Teruja sambut Ramadan pertama sebagai saudara Islam
4 Ogos 2012
Nordin Ch’ng Abdullah, 43, insan bertuah setelah pintu hatinya terbuka untuk memeluk Islam ketika umurnya genap 43 tahun 27 April lalu.
Cabaran berpuasa
Pengalaman hari pertama menjalani ibadah berpuasa seperti umat Islam yang lain meninggalkan kenangan indah kepadanya walaupun sedikit mencabar untuknya sebagai saudara baru.
Menurutnya, hari yang mencabar pada dirinya kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga, namun rasa itu diketepikan bagi menjadi hambaNya yang dirahmati.
“Mulanya pada hari pertama berpuasa, memang saya tidak dapat menahan rasa lapar dan dahaga, tetapi gagahkan juga sehingga waktu berbuka. Bagi saya inilah cabaran yang perlu saya tempuhi sebagai seorang Islam.
“Saya sendiri yang memilih untuk memeluk Islam dan sudah bersedia untuk meneruskannya sehingga ke nafas yang terakhir. Bulan puasa juga merupakan bulan mulia, di mana kita berlumba-lumba mengerjakan amal ibadat,” katanya kepada Sinar Harian.
Nordin berkata, permulaan menjalani ibadah berpuasa dia diduga apabila kesihatannya terganggu sehingga terpaksa mendapatkan rawatan doktor dan dinasihatkan untuk tidak berpuasa bagi membolehkan dia mengambil ubat.
Namun, setelah sihat Nordin kembali berpuasa sehingga ke hari ini. Walaupun permulaannya sukar, kini Nordin mampu menunaikan rukun Islam itu tanpa rasa lapar dan dahaga.
Jelasnya, dia akan ke rumah keluarga angkatnya di Kuala Perlis untuk berbuka bersama.
“Setiap petang dalam jam 7 saya akan ke rumah keluarga angkat untuk berbuka. Setelah berbuka, saya akan solat bersama-sama sebelum pulang ke rumah.
“Kebiasaannya waktu sahur, saya akan minum milo secawan dan oat. Kalau tidak makan nanti takut lapar pula semasa berpuasa,” katanya.
Persediaan raya
Apabila ditanya mengenai persediaan untuk menyambut ketibaan Syawal ini, Nordin teruja untuk menyambutnya sebagai seorang Islam walaupun dia tidak dapat menyambutnya bersama insan tersayang iaitu abang angkat yang dianggap seperti abang kandungannya sendiri, Nordin Desa yang meninggal dunia tahun lalu.
Katanya, tahun ini Nordin akan beraya bersama keluarga angkat.
Menyingkap perkenalan bersama abang angkatnya sejak 20 tahun lalu di Pulau Pinang, ketika itu dia baru berumur 23 tahun dan abang angkatnya berjumpa keluarganya untuk memohon kebenaran membawanya ke Perlis.
Nordin ketika itu dikenali sebagai Ch’ng Joo Heng dibawa abang angkatnya untuk tinggal di negeri ini dan bekerja bersama-sama.
Nordin berkata, abang angkatnya banyak membantu dan menjaganya seperti darah daging sendiri walaupun ketika itu mereka berlainan agama dan bangsa.
“Tuhan lebih menyayanginya, dia pergi dulu meninggalkan saya.Ketika itu pintu hati saya terbuka untuk memeluk Islam dan mengambil nama abang angkat sebagai nama saya tanda kasih dan sayang saya terhadapnya.
“Alhamdulillah, walaupun arwah abang sudah tiada, kini saya menumpang kasih adiknya iaitu Hamidah Desa dan keluarga yang kini mengambil alih menjaga saya,” katanya.
Selain itu, Nordin juga menyuarakan hasrat hati untuk menamatkan zaman bujangnya, namun masih belum bertemu jodoh.
“Paras rupa tidak penting bagi saya, janji dia boleh menjadi isteri yang solehah dan menerima keluarga saya di sini dan di Pulau Pinang.
“Kalau boleh saya ingin mencari wanita yang susah, setidak-tidaknya saya dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Tindakan guru, selamatkan murid jadi mangsa tebuan
4 Ogos 2012
Guru, Yusof Ibrahim, berkata, dia menyedari kewujudan sarang itu apabila serangga itu terbang berkeliaran memasuki bilik darjah setiap pagi ketika sesi pembelajaran.
“Saya dan beberapa orang guru cuba mencari dari mana tebuan itu datang setelah puas mencari kami perasan tebuan telah membuat sarang pada bahagian atas syling pada bangunan kelas pelajaran pemulihan.
"Saya cuba hampiri sarang tersebut tetapi serangga berkenaan bertindak balas untuk menyerang kami,” katanya.
Menurut, Yusof ini adalah kejadian kedua di sekolahnya sebelum ini sarang tebuan dimusnahkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.
Sementara itu, Guru Pembantu Kor-kurikulum Sekolah, Nor Rizah Asmarani berkata, pihak sekolah amat menitik beratkan keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah.
"Apabila kami mendapat tahu ada sarang tebuan pada syling banguan sekolah kami terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk membantu memusnahkan sarang tebuan tersebut. Ini adalah tanggungjawab kami sebagai guru memastikan pelajar selamat ketika berada di sekolah ini memandangkan jumlah pelajar 409 yang agak ramai,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM Daerah Kota Setar, Mohd Shukri Shuib berkata pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk memusnahkan sarang tebuan tersebut memandangkan sarang tebuan itu agak tersembunyi di bahagian atas syling.
Sering diejek manusia pelik
4 Ogos 2012
S Darshini, 8, dari Padang Malakof, Kuala Ketil seorang pesakit albino yang tabah meneruskan kehidupannya walaupun sering menjadi mangsa ejekan rakan sebaya.
Wajah dan tubuh badannya yang putih sering menjadi perhatian rakan-rakan, mahupun kanak-kanak nakal.
Anak kedua dari empat adik beradik ini mempunyai semangat kental, di samping mendapat perhatian dan penjagaan yang baik dari datuknya, N Subramaniam, 66.
Darshini berkata, dia tidak malu dengan dirinya malah akan membuktikan kepada kepada keluarganya yang dia mampu berjaya.
“Saya memang serik diejek. Ada rakan-rakan yang mengatakan saya manusia pelik. Tapi, saya tidak endahkannya.
“Saya tahu, lama kelamaan mereka akan berhenti mengejek saya,” katanya.
Darshini yang gemar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik itu bercita-cita ingin menjadi doktor seterusnya dapat membantu mereka yang berhadapan nasib sama sepertinya.
"Sejak ibu dan bapanya bercerai beberapa tahun lalu, datuk adalah segalanya. Saya tidak mahu berjauhan dengan datuk,” katanya.
Ketua Pemuda MIC Baling, M A Ramasamy berkata, pihaknya akan membantu mendapatkan bantuan perubatan untuk Darshini.
“Kita akan cuba sebaik mungkin termasuk soal pembelajarannya,” katanya semasa melawat keadaan Darshini baru-baru ini.
Albino merupakan penyakit keturunan yang berpunca daripada kekurangan pigmen melanin yang terdapat dalam tubuh badan manusia.
Penyakit ini tidak dapat disembuhkan tetapi usaha untuk meningkatkan kualiti hidup antaranya memperbaiki daya penglihatan dan kerosakan kulit dapat dilakukan.
Setakat ini, Afrika Timur negara yang memiliki penderita albino terbanyak di dunia, iaitu sekitar 200.000 orang.
Rumah mewah milik siapa?
4 Ogos 2012
“Jika masih enggan tampil, Kita sedia mendedahkan individu yang dimaksudkan," tegas Bendahari Pemuda Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, H’ng Sau Ping berhubung pemilikan rumah mewah bekas kakitangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang bernilai RM1.8 juta.
Menurutnya, tambah menghairankan, kedudukan rumah mewah beralamat di Jalan Chemor, Georgetown itu difahamkan berada berdekatan antara satu sama lain dengan rumah Guan Eng.
“Kita mahukan Guan Eng beri penjelasan bagaimana seorang bekas kakitangan pejabatnya boleh memiliki rumah semewah itu,” katanya.
Sau Ping berkata, sekiranya rumah berkenaan disewa sekalipun ia masih berada pada kadar bayaran yang tinggi melebihi RM3,500 sebulan.
“Dengan gaji seorang kakitangan pejabat Ketua Menteri, adakah ia mampu memiliki rumah berkenaan.
“Kita mahukan penjelasan daripada Guan Eng tentang perkara ini yang berkemungkinan ada hubungan ‘istimewa’ dengan individu yang dimaksudkan,” katanya.
Katanya, maklumat berkenaan diperoleh daripada pemimpin kanan PKR beberapa hari lalu.
Menurutnya, identiti bekas kakitangan itu perlu dirahsiakan terlebih dahulu dan akan membuat pengumuman sekiranya dirasakan sesuai.
Namun, dakwanya, individu berkenaan masih lagi berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sau Ping berkata, dia memberi masa seminggu kepada Guan Eng untuk tampil beri penjelasan berhubung isu berkenaan dan tidak teragak-agak mengumumkan identiti bekas kakitangan itu sekiranya gagal berbuat demikian.
Patah tangan dibelasah ah long
4 Ogos 2012
Mangsa yang dikenali sebagai Cheng, 48, berkata, dalam kejadian jam 9.45 malam itu, dia berada di luar rumah kerana menyelesaikan urusan bersama rakan, sebelum dihubungi anak saudaranya.
Menurutnya, dalam nada cemas, anak saudaranya itu menyurih dia segera pulang kerana terdapat sekumpulan lelaki berada di hadapan rumah.
"Anak saudara saya turut memaklumkan kumpulan lelaki itu tidak teragak-agak untuk mencederakan anak saudara lelaki saya dan seorang remaja perempuan, jika saya tidak pulang dengan segera.
"Setiba di rumah, baru saya sedari mereka merupakan ah long yang meminta saya melunaskan hutang yang dipinjam kira-kira dua tahun lalu dan mereka terus menangkap serta membelasah saya tanpa sebarang amaran," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Menurut Cheng, dia diheret masuk ke dalam rumah sebelum dipukul lagi sehingga lebih 10 minit menggunakan rotan dan besi pengunci kereta sungguhpun telah merayu belas kasihan.
"Saya meraung kesakitan apabila besi pengunci kereta itu dipukul sekuat hati oleh seorang daripada kumpulan lelaki terbabit ke tangan kiri saya. Saya dipukul bertalu-talu hingga pengsan dan ahli keluarga serta jiran berhampiran hanya mampu melihat.
"Mereka tidak dapat membantu kerana takut turut dicederakan. Saya bangun pagi ini dengan menyedari saya telah berada di atas katil hospital dan diberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Puteh," katanya.
Cheng memaklumkan, dia ada meminjam wang daripada ah long sebanyak RM10,000 untuk membesarkan perniagaan memborong pelbagai jenis sayuran dan hasil perniagaan digunakan untuk membayar hutan dengan kadar RM2,500 seminggu.
Katanya, dia berjaya menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh empat minggu, namun memberanikan diri untuk meminjam kali kedua dari kumpulan sama sebanyak RM5,000.
"Malangnya, saya mula berdepan dengan masalah perniagaan sejak awal tahun ini dan gagal menjelaskan hutang berkenaan yang naik mendadak apabila ditambah kadar bunga," katanya.
Beikutan pengalaman ini, Cheng menasihatkan orang ramai agar jangan meminjam dengan ah long kerana mereka akan bertindak di luar kawal jika gagal membayar hutang.
Pecah amanah RM11.1 juta
4 Ogos 2012
Tertuduh, Tan Boon Huat, 59, dan Tan Kang Wei, 33, dari Sungai Siput mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan, Boon Huat yang juga pengarah serta pemegang saham utama syarikat berkenaan, diamanahkan dengan penguasaan harta tertentu iaitu wang berjumlah RM11,110,678.20, telah melakukan pecah amanah.
Manakala, Kang Wei dituduh bersubahat atas kesalahan dan jumlah wang yang sama.
Mereka berdua dituduh melakukan perbuatan itu di Perak Industrial Corporation Sdn Bhd, Sungai Siput antara 22 September hingga 22 Disember 2009.
Boon Huat didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala, Kang Wei yang bersubahat dengan bapanya itu didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi dua puluh tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa, Raya Syed Faisal Syed Amir memohon wang jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Jerald Gomez memohon agar wang jaminan dikurangkan antara RM25,000 ke RM50,000.
Menurutnya, merujuk kes membabitkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Berhad, Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid yang dituduh di atas pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM100 juta dalam projek pembangunan tanah adat di Sarawak, Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.
Selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak Madihah menetapkan wang jaminan RM800,000 bagi setiap tertuduh masing-masing dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka disimpan di mahkamah dan hanya akan diserahkan jika perlu.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September 2012.
Ahli perniagaan diculik
3 Ogos 2012
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata ketiga-tiga lelaki itu didapati memakai vest polis dan menaiki kereta jenis Proton Waja yang menyerupai kenderaan pelbagai guna (MPV) polis.
Menurutnya, kereta berkenaan juga lengkap dengan pelekat lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kedua-dua pintu hadapan kereta.
"Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi dan mangsa yang berusia 53 tahun sedang dalam perjalanan ke Ipoh sebelum ditahan tiga suspek terbabit di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Tanjung Malim (MPTM)," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Menurut Mohd Dzuraidi, semasa kejadian, dua daripada suspek terbabit telah mengarahkan mangsa untuk menunjukkan kad pengenalannya dengan alasan untuk pemeriksaan.
Katanya, menyedari mangsa mula merasa curiga dengan perbuatan mereka, suspek segera menarik mangsa keluar dari kereta jenis Honda CR-Z yang dipandunya.
"Selepas ditarik keluar dari kereta, mangsa telah digari dan dilarikan menaiki kereta Proton Waja berkenaan menuju ke arah utara.
"Setelah melarikan mangsa sejauh 10 kilometer, ketiga-tiga suspek panik apabila melihat sekatan jalan raya di hadapan laluan mereka," katanya.
Katanya, suspek memberhentikan kenderaan dan meninggalkan mangsa yang masih dalam keadaan bergari lalu cuba melarikan diri ke arah hutan berhampiran.
"Cubaan suspek melarikan diri gagal dan polis berjaya menahan mereka. Hasil siasatan awal mendapati dua daripada suspek berusia 21 dan 25 tahun, bertugas sebagai anggota polis sukarelawan (PVR) di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.
"Seorang lagi suspek yang berusia 25 tahun merupakan seorang pemandu teksi dan setakat ini, semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Beliau menambah, kereta Proton Waja yang digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan dipercayai sebuah kereta curi yang hilang di Seremban pada 20 Julai lalu.
"Ketiga-tiga suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini (semalam) sehingga 5 Ogos untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik," tambahnya.
Kereta dipandu terbalik
4 Ogos 2012
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang setelah kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas menyeberang parit dan terbalik.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ayob Kamisan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian didapati sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam dalam keadaan terbalik.
Menurutnya, setelah menerima panggilan kira-kira jam 1.20 petang semalam, sembilan anggota dari Balai Bomba Pontian, Jalan Alsagoff dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pasukan Bomba mengambil masa 12 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan khidmat jentolak yang kebetulan melalui jalan terbabit.
“Manakala anak mangsa sudah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam di situ. Kedua-dua mangsa hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Sementara itu pihak polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Katanya, mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan selanjutnya.
Penunggang maut di lokasi kejadian
4 Ogos 2012
Kejadian yang berlaku di Kilometer 14 Jalan Sungai Sayong – Kota Tinggi itu menyebabkan mangsa, Ruskan Fadli, 34, yang berasal dari Lamban, Palembang, Indonesia, mati di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suprintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bas pekerja yang dalam perjalanan dari arah Bandar Tenggara sebelum terbabit dalam kemalangan dengan motosikal mangsa di lokasi berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang terseret sejauh beberapa meter mengalami kecederaan dalaman dan mati di tempat kejadian.
“Pemandu bas berusia 42 tahun yang turut membawa seramai sembilan orang penumpang ketika kejadian itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga,” katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suami koma, isteri cedera
4 Ogos 2012
Kemalangan berlaku di jalan Alor Gajah - Pengkalan, di sini menyebabkan suami koma.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Baharudin Rani, 41, dan isteri, Anita Rahim, 36, yang menaiki motosikal roda tiga dari arah pekan Alor Gajah menuju ke JKM, di sini, bertembung sebuah motosikal dinaiki dua remaja dari arah bertentangan.
Remaja berusia 23 tahun bersama rakannya dari arah Pengkalan menuju ke pekan Alor Gajah untuk menghadiri temuduga kerja dikatakan hilang kawalan dan tercampak ke besi pembahagi jalan selepas menyedari motosikal dinaiki pasangan terbabit terjatuh.
Difahamkan, pasangan terbabit yang melalui satu selekoh berhampiran sebuah kuil menyebabkan tempat meletak barang bersebelahan motosikal itu terangkat sebelum terbalik dan dirempuh dengan motosikal dinaiki remaja berkenaan.
Menurut Anita, dia hanya mampu menangis apabila melihat keadaan suaminya itu, sementara dua remaja berkenaan sudah terbaring lemah di tebing jalan.
“Orang awam takut untuk bantu mengangkat suami saya berikutan keadaan suami yang tidak sedarkan diri dan setibanya di hospital keadaan suami semakin lemah dan saya cuba berinteraksi dengannya walaupun tiada sebarang tindak balas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Anita dan suaminya yang berniaga di bazar Ramadan berkata, dia bercadang membeli pakaian raya untuk anak-anaknya, Nurain, 16, Mohd Nuramirul, 14, Nuratikah Syuhadah, 12, Mohd Nuraiman, 7 tahun dan Nuralia Maziah, 3 tahun, selepas mengambil wang berkenaan di JKM.
“Kami bukan orang senang, dengan wang dari JKM dapatlah kami beli sedikit keperluan hari raya, kami ingin melihat anak-anak gembira menyambut Aidilfitri tetapi sekarang yang lebih penting adalah keadaan suami yang sedang bertarung nyawa di hospital," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.
Isteri mangsa langgar lari syukur terima pelbagai bantuan
4 Ogos 2012
Menurutnya, walaupun kejadian berkenaan berlaku hampir tiga tahun lalu, namun dia tidak dapat melupakan bagaimana cemas dan pucat muka anaknya ketika itu.
Menurutnya, ketika kejadian, arwah suaminya, Azmi Sahat dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah sekolah berdekatan sebagai pengawal keselamatan sebelum dikatakan terbabit dalam kemalangan langgar lari pada 7 Ogos 2009.
“Suami akak cedera parah sehingga dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur. Bagaimanapun, dua hari selepas kejadian, suami meninggal dunia dan tahun ini merupakan tahun ketiga kami sekeluarga beraya tanpa arwah.
“Malah, akak kini harus berjuang membesarkan empat anak berusia lima hingga 16 tahun yang mana kesemuanya masih bersekolah. Buat masa ini akak bekerja dengan upah RM20 sehari dan ia sekadar cukup bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Katanya, walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran hidup, dia berasa bebannya berkurangan apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
“Keluarga sebelah arwah juga banyak membantu sejak ketiadaannya. Malah, akak berasa sangat gembira apabila PPD Rembau bersama Ahli Undangan Negeri Chembong (Adun) Chembong, Zaifulbahri Idris, berkunjung ke rumah dan menyampaikan sumbangan untuk persiapan raya ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai PPD, Datin Naemah Ahmad Dahalan berkata, program yang masuk tahun ketiga perlaksanaannya itu membabitkan sebanyak 40 keluarga daripada 18 sekolah.
“Pada tahun pertama perlaksanaannya, kita hanya memilih sembilan keluarga dan tahun kedua sebanyak 28 keluarga. Bagaimanapun, susulan mendapat reaksi positif daripada banyak pihak, kita berjaya meningkatkan jumlah dana dan tahun ini lebih banyak lagi keluarga dibantu,” katanya.
Hidup di celah rumah ibu, kakak
4 Ogos 2012
Hanya bersaiz 3 x 4 meter, ia terlalu sempit untuk didiami tiga individu, tetapi hanya itu yang termampu disediakan keluarga ini.
Bukan itu sahaja, bumbungnya hanya beberapa jengkal di atas kepala ketua isi rumahnya, Mahadi Yusuf, 42.
Rumah ini pula dibina antara dinding rumah ibu dan kakaknya bagi membolehkan tiga beranak ini berlindung sejak 14 tahun lalu.
Jika dilihat dari luar, mungkin ramai tidak menyangka ruang sempit dan agak tersorok itu berpenghuni.
Tanpa ruang dapur dan bilik tidur, segala aktiviti dilakukan di sudut sama.
Bergantung duit bantuan
Dia yang dilahirkan bisu pasrah dengan ketentuan Ilahi dan hanya bekerja kampung bagi menyara isteri, Nadamurni Abdullah, 37, yang juga bisu serta anak tunggal, Nor Alia Farhana, 14, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Periok.
Selain itu, Mahadi turut menerima bantuan orang kurang upaya (OKU) RM120 sebulan.
Duit itulah digunakan Mahadi untuk menyara keluarga mereka sekiranya tidak mempunyai sebarang kerja untuk dilakukan.
Tiada bantuan lain
Duit itu jugalah digunakan untuk kos pengangkutan isterinya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mendapatkan rawatan susulan setelah menjalani pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu.
Setiap kali ke HUSM mereka perlu mengeluarkan belanja sekitar RM90 untuk pengangkutan pergi dan balik.
Anaknya yang dilahirkan normal, tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya menerima duit Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) ketika di sekolah rendah.
Tolong setakat termampu
Abang Nadamurni, Aziz, 45, berkata, mereka adik-beradik turut membantu mereka setakat yang termampu. Menurutnya, mereka juga kurang berkemampuan.
“Saya berharap mereka dipertimbangkan untuk mendapatkan rumah. “Pendapatan diperoleh setakat ini hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja,” katanya.
Tidak tahu masalah Mahadi
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim ketika dihubungi berkata, tidak mengetahui tentang masalah dihadapi keluarga ini.
Beliau berjanji akan turun melihat permasalahan tersebut.
“Saya akan melihat kehidupan mereka dan menghulur wang zakat dalam masa terdekat,” katanya.
Hujan air batu gemparkan Jertih
4 Ogos 2012
Dalam kejadian hujan lebat kira-kira jam 6.55 petang itu, ia menggemparkan penduduk kampung antaranya di Seberang Jertih, Balik Bukit, Padang Luas, Bandar Jertih dan beberapa kampung lain dengan fenomena luar biasa itu.
Bagaimanapun tiada kemalangan mahupun kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu tetapi penduduk menyifatkan bencana itu adalah paling teruk dalam tahun ini.
Saksi, Wan Azha Wan Ahmad, 50, berkata, kejadian hujan air batu berserta ribut itu berlaku dalam tempoh 15 minit dan menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan mengambil air batu tersebut untuk melihatnya.
Menurutnya, kejadian itu amat jarang berlaku menyebabkan ia menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan orang ramai.
“Air batu tersebut tidak bertahan lama dan cair selepas beberapa minit,” katanya.
Seorang peniaga kedai barangan elektrik di bandar Jertih, Foo Fay Jong, 50, turut mendakwa seketul air batu sebesar bata jatuh di atas jalan raya di bandar itu berhampiran kedainya pada masa kejadian.
Bagaimanapun katanya mujur ia tidak menimpa orang ramai.
Sementara itu, Timbalan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Jertih, Baharom Said berkata, dalam kejadian itu sebuah rumah di Kampung Gerai mengalami kerosakan bahagian bumbung dapur akibat dipukul ribut.
Bagaimanapun penghuni rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengurus kena dua saman sehari
3 Ogos 2012
Pengurus tersebut, Sam Shaw Xiang 33, berkata, dia yang kerap berulang alik dari Mentakab ke Kerdau melalui jalan itu setiap hari terkejut apabila menerima saman itu yang lengkap dengan gambar kenderaan dipandunya.
“Saya tidak marah kepada polis, tetapi terkejut kerana sepanjang menggunakan jalan itu ini adalah yang pertama dikenakan saman.
“Mungkin ini adalah cara terbaik pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kerap berlaku di kawasan itu.
“Kepada rakan-rakan lain saya nasihati supaya berhati-hati kerana kawasan ini sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Shaw Xiang berkata, dia mencadangkan supaya had laju dibenarkan di kawasan itu dinaikkan dari 60 kepada 80 kilometer sejam untuk lebih adil kepada pengguna jalan raya.
Mengikut sumber polis, sepanjang Jun lalu, sebanyak 3,781 saman dikeluarkan pihak polis kepada pengguna jalan raya di kawasan itu sahaja.
Pada Julai lalu, jumlah saman dikeluarkan berkurangan kepada 2,045 sahaja berikutan orang ramai mula sedar kawasan terbabit dilengkapi CCTV.
Mekanik mengaku belasah teman wanita
4 Ogos 2012
Akibat perbuatannya itu, tertuduh, Faizullah Abdullah, 24 dari Kampung Baru Pandan 2, Batu 5, Jalan Gambang dekat sini diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sehari dan didenda RM2,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Hukuman dijatuhkan Majistret Nurulnaim Abdullah manakala pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Abu Bakar.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menemui teman wanitanya itu di sebuah rumah di Lorong Alor Akar 30, di sini sebelum kejadian.
Bagaimana pun pertemuan kira-kira jam 2 pagi itu berakhir dengan pergaduhan akibat satu perselisihan faham dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.
Berang dengan sikap teman wanitanya, tertuduh bertindak mencederakan gadis itu menggunakan penyapu aluminium dan cotar hingga cedera di beberapa bahagian badan.
Mangsa yang ketakutan membuat laporan polis selepas kejadian sehingga membawa kepada penahanan tertuduh untuk siasatan lanjut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sindiket curi kenderaan tumpas
4 Ogos 2012
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, sindiket itu aktif melakukan jenayah dengan menyasarkan kenderaan lama sejak Mac lalu dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000.
Menurutnya, hasil intipan, polis cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berjaya menahan lima daripada lapan lelaki ketika sedang memunggah masuk barangan ke dalam sebuah lori.
“Dalam serbuan pertama, polis merampas pelbagai peralatan curi termasuk pemotong besi bersama hos gas, gas memasak, kuku kambing dan alat membuka kenderaan.
“Hasil soal siasat mendapati mereka sudah melupuskan sebanyak 13 kenderaan curi sejak aktif melakukan kegiatan itu. Kita juga berjaya menahan tiga lagi lelaki warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penjual barangan curi tersebut,” katanya pada sidang media di IPD, semalam.
Zundin berkata, tidak lama selepas serbuan pertama, polis menyerbu sebuah rumah di hadapan kem Batu 5 Jalan Karak dan berjaya menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an bersama pelbagai barangan kenderaan dileraikan.
“Dengan tertangkapnya lapan lelaki terbabit, polis percaya dapat merungkaikan satu sindiket mencuri, melupus dan menjual alat ganti kenderaan lama.
“Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Wujudkan penempatan baru elak kecelaruan agama
3 Ogos 2012
Tok Batin Kampung Putra, Awang Lijon berkata, perubahan gaya hidup masyarakat Orang Asli di kampung itu sejak 30 tahun lalu menyebabkan pegangan agama yang dianuti turut berubah.
Menurutnya, meskipun bukan semua masyarakat Orang Asli menerima setiap perubahan secara drastik, namun ia beransur-ansur mengikut peredaran masa.
Salah satu perubahan ketara dari segi pegangan agama yang mana hampir separuh masyarakat Orang Asli yang menghuni sesebuah kampung sudah memeluk Islam.
Selebihnya masih berpegang kepada fahaman animisme atau menganut agama lain seperti Kristian.
“Apa yang menjadi masalah adalah sesudah mereka bertukar agama, mereka masih tinggal serumah dengan ahli keluarga berlainan agama.
“Kebanyakan masyarakat Orang Asli beragama Islam masih belum memahami sepenuhnya batasan sebagai umat Islam,” katanya.
Katanya, keadaan ini menyebabkan berlaku campur aduk dan kekeliruan agama apabila dalam sebuah keluarga ada yang berpuasa dan sebaliknya.
“Ini juga menyebabkan berlaku gangguan ibadah bagi mereka yang beragama Islam. Akhirnya, ada yang ikut sama tidak berpuasa gara-gara terpengaruh dengan ahli keluarga lain yang bukan Islam.
“Begitu juga dari segi akhlak misalnya meminum minuman keras, pergaulan, solat malah ada yang membela anjing di rumah,” katanya.
Justeru itu, Awang Lijon berkata, penduduk di Kampung Putra menyatakan persetujuan supaya penempatan khas bagi masyarakat Orang Asli beragama Islam diwujudkan di negeri ini.
“Ini kerana sudah ramai Orang Asli yang memeluk Islam dan sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.
Sementara itu menurutnya, terdapat seramai 360 penduduk di kampung berkenaan dan kira-kira 170 daripadanya beragama Islam.
“Kita pernah berbincang dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini dan mencadangkan kawasan tanah lapang milik Yayasan Negeri Sembilan di belakang Mardi Simpang Durian sebagai lokasi penempatan baru.
“Bagaimanapun, bergantung kepada keputusan Kerajaan Negeri sama ada bersetuju atau tidak dan kami hanya menuruti sahaja,” katanya.
Difahamkan, Kampung Putra berjaya mencuri tumpuan masyarakat Orang Asli dari seluruh Jelebu sejak terbinanya Sekolah Kebangsaan (SK) Putra beberapa tahun lalu.
Selain sekolah, kampung itu turut mempunyai kelengkapan surau.
Pas mampu halang judi
4 Ogos 2012
Bagi tujuan itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta rakyat berdoa sepanjang Ramadan ini supaya unsur-unsur memasukkan semula judi di negeri ini dapat dihalang.
Amanat itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Teknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi bagi mewakili Nik Abdul Aziz semalam sempena penyampaian sumbangan di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV.
Menerusi pesanan tersebut Che Abdullah menyatakan rakyat boleh menentukan masa depan Kerajaan Kelantan dengan mematahkan cubaan untuk menghidupkan judi jika Pas masih lagi berkuasa di negeri ini.
Beliau berkata, dua hadiah yang menanti rakyat selepas PRU13 nanti dan masyarakat sendiri boleh memilih untuk meneruskan kelangsungan Pas mahupun menukar kepada BN.
“Jika pilih Pas sudah hadiahnya sudah pasti judi tidak akan hidup di negeri ini dan kita sendiri dapat melihatnya sejak tahun 1990 semasa pemerintahan parti ini kegiatan itu tidak dibenarkan.
“Sebaliknya dengan memilih BN rakyat sendiri boleh menilainya, adakah hadiah itu yang rakyat mahukan?,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, sejak pemerintahan Pas, orang bukan Islam juga turut berterima kasih apabila judi dibendung kerana didapati kekecohan keluarga berpunca daripada kegiatan itu dapat diatasi.
Pada program itu, seramai 334 orang fakir miskin menerima sumbangan wang dan pek makanan.
Hadir sama Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Mohd Anis Hussein dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Mohd Sabri Abdullah.
Penerima mendapat bantuan wang RM100 setiap seorang serta bekalan makanan dan biskut raya yang merupakan sebahagian peruntukan RM50,000 daripada pihak PKINK yang disumbangkan kepada program Ihya’ Ramadan tahun ini.
Pada majlis itu juga, Pengurus Cawangan Mydin Kubang Kerian, R. Naidu turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Tabung Ihya’ Ramadan.
No comments:
Post a Comment