Monday, July 9, 2012

KEAJAIBAN ALLAH TERLALU BANYAK....ALLAH MAHA KUASA LAGI MAHA PERKASA

Pelajar UTP maut selepas sambut hari jadi ibu
Amrullah Abdul Karim
8 Julai 2012
Pelajar UTP maut selepas sambut hari jadi ibu
Keadaan kereta selepas terbabas di KM414.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke Ipoh, awal pagi tadi. Gambar kecil Affiffi Emara.
[DIKEMAS KINI] KUALA KUBU BHARU - "Arwah sempat ucap selamat hari jadi kepada ibunya sebelum pergi buat selamanya." Demikian menurut Sarjan Abdullah Ahmad, bapa kepada Allahyarham Affiffi Emara Abdullah, 21, yang maut setelah terbabit kemalangan di Kilometer 414.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Hulu Bernam, awal pagi tadi.
Abdullah, yang bertugas di ibu pejabat polis di Bukit Aman berkata, anak sulungnya itu baru saja pulang daripada meraikan sambutan ulang tahun hari kelahiran ibunya di Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum kemalangan kira-kira jam 2 pagi yang meragut nyawanya.

Menurutnya, Affiffi, penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Petronas (UTP), dalam perjalanan ke kampus bersama tiga rakannya dan pulang lebih awal kerana mahu menyempurnakan tugasan.
Keluarga Affiffi tinggal di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
"Ketika dalam perjalanan, kira-kira jam 12.08 tengah malam, arwah menghubungi ibunya dan menyanyikan lagu selamat hari jadi.

"Kami memang tak merasakan apa-apa yang ganjil padanya kerana keceriaan seperti itu sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga dan dia dengan kami macam kawan, tetapi ALLAH lebih menyayanginya dan selang beberapa jam kami terima panggilan mengatakan dia terlibat kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu di sini.

Abdullah berkata, Affiffi juga sempat bermanja dengan ibunya pada malam kejadian di mana dia meminta ibunya memotong kukunya.

Menurutnya, walaupun ditegah arwah tetap mahu memotong kuku dan detik mesra itu menjadi kenangan akhir buat keluarga.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Muhammad Azim Sufian, 21, yang turut cedera dalam kemalangan berkata, mereka meneruskan perjalanan walaupun hujan.

Katanya, setibanya di tempat kejadian kereta dinaiki terkena lopak air dan gagal dikawal lalu berputar-putar sebelum terbabas dan merempuh pengadang besi lebuh raya.

"Kenderaan memang tak dapat dikawal dan lopak air itu seakan tiada penghujung menyebabkan ia sukar dikawal.

"Kenderaan kami berputar beberapa kali sebelum terbabas secara bertentangan," katanya yang duduk di sebelah pemandu.

Menurutnya, arwah yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah kiri cedera parah akibat terkena besi pengadang yang menembusi kenderaan dinaiki.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan maut itu, yang berlaku di laluan menghala ke Ipoh semalam, dipercayai akibat kecederaan abdomen dalaman kesan hentaman pada pengadang lebuh raya menembusi belakang kereta dinaiki mangsa.
Norel Azmi berkata, mangsa mati di tempat kejadian manakala dua rakannya parah sementara seorang lagi hanya cedera ringan.

Menurutnya, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Johor Bharu ke UTP di Seri Iskandar, Perak.
Raja Azmi 'dihimpit' VIP
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Raja Azmi 'dihimpit' VIP
Raja Azmi
NAMA Raja Azmi sememangnya tak lekang dari kontroversi. Baru saja bercerai dengan Jailani Sidek, pengarah ... Dalam Botol ini kembali mencetuskan kontroversi apabila mengakui dirinya kini 'dihimpit' orang kenamaan. Cerita itu didedahkan dalam sebuah portal berita.

Menurut Raja Azmi, tokoh korporat bergelar Tan Sri itu mula mendekatinya selepas tiga hari bercerai. Katanya, lelaki yang berstatus duda itu bersungguh-sungguh mahu mengenalinya.

Bagaimanapun tegas Raja Azmi, dia masih belum terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

Pun begitu, pendedahannya itu mengundang pelbagai kontroversi.
Peniaga terkejut ‘durian dalam durian’
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Rosli menunjukkan buah sebiji lagi durian dalam durian dijualnya.
Rosli menunjukkan buah sebiji lagi durian dalam durian dijualnya.
KOTA BHARU - Seorang peniaga durian di Kampung Jambu Merah Melor, Rosli Deraman, 40- an, terkejut selepas melihat sebiji lagi durian berada di dalam durian yang dijualnya di kampung terbabit kelmarin.

“Ini merupakan kejadian pertama, sepanjang berniaga di kawasan ini, memang pelik apabila sebiji durian yang merekah mengeluarkan durian lain bersama isi durian yang bukan seperti kebiasaannya.

Durian ini memang unik, namun ia tidak mengeluarkan buah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian terbabit turut disaksikan seorang penggemar buah terbabit, Halim Razak, 33, dan dia juga amat terkejut dengan kejadian itu.

“Saya memang penggemar durian, tetapi ini merupakan pengalaman pertama melihat durian mengeluarkan sebiji lagi durian dan bukan isinya.

“Memang agak pelik, walaupun ia tidak mempunyai buah namun keunikannya itu menjadi perhatian ramai,” katanya.
Dua kelapa kongsi tangkai
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Dua kelapa kongsi tangkai
Ramlee menunjukkan kelapa muda dibeli pelik kerana dua biji di satu tangkai.
GUA MUSANG - Mungkin jarang ditemui, dua kelapa berkongsi satu tangkai. Namun itu penemuan pelik penjual air kelapa muda, Ramlee Mohamed, 41, di Kampung Kolam Emas, dekat sini, kelmarin.

Menurut Ramlee, kelapa muda itu dibeli daripada peniaga kelapa muda dua hari lalu dan tidak menyangka daripada lima kelapa muda dibeli, dua didapati kembar.

“Sebaik mendapati kelapa muda itu pelik kerana dua biji pada satu tangkai.

"Jadi saya simpan dahulu di rumah sementara menghabiskan kelapa lain dahulu untuk dijual airnya,” katanya.

Beliau berkata, sejak berniaga menjual air kelapa muda lima tahun lalu, inilah kali pertama menemui kejadian sebegitu dan kebiasaannya satu tangkai hanya sebiji kelapa.

“Saya kerap menemui perkara pelik sejak berniaga air kelapa muda dan tebu. Sebelum ini tebu yang ditanam hingga melebihi tujuh meter,’ katanya.
Remaja dirompak, ditetak
R0SALWANI CHE SOH
9 Julai 2012
Remaja dirompak, ditetak
Keluarga Mohd Firdaus menunggu di unit Kecemasan HUSM, semalam.
KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 20 tahun cedera di kepala dan beberapa bahagian badan selepas ditetak dengan senjata tajam, oleh seorang lelaki yang merompak kedai runcit milik ibu saudaranya berhampiran Pasar raya Bilal, di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 petang, itu berlaku ketika mangsa Mohd Firdaus Abdullah, didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal bertanyakan mengenai rempah kari.

Mangsa kemudiannya dipercayai ditekup mulutnya dari belakang oleh salah seorang lelaki terbabit dan kedua-dua suspek bertindak melarikan sejumlah wang dalam mesin kira di kaunter selain komputer riba, jam, rokok dan beberapa barangan lain dalam kedai itu.

Ibu saudara mangsa yang dikenali Norizah, ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata, Mohd Firdaus baru sahaja menjaga kedai terbabit sejak empat bulan lalu.

“Saya ambil di kerja untuk jaga kedai dan setakat ini dia seorang sahaja yang menjaga kedai ini memandangkan saya baru mengubah suai kedai kosmetik kepada kedai barangan runcit.

“Sebelum ini pun kedai ini pernah kena pecah masuk tapi hanya kehilangan barang dan tidaklah sampai kejadian seumpama ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu, kira-kira jam empat petang dan terus ke hospital bagi melihat keadaan anak saudaranya itu.

“Ini merupakan kejadian ketiga kedai di pecah masuk sepanjang tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan itu. Mujurlah dia (Firdaus) selamat walaupun mengalami kecederaan yang parah di beberapa bahagian badan dan kepala” katanya.

Norizah berkata, kerugian dianggarkan lebih RM5,000 termasuk wang tunai RM2,000 di samping barangan lain.

“Buat masa ini Firdaus dalam keadaan stabil dan dirawat di wad kecemasan sebelum dipindahkan ke wad biasa. Kejadian ini amat menakutkan dan saya tekad untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Mekanik dituduh curi bateri
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Mekanik dituduh curi bateri
Azhari (dua kanan)menutup muka ketika di bawa keluar dari mahkamah, semalam.
K0TA BHARU - Seorang mekanik dihadapkan ke mahkamah Majistret di sini semalam kerana menyalahgunakan kepakarannya atas tuduhan cuba mencuri bateri kereta dan yang diparkir di sebuah pasar raya di sini dengan cara mengumpil bonet kereta itu Jun lalu.

Azhari Mokhtar, 22, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di hadapan Majistret Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik.

Dia didakwa cuba mencuri sebuah bateri kereta jenama Denco dan air cleaner bernilai RM500 pada kereta Proton Wira milik seorang jurubahasa mahkamah, Sonsiri a/l Eh Put, 29, di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Kota Bharu di sini pada jam 5.30 petang, 30 Jun lalu.

Azhari dari Kampung Cherang, di sini didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh ditangkap pada hari kejadian sebelum sempat mencuri barangan tersebut.

Mahkamah menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejam berendam elak ditahan
RUBIAH OMAR
9 Julai 2012
Remaja terjun sungai elak ditahan sekatan jalan raya
Kedua-dua remaja ini akhirnya menyerah diri kepada polis setelah kepenatan dan kesejukan berendam di dalam sungai Terengganu selama hampir sejam, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Dua remaja termasuk seorang pelajar tingkatan lima akhirnya mengalah dan menyerah diri kepada pihak polis setelah kesejukan serta keletihan selepas berendam hampir sejam di sungai Terengganu, dalam satu kejadian di Jalan Hiliran, Pulau Kambing, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berusia 17 dan 20 tahun itu nekad terjun ke dalam sungai berkenaan sejurus terserempak sepasukan anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya dalam Ops Samseng Jalanan di lokasi terbabit.

Menurut sumber, dua sahabat itu yang berasal dari Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang, menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dari arah Pulau Kambing menghala ke pusat bandar dipercayai untuk bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi dan ternampaksekatan jalan raya, mereka nekad melarikan diri ke arah Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum meninggalkan motosikal di kawasan berhampiran lalu terjun ke dalam sungai.

“Mereka berendam di dalam sungai berkenaan hampir sejam dan mungkin kepenatan serta kesejukan, akhirnya mereka naik ke tebing selain dipujuk oleh anggota polis dan anggota Rakan Cegah Jenayah Terengganu yang turut sama membantu,” katanya.

Katanya, berikutan tindakan berani mereka itu menyebabkan pembonceng yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai buruh serta rakannya cedera di bahagian kaki dan tangan.

Mereka kemudiannya dibawa balik ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan motosikal yang ditunggangi mereka tidak mempunyai cukai jalan selain turut menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, operasi yang diketuai seorang pegawai dan 14 anggota trafik IPD Kuala Terengganu itu berjaya mengeluarkan sejumlah 43 saman melibatkan 45 kesalahan termasuk menyita sebuah motosikal milik dua lelaki yang cuba meloloskan diri dalam sekatan.

Katanya, dua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat penyataan palsu.

“Antara kesalahan dilakukan pesalah trafik sepanjang sekatan jalan raya tersebut adalah tidak memiliki lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh dan mengubahsuai kenderaan,” katanya.
Wanita maut, kereta dirempuh bas
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Wanita maut, kereta dirempuh bas
Kereta mangsa yang remuk dirempuh sebuah bas, kelmarin.
SEREMBAN 2 - Seorang wanita maut apabila kereta dinaikinya dirempuh sebuah bas di persimpanganbelakang pusat membeli-belah Aeon, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, M. Saivarami, 57, meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lelaki berusia 50-an yang memandu kereta jenis Nissan Sunny dikatakan mahu membelok ke arah kanan di satu persimpangan di belakang pasar pusat membeli-belah berkenaan.

“Pemandu kereta itu tidak sedar bas di laluan bertentangan, lalu terus membelok ke arah kanan menyebabkan bas berkenaan merempuh bahagian kiri kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta terbabit berpusing dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang berhenti di persimpangan berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan cedera parah, manakala pemandu kereta berkenaan cedera ringan.

“Pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Bagaimanapun, wanita berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

“Pemandu bas terbabit juga sudah membuat laporan polis dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya
Mayat reput ditemui
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Mayat reput ditemui
Anggota polis mengangkat mayat seorang wanita yang sudah reput, semalam.
NILAI – Mayat seorang wanita yang sudah reput ditemui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di hadapan sebuah rumah kosong di Rumah Pangsa Taman Semarak, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mayat wanita yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui sekumpulan kanak-kanak terbabit, kira-kira 1.30 petang.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati mayat mangsa dengan memakai tudung dan lengkap berpakaian itu ditemui terbaring dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Kita syak mangsa sudah meninggal dunia hampir sebulan lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput. “Buat masa ini kita menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui identiti mangsa dan juga punca kematian," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk bedah siasat.
Hancur dirempuh 10 kenderaan
Wartawan Sinar Harian
9 Julai 2012
Hancur dirempuh 10 kenderaan
Anggota polis berhati-hati mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
ALOR GAJAH - Saya hanya mampu melihat mangsa yang sudah terbaring atas jalan dirempuh kenderaan lain.

Berbunyi derapan tulang mangsa hingga badannya hancur diseret kenderaan," kata seorang saksi terawal yang menyaksikan kemalangan ngeri di Kilometer 216.2 Lebuhraya Plus arah utara, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Mohammed Nizam Abdullah, 39, dari Kampung Padang, Bukit Lintang, Melaka dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Selangor dirempuh sebuah kenderaan sebelum tercampak ke laluan tengah manakala motosikalnya jenis Yamaha RXZ tercampak ke laluan paling kanan.

Difahamkan dalam kejadian itu, sebuah Mercedez Benz yang gagal mengelak merempuh motosikal mangsa yang berada di laluan paling kanan dan terseret kira-kira 200 meter sebelum kereta dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu terbakar dan mangsa dirempuh lebih 10 kenderaan lain.
Saksi terawal yang tiba di tempat kejadian, Mohd Hafiz Mohd Karim, 27, berkata, dia bersama rakannya, Mohd Hamzi Isa, 26, berada di laluan tengah sempat mengelak mangsa yang terbaring di laluan berkenaan sebelum kereta dinaiki terbabas ke kiri jalan kemudian dilanggar pula oleh sebuah proton Waja.

Menurutnya, sebaik dia turun dari keretanya dia mendapati mangsa masih belum dirempuh sebelum mangsa diseret beberapa kenderaan lain termasuk kenderaan berat sehingga 30 meter daging mangsa terburai atas jalan.

"Sementara Mercedez Benz turut terbakar namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri sebelum api marak.
"Disebabkan semua kenderaan dipandu laju saya tidak dapat mengawal laluan dan segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Adik ipar mangsa, Kamariah Musa, 33, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian abang iparnya itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Selangor bertolak dari rumah selepas menghabiskan cuti selama dua hari bersama keluarga.

Menurutnya, mangsa meninggalkan seorang isteri, Rahimah Musa, 38, dan tiga cahaya mata, Nur Atikah Mohammed Nizam, 13, Abdul Hakim, 12, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan Muhammad Firdaus baru berusia setahun enam bulan.

"Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana begitu terkejut dan trauma selepas menerima berita berhubung kemalangan yang menimpa suaminya itu. "Arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Senggeh, Asahan, Jasin petang ini (semalam)," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Suhairi Sufian berkata, pihaknya menerima panggilan
kira-kira 6.45 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera serta dibantu sebuah lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

“Ketika tiba di tempat kejadian api marak membakar Mercedez Benz berkenaan dan bomba menggunakan semburan buih sabun ke atas keseluruhan kereta terbabit yang 100 peratus hangus terbakar serta mengambil masa kurang setengah jam untuk memadam keseluruhannya,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan akibat dilanggar beberapa kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan selepas terjatuh.

"Cebisan mayat mangsa yang bersepah di jalan raya dikumpulkan menjadi satu di dalam beg mayat dan dihantar ke Jabatan Forensik Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa.

“Pengguna lebuh raya yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987,” katanya, semalam.

No comments:

Post a Comment