada itu, Ella memberitahu dia dan Azhar masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan mengakui perkahwinan yang dilalui banyak mengubah dirinya sebagai seorang wanita.
"Kehidupan selepas sebulan berumah tangga sangat menyeronokkan tetapi masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan ia perlu dilakukan secara perlahan-lahan.
"Jika sebelum ini saya tidak perlu meminta pendapat orang lain tentang sesuatu perkara atau membuat keputusan kini saya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Ella turut memberitahu dia sempat menyediakan juadah sahur untuk suaminya selain menyifatkan Azhar tidak banyak kerenah soal memilih makanan.
Ella dan Azhar bernikah pada 7 Julai lalu di rumah keluarga wanita itu di Klang, dekat sini.
Norman Hakim Sebak Lihat Memey & Abby Berpelukan

Norman bersama bekas isterinya, Abby (kiri) dan Memey kelihatan gembira selepas persengketaan yang selama ini terjadi dapat diselesaikan dengan baik. Foto kiriman Norman.
PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.
Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.
"Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.
"Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.
"Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit 'yeay! Mummy dan mama dah baik!". Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini," ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.
Foto Norman dan Memey berbuka puasa di rumah Abby bersama anak-anak. Gambar petikan Twitter milik Abby.
Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.
"Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ' ini rahsia perempuan'.
"Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit," tuturnya.
Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.
"Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.
"Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama," tuturnya.
Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.
"Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.
"Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.
"Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan," katanya.
Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.
Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
Kudsia Kahar Sertai Kumpulan Radio The Star

Kudsia Kahar
PETALING JAYA: Suria FM, iaitu salah sebuah stesen radio di bawah kumpulan media The Star pada malam Khamis mengumumkan penyertaan Kudsia Kahar sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran kumpulan media itu berkuat kuasa 16 Julai lalu.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah dalam majlis berbuka puasa anjuran stesen radio tersebut bersama media di sini.
Menurut Yusry, turut bersama Kudsia menyertai Suria FM bekas deejay Era FM iaitu Reza Mohamad sebagai salah seorang penyampai baru yang akan mengendalikan segmen pagi stesen itu.
Bekas Ketua Bahagian Program, Lite FM iaitu Adiwati Din Osman juga turut menyertai Suria FM menjawat jawatan serupa.
Kudsia ketika menjawab pertanyaan para pemberita berkata, tanggungjawab barunya ini adalah sangat mencabar kerana selain Suria FM, beliau juga bertanggungjawab ke atas tiga lagi stesen radio di bawah kumpulan media The Star masing-masing dua saluran berbahasa Inggeris iaitu Capital FM dan Red FM serta satu saluran berbahasa Mandarin iaitu 988.
Bagaimanapun, kata Kudsia, beliau secara khusus akan memberi tumpuan istimewa kepada Suria FM untuk melonjakkan lagi penguasaan stesen radio berbahasa Malaysia itu dalam pasaran atau segmen bagi pendengar Melayu.
Untuk rekod, beberapa penyampai radio Suria FM seperti Linda Onn, Subi dan Halim Othman sebelum ini pernah berkhidmat di bawah Kudsia sewaktu Era FM diperkenalkan.
“Saya berasa sangat teruja untuk menyertai pasukan baru ini kerana saya tidak pernah tengok satu pasukan yang begitu ceria sepertimana para penyampai Suria FM,” kata Kudsia yang sebelum ini berkhidmat sebagai naib presiden Bahagian Media Baru, Astro Radio.
Reza
Kudsia mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio dan pernah berkhidmat sebagai deejay Radio Muzik dan Era FM sebelum dinaikkan pangkat sebagai petugas belakang tabir di Astro.
Beliau juga pernah popular sebagai pengkritik program realiti televisyen iaitu Akademi Fantasia selama beberapa musim.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Radio The Star, C.K Tan berkata, setiap organisasi memerlukan satu pasukan yang sempurna dan penyertaan Kudsia dan Adiwati telah melengkapkan keperluan stesen radio kumpulan itu.
Apatah lagi, katanya, tidak ramai bakat yang berpengalaman dalam bidang ini di pasaran tanah air sepertimana yang ada pada Kudsia.
Dalam pada itu mengenai pemilihan Reza pula, Yusry menjawab; “Saya memilih Reza berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat dan dia tersenarai sebagai salah seorang selebriti radio yang menjadi pilihan ramai. Cara penyampaiannya yang ceria amat serasi dengan format dan “tagline” Suria FM iaitu “Ceriakan Duniamu.”
Katanya, Reza akan muncul di studio secara solo dan tidak perlu digandingkan dengan penyampai wanita yang lain kerana suara dan gayanya mempengaruhi kedua-dua gender lelaki dan wanita.
Kepada satu pertanyaan lain, Yusry menambah, sejak Suria FM mengambil nama-nama besar selebriti radio dan hiburan tanah air sebagai tenaga baru penyampainya seperti Nabil, Kenchana Dewi, Halim Othman dan Linda Onn, jumlah pendengar telah naik sebanyak 23 peratus.
Ini, katanya, adalah satu perkembangan yang sangat memberangsangkan dan membuktikan Suria FM berada dalam landasan yang betul untuk menjadi stesen radio yang semakin popular dalam segmen pendengar Melayu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif dan juga Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan ramai selebriti tempatan tanah air.
Kerjaya Seni Beego ‘Dibunuh’ Kerana Kontroversi

Wajah terbaru Beego dirakamkan jurufoto Shaari Che Mat.
KUALA LUMPUR: Pelakon Beego menyifatkan kontroversi yang melandanya sejak kebelakangan ini termasuklah tuduhan khalwat yang masih dibicarakan menjadi “pembunuh” kerjaya seninya yang sedang berkembang.
Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, berkata isu berkenaan memberi kesan apabila tawaran dalam bidang lakonan yang diterimanya menjadi semakin berkurangan.
“Saya mengaku, kontroversi hidup saya yang didedahkan secara keterlaluan menjadi penyumbang kemalapan kerjaya lakonan saya.
“Sama ada saya bersalah ataupun tidak dalam kes yang sedang saya lalui, masyarakat tetap memberi persepsi negatif terhadap saya,” katanya kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Pada 8 Mei lalu, Beego bersama rakannya Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.
Selain kes itu, pelakon ini juga turut dikaitkan menjalinkan cinta dengan aktres Rozita Che Wan sehingga timbul gosip kononnya dia dilihat memandu kereta wanita itu selain kerap menemaninya ke lokasi penggambaran.
Beego yang merupakan seorang duda berkata, kesuraman kerjaya seninya itu membuatkan dia sudah bersedia jika industri hiburan mahu menyisihkannya.
Menurut anak kelahiran Johor ini lagi, ia ditambahkan pula apabila ada pihak tertentu yang cuba menyekat rezekinya dengan melarang pembabitannya dalam sesebuah drama sehingga mempengaruhi pihak stesen televisyen.
“Saya tak boleh buat apa-apa kerana persepsi negatif orang. Tapi saya percaya, rezeki itu adalah ketentuan Allah,” ujarnya.
Sementara itu ditanya kebenaran gosip kononnya dia pernah menjadi “tukang” angkat beg Rozita Che Wan, Beego berkata dia tidak akan membodohkan dirinya untuk berbuat demikian apabila berkawan dengan seseorang wanita.
“Nak angkat beg wanita? Itu bukan saya. Saya tak akan buat macam itu. Tuduhan kononnya saya memandu kereta Rozita ke lokasi penggambaran juga tak benar,” jelasnya yang mengakui Rozita adalah seorang wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik.
Dalam perkembangan lain Beego baru sahaja tamat penggambaran drama bersiri berjudul Seuntai Tasbih yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia pada Jun lalu.
Rosyam Nor Berlakon Filem Cina
Rosyam Nor bakal muncul dalam filem berbahasa Cina berjudul Once Upon A Time.
PETALING JAYA: Pelakon terkenal Rosyam Nor bakal beraksi dalam sebuah filem berbahasa Cina tempatan berjudul Once Upon A Time sebagai salah satu usaha untuk melebarkan sayap dalam bidang berkenaan khususnya industri seni bangsa itu.
Rosyam berkata, dia sentiasa berminat untuk berlakon dalam filem berbahasa Cina namun tidak pernah diberikan peluang sebelum ini.
"Apabila mendapat peluang untuk berlakon dalam filem berkenaan saya bersetuju kerana bukan sahaja memang teringin untuk berlakon dalam filem berbahasa Cina tetapi ia dapat mengembangkan kerjaya saya," katanya seperti dipetik portal www.redcarpet.net.my
Bakal diarahkan oleh Silver, filem tersebut turut menggandingkan Rosyam dengan aktor Cina popular iaitu Jack Lim.
Dalam pada itu, Rosyam berkata, tawaran untuknya berlakon dalam filem tersebut diperoleh semasa dia sedang merakamkan filem arahannya iaitu Balistik.
Bakal menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada September ini, Once Upon A Time dijadualkan ditayangkan pada tahun hadapan.
"Semasa melakukan penggambaran filem Balistik, Jack bertanya adakah saya mahu terlibat sama dalam filem tersebut dan saya bersetuju," katanya.
Sementara itu, Rosyam berkata, walaupun peranan yang diberikan tidak besar seperti watak lain tetapi kehadirannya bakal meninggalkan kesan kepada penonton.
"Saya tidak akan lakukan jika ia tidak meninggalkan kesan kepada penonton dan kerjaya saya sebagai pelakon," ujarnya.
Once Upon A Time adalah sebuah filem komedi mengisahkan sebuah kerajaan Cina yang diketuai oleh seorang raja yang lemah lakonan Jack Lim.
Kekecohan yang berlaku pada tampuk pemerintahannya telah menyebabkan mereka dihantar ke masa hadapan menerusi mesin merentas masa sehingga berlakunya pelbagai kisah menarik.

No comments:

Post a Comment