Monday, July 30, 2012

BILA TAK RASA DOSA..ADAKAH MEREKA TAK TAHU...ATAU FIKIR SEMPAT BERTAUBAT

Erti Ramadan Ziana, Erra, Amy





RAMADAN barangkali memberikan makna berbeza bagi tiga nama besar, Amy Search, Ziana Zain dan Erra Fazira. Bergelar karyawan berkaliber dan berprestij dalam bidang seni tidak bermakna tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak diletak ke tepi.
Begitu juga rahmat bulan yang lebih baik daripada seribu bulan, Ramadan yang tidak dipandang rendah oleh ketiga-tiga figura terkenal itu.
Sempena kehadiran bulan Ramadan penuh berkat ini, ketiga-tiga penghibur serba boleh itu berkongsi cerita mengenai nikmat kehadiran Ramadan, pengalaman lampau serta perjalanan ke arah mendekatkan diri dengan Maha Pencipta.
Jelajah tarawih Amy
Banyak beramal dan melakukan kerja-kerja kebajikan menjadi prioriti penyanyi rock tersohor negara Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, sempena kedatangan bulan Ramadan.
Katanya, jika ada undangan menyanyi pun, dia terpaksa menolak melainkan majlis yang sudah disahkan awal-awal.
"Saya akan penuhi bulan Ramadan dengan jemputan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan menderma atas inisiatif sendiri.
"Biasanya apabila bulan puasa, saya akan menghentikan seketika aktiviti seni dan memberikan fokus untuk beribadat dan berehat di rumah serta membaca buku-buku keagamaan," katanya yang baru usai menjalani penggambaran klip video lagu Takbir Cinta duet bersama Yasin.
Rutin berbuka puasanya amat mudah, dua biji kurma dan segelas susu kemudian menunaikan kewajipan solat Maghrib. Sesudah itu baru dijamah sedikit makanan buat sumber tenaga untuk melakukan ibadat seterusnya.
Bercakap mengenai rutin solat sunat tarawih, vokalis Search itu memberitahu, dia dan keluarganya tahun ini memilih untuk menjelajah beberapa buah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Saya memilih untuk menunaikan solat tarawih di masjid dan tahun ini insya-Allah bersama isteri dan anak saya Alexander.
"Saya juga suka mengembara dari masjid ke masjid berbeza setiap malam sekitar Damansara dan Kuala Lumpur kerana sukakan bacaan ayat-ayat al-Quran yang berbeza di setiap masjid," ceritanya yang ditemui ketika rakaman program Raya Ziana, Amy & Erra TV3 di Studio 1, Glenmarie Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kudrat teater Erra
Sama seperti dua tahun lalu ketika sesi latihan Teater Muzikal Tun Mahathir, primadona itu akan kembali menjalani rutin berpuasa yang sama bersama naskhah Teater Tun Siti Hasmah pula tahun ini.
Menegaskan dia perlu merancang sebaik mungkin aktivitinya yang padat dengan rakaman program raya selain rutin harian, Erra mengakui dia perlu mengikut rentak biologikal badannya apabila kembali menjalani ibadah puasa tahun ini.


BARISAN artis yang terbabit dalam program Raya Ziana, Amy & Erra.



"Saya perlu merancang jadual harian dengan betul. Saya akan mula berlatih teater sebelah petang dan berehat seketika untuk berbuka.
"Kemudian baru sambung berlatih semula. Pastinya pada awal berpuasa, badan akan rasa penat tapi Insya-Allah, untuk minggu-minggu seterusnya akan kembali normal," ujarnya yang lebih gemar berbuka puasa di rumah dan meluangkan masa memasak untuk keluarga ketika hujung minggu.
Bagi Erra, bulan Ramadan adalah waktu yang paling dinanti-nantikan. Selain melipatgandakan ibadat, bulan penuh keberkatan ini juga akan diisi dengan amalan kebajikan seperti bersedekah kepada masjid dan anak-anak yatim.
Juadah wajibnya untuk berbuka puasa pula adalah martabak dan sedikit manisan manakala hidangan berat akan disusuli selepas menunaikan solat Maghrib. Erra juga tidak memilih bazar Ramadan kerana baginya lokasi terdekat dengannya adalah tumpuan yang paling afdal.
Tambah Erra, dia perlu mendapatkan zat dan khasiat daripada pemakanan yang sempurna selepas berbuka untuk keperluan tenaga keesokan harinya.
"Saya jenis yang selalu terlepas sahur. Kalau bersahur pun, saya hanya akan menjamah sekeping roti dan segelas milo panas," katanya.
Ziana fokus anak-anak
Fokus Ziana sempena kedatangan bulan Ramadan adalah kebajikan anak-anaknya yang tersayang, Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, dan pasangan kembar Muhammad Ariel serta Siti Nour Kaseh, 3.
Selalunya Ziana akan bertanya terlebih dulu anak-anaknya pilihan menu berbuka puasa dan memasaknya selain membeli beberapa keperluan lain di bazar Ramadan berdekatan kediamannya di Seksyen 8 atau Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.
"Macam inilah menjadi seorang ibu, semua perkara perlu fokus dan sekarang tiba giliran saya menggalas tanggungjawab bergelar ibu selepas emak kita.
"Cabarannya bergelar ibu adalah tidur tidak pernah cukup. Biasanya anak kembar saya menyusu tiga kali semalam dan apabila bangun pagi, kadang-kadang saya perlu menghantar Aiman dan Amar ke sekolah," katanya.
Tambah mencabar apabila kedua-dua anak lelakinya yang sedang bersekolah tidak tahan berpuasa dan memohon untuk berbuka puasa.
Ditanya mengenai kerjaya, Ziana kini sedang meneliti beberapa single daripada beberapa orang komposer berbakat selain sibuk mengatur strategi promosi minuman kolagen kesihatannya, B.Lift.
"Puasa adalah bulan untuk berehat daripada menyanyi sahaja, jika dari sudut bisnes sekarang adalah waktu untuk memikirkan banyak aspek terutama promosi.
"Maklum saja modal bisnes itu daripada saya sendiri dan ia umpama cahaya mata sulung saya, jadi pastinya bisnes itu perlu lebih perhatian," ujarnya.
Berbicara secebis kisah persiapan menjelang sambutan Aidilfitrinya, kata Ziana dia sekeluarga akan pulang ke kampung halamannya di Merlimau, Melaka setelah sekian lama tidak ke sana.
"Anak-anak sekarang pun sudah besar dan dari dahulu lagi kami sekeluarga jarang balik kampung. Maka, tahun ini merupakan tahun untuk kami kembali berhari raya di kampung halaman dan mengeratkan tali silaturrahim sesama keluarga," bicara Ziana yang akan pulang ke kampung sehari menjelang Aidilfitri.
Ziana dan keluarga sudah selesai membeli kelengkapan Aidilfitri sebulan sebelum berpuasa dan mereka memilih tema warna biru untuk baju raya tahun ini.

HIBURAN


Resepi Sunnah sempena Ramadan


RAFIDAH (dua dari kanan) sedang menuangkan sejenis minuman sebagai simbolik kepada perasmian program Resepi Sunnah sambil diperhatikan (dari kanan), Izham, Chef Andri dan Haizi.


SELAMA ini para penonton sudah acap kali dipaparkan pelbagai rancangan masakan dengan hidangan yang disediakan oleh chef-chef terkenal, malah turut ada saluran tertentu yang khusus menayangkan rancangan masakan sahaja.
Tidak dinafikan rancangan masakan yang ditayangkan juga turut dijadikan rujukan oleh segelintir penonton dalam penyediaan makanan sama ada untuk diri sendiri atau keluarga.
Namun begitu, rancangan masakan terbaharu berjudul Resepi Sunnah yang disiarkan di saluran TV9 ini ternyata menampilkan kelainan berbanding rancangan yang sedia ada.
Diterbitkan oleh Little Penguin Production Sdn. Bhd. dan HFaridhine Holdings Sdn. Bhd. yang bertindak selaku Penerbit Bersekutu diarahkan oleh Rina Khan yang merupakan pengarah dan penulis skrip terkenal.
Rina berkata, Resepi Sunnah merupakan sebuah program masakan berkonsepkan santai dan interaktif yang berkongsi tentang pemakanan sihat dan resipi istimewa mengikut sunnah Rasulullah.
“Sebelum terlibat dalam program Resepi Sunnah saya memang kurang mengambil berat tentang pemakanan, namun kini saya sudah mula ambil tahu tentang cara penyediaan yang lebih sihat.
“Menerusi rancangan ini penonton akan dapat lebih banyak maklumat tentang bahan masakan yang menjadi sunnah Rasulullah seperti susu, kurma, madu, air zamzam dan minyak zaitun,” ujarnya pada majlis pelancaran yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat lepas yang dirasmikan tetamu kehormat, Tan Sri Rafidah Aziz yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Izham Omar.
Program berkenaan turut menampilkan dua orang pengacara iaitu Haizi Rani dan Zuee Zulaikha serta chef profesional iaitu Andri Hadi yang bertanggungjawab dalam penyediaan hidangan.
Menurut Rina, terdapat tiga segmen yang akan dipaparkan dalam program yang berlangsung selama 30 minit. Segmen pertama memaparkan pengenalan sunnah makanan yang menarik dan akan dibincangkan bersama penonton.
HAIZI RANI diberi tanggungjawab sebagai hos bersama program Resepi Sunnah.


Segmen yang kedua pula menunjukkan cara penyediaan makanan apabila Haizi dan Chef Andri bergandingan semasa sesi masakan di samping berkongsi tentang tips pemakanan yang sihat dan dikaitkan dengan adab-adab sunnah dalam penyediaan makanan.
Bagi segmen terakhir pula Zuee Zulaikha akan menemubual beberapa orang ustaz untuk mengulas menu-menu yang disediakan setiap minggu mengikut perspektif Islam.
“Sudah tentu saya berharap menerusi program ini ia dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada penonton terutamanya mengenai penyediaan makanan serta mendapat lebih banyak maklumat yang tidak pernah diketahui sebelum ini,” ujarnya.
Kajian
Salah seorang pengacara, Haizi Rani yang bertindak sebagai hos menyatakan, banyak pengalaman berguna sepanjang dia terbabit dalam Resepi Sunnah.
Ujarnya, sebelum program tersebut dihasilkan, dia telah melakukan kajian dan mendapati bahawa terdapat banyak khasiat diperoleh jika mengamalkan penyediaan makanan menerusi resipi mengikut sunnah Rasulullah.
“Misalnya, selama ini kebanyakan masyarakat menganggap pengambil daging kambing yang kerap tidak baik untuk kesihatan, tetapi sebenarnya ia merupakan daging yang paling rendah kolesterol.
“Selain itu, penonton juga dihidangkan dengan pelbagai jenis menu masakan yang menarik seperti kurma berinti udang, sup barli, nasi kari habatussauda, kambing kashmir Masala dan pasta madu bersama udang,” ujarnya.
Resepi Sunnah yang ditaja oleh syarikat tudung Fareeda itu sudah disiarkan sejak 20 Julai lalu sebanyak 13 episod sepanjang bulan Ramadan dan Syawal setiap hari Jumaat pada pukul 6.30 petang

No comments:

Post a Comment