Tuesday, July 10, 2012

INGATLAH KIAMAT KECIL KITA IAITU MATI....INGATLAH JUGA KIAMAT BESAR....BERTAUBAT DAN BERTAQWALAH....

Kiamat Besar & Kiamat Kecil Datang Tiba-Tiba

by admin on November 19, 2012

Kiamat besar disebutkan oleh Allah akan datang secara tiba-tiba, tanpa dapat diramal secara tepat oleh manusia. Nabi Muhammad hanya diberikan oleh Allah ilmu berkenaan tanda-tanda hampirnya sahaja. Tiada siapa yang mampu meneka tarikh tepatnya, sama ada tahun atau bulannya.
Sesiapa yang cuba mengira-ngira sama ada berdasarkan jumlah dan ayat al-Quran dan sebagainya, ia sebenarnya sedang melakukan kekarutan dan menyeleweng dari jalan yang benar.
Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang? ( Surah Muhammad : 18)
Itu perihal kiamat besar, namun disampingnya ada kiamat kecil, iaitu kematian yang sentiasa basah di bibir Rasulullah mengingatkan umat dan sahabatnya. Kiamat kecil ini juga kerap datang secara tiba-tiba, sehingga kata orang ia datang “tanpa seorang itu mampu atau sempat bersedia”.
Hakikatnya itu tidak benar, sebenarnya Allah mendatangkan kematian setelah kita semua diberikan masa dan infra secukupnya untuk bersedia. Cuma kita yang terlalu lalai dan terhijab dek kerana kecantikan dan kenikmatan sementara yang wujud di atas dunia ini.
Saya suka berkongsi tiga video melalui entry ini. Satu darinya telah saya kongsikan di facebook saya, namun bagi meluaskan lagi jangkauan kebaikan yang boleh diperolehi dari video ini, saya muatkan ia di web ini. Sebuah video yang saya tonton berkali-kali, dan sebuah video yang mampu mengalirkan air mata.
Video ini memperlihatkan seorang yang dijemput kematian ketika betul-betul sesudah solat. Betapa kita tidak dapat menjangka bila nyawa akan ditarik. Setiap organ yang berfungsi di dalam tubuh kita adalah dengan izin dan kuasa Allah, kita tidak mampu mengawalnya. Kita tidak tahu, bila tiba-tiba ia jammed. Terhentinya ia beberapa minit cukup untuk menamatkan umur kita di atas dunia. Ia bukan seperti enjin kereta yang boleh ditangguh-tangguh untuk memulihkannya.
Kekaguman saya kepada individu ini bertambah apabila keadaan kematian yang begitu baik ( pada hari Jumaat  1 Jan 2010 adalah hari Jumaat dan beliau datang awal ke masjid) di sebarluaskan oleh ramai, malah dengan izin Allah, mampu menyedarkan dan menginsafkan ramai yang menontonnya. Ketika itu, terfikir bahawa kematiannya juga adalah sebuah dakwah yang hebat.
Setiap aliran darah, denyutan jantung, fungsinya hati, usus dan sebagainya, semua dikawal oleh kuasa Allah ta’ala. Bukan hanya apa yang di dalam tubuh malah juga semua yang diluarnya, Lihat video ini bagaimana secara tiba-tiba tiang boleh jatuh dan menimpa pejalan kaki.
Mungkin ada yang terfikir, seorang ahli sukan yang ‘fit’ cergas dan sihat, mungkin tidak akan menerima serangan jantung, namun cuba lihat apa yang terjadi kepada pemain bolasepak Hungary ini . Selepas memberikan senyuman kepada pengadil yang memberikannya kad kuning dan terus…

LUPA
Ramai yang terlupa di akhirat sana, nikmat yang maha besar sedang menunggu bagi sesiapa yang bersedia dan sentiasa menambah persediaan dan bekalannya. Nikmat Syurga tidak mampu sama sekali digambar, sebagaimana pereka cipta kereta Ford di awal rekaannya tidak akan mampu sama sekali terbayang kereta Ferrari di zaman ini. Jika diandaikan seorang dari kita tiba-tiba melayang ke masa silam dan cuba menerangkan perihal bentuk dan enjin Ferrari, bentuk  dan fungsi i-phone dan i-pad ,tentunya tiada siapa yang berada di zaman itu boleh membayangkannya.
Begitulah kenikmatan akhirat yang disebut oleh Nabi dari Allah ta’ala :
Aku menyediakan bagi hambaku yang soleh (syurga) yang tiada mata yang telah pernah melihatnya (tidak mampu tergambar), dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Manakala dalam catatan Imam Ahmad
Sesungguhnya sesiapa yang memasuki Syurga Allah akan dikurniakan nikmat yang tidak akan jemu, tidak binasa pakaiannya, tidak hilang kepemudaan/pemudiannya, apa yang di dalam Syurga, sesuatu yang mata tidak mampu tergambarnya, dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. (Riwayat Ahmad)
Para ulama menghuraikan, perihal Nabi Adam yang pernah mendiami Syurga tidak sama sekali bertembung dengan hadis ini kerana syurga itu sentiasa berubah-ubah nikmatnya dan tidak akan sama sekali membosankan. Luasnya tidak tercapai oleh bayangan aqal manusia. Menurut hadis, individu yang menerima syurga paling terbawah pun besarnya adalah beberapa kali ganda dunia hari ini, apatah lagi yang lainnya. Justeru itu, apa yang dilihat oleh nabi Adam, dengan mudah sekali bagi Allah mengubahkan kepada apa yang dikehendakiNya.
Akhirnya sekali, ingatlah pesan dan teguran Imam Hasan Al-basri:
Tidaklah aku melihat satu perkara yang amat pasti (yakin) serta tiada keraguan padanya akan datang tetapi diperlakukan seperti suatu perkara yang tidak pasti hadirnya, (seolah tidak yakin kewujudannya) lebih dari perihal kematian.
Sama-samalah kita berdoa agar sewaktu nyawa kita ditarik kita berada di dalam keadaan yang baik di sisi manusia, amat baik di sisi Allah. Janganlah dimatikan kita sewaktu terlanjur melakukan maksiat.

Sumber: http://www.zaharuddin.net/

Tiga Tanda Kiamat yang Harus Difikirkan

by admin on February 16, 2012


Ada tiga tanda fenomena dari tanda-tanda Kiamat yang perlu di ambil perhatian sekarang ini oleh umat manusia pada umumnya dan umat Islam khasnya. Dua di antara tiga tanda itu termasuk dalam kategori tanda-tanda besar Kiamat. Satu lagi termasuk di dalam tanda besar, namun ada pula yang menyebutnya sebagai tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat.
Tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat ialah diutusnya Imam Mahdi. Imam Mahdi merupakan tanda Kiamat yang menghubungkan antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat.

Masih ramai yang belum menyadari bahawa keadaan dunia sekarang ini ialah dalam situasi dimana hampir semua tanda-tanda kecil Kiamat telah muncul. Cuba perhatikan beberapa contoh tanda-tanda kecil Kiamat di bawah ini:
  1. Perceraian banyak terjadi
  2. Banyak terjadi kematian mendadak (tiba-tiba)
  3. Banyak Quran diberikan hiasan
  4. Masjid-masjid dibangunkan dengan megah
  5. Perjanjian dan transaksi tidak dipatuhi
  6. Berbagai peralatan muzik dimainkan
  7. Berbagai jenis khamr (Arak) diminum manusia
  8. Perzinaan dilakukan terang-terangan
  9. Para pengkhianat diberi kepercayaan (menjadi pemimpin)
  10. Orang yang amanah dianggap pengkhianat
  11. Tersebarnya Pena (banyak buku diterbitkan)
  12. Pasar-pasar (Mall, Plaza, Supermarket) Berdekatan
  13. Penumpahan darah dianggap perkara yang kecil
  14. Makan riba
Jadi kalau kita teliti contoh-contoh di atas, jelas kita sudah menjumpai ciri-ciri tersebut di zaman ini. Apabila kita membuka kitab para Ulama yang menghimpun hadits-hadits mengenai tanda-tanda kecil Kiamat, lalu kita baca satu per satu hadits-hadits tersebut hampir pasti setiap satu hadits selesai kita baca kita akan berkata di dalam hati: “Wah, yang ini sudah..!”
Jika tanda-tanda kecil Kiamat sudah hampir muncul kesemuanya, ini bermaksud dunia sekarang ini sedang menunggu kedatangan tanda-tanda besar Kiamat. Oleh itu, dalam waktu terdekat ini kita semua harus bersiap-siap untuk menyambut kedatangan tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat, iaitu diutusnya Imam Mahdi.
“Aku khabarkan berita gembira mengenai Al-Mahdi yang diutus Allah ke tengah ummatku ketika banyak terjadi perselisihan antara manusia dan gempa-gempa. Ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kejujuran sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kesewenang-wenangan dan kezaliman.” (HR Ahmad)
Muhammad s.a.w mengisyaratkan adanya dua tanda menjelang perutusan Imam Mahdi di tengah ummat Islam. Pertama ialah banyak terjadi perselisihan antara manusia dan kedua terjadinya banayak gempa bumi. Subhaanallah. Jika kita perhatikan keadaan dunia ketika ini, banyak sangat berlaku pergaduhan dan peperangan. Gempa bumi juga silih berganti di serata tempat.
Kedatangan Imam Mahdi merupakan tanda Akhir Zaman yang jelas-jelas harus di ambil berat oleh kita dalam waktu terdekat ini. Kita diperintahkan untuk segera berbai’at dan bergabung ke dalam barisannya sebab episod-episod berikutnya merupakan rangkaian perang yang dipimpin Imam Mahdi untuk menakluk negara-negara yang dipimpin oleh para Mulkan Jabriyyan (Para penguasa yang mengabaikan kehendak Allah dan RasulNya).
“Ketika kamu melihatnya (Imam Mahdi) maka ber-bai’at-lah dengannya walaupun harus merangkak-rangkak di atas salji kerana sesungguhnya dia adalah Khalifatullah Al-Mahdi.” (HR Ibnu Majah)
Imam Mahdi akan mengibarkan panji-panji Al-Jihad Fi Sabilillah untuk memerdekakan negeri-negeri yang selama ini dikuasai oleh para Mulkan Jabriyyan. Beliau akan mengetuai pembebasan dunia dari penghambaan manusia kepada hanya untuk memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Beliau akan memastikan bahawa dunia diisi dengan sistem dan peradaban yang mencerminkan kalimatthoyyibah Laa ilaha illAllah Muhammadur Rasulullah dari timur hingga ke barat.
Ghazawaat (perang-perang) tersebut akan dimulai dari jazirah Arab kemudian Persia (Iran) kemudian Rom (Eropah dan Amerika) kemudian terakhir melawan pasukan Yahudi yang dipimpin langsung oleh puncak fitnah, iaitu Dajjal. Pasukan Imam Mahdi Insya Allah akan diizinkan Allah untuk meraih kemenangan dalam peperangan tersebut.
“Kamu akan perangi jazirah Arab dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan menghadapi Persia dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan perangi Rom dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan perangi Dajjal dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya.” (HR Muslim)
Lalu Nabiyullah Isa ’alihis-salaam akan turun dari langit dihantar oleh dua malaikat di kanan dan kirinya. Menurut hadits-hadits yang ada, Nabi Isa putra Maryam ’alihis-salaam akan datang sesudah pasukan Imam Mahdi selesai memerangi pasukan Rom menjelang menghadapi perang berikutnya melawan pasukan Dajjal. Pada waktu itulah Nabi Isa a.s akan Allah takdirkan turun ke muka bumi untuk bergabung ke dalam pasukan Imam Mahdi dan membunuh Dajjal dengan izin Allah.
Ketika Imam Mahdi dan pasukannya mendengar khabar bahawa Dajjal telah muncul dan bermerajalela menabur fitnah dan kekacauan di muka bumi, maka Imam Mahdi mengarahkan pasukannya ke kota Damaskus. Ketika pasukan Imam Mahdi menunggu Subuh di sebuah masjid yang terletak di sebelah timur kota Damaskus, tiba-tiba turunlah Nabi Isa a.s dihantar oleh dua malaikat di menara putih masjid tersebut. Maka Imam Mahdi mempersilakan Nabi Isa ’alihis-salaam untuk mengimami sholat Subuh, namun ditolak olehnya dan Nabi Isa ’alihis-salaam menyuruh Imam Mahdi untuk menjadi imam solat Subuh tersebut sedangkan Nabi Isa ’alihis-salaam menjadi makmum di belakangnya. Subhanallah.
Masjid yang dipercayai tempat turunnya Nabi Isa a.s
“Turunlah Isa putra Maryam ’alihis-salaam. Berkata pemimpin mereka Al-Mahdi: “Mari pimpin solat kami.” Berkata Isa ’alihis-salaam: “Tidak. Sesungguhnya sebahagian mereka pemimpin bagi yang lainnya sebagai penghormatan Allah bagi Umat ini.” (Al Al-Bani dalam ”As-Salsalatu Ash-Shohihah”)
Saudaraku, marilah kita bersiap-siap akan kedatangan tanda-tanda Akhir Zaman ini. Tanda-tanda yang akan mengubah wajah dunia dari wajah yang penuh kezaliman menuju keadilan di bawah naungan Syariat Allah dan kepemimpinan Imam Mahdi beserta Nabiyullah Isa ’alihis-salaam.
Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam barisan pasukan Imam Mahdi yang akan memperoleh satu dari dua kebaikan: ’Isy Kariman (hidup mulia di bawah naungan Syariat Allah) au mut syahidan (atau Mati Syahid). Amin ya Rabb.

Sumber: http://www.tranungkite.net/

22 Tanda Hari Kiamat Semakin Hampir

by admin on June 5, 2012


1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).
2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.
3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.
6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.
8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.
9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.
10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.
11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).
12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.
13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.
14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.
15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,
16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.
17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.
18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.
19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.
20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.
21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).
22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah

Kiamat: Rahsia Allah

by admin on February 29, 2012


SALAH satu tanda orang yang beriman adalah percaya pada hari kiamat. Ini kerana beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman.
Namun, kira-kira dua tahun lalu, dunia dikejutkan dengan filem bertajuk 2012. Filem arahan Roland Emmerich itu mengambil idea daripada ramalan kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini atau hari kiamat akan berakhir pada tahun depan iaitu pada tarikh 21 Disember 2012.

Malah, lama sebelum filem 2012 dihasilkan, dokumentari bertajuk End Day pernah diterbitkan oleh BBC pada tahun 2004. Dalam dokumentari ini, digambarkan empat peristiwa besar yang mungkin menyebabkan kiamat;
  1. Mega tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi dan juga hentaman asteroid.
  2. Munculnya virus pembunuh yang kemudiannya menjadi wabak, sehingga membunuh jutaan penduduk dunia.
  3. Supervolcano (letusan raksaksa gunung berapi) dari dasar Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan benua Amerika Utara musnah sama sekali, dan
  4. Kesalahan para saintis berkaitan dengan eksperimen bagi mengubah hukum-hukum fizik seperti nuklear.
Bezanya antara filem fiksyen 2012 dengan End Day adalah di dalam End Day tidak menyatakan tarikh kiamat akan berlaku. Manakala, dalam filem ’2012′ dinyatakan secara saintifik tarikh kiamat itu.
Sungguhpun ramai mengetahui dan mengakui bahawa filem 2012 itu hanya dongengan, ramalan bencana besar yang akan berlaku itu amat berbahaya kepada orang yang belum memiliki iman yang kuat kerana dibimbangi mereka akan terpedaya lantas mempercayainya. Ini sebenarnya bertentangan dengan akidah Muslim.
Kaum Muslimin sebenarnya memiliki dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Dua teks ini sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Hakikatnya, sebelum penayangan filem 2012 terdapat lebih kurang 26 ramalan tentang hari kiamat yang disebarkan oleh kumpulan pemuja hari kiamat, ahli astrologi dan para ilmuwan.
Ramalan-ramalan tidak benar ini telah bermula seawal tahun 1945 hinggalah 2003. Antaranya;
  1. Charles, seorang paderi Kristian dari AS meramalkan kiamat iaitu bumi akan terbakar pada 21 September 1945, pukul 5.33 pagi
  2. Charles Laugheda, seorang doktor dari AS meramalkan kiamat berupa banjir dan gempa bumi yang dahsyat akan terjadi pada 20 Disember 1954
  3. Ada pihak pula pernah meramalkan kiamat akan terjadi pada 14 Julai 1960, pukul 1.45 petang disebabkan oleh ledakan bom bawah tanah milik Amerika. Lucunya, ekoran ramalan itu ada orang yang menghasilkan perahu.
  4. Ahli astrologi India pula meramalkan kiamat akan terjadi pada 2 Februari 1962 iaitu antara pukul 12.05 tengah hari hingga 12.15 tengah hari.
Pelbagai contoh ramalan kiamat di atas jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat.
Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja sebagaimana yang akan dikaji menerusi buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. berjudul Armagedon 2012 Bencana Akhir Zaman.
Buku tulisan pensyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia iaitu Wisnu Sasongko@Muhammad Alexander. Beliau yang kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sejarah dan Peradaban telah banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat.
Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain.
Armageddon: 2012 adalah nukilan hasil kajian berdasarkan fakta-fakta yang dirujukkan kepada penulisan ilmiah penulis-penulis lampau serta fakta-fakta yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.
Pendekatan penulis yang meletakkan fakta-fakta mengikut susunan yang yang kemas serta bukti-bukti yang kukuh, sekali gus menjadikan ia mudah difahami oleh pembaca daripada pelbagai lapisan.

Sumber: http://www.halaqah.net/

Gambaran Hari Kiamat

by admin on April 17, 2012

Gambaran Hari Kiamat
- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment