Bakal kahwin hujung tahun ini
JEMPOL – Mangsa letupan kapal tangki Bunga Alpina, Shahril Azmi Baharuddin, 28, yang ditemui mati terapung di Jeti Terminal Petronas Methanol Labuan pada Khamis lalu dijadual menamatkan zaman bujang hujung tahun ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh bapa mangsa, Baharuddin Yacob, 58, bahawa anak kedua daripada lima adik-beradik itu sebelum ini pernah memaklumkan kepada keluarga yang dia mahu bertunang dan berkahwin dengan seorang gadis dari Seremban.
“Barang kemas untuk majlis perkahwinannya juga kami sudah belikan.
“Kali terakhir kami berjumpa dengan arwah adalah ketika dia pulang bercuti selama sebulan pada Mei lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Raja Alias Tiga di sini semalam.
Pertempuran hidup mati pemberontak di Aleppo
|
DAMSYIK - Helikopter-helikopter tentera terus membedil pusat bandar Aleppo semalam ketika tentera Presiden Bashar Al-Assad bersiap sedia untuk menggempur pemberontak di bandar raya kedua terbesar Syria itu.
Menurut sumber pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA), pertempuran yang bakal berlaku akan menentukan hidup mati mereka di Aleppo, bandar strategik di Syria selain ibu kotanya, Damsyik.
Perkembangan tersebut didedahkan oleh Pertubuhan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang mengumpul maklumat mengenai kebangkitan rakyat negara itu menentang pemerintahan Bashar sejak 16 bulan lalu.
"Helikopter-helikopter tentera mengebom daerah Salaheddine di Aleppo," kata pertubuhan itu menerusi satu kenyataan e-mel.
"Pertempuran ganas turut berlaku di satu lagi daerah, Sakhour," tambah kenyataan tersebut.
Perang menguasai Aleppo yang dihuni 2.5 juta penduduk itu merupakan ujian penting buat Bashar selepas rejimnya mengerahkan segala kekuatan tentera untuk menawan semula bandar raya utama itu dan Damsyik.
Setakat ini, kedua-dua belah pihak masih belum dapat menguasai bandar raya berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan pemerhati berkenaan memberitahu, tiga pejuang pemberontak terbunuh dalam beberapa pertempuran di Aleppo semalam.
Menurutnya, seramai 160 orang dilaporkan terbunuh di Syria kelmarin dengan angka kematian keseluruhan di negara berkenaan kini meningkat kepada sekitar 18,000 orang.
Kumpulan pemerhati itu turut menyiarkan klip video menunjukkan asap tebal menjulang ke udara dari beberapa blok apartmen di Aleppo semalam dengan bunyi tembakan jelas kedengaran.
- Agensi
Gorila ditemui tergantung
PRAGUE, Republik Czech - Pihak pengurusan Zoo Prague menyatakan, seekor gorila jantan mati selepas tergantung secara tidak sengaja.Menurutnya, gorila jantan berusia lima tahun bernama Tatu ditemui tergantung dengan tali melilit leher haiwan itu pagi kelmarin di kurungan zoo berkenaan.
Jurucakap Zoo Prague, Michal Stastny berkata, usaha menyelamatkan Tatu gagal. Menurutnya, tiada kamera video dipasang di kurungan itu tetapi Tatu ditemui tergantung selepas bermain struktur bertali di tempat tersebut.
Pengarahnya, Miroslav Bobek kelmarin memberitahu bahawa kematian Tatu adalah yang paling tragis selepas bencana banjir membunuh lebih 100 haiwan di zoo berkenaan pada 5 Mei 2007. - Agensi
Ustaz ajak Diana Amir 'taaruf'
PELAKON Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, agak manis selepas berhijrah dengan memakai tudung sejak September tahun lepas.
Dia yang pernah berlakon filem seperti V3 Samseng Jalanan, Senario Opocot, Keramat dan 321 Cinta sebelum bertudung, kini hanya akan berlakon filem atau drama yang sesuai dengan keadaan dirinya sahaja.
Diana yang bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) bersama pelakon Kamal Adli kini menolak tawaran berlakon di bulan Ramadan supaya lebih banyak masa untuk beribadat.
Ketika ditemui di majlis berbuka Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, gadis kelahiran Birmingham, England ini juga turut berkongsi kisah diajak berkenalan oleh beberapa ustaz ketika mengikuti program keadaan di bulan Ramadan ini.
Kosmo!: Boleh ceritakan apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
DIANA: Sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem atau drama, saya banyak tumpukan untuk beribadat seperti pergi tarawih dan memenuhi undangan forum berbentuk keagamaan dengan berkongsi kisah penghijrahan saya dengan remaja.
Selepas bertudung, adakah Diana pernah dipikat oleh sesiapa?
Saya masih tiada teman lelaki dan tidak terfikir ke arah itu lagi sekarang tetapi ada juga beberapa ustaz yang mengajak saya 'taaruf' (berkenalan) selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Apabila mereka buat demikian terus saya tidak balas SMS itu. Saya berkenalan dengan mereka ketika dalam program keagamaan.
Kenapa Diana menolak untuk 'taaruf' dengan mereka?
Saya masih tidak berani, misi saya sekarang untuk mendalami Islam. Ilmu saya masih tidak cukup dan tidak mahu campur aduk perkara lain dalam usaha saya kenal dengan agama sendiri.
Adakah Diana menolak jika bertemu jodoh dengan ustaz?
Saya tidak memilih. Saya akan terima sesiapa sahaja jodoh yang ditentukan Allah, kalau ustaz juga tidak mengapa asalkan ustaz yang baik dan boleh membimbing saya kelak.
Diana ada sasaran bila akan menamatkan zaman bujang?
Saya berdoa dipercepatkan jodoh mudah-mudahan tahun depan.
Tahun hadapan? Bukankah itu terlalu cepat untuk anda?
Saya mahu cepat-cepat dapat zuriat. Kalau dulu saya mahu kahwin sebab mahu mempunyai suami, tetapi sekarang saya begitu mengimpikan untuk mempunyai cahaya mata sendiri kerana saya terlalu sukakan kanak-kanak.
Kriteria suami pilihan Diana?
Sudah tentu yang beriman yang penting dia perlu bijak dalam membimbing saya dan keluarga.
Bagaimana kerjaya seni Diana, adakah masih menerima tawaran berlakon?
Saya kini banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie, manakala untuk filem tawarannya agak terhad selepas saya bertudung tetapi saya reda.
Adakah Diana mengenakan syarat selepas menerima tawaran berkenaan?
Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan kena dengan imej bertudung saya, jika tawaran itu yang mahu saya lakonkan watak bercinta juga tidak mengapa asalkan tiada adegan peluk dan bersentuhan dengan bukan muhrim.
Diana kena begitu supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat apabila berhijrah mesti ada perubahan.
Apakah filem terbaharu Diana akan datang?
September ini dilancarkan filem saya bersama Kamal Adli berjudul Salam Cinta terbitan Metrowealth.
Kontroversi Ariel belum bernoktah
TINA TALISA, seorang wartawan penyiaran popular Indonesia pada Isnin lalu mengasak Ariel Peterpan mengenai populariti bekas banduan itu yang hampir menyamai fenomena superstar Michael Jackson.
Pertanyaan Tina itu merujuk kepada bahang populariti Ariel ketika ini yang dinilai media massa Indonesia berada di puncak tertinggi.
Semuanya gara-gara Ariel dibebaskan secara bersyarat selepas dibelenggu kontroversi panjang berhubung skandal video pornografi.
Ariel berkali-kali menafikan bahawa dia merupakan lelaki yang berasmara dengan dua artis wanita ternama Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.
Namun, pemahaman dan penilaian masyarakat Indonesia khususnya individu yang pernah menonton video lucah itu dengan pantas mendakwa, Ariel merupakan lelaki dalam klip yang tersebar luas di internet pada Jun 2010.
Ariel pada sidang media itu tenang memberikan reaksi berhubung persamaan yang disebut Tina mengenai popularitinya seperti yang dilalui Michael Jackson.
Tentu sekali Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham sukar menterjemahkan betapa emosinya benar-benar terganggu selama 24 bulan menghuni tiri besi.
Semasa diulit populariti Ariel disanjung ke mana sahaja dia berada namun sebaik dihumban ke penjara, dia hilang semuanya.
Segala kemasyhuran yang dinikmatinya lebih sedekad hilang dalam sekelip mata hanya kerana kedangkalan sendiri.
Namun, dia tenang berhadapan dengan media, tiada rasa malu atau tertekan kerana Ariel juga manusia biasa.
Kata Ariel, dia tidak pernah terfikir akan menjadi selebriti terpenjara.
Bahkan, Ariel sendiri mengaku, amat terkejut kerana berita penahanannya mendapat liputan meluas media sehingga ke luar negara.
"Saya pernah berbincang tentang perkara ini dengan teman-teman Peterpan. Mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku, terpalit dalam isu ini juga tidak disangka.
"Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," kata Ariel sambil mengakui hubungannya dengan anggota Peterpan yang lain sangat akrab seperti saudara sekalipun ketika beliau berstatus banduan.
Terus dipuja
Sebaik pembebasan Ariel daripada penjara Kebon Waru, Bandung Isnin lalu, media massa Indonesia memberikan liputan luar biasa.
Tentu sekali, inilah saat terbaik untuk semua stesen televisyen negara ini menyiarkan laporan panjang lebar mengenai Ariel kerana beliau ialah sumber berita yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda.
Seluruh rakyat Indonesia mahu melihat wajah terbaharu Ariel selepas sekian lama hidup sebagai banduan.
Laporan secara langsung dari lokasi pembebasan Ariel dilakukan oleh kebanyakan stesen televisyen utama.
Puluhan wartawan dan jurugambar memenuhi pintu masuk penjara serta di bilik sidang akhbar di sebuah hotel di Bandung.
Peminat berpusu-pusu memenuhi pintu masuk penjara berkenaan semata-mata untuk menyambut pembebasan seniman pujaan mereka.
Jangan tidak tahu, terdapat sejumlah peminat setia Ariel yang sanggup berkampung di luar pintu masuk penjara untuk memastikan mereka boleh menatap wajah lelaki berusia 31 tahun itu.
Ada yang datang sejauh Cianjur (Jawa Barat), Purbalingga, Brebes (Jawa Tengah) serta daerah-daerah lain dengan mengenakan baju-T berlogo Peterpan.
Bahkan ada seorang peminat setia Ariel yang sanggup menggadaikan geran motosikalnya semata-mata mahu mendapatkan wang untuk ke Bandung.
Ramai yang mempersoalkan kewajaran Ariel diberi liputan meluas di sebalik namanya yang dalam tergores akibat salah laku berkaitan pornografi.
Kerana itu, kontroversi Ariel dilihat masih belum bernoktah sementelah pada hari pembebasannya ramai pihak di Indonesia yang mengeluh, mengapa dia diangkat sebagai hero.
Suruhanjaya Perlindungan Anak menganggap pembebasan Ariel tidak wajar diberi publisiti.
"Dia bukan ikon yang wajar diangkat, jauh sekali seorang pahlawan. Ariel itu lelaki yang melakukan kesalahan seks," bidas ketua suruhanjaya itu, Arist Merdeka Sirait.
Itu baru kisah pembebasan bersyarat Ariel yang membuatkan ada pihak yang rimas dan kurang senang.
Selepas ini, kontroversi skandal penerbitan video lucah berkenaan dijangka akan kembali hangat apabila pihak berkuasa Indonesia menjangka, Luna Maya dan Cut Tari pula akan dibawa ke muka pengadilan.
Kontroversi itu dijangka berlanjutan lebih lama lagi manakala media tidak akan melepaskan peluang memberi publisiti pada kisah hangat yang boleh melariskan jualan dan meningkatkan rating.
Biar apa tafsiran masyarakat sekalipun, Ariel hanya mampu memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada penjara pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan.
Ariel menganggap pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas menggalas status sebagai banduan selama dua tahun.
"Apa yang tidak kamu sukai belum tentu tidak bagus. Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak perkara yang positif dalam hidup," luah Ariel yang turut ditemani rakan-rakan Peterpan pada sidang akhbar itu.
Ariel yang tergamam dengan reaksi luar biasa media tempatan dan peminat-peminatnya hanya mampu berterima kasih kerana masih ada yang menyayanginya.
Dalam masa terdekat ini, Ariel mahu mengisi ruang yang ada untuk menenangkan fikiran.
Beliau merayu, agar tidak diganggu buat sementara waktu.
"Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dulu. Di mana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya," katanya meminta pengertian.
Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel akan kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan.
Seperti Hollywood
Menilai semula rentetan perjalanan kontroversi kisah hidup Ariel ini, apa yang boleh dirumuskan mengenai industri hiburan Indonesia ialah, pentas glamor negara ini pada satu peringkat sudah menghampiri apa yang selama ini kedengaran berlaku di Hollywood.
Skandal, kontroversi dan pelbagai cerita gelap serta kisah kejayaan luar biasa yang dinikmati anak-anak seni ini sentiasa mendapat perhatian segenap masyarakat.
Kalau mahu disemak kembali senarai kontroversi yang pernah tercetus di Indonesia, tentu sekali ruangan ini tidak cukup untuk mengisinya.
Pendek kata, dunia glamor Indonesia sarat dengan cerita yang menggemparkan - dari rahsia dalam kain artis sehinggalah ke isu murtad, semuanya ada.
Itu belum lagi kisah fanatik para peminat hiburan di negara ini yang begitu obses terhadap artis-artis pujaan mereka.
Mendengar penjelasan cendekiawan di negara ini, harus diakui kebenaran bahawa hanya hiburan boleh dijadikan sandaran untuk melarikan diri daripada kegelisahan hidup sebilangan besar rakyat Indonesia.
Mendengar lagu yang mengasyikkan, menonton filem ringan yang sarat dengan fantasi atau membaca dan mendengar laporan kisah suka duka artis-artis ternama sudah cukup menggembirakan pemuja-pemuja seni.
Golongan ini hanya mahu menikmati hidup seperti mana yang dilalui orang-orang popular itu.
Sayang sekali, mereka hanya mampu untuk berfantasi kerana keinginan untuk menggapai bintang di langit memerlukan bakat, kesungguhan dan keberanian serta kesanggupan berhadapan dengan ujian dan cabaran.
Segala kriteria-kriteria itu ada pada sebilangan besar artis Indonesia.
Lima penjenayah berputih mata
|
KUALA LUMPUR - Sekumpulan lima penjenayah bukan sahaja gagal menyamun malah kesemua mereka cedera selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Taman SPPK, Segambut di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4 pagi di persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan lima suspek berusia 19 hingga 25 tahun itu cedera apabila kereta Proton Waja yang mereka curi, bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki oleh lima wanita warga Thailand.
Seorang daripada suspek terbabit cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur manakala lima wanita warga asing berkenaan cedera ringan.
Empat lagi suspek lain pula dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut selepas cedera ringan.
Pusat tuisyen hina sahabat Nabi
LEDANG - Sebuah pusat tuisyen di Tangkak dekat sini didakwa bertindak biadab memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas mata pelajaran Sejarah bagi pelajar tingkatan empat di pusat berkenaan.
Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, pusat tuisyen tersebut melukiskan 16 karakter sahabat nabi dalam bentuk kartun dengan watak berbeza dan bahan-bahan tersebut disediakan tenaga pengajarnya dikenali sebagai Mr. Fu.
"Antara karikatur yang keterlaluan ialah lukisan seorang sahabat nabi yang dilukis dengan wajah khinzir. Imej seorang lagi pula diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya ditutup dengan tulisan Cina, selain ada yang dikelilingi tiga wanita.
No comments:
Post a Comment