Qari Malaysia johan tilawah
KUALA LUMPUR - Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).
Muhammad Anuar yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).
Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk memperoleh 94 peratus sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.
Hasnae menewaskan qariah Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Rakan dituduh bakar Yogambika
|
AMPANG JAYA – Seorang juruteknik kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh kerani bank yang merupakan bekas rakan baiknya dengan membakar wanita itu di hadapan rumahnya di koridor Apartmen Mesra Prima di sini bulan lalu.
B. Vijendran, 33, memberitahu dia faham terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Vijendran didakwa membunuh P. Yogambika, 27, di koridor Tingkat 9, Blok B, Apartmen Mesra Prima pada pukul 10 malam 28 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tiga lelaki larikan barang kemas RM3 juta
BUTTERWORTH - Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang ketika tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam kedai.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit menyamar sebagai pelanggan dan meminta pekerja mengeluarkan rantai-rantai emas kononnya untuk dibeli.
"Secara tiba-tiba tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol dan mengacukannya kepada pekerja serta pelanggan sambil memberi amaran kepada mereka supaya jangan bergerak," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, perompak itu menjadikan seorang pekerja kedai emas sebagai tebusan dengan mengacu pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg sebelum mereka melarikan diri.
Malu digelar muka gajah
|
KUALA LUMPUR - Seorang bapa menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang sering dicerca dan dihina oleh orang lain kerana mengalami kecacatan teruk pada wajahnya akibat penyakit yang sukar diubati.
Bagi Chan Hoong Yee, 67, dia sudah tidak sanggup lagi melihat anaknya, Chan Mong Ping, 43, dipinggirkan masyarakat akibat penyakit Port Wine Stain atau Haemongiomas Rata yang dialaminya sejak lahir.
Hoong Yee yang merupakan seorang buruh binaan berkata, dia dan keluarga sudah kering air mata mengenangkan masa depan anak perempuan sulung daripada lima beradik itu.
"Mong Ping tidak pernah mendapat sebarang rawatan sama ada moden mahupun rawatan tradisional ekoran masalah kewangan yang saya hadapi.
"Akibat tiada sebarang rawatan, kini tangan kanannya menjadi lemah dan penglihatannya juga terjejas," katanya ketika ditemui semasa lawatan Penyelaras MCA Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong ke rumahnya di Kampung Seri Kembangan dekat sini semalam.
Peluk keluarga sebelum maut
JASIN – Seorang pemuda bisu dan cacat pendengaran seolah-olah mengetahui dirinya akan menemui ajal apabila dia bertindak bersalaman dan mencium tangan ahli keluarga dan rakan-rakannya sebelum dia maut selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Bukit Tembakan Indah di sini kelmarin.Mohamad Falzali Mohd. Nasir, 21, maut apabila motosikal jenis Suzuki RR Sport yang ditungganginya terbabas lalu terhumban ke dalam parit menyebabkan lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) itu lemas dalam kejadian pukul 11.30 malam.
Sebelum kejadian, pencuci kereta itu ingin pulang ke rumahnya di Bukit Tegoh, Pernu selepas keluar minum bersama rakan-rakannya di Bukit Tembakau di sini.
Difahamkan, ketika terjatuh, mangsa masih bernyawa tetapi gagal menyelamatkan diri kerana mengalami kecederaan saraf di kaki dan tangan selepas terjatuh ke dalam parit yang mempunyai kedalaman kira-kira dua meter itu.
220 maut di Treimsa, Syria
|
BEIRUT – Seramai 220 maut kebanyakan orang awam terbunuh di Kampung Treimsa, tengah Syria apabila beberapa helikopter dan kereta kebal serta sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sejumlah keluarga, menurut sumber kumpulan pemberontak semalam.
Ketua Pemantau Syria Untuk Hak Asasi yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad, Rami Abdel Rahman menyatakan tentera pemerintah dan askar-askar separa tentera membunuh penduduk di kampung tersebut.
Pasukan misi pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dalam laporannya bahawa serangan di kampung tersebut merupakan operasi Tentera Udara Arab Syria.
Kampung itu terletak dalam wilayah Hama.
Seorang aktivis Rangkaian Berita Sham menyatakan kebanyakan yang terbunuh itu ialah anggota pemberontak dalam serangan yang berlaku kelmarin.
Sementara itu, White House semalam menyatakan ‘kekejaman’ di Syria oleh tentera Bashar itu sepatutnya menghapuskan sebarang keraguan tentang perlunya satu tindak balas antarabangsa.
Jurucakap White House, Josh Earnest memberitahu para pemberita dalam pesawat Air Force One bahawa keganasan yang dilakukan berulang kali itu terhadap penduduk awam menunjukkan Bashar kehilangan kelayakan untuk mengetuai Syria.
Di Geneva, Switzerland, Utusan Khas Keamanan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan turut mengutuk pemerintah Syria ekoran kejadian pembunuhan itu.
Annan mendakwa pemerintah Syria melanggar rancangan pelan damainya ekoran kejadian tersebut. – Agensi
Terowong dadah ditemui
LOS ANGELES - Sebuah terowong untuk menyeludup dadah yang dilengkapi lampu dan ruang pengaliran udara ditemui di bandar San Luis, Arizona Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico, kata beberapa pegawai kelmarin.
Tiga orang ditangkap dalam operasi yang dilakukan oleh agensi-agensi penguat kuasa undang-undang AS.
Terowong itu setinggi 1.8 meter dan menuju ke sempadan Mexico.
Laluan masuk ke terowong itu ditemui di bawah tangki air di sebuah bilik stor di dalam sebuah bangunan satu tingkat di San Luis.
Askar-askar Mexico turut menemui sebuah lagi terowong dadah yang sedang dalam pembinaan di bawah sinki di sebuah rumah gudang di Tijuana, 300 meter dari sempadan Arizona. - AFP
Imej nyalaan kuat di matahari
MIAMI - Gambar yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat menunjukkan nyalaan kuat yang berlaku di matahari kelmarin.
Menurut beberapa saintis cuaca angkasa lepas, nyalaan itu memberi kesan yang kecil terhadap bumi.
Ia mungkin memberi kesan terhadap sistem komunikasi berfrekuensi tinggi. - Agensi
سُوۡرَةُ الهُمَزة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١) ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣) كَلَّاۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ۬ (٨) فِى عَمَدٍ۬ مُّمَدَّدَةِۭ (٩) بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Surah Al-Humaza
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah". (4) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9) Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
No comments:
Post a Comment