Tuesday, July 10, 2012

PATUT JUGA MENJAGA AKIDAH SERTA IMAN KITA TIDAK KOMPROMI JUGA...INI AKHIR HIDUP KITA DIAKHIRAT...SYURGA ATAU NERAKA...ADAKAH NAK MENUNAIKAN YANG WAJIB ....YANG ALLAH SEBUT DALAM QURAN...NAK TUNGGU PERSETUJUAN SEMUA PIHAK?

Jakim 'buru' kumpulan suspek amuk

10 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah mengesan kumpulan yang dianggotai seorang lelaki dan seorang wanita yang mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim juga diminta meneliti sama ada kumpulan itu berkaitan dengan agama atau ajaran lain.
"Saya akan periksa dengan Jakim. Adakah kumpulan itu bersifat keagamaan?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian sambutan 20 Tahun Penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kompleks IKIM di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejadian amuk oleh Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan seorang wanita berusia 28 tahun.
"Jakim akan mengambil perhatian perkara ini. Ini bukan hanya soal Imam Mahadi sahaja, tapi ini soal keselamatan JPM," katanya.
Jamil Khir juga berkata semua jabatan kerajaan perlu meningkatkan tahap keselamatan masing-masing supaya keselamatan pekerja dan pelawat terjamin.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis akan menyiasat sama ada dua suspek itu menganggotai kumpulan ajaran sesat.
Khalil Afandi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita itu terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, kegiatan ajaran sesat perlu dibanteras segera untuk mengelaknya daripada menular dalam masyarakat.
Sambil menyifatkannya sebagai berbahaya, beliau menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya sentiasa memantau laman sesawang tertentu untuk mengenalpasti ajaran yang pelik dan songsang.
"Kita berharap pihak-pihak tertentu dapat membanteras gejala ini selain meneliti ajaran yang diikuti lelaki itu. Gejala seumpama ini berbahaya.
"Selain itu, keselamatan pemimpin kita yang suka turun padang juga perlu sentiasa dipastikan," katanya. - Bernama
Amuk di JPM simptom gangguan mental cenderung berontak

10 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR - Lelaki yang ditembak mati di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam, yang menggelar dirinya ‘Imam Mahadi’ mungkin mengalami gangguan mental atau 'oppositional conduct disorder', iaitu kecenderungan untuk membantah dan memberontak dalam apa jua keadaan.

Pakar Perunding Psikologi Utama, International Psychology Centre Sdn Bhd, Dr Edward Chan ketika memberikan pandangannya itu berkata, dengan kata lain seseorang itu mungkin mengalami kecelaruan minda. 

"Berdasarkan pemerhatian saya melalui blog lelaki itu, saya dapati bahawa dia mempunyai perasaan curiga, sinis dan tidak rasional terhadap sesuatu perkara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, lelaki tersebut juga berkemungkinan mengalami gangguan mental sejak kecil lagi atau tidak mendapat nutrisi pemakanan yang seimbang dan juga kesan daripada pengambilan dadah.

"Selalunya individu yang mengalami gangguan ini akan bersifat murung, cepat marah dan panas baran yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam kerana mereka akan bertindak di luar kawalan," katanya.

Chan berkata sehubungan itu, sokongan moral dari keluarga dan rakan-rakan amat penting bagi mengelakkan individu tersebut bertindak di luar kawalan.

"Bila ada sokongan dari orang-orang yang rapat dengan mereka ini, sekurang-kurangnya mereka (kawan-kawan) dapat mengenalpasti gangguan yang dialami individu tersebut di peringkat awal lagi.

"Bila dah dapat ‘early detection’, macam murung dan sebagainya, mereka (kawan-kawan) boleh merujuk individu tersebut kepada pihak profesional untuk rawatan dan bantuan dari aspek psikologi macam kaunseling dan sebagainya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, lelaki itu yang dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47,  mati ditembak polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan  Kompleks B, JPM.

Suspek wanita berusia 28 tahun itu, terkena tembakan di bahagian paha kanan dan dirawat di Hospital Putrajaya.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim mencadangkan agar setiap anggota polis termasuk polis bantuan dan sukarelawan dibekalkan dengan skim insuran memandangkan mereka sentiasa berdepan dengan risiko bahaya. - Bernama
Bapa suspek: 'Kehidupan anak saya normal sahaja'

10 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
PUTRAJAYA - Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki semalam, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara dekat sini, dua hari lepas.  
Bapa suspek seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata, suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
Katanya, setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya sudah berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka.
"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku. Kehidupan anak saya normal sahaja. Mungkin kerana dia suka melayan internet. Sekolah tinggi tetapi jadi macam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
"Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu tentang kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya setelah mendail nombor telefon bimbit anaknya itu.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, suspek, berusia lewat dua puluhan, berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ditembak di paha kanan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala lelaki bersamanya Khalil Afandi, 47, yang terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital sama.
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ibu suspek berusia 55 tahun ketika ditemui di perkarangan hospital itu berkata: "Makcik terkejut. Makcik tak tahu nak cakap apa. Makcik sedih sangat".
Beliau berkata suspek tinggal di Klang.Tinjauan di wad pengasingan Hospital Putrajaya mendapati suspek yang berskaf hitam sedang berbaring di katil dan dikawal dua anggota polis wanita.
Sementara itu suami suspek yang juga pemandu lori mendakwa isterinya terpengaruh dengan laman blog lelaki itu dan beberapa hari sebelum kejadian isterinya berperangai pelik dan dilihat taksub dengan Imam Mahadi. - Bernama
Hisham: Keselamatan PM tidak dikompromi
Wartawan Sinar Harian
10 Julai 2012
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
SHAH ALAM - Di sebalik insiden mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri semalam yang menyebabkan seorang maut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, keselamatan Perdana Menteri tidak akan dikompromi pada bila-bila masa.

"Berkenaan dengan amuk, saya boleh mengesahkan bahawa sekuriti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak dikompromi pada bila-bila masa.

"PDRM masih menyiasat motif (tindakan dua orang yang mengamuk)... beri mereka masa untuk menjalankan kerja mereka," kata beliau menerusi mesej Twitter hari ini.
Pasangan amuk itu, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan wanita berumur 28 tahun mengamuk dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa susulan insiden amuk yang pertama kali berlaku itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon berkata tahap keselamatan di JPM akan
ditingkatkan bagi menjamin keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, keselamatan di JPM adalah terkawal dan polis beranggapan kes semalam tidak akan diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.
"Polis di Putrajaya akan terus meningkatkan rondaan Unit Peronda (MPV) dan menjalankan kepolisan umum di kawasan sekitar JPM dan seluruh Putrajaya," katanya.
Beliau berkata polis akan turut menyediakan anggota preman untuk memantau kawasan JPM dan seluruh Putrajaya.
Ketika dihubungi Bernama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam  Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pihaknya mencadangkan agar kawalan keselamatan kawasan di luar JPM dipertingkatkan untuk memastikan kejadian semalam tidak berulang.
"Kawasan di pekarangan JPM sememangnya sudah ketat dan terdapat rondaan dilakukan. Tetapi perlu ditegaskan, kawasan luar JPM juga perlu diberi perhatian dan pemantauan," katanya.
Pihak berkuasa perlu memerhati pergerakan pihak atau individu yang mencurigakan apabila mereka menghampiri kawasan bangunan JPM dan termasuk kawasan pejabat kerajaan yang lain di Putrajaya, katanya.   - Bernama
Hudud: Perlu persetujuan semua pihak
NOOR AZURA SAHRIL
10 Julai 2012
Dr Mohamed
Dr Mohamed
SHAH ALAM –  Cadangan pelaksanaan hukum hudud di negara ini perlu persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Ketua Kluster, Jawatankuasa Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, dalam situasi negara kini, pelaksanaan hukum hudud hanya dipersetujui oleh parti politik Islam, tetapi tidak parti bukan Islam yang menyatakan pendirian menolak hukum terbabit dilaksanakan.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua parti bukan Islam, baik kerajaan atau pembangkang, tidak mendapat persefahaman bersama semua pihak dalam situasi ini, adalah menjadi masalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Pada konteks pelaksanaannya di negara ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan. Dalam komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP juga tidak bersetuju. Begitu juga dengan MCA dalam parti Barisan Nasional (BN).

“Justeru, melihatkan situasi itu, timbul persoalan bagaimana ia boleh dipinda, jika tiada persetujuan bersama dicapai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohamed Mustafa berkata, soal kemampuan kepada parti yang melaksanakannya perlu juga diambil kira.

“Pelbagai pihak boleh menyatakan pandangan mereka, namun adakah parti yang berhasrat itu berkemampuan melaksanakannya? Bagaimana dengan penerimaan bukan Islam?.

“Kita bimbang, tanpa mengambil kira semua aspek, akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Mustafa berkata, adalah lebih baik parti politik menumpukan sektor pembangunan negara yang akhirnya memberi kesan kepada pelaksanaan hukum hudud, daripada menjadikan isu terbabit sebagai gimik politik.

“Perlu lebih fokus kepada pembasmian kemiskinan, sifar pengangguran, jenayah serta tekankan aspek pembangunan negara. Jika semua ini diberikan tumpuan, berkemungkinan kelak hukum hudud akhirnya dapat dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment