12 Barisan Di Akhirat
“Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT:
“Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris” Surahan-Naba’:18
Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.Lalu menjawab:”Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada saya, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri….”
Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-
BARISAN PERTAMA
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:
“Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:
“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka nuh dengan ular dan kala jengking.
“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.
“Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka…”BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.
“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilahbalasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.
“Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.
“Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.
“Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta.
“Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.
“Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:
“Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih…”Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya…..Wallahua’alam
Sumber: http://www.murabbiy.com/
13 Perkara Yang Perlu Wanita Islam Jaga
1. Bulu kening
Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah ….
3. Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.
5. Gigi
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
6. Muka dan leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Muka dan Tangan
Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecu ali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.
8. Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
9. Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.
10. Mulut (suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11. Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
12. Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13. Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Sumber: http://www.cahayaislam.net/
Mudahnya Wanita Mendapat Pahala dan Syurga
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)
Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian. Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu:
- Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan.
- Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu
- Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain
- Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat.
- Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki.
- Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami.
- Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.
Bagi wanita yang bekerjaya walaupun penat dengan tugas-tugas di pejabat dan di rumah, ingatlah bahawa mudahnya para wanita terutamanya berstatus isteri mendapat pahala. Kejarlah ganjaran di akhirat kelak.
1. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1000 orang lelaki yang jahat.
2. Dua rakaat solat daripada wanita hamil lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
3. Wanita yang beri susu kepada anaknya daripada buah dadanya akan mendapat satu pahala daripada setiap titik susu yang diberikannya.
4. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri layan dengan baik akan mendapat pahala jihad.
5. Seorang isteri yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
6. Isteri yang melihat suami dengan kasih sayang dan suami pula melihat isteri dengan penuh kasih sayang, Allah s.w.t. akan pandang dengan penuh rahmat.
7. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar di jalan Allah s.w.t. dan kemudian menjaga rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya dan jadi ketua kepada 70 000 Malaikat dan bidadari. Wanita itu akan dimandikan dalam syurga lalu menunggu suaminya sambil menaiki kuda yang dibuat dari permata Yaqut.
8. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampun oleh Allah s.w.t. seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah s.w.t. memberinya 12 tahun pahala ibadat.
9. Wanita yang memerah susu binatang dengan bacaan “Bismillah” didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
10. Wanita yang menguli tepung dengan “Bismillah” Allah s.w.t. akan berkatkan rezekinya.
11. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir dapat pahala seperti menyapu lantai Baitullah.
12. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah s.w.t. mengizinkannya masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki.
13. Pahala bagi wanita hamil adalah seperti berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malam hari.
14. Wanita yang bersalin akan dapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah swt. akan beri satu pahala haji.
15. Sekiranya wanita itu meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin ia dikira mati syahid.
16. Apabila seorang wanita yang menyusukan anaknya yang menagis diwaktu malam dengan sabar, dia dapat pahala satu tahun sembahyang dan puasa.
17. Kalau wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh 2 suku tahun maka malaikat di langit datang bawa khabar gembira bahawa syurga wajib bagi kamu.
18. Kalau isteri layan suami tanpa khianat dapat pahala 12 tahun solat.
19. Wanita yang picit suami tanpa disuruh dapat pahala 7 tola emas manakala isteri yang picit suami bila disuruh akan dapat pahala 7 tola perak.
20. Wanita yang meninggal dunia dengan dapat keredhaan suaminya, dia akan masuk syurga.
21. Seorang wanita solehah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.
22. Jika suami mengajar satu masalah agama pada isterinya dia akan dapat pahala 80 tahun ibadat.
23. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah swt di akhirat tetapi Allah swt sendiri akan datang pada wanita yang memberati auratnya iaitu yang memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah (tetap).
24. Seorang isteri yang menyambut baik kedatangan suaminya yang dalam keadaan marah, Allah swt beri kepadanya setengah pahala jihad.
25. Allah swt berkati dalam rezeki bila seorang wanita memasak dengan zikir Bismillah.
26. Allah swt akan melaknati wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada lelaki yang bukan muhrimnya.
Kesalahan Semasa Solat Tanpa Kita Sedari
Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita. Maksud hadis:
“Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” (HR Thobrani)Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insya Allah…
- Tidak berdiri lurus. Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri
- Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).
- Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.
- Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz “subhanallah”. Maksud hadis:
“Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Sahabat bertanya, “Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?”
“Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya” (HR Ahmad)
- Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. Tujuh anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari).” (Muttafaqun ‘Alaih)
- Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.
- Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.
- Tangan berayun-ayun semasa i’tidal. Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i’tidal, yang macam buayan tu.
- Tidak berhenti seketika, yakni i’tidal selepas rukuk.
- Dada berpaling dari kiblat
Sumber: http://www.soutulmujahid.com/
Azab Kubur Berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadith
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Manakala perkataan kubur pula bermaksud tempat menanam mayat. Jika disebutkan perkuburan bermakna tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang yang telah mati atau permakaman.
Mayat sama ada ditanam, ditenggelamkan, terbakar jadi debu atau dimakan binatang; mereka disebut berada di alam barzakh. Maka pengertian kubur yang dikaitkan dengan kesenangan atau azab ialah alam kubur yang berada di antara alam kehidupan dunia dengan alam akhirat iaitu alam barzakh.
Alam Barzakh
Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh.
Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. (Ensiklopedia Isam: 3/8-9)
Pengarang kitab Mu‘jam Alfaz as-Shawfiyah menyatakan perkataan barzakh dari sudut bahasa ialah sekatan atau pemisah di antara dua sesuatu seperti bercakap adalah pemisah di antara manusia dengan binatang. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya“ (Surah ar-Rahman: 19-20)Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat.
Jadi alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat sementara penghuni dunia untuk sampai ke hari Kiamat.
Menurut al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “… Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” (Surah al-Mukminun: 100)Beliau menjelaskan bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Tafsir al-Qurtubi: 6/113)
Pengarang kitab Akidah al-Mukmin pula menyatakan tujuan wujudnya alam barzakh ialah untuk menghimpunkan semua roh dan bersiap sedia memasuki alam akhirat. Dengan kedudukannya yang seperti itu, maka alam barzakh berfungsi sebagai pendinding atau pemisah di antara dua kehidupan lain iaitu kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Dengan perkataan lain, alam barzakh ialah alam penantian atau ruang menunggu untuk masuk ke alam akhirat selepas kematian. (Halaman 409-501)
Dalil-Dalil Yang Menyatakan Azab Kubur Dalam Al-Qur’an
Pensabitan azab kubur di dalam al-Qur’an telah dijelaskan oleh para ulama tafsir yang muktabar lagi masyhor. Mereka itu termasuklah Imam al-Qurtubi, Ibnu Kathir, Imam Muhammad ar-Razi Fakhr al-Din dan lain-lainnya menyebut perkara tersebut dan kewajipan beriman dengannya di dalam kitab-kitab mereka.
Ayat-ayat al-Qur’an yang menjadi bukti wujudnya azab kubur antaranya ialah:
1. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan pertunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Taha: 124)Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan ضنكا (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih. Telah disebutkan dalam kitab at-Tazkirah, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
“Disempitkan kubur orang kafir itu sehingga tulang-tulang berselisih”. (At-Tazkirah: 151-152 & al-Qurtubi: 6/3307)
2. Firman Allah Ta`ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)Ayat di atas menceritakan tentang berlakunya pendedahan bahan-bahan api neraka di alam barzakh. Perkara ini bertepatan dengan pendapat jumhur ulama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi bahawa bahan-bahan api neraka yang didedahkan pada waktu pagi dan petang itu berlaku di alam barzakh. Sebahagian ahli ilmu pula menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Mereka mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)
Imam Ibn Kathir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh. Beliau berkata:
Maksudnya: “Ayat ini adalah sebenar-benar sumber mengenai pensabitan Ahli Sunnah terhadap berlakunya azab kubur di alam barzakh”.
3. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka ditenggelamkan (dengan bah taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka” (Surah Nuh: 25)Al-Qurtubi menafsirkan perkataan “dimasukkan ke dalam api neraka” iaitu selepas mereka (kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam) ditenggelamkan. Berkata al-Qusyairi:
Maksudnya: “Inilah bukti (berlakunya) azab kubur (yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam, ditenggelamkan dengan bah taufan dan pada hari akhirat dimasukkan ke dalam api neraka)”
Dengan perkataan lain sebagaimana riwayat Abu Rauq daripada ad-Dahak bahawa di dunia mereka diazab dengan api neraka sekaligus ditenggelamkan. Yakni mereka ditenggelamkan pada satu sudut dan pada sudut yang lain mereka dibakar di dalam air lautan. (Al-Qurtubi: 9/5187-5188)
Imam an-Nasafi menjelaskan bahawa mereka kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam ditengelamkan dengan bah taufan dan dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan oleh kesalahan-kesalahan mereka yang banyak. Huruf fa’ dalam ayat ialah )untuk pemberitahuan) iaitu mereka diazab dengan api neraka ketika ditenggelamkan. Inilah dalil dan bukti wujudnya dan sabitnya azab kubur. (Tafsir An-Nasafi: 4/297)
4. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786). Ini kerana Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: “(Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa”. (Surah At-Thuur: 45)Menurut beliau (at-Qurtubi) hari yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah hari terakhir di dunia. Ini adalah bukti bahawa azab yang dihadapi (di dunia) itu ialah azab kubur. (At-Tazkirah: 152)
5. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur: 1-3)Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa surah di atas mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541)
Ibnu Jarir at-Tabari pula menjelaskan ayat (sehingga kamu masuk kubur) sebagai dalil atau bukti keshahihan wujudnya azab kubur. Perkara ini disebut dalam beberapa riwayat, antaranya riwayat daripada Zirru bin Hubaisy, daripada Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Kami masih ragu tentang azab kubur, lalu turunlah surah at-Takathur “. (Jami‘ al-Bayan li Ibn Jarir at-Tabari: 15/362)
Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Berita dan khabar yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersumber daripada wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, setiap hamba Allah Ta‘ala wajib mempercayainya dan beriman dengannya. Inilah i`ktiqad orang-orang Islam.
Maka banyak hadis-hadis shahih yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat hadis yang masyhur seperti al-Bukhari dan Muslim secara terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur, antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)2. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata:
“Telah datang kepada ku dua orang tua Yahudi Madinah sambil berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya ahli kubur itu diazab dalam kubur-kubur mereka. Aisyah Radhiallahu ‘anha menjawab: “Kamu berdua berbohong dan aku tidak mempercayai kamu lalu kedua orang tua Yahudi itu pun keluar. Tatkala masuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulallah! Sesungguhnya dua orang tua Yahudi Madinah telah berjumpa aku dan keduanya menyangka bahawa ahli kubur itu diazab di dalam kubur-kubur mereka.3. Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Benar kata-kata kedua orang Yahudi itu, sesungguhnya mayat-mayat itu diazab sehingga didengar akannya oleh sekalian binatang. (Aisyah Radhiallahu ‘anha) berkata: “Aku tidak melihat Baginda selepas sembahyang kecuali (berdoa) memohon perlindungan daripada azab kubur”. (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)
Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)4. Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)5. Dalam riwayat Imam Muslim:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)6. Daripada Zaid bin Sabit menceritakan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi beberapa kubur, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat di kuburkan ini? Seorang Lelaki menjawab: “Saya”. Baginda bertanya: “Bilakah mereka mati? Lelaki itu menjawab: “Mereka mati ketika dalam kafir”.Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan daripada azab kubur sebagaimana aku dengar daripada kubur-kubur ini. Kemudian Baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Baginda bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab kubur”… (Hadis riwayat Muslim)Maka jelas daripada segala hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah sabit dan benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.
Al-Imam al-Qadi Ali bin Abi al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh Thahawiyah berkata: “Dan telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta perkara soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian itu”. (Syarh al-Aqidah at-Thahawiyah: 2/456)
Adakah Azab Kubur Berterusan Atau Sebaliknya?
Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa azab itu ada dua macam iaitu azab yang tetap dan azab yang terputus Azab yang tetap berdasarkan ayat firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh)”. (Surah Ghafir: 46)Walau bagaimanapun dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala azab boleh diringankan berdasarkan beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa besar yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah buah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)2. Riwayat daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang kamu meninggal dunia akan dibentangkan kepadanya tempat duduk pada waktu pagi dan petang. Sekiranya dia ahli syurga maka dia penghuni ahli syurga dan sekiranya dia ahli neraka maka dia adalah penghuni ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya: “Inilah tempat dudukmu sehingga Allah membangkitkan engkau semula di hari Kiamat” (Hadis riwayat Bukhari)Manakala azab yang putus ialah seseorang yang diazab dengan api neraka pada suatu waktu yang ditentukan kemudian ia dikeluarkan semula daripada azab tersebut. Sebagai contoh seseorang yang diazab disebabkan dosanya kemudian ia dikeluarkan atau diringankan daripada azab tersebut disebabkan oleh doa, pahala sedekah, pahala haji atau pahala bacaan al-Qur’an yang sampai kepada si mati oleh sanak keluarga atau orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya”. (Surah al-Baqarah: 255)Ibnu Abi ad-Dunia menyebutkan satu cerita Abdullah bin Nafi‘ katanya:
“Telah mati seorang lelaki daripada orang Madinah lalu aku melihat dia seolah-olah sebagai ahli neraka dan dia sangat berdukacita kerana yang demikian itu. Kemudian selepas beberapa ketika aku melihatnya pula seolah-olah sebagai ahli syurga. Lalu aku bertanya: “Tidakkah engkau berkata bahawa engkau tergolong daripada ahli neraka”. Dia menjawab: “Sememangnya begitu (sebagaimana yang aku katakan kepadamu) kecuali setelah dikuburkan bersama-sama kami ini seorang yang salih dan kerananya telah mendapat syafaat seramai empat puluh orang di sekeliling kuburnya dan aku termasuk daripada mereka yang mendapat syafaat itu”.
Inilah ringkasan perkataan Ibnu Qayyim di dalam kitabnya ar-Ruh mengenai persoalan azab kubur itu berterusan atau sebaliknya. (Ar-Ruh: 107-109)
Kedudukan Hadis Ahad Dalam Hujjah
Ada sebahagian orang yang mendakwa bahawa azab kubur tidak sabit kerana hadis-hadis yang mengkhabarkan keshahihan azab kubur adalah hadis Ahad.
Al-‘Allamah al-Kauthari berkata: “… Kemudian memakai hadis Ahad pada dalil hukum syara‘ adalah sabit dan nyata dengan disokong oleh dalil-dalil qath‘i dan pemutus bahawa hadis Ahad memberi ilmu yakin betul benar isi kandungannya tiadalah ada ragu-ragu padanya walau pun ia dinamakan hadis Tunggal (Ahad), bagaimana telah ditegaskan oleh al-Imam Abul Hasan al-Karkhi dan as-Sam‘aani dalam kitab al-Qawathi‘, al-Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustashfa dan al-Imam Abul Aziz al-Bukhari dalam kitab Syarh Ushul Fakhrul Islam. (Fatwa Mufti Kerajaan: 4/90 (Fatwa Berturut Bil: 71)
Menurut pengarang kitab al-Aqidah al-Islamiyah wa Ususuha bahawa kebanyakan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sampai kepada kita ialah menerusi jalan Ahad. Jika hadisnya shahih, ia membawa ilmu zanni kepada periwayatannya. Ini memberi faedah bahawa ia difahami pasti datang daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi tidak seperti akidah kita kepada mutawatir. Walaupun begitu, sesetengah hadis Ahad yang mengandungi persoalan akidah ada yang diterima umat Islam pada zaman awal Islam dengan penerimaan sepenuhnya tanpa bantahan. Hadis Ahad seperti ini meningkat ke taraf “riwayat mutawatir” dengan mengambil kira kandungannya telah diambil dan diterima pakai umat Islam tanpa bantahan. Dengan itu hadis Ahad seperti ini jadilah “mutawatir makna”, dan dari itu pula ia membawa faedah yang sama pada riwayat “mutawatir lafzi”. (Abdul Rahman Hanakah al-Midani: h.37)
Imam Syafi‘e Rahimahullah telah mensabitkan bolehnya berhujjah dengan hadis Ahad sebagaimana terdapat banyak tempat di dalam kitab-kitab beliau khasnya ketika dalam perbahasan atau munazzah. Hadis Ahad dipakai beliau apabila hujjah yang diperlukan tidak dijumpai dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmak atau yang semakna dengannya”. (Ar-Risalah: 596-598 & Abu Zuhrah, as-Syafi‘e: 308)
Al-Baqilani pula berkata: “Adalah wajib mengamalkan hadis Ahad jika perawinya bersifat adil dan tidak bertentangan dengan nas yang lebih kuat daripadanya …” (al-Baqilani, At-Tamhid: 164)
Penutup
Berdasarkan fakta atau hujah daripada al-Qur’an, sunnah dan perkataan ulama adalah sabit wujudnya azab kubur. Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah menyebutkan bahawa telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian dan beriman dengannya. Janganlah kita persoalkan atau bercakap mengenai kaifiyah (caranya) kerana akal tidak akan berhenti pada memikirkannya”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 456)
Imam Abu Hanifah pula menyebutkan di dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar bahawa sempitnya kubur dan azab kubur itu adalah benar kepada mayat kafir sekaliannya dan sebahagian daripada yang derhaka daripada orang-orang yang beriman. (al-Fiqh al-Akbar: )
Maka ada pula dakwaan sesetengah penganut agama dan fahaman yang menyeleweng yang menyangka apabila jasad manusia dibakar dengan api sehingga menjadi abu atau ditenggelamkan ke dasar laut, jasad itu terlepas daripada azab barzakh iaitu azab kubur. Perkara ini telah disangkal dan ditolak oleh Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah katanya:
“Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka sesiapa yang telah mati adalah berhak bagi azab yang tertentu ke atasnya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan, yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu dan diterbangkan ke udara, atau disalib atau tenggelam di laut, nescaya sampailah kepada roh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 457)
Dari hujjah dan keterangan ini, maka tertolaklah segala pendapat dan anggapan orang yang mengingkari azab kubur sebagaimana pada akhir-akhir ini turut menyaksikan adanya pendapat dan anggapan yang sedemikian daripada penulis-penulis yang bertopengkan Islam tetapi sebenarnya mengingkari ajaran Islam.
Sumber: http://www.bicaramuslim.com/
No comments:
Post a Comment