Sebarkan! Wajah Kanak-kanak Mati Didera
Tidak ada sebarang maklumat lanjut mengenai dirinya.
Mengikut pihak polis, dia telah meninggal dunia selepas dihantar oleh seorang wanita ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28hb Julai 2012.
Pihak Polis dengan itu memohon kerjasama dan bantuan waris atau ahli keluarga kepada kanak-kanak yang didera itu agar tampil membantu siasatan.
Sebarkan maklumat dan nombor di atas bagi memudah usaha mengesan manusia kurang ajar yang mendera kanak-kanak ini sehingga mati dapat dikesan.
*Kepada manusia-manusia hina yang hidup dengan mendera kanak-kanak, admin harapkan anda mati dalam keperitan dan berdoa agar tempat anda kelak adalah di neraka!
Sekiranya anda mengetahui mana-mana kes dera yang lain, sila hubungi polis atau talian Nur – 15 999
Oleh: AK-47
Adun Kelaboran dan Abby nafi sudah bernikah
SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim menafikan beliau telah bernikah dengan artis Abby Abadi, yang bulan lalu menyertai Pas sebagai ahli seumur hidup.
Wakil rakyat Pas itu menegaskan, segala apa yang diperkatakan menerusi blog dan twitter pro-Umno sejak awal minggu ini adalah satu fitnah dan tohmahan yang tidak benar sama sekali.
Katanya, itu semua adalah permainan politik yang mahu menjatuhkan karier beliau.
Ditanya pernahkah beliau berjumpa Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan sebelum ini, Mohd Zaki, 41, menjelaskan, beliau hanya baru sekali berjumpa dengan Abby ketika artis itu diundang menjadi penceramah pada sebuah program dianjurkan di kawasan beliau, 3 Julai lalu.
“Saya berharap hentikan segala penyebaran cerita yang tidak benar ini terutama pada bulan Ramadan ini kerana sesungguhnya fitnah itu adalah satu perbuatan buruk dan tolong hormati bulan Ramadan yang penuh barakah ini dengan tidak menyebarkan sebarang fitnah.
“Saya masih memberi masa kepada pihak yang bertanggungjawab menyebarkan cerita ini agar tarik balik kenyataan fitnah itu sempena Ramadan ini dan jika dia enggan berbuat demikian, baru saya akan fikir untuk mengambil langkah seterusnya, yang dirasakan wajar demi membersihkan nama saya,” kata bapa kepada lima cahaya mata ini.
Abby pantas menjawab dakwaan mengenai perkara itu menggunakan medium laman sosial twitter sebagai platform menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan Mohd Zaki tetapi tetap meminta peminatnya agar mendoakan semoga jodohnya cepat sampai.
Seorang pengikut twitternya @wariechemanan bertanya kepada Abby, “hai abby… betulkah cerita saya dengar you dah kahwin dengan YB Kelaboran” dan Abby menjawab pertanyaan itu sambil menegaskan, itu semua fitnah semata-mata.
Abby turut menambah, ini bukan kali pertama dia mendapat ‘jodoh’ hasil cakap-cakap orang ramai dan menerima gosip sebegini sebagai asam garam dan lumrah kehidupan apabila dirinya terbabit dalam dunia politik.
Sinar
Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey
SHAH ALAM – Jika sebelum ini heboh mengenai hubungan kurang baik antara Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama Abby Abadi, tetapi gambar Abby bersama Memey dalam persalinan telekung, yang dikongsi dengan peminat mereka menerusi laman twitter semalam, menjawab segala persoalan berkaitan selama ini.Bulan Ramadan mulia namapknya telah menyatukan keluarga ini.
“Sekarang hubungan kedua Abby dan Memey sudah baik dan menjadi semakin mesra sejak 7 Ramadan lalu. Seperti ramai sedia maklum sebelum ini, hubungan kami tidak begitu baik dan jikalau bertemu pun hanya untuk tujuan mengambil dan menghantar anak dan komunikasi terbatas di antara kami bertiga.
“Tetapi mungkin disebabkan berkat bulan Ramadan serta doa yang selama ini tidak putus-putus saya dan masyarakat sekeliling mendoakan, akhirnya tercapai juga impian itu,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 2008.
Norman menambah: “Saya sendiri tidak menyangka perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan hari itu hari Jumaat, kami bertemu di sekitar Masjid (Negeri) Shah Alam kerana Abby ada program di sana sebelum saya bawa anak-anak balik ke Kuantan untuk berpuasa di kampung dan dengan tidak semena-mena Abby menarik Memey ke tepi lantas terus berpelukan dalam tempoh yang agak lama.”
“Saya dan anak-anak hanya memerhati dari tepi kereta. Tentunya perasaan saya dan anak-anak sangat gembira kerana mereka kini telah berbaik, malah anak-anak turut bersorak mengatakan ‘yeay, mama dan mummy dah berkawan’!” kata Norman lagi.
Norman, 36, turut memberitahu sebagai seorang Muslim, dia tidak pernah berhenti dan berputus asa daripada berdoa demi kesejahteraan keluarganya dan sekarang segala doa itu sudah dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T. dan berharap perkara ini akan berkekalan buat selama-lamanya.
Semalam, Abby, 35, telah memuatnaikkan dua gambar terbarunya menerusi akaun twitter menunjukkan dia dan Memey, 24, bergambar dalam keadaan mesra beserta mesej “doakan yang terbaik untuk kehidupan kami berdua dunia dan akhirat” dan satu gambar mereka sekeluarga berbuka bersama.
Selain itu, Abby, pelakon drama Gerak Khas turut memberitahu dia juga sempat bersembahyang Maghrib bersama berimamkan bekas suaminya itu.
Sementera itu, ketika diminta mengulas mengenai kisah politik Abby yang semakin serius menceburi bidang itu kebelakangan ini, Norman berkata, dia tidak pernah mencampuri hal itu dan berkata perkara itu adalah hak dan kebebasan seseorang individu untuk menentukan hala tujunya sendiri.
“Jika kami bertemu, tidak pernah sesekali saya bertanyakan mengenai perkara itu. Kami hanya banyak berkomunikasi mengenai masa depan dan perkembangan pendidikan anak-anak kami, Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania, 7, dan Maria Danisha, 4.
“Saya sangat menghargai Abby menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya dan lain-lain hal mengenai dia saya tidak mahu masuk campur kerana itu adalah hak dia,” kata Norman.
“Kami berdua juga masih dalam perbincangan untuk menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz dan mengerjakan umrah bersama mungkin selepas Memey bersalin nanti,” katanya.
Memey yang kini tiga bulan hamil dijangka melahirkan anak Februari depan.
“Anak sulung, Danish sangat teruja mengenai rancangan umrah ini dan tidak sabar-sabar untuk pergi ke sana bersama kedua-dua mama dan mummynya turut serta,” tambah Norman.
Sementara itu, Memey yang dihubungi Fara Fauzana, deejay Hot FM, menyatakan memang benar mereka berdua sudah berbaik dan semalam mereka berbuka puasa bersama di rumah Abby.
Norman dan Abby sebelum ini disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur pada 2008 selepas bercerai buat kali pertama pada 5 Mei 2006.
Norman berkahwin dengan Memey pada 24 September lalu.
Sinar
Dihasut murtad ketika berbuka
GEORGETOWN – Ketika sedang berbuka puasa di sebuah pusat membeli belah, Mohd Noor Farid Mohd Alwi, 28, dan tiga lagi rakannya didatangi dua lelaki asing yang juga dipercayai pelancong luar negara.Pada masa itu, dia dan rakan hanya menunggu waktu untuk berbuka puasa, sementara dua lelaki yang dipercayai pelancong itu mendekati mereka secara tiba-tiba.
Mohd Noor Farid berkata, pada mulanya dia menyangka lelaki berkenaan mahu bertanya jalan atau tempat.
“Kami tertarik kerana ada juga pelancong asing yang mahu bertanya tentang puasa sedangkan mereka bukan orang Islam, mereka tanya ‘kamu berpuasa ya?’ dalam Bahasa Inggeris dan kemudiannya kami mengangguk dan bercerita waktu bersahur dan berbuka.
“Soalan mereka tidak sampai di situ sahaja kerana mereka bertanya kenapa perlunya umat Islam berpuasa.
“Saya dan rakan-rakan jawab dengan penuh keyakinan dan kami saling menyampuk untuk menjawab soalan ‘mat saleh’ berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hampir 15 minit berlalu menceritakan ibadah berpuasa umat Islam, lelaki asing terbabit menanyakan soalan yang agak mengejutkan Mohd Noor dan rakannya yang lain.
“Kenapa kamu perlu percaya kepada tuhan kamu? Mari percaya kepada agama kami,” kata lelaki berkenaan tanpa ragu-ragu.
Agak lama bercerita mengenai agamanya, lelaki berkenaan seolah-olah menyampaikan dakyahnya dalam keadaan yang amat halus dan seolah-olah memujuk.
Namun, Mohd Noor Farid dan rakannya cuba mematikan perbualan dengan alasan mahu berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib segera.
Menurutnya, ia adalah kali pertama kejadian sebegitu berlaku ketika dia berkunjung ke pusat membeli-belah.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan dan seolah-olah mereka bebas dan tidak menghormati kita yang beragama Islam.
“Tindakan perlu diambil memandangkan mereka bukan penduduk negara ini dan hanyalah pelancong, sudah begitu berani mendekati dengan cara sedemikian rupa, nasib baik saya bersama kawan-kawan, jika berseorangan bagaimana,” katanya.
Bukan itu sahaja, melalui tinjauan dalam laman sesawang Facebook, Sinar Harian menemui seorang pengguna yang juga anggota sukarelawan berkongsi gambar yang disyaki dua pelancong asing sedang menyampaikan ceramah agama kepada seorang lelaki Melayu Islam.
Gambar yang dirakam sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling itu mendapati dua lelaki bangsa asing sedang berbual dengan pengayuh beca yang sedang berehat.
Melalui laman berkenaan, pengguna Facebook Asti Toba berkata, gambar berkenaan dirakamkan semasa mereka menjalankan program mengumpul data golongan gelandangan.
Namun, tiba-tiba terdengar perbualan dua ‘pelancong’ dengan seorang pengayuh beca yang tidak berumah.
“Apa yang mengejutkan saya, dua ‘pelancong’ itu tadi memberikan ceramah agama, bukan agama Islam sedangkan pakcik berkenaan ialah orang Islam.
“Dipercayai mereka ialah ketua agama dan menyamar sebagai pelancong, malah dia juga menyogok pakcik berkenaan dengan RM50 dan berkata, ‘Muhammad tidak betul,” katanya.
Itu antara cerita yang dikongsi Asti dan tidak ketinggalan dia juga sempat memberi nasihat kepada penduduk Pulau Pinang supaya berhati-hati.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pandangan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Salleh Man Mat Aji.
Salleh Man berkata, setakat ini dia masih tidak menerima sebarang aduan mengenai kes sedemikian.
Menurutnya, namun tidak dinafikan Jabatan Mufti Pulau Pinang ada menerima beberapa risalah penyebaran agama yang diedarkan kepada orang ramai.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia berlaku semasa bulan Ramadan bulan yang amat suci buat umat Islam.
“Bila ada perkara sebegini sememangnya menggusarkan kita dan sekiranya terdapat aduan dari orang ramai boleh segera ke Jabatan Mufti kerana di sana ada bahagian yang akan menguruskan aduan sebegini,” katanya.
Beliau juga menegaskan terdapat enakmen yang diperuntukkan sekiranya mendapati sememangnya ada pihak yang cuba memesongkan akidah umat Islam secara terang-terangan.
“Kita memang boleh ambil tindakan namun wajah individu berkenaan perlu dikenal pasti supaya dapat membuat pencegahan, dan saya ingin nasihatkan kepada umat Islam di negeri ini supaya ambil langkah berjaga-jaga.
“Tambahan lagi sekarang bulan Ramadan, pelbagai ujian yang datang dan kita perlu hadapi dengan baik dan tidak terpesong,” katanya.
Sinar
Tolong jaga anak saya baik-baik’, pesan Siti sebelum maut bersama suami
KUALA LUMPUR – “Tolong jaga anak saya baik-baik,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Siti Noor Edayu Roslan, 26, kepada penjaga anaknya sebelum dia bersama suaminya, Mohd Hafeeze Mohd Hanafi, 30, maut dalam kemalangan di Jalan 15/56 AU3, Keramat, di sini, pagi semalam.Bapa Allahyarham Siti Noor Edayu, Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Roslan Jalil, berkata dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir anaknya setelah dimaklumkan oleh penjaga cucunya.
Menurutnya, ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana mereka semua menanti kelahiran anggota keluarga baru.
Pasangan itu meninggalkan seorang anak lelaki, Mohd Hanif Hafeeze berusia dua tahun.
Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, Hafeeze bersama Edayu Roslan yang hamil tujuh bulan, baru menghantar anak sulungnya di rumah pengasuh.
Hafeeze, seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan di sini dalam perjalanan menghantar Edayu yang berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat di Cheras.
Kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh dari belakang oleh sebuah bas semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning, berkata mangsa dirempuh bas yang datang dari arah Flat Polis Cempaka menghala ke Taman Setiawangsa.
“Kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kegagalan pemandu bas mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu melanggar mangsa yang sedang berhenti di belakang sebuah bas sekolah yang lain di persimpangan itu,” katanya.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan pasangan itu tersepit di antara dua bas. Hafeeze maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Kita masih menyiasat kejadian tersebut. Ia berkemungkinan berpunca daripada kegagalan sistem brek bas terbabit,” katanya.
Beliau berkata, mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, saksi Saiful Azhar Ismail berkata, kemalangan tragis itu berpunca daripada bas yang dipandu laju ketika menuruni bukit yang curam sehingga gagal dikawal dan bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal.
Menurutnya, dia dalam perjalanan ke tempat kerja melihat bas sekolah yang menuruni bukit dengan laju cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh pasangan itu.
“Sebelum melanggar motosikal itu, saya nampak bas tersebut cuba mengelak kereta jenis Mercedes, lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa di hadapannya, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas,” katanya.
Menurutnya, kemalangan maut itu melibatkan sekurang-kurangnya sembilan kenderaan iaitu dua bas, lima kereta dan dua motosikal.
Sinar
13 tahun koma dilanggar kereta
BACHOK: “Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along,” rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.
Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.
Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.
Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.
Harian Metro
Suami ganas dipenjara 15 bulan
KOTA BHARU – Seorang lelaki yang sedang dipenjara dua tahun kerana membelasah isterinya dengan kayu hoki terpaksa menjalani hukuman tambahan selama 15 bulan lagi dengan satu sebatan selepas Mahkamah Majistret di sini semalam menyabitkan kesalahan tertuduh kerana memukul mangsa yang sama dengan topi keledar.Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Asri Ahamed @ Mohammad, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Ketika kejadian, Mohd. Asri yang merupakan seorang kedi golf didakwa memukul Nik Rosdiana Mohamed, 22, dengan topi keledar sehingga mencederakan mangsa di kantin Kelab Golf dan Desa Kelantan, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 8 malam, 3 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Kosmo
China larang pegawai, pelajar berpuasa
BEIJING – Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, barat daya China melarang para pegawai dan pelajar beragama Islam daripada berpuasa pada bulan Ramadan.Tindakan itu mendorong sebuah kumpulan hak asasi memberi amaran keganasan terbaharu akan berlaku di rantau berkenaan.
Pekeliling yang disiarkan di beberapa laman web pemerintah meminta pemimpin Parti Komunis supaya mengehadkan aktiviti keagamaan penduduk Islam sepanjang bulan puasa termasuk berpuasa dan berkunjung ke masjid.
Xinjiang dihuni oleh sembilan juta etnik minoriti Uighur yang beragama Islam.
Penduduk Islam sebelum ini mendakwa sering menjadi mangsa penganiayaan pemerintah China.
Keganasan etnik terburuk berlaku di Xinjiang pada 2009 apabila penduduk Uighur menyerang bangsa Han di bandar Urumqi yang menyebabkan 200 orang terbunuh. – AFP
Penyembelihan terbaru di pinggir Damsyik, 25 dibunuh
Bandar ini telah diserang dan digempur sejak 6 hari lalu (serangan berlaku dari Bukit Qasiyun dan dari berek tentera yang berdekatan). Maka tindakan ini telah memaksa kebanyakan penduduk melarikan diri.
Semalam, askar rejim Syria telah memulakan operasi dengan menyerang rumah-rumah milik penduduk, mencuri, merampas harta benda dan membakar rumah-rumah. Mereka membunuh sesiapa sahaja dari kalangan penduduk awam di pertengahan jalan. Bandar tersebut kini musnah dan ranap sama sekali.
Bilangan yang terkorban mencecah puluhan orang. Terdapat dari kalangan mereka yang dibunuh dengan cara disembelih, ada yang dibakar hidup-hidup, ada yang ditembak dalam keadaan tangan diikat. Jumlah kematian setakat ini yang mampu dihitung seramai 27 orang manakala bilangan yang cedera lebih 100 orang.
No comments:
Post a Comment