Sunday, July 8, 2012

BILA TERANG2 MELAKUKAN MAKSIAT@DOSA...IA SEOLAH2 MENCABAR KEKUASAAN ALLAH SWT...BERJAYA SYAITAN MENYESATKAN MANUSIA...

Cucu saksi datuk dirempuh lori


ORANG ramai melihat lori yang dipandu oleh Mohd. Hamzah (gambar kecil) merempuh pokok rhu manakala di sebelahnya ialah lori yang melanggarnya dari belakang dalam kemalangan di Marang, Terengganu semalam.



MARANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang seronok menunggu kepulangan datuknya terpaksa menjadi saksi warga tua itu terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawanya di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pulau Kerengga di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45, pagi itu, Farah Syazira Mohd. Norham Shamsuddin sedang dipangku oleh neneknya, Normah Abdul Razak, 49, ketika menunggu kepulangan Mohd. Hamzah Ismail (gambar kecil), 51, daripada mengambil bekalan buah tembikai untuk dijual di gerainya di situ.
Namun sebaik sahaja Farah Syazira ternampak lori yang dipandu datuknya itu yang lebih mesra dipanggil 'ayah', kenderaan itu terus dirempuh sebuah lori lain dari belakang.
Akibatnya, lori itu terbabas dan melanggar sebatang pokok rhu di hadapan isteri dan cucunya.
"Cucu saya (Farah Syazira) beritahu, datuknya dah nak sampai bila nampak lori suami saya memberi isyarat untuk masuk ke tepi jalan.
"Tiba-tiba kami yang duduk di sebuah pangkin tidak jauh dari situ nampak sebuah lori lain dalam keadaan laju telah melanggar belakang lori suami saya," kata Normah ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Katanya, muka Farah Syazira menjadi kebiru-biruan manakala anak perempuannya yang berusia 24 tahun pula hampir pengsan melihat Mohd. Hamzah yang berlumuran darah tersepit di tempat duduk pemandu.

Empat korban nahas ketika berbual di tepi jalan

TAMPIN - Empat orang termasuk tiga beranak menemui ajal selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 4, Jalan Tampin-Gemas di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, H. Duraiswami, 34, isteri, A. Mere Minna, 37 dan anak lelaki mereka, Kugan, 2, maut di akibat cedera parah di kepala dan badan.
Turut terkorban dalam kejadian itu ialah rakan Duraiswami yang dikenali sebagai Samugam, 60.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika tiga beranak itu yang menaiki sebuah motosikal berhenti di bahu jalan untuk berjumpa dengan Samugam.
Katanya, secara tiba-tiba sebuah lori dari arah belakang dipercayai terbabas dan merempuh kesemua mangsa tersebut.
"Ekoran kejadian itu, Mere Minna dan anaknya maut di tempat kejadian manakala suami mangsa dan seorang lagi pejalan kaki disahkan mati ketika mendapat rawatan di Hospital Tampin," katanya di sini semalam.
Katanya, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 31 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa baham buaya ditemui



ANGGOTA polis mengangkat mayat Derahman selepas ditemui di Sungai Angkaras, Betong, Sarawak semalam.



BETONG - Mayat seorang pemotong rumbia yang disambar buaya ketika mangsa membasuh tangan di Sungai Meruang di sini pada Khamis lalu ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan beberapa anggota badannya hilang.
Mayat Derahman Chali, 55, ditemui kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian di Sungai Angkaras dekat Kampung Medang dengan kepala, tangan kanan dan kedua belah kakinya hampir putus manakala tangan kiri, leher dan separuh daripada badannya hilang.
Kedua-dua sungai itu adalah anak Batang Saribas.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustada berkata, mayat mangsa dilihat tersangkut pada sebatang kayu dengan keadaan perutnya terburai ketika ditemui penduduk pada pukul 7 pagi semalam.
"Ahli keluarga mangsa telah melakukan pengecaman dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

'Saya tak serik datang ke Malaysia'



MOHD. MOKHTAR menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek sambil diperhatikan oleh Rita Zahara di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Personaliti televisyen Singapura, Rita Zahara Mohd. Nazeer mengakui dia dan keluarganya masih trauma selepas disamun dua lelaki ketika berhenti di Jalan Susur 5, Larkin di sini pada 1 Julai lalu.
"Apa yang boleh dikatakan, sekarang ini keluarga saya masih trauma namun saya tidak serik (ke Malaysia) kerana kejadian sebegini boleh berlaku di mana-mana sahaja," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Rita Zahara, 37, bagaimanapun lega selepas tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu ditangkap di Felda Ulu Tebrau di sini pada Rabu lalu bersama dua pucuk pistol serta selaras senapang patah.
Mengimbas semula kejadian, Rita memberitahu, dia memberhentikan kereta Nissan Sunny yang dipandu untuk membeli buah-buahan di kawasan itu sementara dua anak, kakak dan pembantu rumah menunggunya di dalam kenderaan yang enjinnya masih hidup pada pukul 12.40 pagi.
Dua lelaki kemudian melarikan kereta itu dan membebaskan empat mangsa di dalamnya dalam keadaan selamat di Kampung Nora, Ulu Tiram dua jam kemudian kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Remaja ditahan kes buang bayi

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki dipercayai bapa kepada bayi malang yang diletakkan di dalam beg sandang selama 17 jam selepas dilahirkan, ditahan di Kampung Cherang Guling, Marang dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya pukul 4 pagi dan direman bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati remaja berusia 16 tahun yang melahirkan bayi itu dan suspek bukan pasangan kekasih tetapi melakukan hubungan seks secara suka-suka sebanyak dua kali pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan seorang pelajar sebuah sekolah asrama dekat sini ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mengadu sakit perut.
Selepas bersalin, remaja perempuan itu kemudian menyorokkan bayinya di dalam beg sekolah sebelum diserahkan kepada rakannya yang tidak mengetahui beg itu berisi bayi.
Bedah siasat mendapati kepala bayi berkenaan lebam dan terdapat cecair di dalam paru-parunya tetapi punca sebenar kematian bayi itu masih disiasat.

Rayu Nurayu pulang selepas empat tahun hilang




MELAKA - Keluarga Nurayu Nasir (gambar), 24, yang melarikan diri dari rumah bersama teman lelakinya sejak empat tahun lalu dirayu pulang kerana ibunya kini dimasukkan ke hospital kerana penyakit darah tinggi.
Kakaknya, Melati, 31, berkata, emaknya, Asnah Aman, 51, kini sering sakit dan merindui Nurayu sejak kebelakangan ini.
"Emak sekarang selalu sakit-sakit. Kakak harap adik (Nurayu) pulang jenguk emak," ujarnya ketika ditemui di Taman Pertam Jaya di sini semalam.
Menurut Melati, Nurayu lari dari rumah ketika dia berusia 20 tahun dan anak keempat daripada 10 beradik itu menghilangkan diri setelah tidak pulang semula ke rumah selepas keluar pergi membeli barang ke kedai runcit kira-kira pukul 9 pagi pada 26 Ogos 2008.
"Sebelum keluar, adik hanya tinggal berdua di rumah bersama nenek dan beritahu dia hendak ke kedai. Namun setelah tidak pulang hingga pukul 12 tengah hari, nenek menghubungi ayah," katanya.
"Ayah menghalang percintaan adik kerana mahu dia yang baru menerima keputusan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) ketika itu melanjutkan pengajian di universiti," jelasnya.
Sesiapa yang mengenali Nurayu diminta menghubunginya di 019-771 8766 atau ibunya di 010-501 8899.

Ella sah jadi isteri Azhar



AZHAR HUSAINI menyarungkan cincin pada jari Ella selepas mereka diijabkabulkan di Klang malam tadi.



KLANG - Ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, sah bergelar isteri kepada seorang juruterbang syarikat penerbangan Firefly, Azhar Husaini Ghazali, 31, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan mereka di sini malam tadi.
Pasangan itu ditunangkan pada pukul 10 malam sebelum majlis akad nikah kira-kira 30 minit kemudian yang diuruskan oleh Penolong Pendaftar Nikah Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar.
Pada majlis yang berlangsung di rumah abangnya, Mohd. Noor Izam, Ella menerima mas kahwin berjumlah RM50,300 manakala wang hantaran dirahsiakan.
Rombongan lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.Ella ketika ditemui malam tadi bersyukur kerana majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu berjalan lancar.

Roti canai terpanjang


WAKIL MBOR, Datuk Barkath Ali Abu Backer (kiri) dan Meera Mydin menunjukkan sijil MBOR bagi mengiktiraf roti canai terpanjang (belakang) di Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN - Komuniti India Muslim di negeri ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan roti canai terpanjang.
Acara itu yang julung-julung kali diadakan sempena Hari Kebudayaan India Muslim anjuran Pertubuhan India Muslim Malaysia menyaksikan 2,786 keping roti canai diatur sepanjang Lebuh Buckingham dengan jarak keseluruhan 400 meter.
Pengerusi penganjur, Meera Mydin Mastan berkata, proses membuat roti canai itu mengambil masa hampir lapan jam bermula 4.30 pagi semalam menggunakan 600 kilogram tepung gandum.
"Seramai 15 penebar roti canai dari empat restoran terkenal di bandar ini terbabit membantu usaha mencipta rekod," katanya di sini semalam.
Meera Mydin berkata, roti canai terbabit kemudiannya diagih untuk dimakan oleh pengunjung karnival yang diadakan sehari itu yang bermula sejak pukul 8 pagi hingga 11 malam ini.
Sementara itu, kira-kira 10,000 pengunjung termasuk pelancong hadir pada festival sehari itu yang mempromosikan adat resam dan amalan tradisi masyarakat India Muslim.

Rakyat Libya mengundi selepas lebih 50 tahun


SEJUMLAH wanita beratur untuk mengundi pada pilihan raya Dewan Perhimpunan Nasional di sebuah pusat membuang undi di Tripoli semalam.



TRIPOLI/BENGHAZI – Penduduk Libya yang girang dengan sebahagiannya menitiskan air mata, berpisah dengan legasi Muammar Gaddafi semalam apabila mereka mengundi dalam pilihan raya umum bebas pertama yang diadakan dalam tempoh lebih 50 tahun.
"Sukar untuk saya menceritakan perasaan saya. Kami (rakyat Libya) membayar harga tinggi untuk kebebasan ini (pilihan raya),” kata Zainab Masri.
Bertugas sebagai seorang guru, Zainab, 50, ialah wanita pertama yang membuang undi di sebuah pusat mengundi di Tripoli semalam.
“Dua ahli keluarga saya mati semasa kebangkitan menentang Gaddafi. Saya yakin masa depan akan lebih baik buat Libya,” ujarnya.
Namun, di Benghazi dan beberapa bandar lain di selatan Libya, sebanyak 101 pusat membuang undi terpaksa ditutup buat sementara waktu semalam akibat perbuatan sabotaj.
“Terdapat 94 peratus pusat mengundi di Libya yang dibuka,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Nuri Al-Abbar kepada wartawan di ibu kota Libya, Tripoli.
Menurutnya, proses membuang undi berlangsung di 1,453 daripada 1,554 pusat mengundi di seluruh negara.
“Sebahagian pusat mengundi tidak dibuka atas sebab keselamatan dan logistik,” ujar Nuri.
“Kami sedang menangani masalah ini dengan menghantar bahan mengundi ke pusat-pusat tersebut supaya orang ramai boleh mula mengundi,” tambahnya selepas lima jam proses mengundi bermula di Libya pada pukul 8 pagi.
Menurut Nuri, kebanyakan perbuatan sabotaj berlaku di timur Libya yang merupakan pusat kebangkitan rakyat Libya menentang Gaddafi pada tahun lalu.
Jelasnya, sebahagian penduduk rantau berkenaan yang kaya dengan minyak, menentang pilihan raya tersebut kerana mahukan pemerintahan autonomi.
Sekitar 3,700 calon bertanding pada pilihan raya berkenaan yang dinamakan pilihan raya Dewan Perhimpunan Nasional yang bertujuan untuk memilih 200 anggota dewan Parlimen sementara Libya.
Anggota dewan berkenaan ditugaskan untuk memilih seorang Perdana Menteri dan membentuk perlembagaan baharu sebelum pilihan raya Parlimen penuh diadakan pada tahun depan.
Antara parti politik yang dilihat berpeluang untuk menang dalam pilihan raya tersebut termasuk Parti Keadilan dan Konstruksi yang dinaungi pegerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan parti Al-Watan.
– Agensi

Ulama mahu pengarang akhbar dihukum mati



RGAMBAR pada 5 Julai 2012 menunjukkan dua pasang kekasih sedang berdua-duan di sebuah pantai di Rabat, Maghribi.



RABAT, Maghribi – Tiga ulama konservatif paling terkenal di Maghribi secara terbuka membuat permintaan supaya wartawan yang menyokong kebebasan seksual di negara Afrika Utara berkenaan dijatuhi hukuman mati.
Tindakan itu dibuat selepas pengarang akhbar harian Al-Ahdath Al-Maghribia, Mokhtar el-Ghzioui, secara terbuka menyokong seorang aktivis hak asasi manusia Maghribi yang menghalalkan hubungan seks sebelum perkahwinan.
Beliau membuat komen penuh kontroversi itu dalam temu bual dengan sebuah stesen televisyen pada minggu lepas.
Dalam wawancara tersebut Mokhtar berkata, beliau tidak kisah jika emak atau adik perempuannya bersetuju mahu melakukan hubungan seks suka sama suka. – Agensi

No comments:

Post a Comment