Monday, March 14, 2011

BILA KEGIATAN JENAYAH..ROGOL..CURI....TIPU DLL SUDAH JADI LUMRAH...LEBIH2 PELACURAN...UNDANG YANG ADA TAK DAPAT MEMBENDUNGNYA...SEDANGKAN UNDANG2 ALLAH DILEPAS PANDANG PIHAK TERTENTU...SEDANGKAN MEREKA DIHIDUPKAN OLEH ALLAH....BILA DAH DIDUNIA LUPA DIRI...MEREKA MAHKLUK ALLAH...TAK PE...AKHIRAT DAPAT BALASAN SETIMPAL DENGAN SIFAT EGO DAN TAK MAKAN SAMAN...

Risiko kepada bayi



PUTRAJAYA: Mendapati bahaya Bisphenol A (BPA) boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh, kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu mengandungi bahan terbabit berkuat kuasa 1 Mac 2012.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan pengharaman itu dibuat kerana tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu polikarbonat mengandungi BPA selamat untuk digunakan.

“Tindakan pengharaman ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh setahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai.
“Keputusan pengharaman ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkannya selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutama bayi dan kanak-kanak.

“Saya ingin menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutama bayi dan kanak-kanak. “(Malah) sebarang bungkusan makanan di Malaysia perlu mematuhi peraturan 27 Akta Makanan 1985 dan penggunaan bungkusan berbahaya adalah dilarang,” katanya.

Polikarbonat adalah bahan plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi manakala BPA ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar.

Sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi, sekali gus mewujudkan keadaan yang tidak pasti serta tiada jaminan keselamatan bagi bayi yang terdedah kepada BPA.

Liow berkata, pemantauan secara berterusan oleh pihaknya mendapati ada migrasi BPA daripada botol susu bayi polikarbonat yang dianalisis.
“Sehingga 2010, sebanyak 159 sampel botol susu bayi dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 miligram/kilogram hasil migrasi daripada botol berkenaan.

“Kajian oleh Universiti Malaya menunjukkan kadar migrasi meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah selsius berbanding pada suhu bilik 25 darjah selsius,” katanya.


ADUN fail saman terhadap akhbar, blog

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah akan memfailkan saman terhadap sebuah akhbar arus perdana dan laman blog yang didakwa mengaitkan beliau dengan seorang lelaki yang ditangkap khalwat bersama wanita warga Indonesia.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Terengganu menegaskan, dakwaan bahawa lelaki itu pegawai beliau dan mempunyai hubungan darah daging dengannya, adalah tidak benar sama sekali.

Mohd Nor ketika ditemui turut menyangkal dakwaan itu sekeras-kerasnya dengan menegaskan, beliau tidak pernah mengenali individu terbabit yang ditahan khalwat bersama pasangannya di Kampung Alor Tuman, Pulau Kerengga, Marang, Jumaat lalu.

“Saya tidak pernah lantik seorang pegawai dan percaya dakwaan itu bertujuan untuk memburukkan dan memfitnah saya bagi menjatuhkan kredibiliti saya sebagai ADUN.

“Saya akan menyerahkan perkara ini kepada peguam Pas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Beliau yang hadir bersama pengikutnya di balai polis untuk membuat laporan berhubung perkara itu bagaimanapun diminta ke Balai Polis Chendering kerana difahamkan ‘server’ di IPD Kuala Terengganu mengalami masalah.

Akhbar perdana tersebut, semalam, melaporkan bahawa pegawai kepada ADUN Bukit Payong yang ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan seorang wanita warga Indonesia dihukum denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Marang, semalam (kelmarin) selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkhalwat awal pagi Jumaat lalu.

Akhbar tersebut turut memetik bahawa tertuduh adalah bapa saudara kepada ADUN Bukit Payong itu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Md Din Jusoh, 52, dan Dede Kurniasih, 34, yang bekerja sebagai pembantu rumah ditahan di dalam sebuah kereta di Alor Tuman, di Marang.

Pasangan itu didakwa berada dalam keadaan menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral kira-kira jam 1.30 pagi. 
 
Polis sahkan identiti mayat terdampar

KUANTAN - Pencarian mayat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuantan pada Jumaat lalu berakhir apabila pihak polis mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemui terdampar di Pantai Sepat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga menjumpai mayat lelaki tanpa baju kira-kira jam 5.30 petang di tepi pantai tersebut.

:Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat itu adalah Zuhaidi Othman yang terjun ke dalam sungai tersebut dekat Kampung Tajung Punai di sini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dituntut oleh pihak keluarganya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam kelmarin dan dibawa pulang ke Kuala Besut Terengganu.

“Keluarganya membuat pengecaman mayat mangsa dan kita mengklasifikasikan kes ini kematian mengejut,” katanya.

Sinar Harian, Sabtu lalu melaporkan mengenai kejadian seorang nelayan terjun ke dalam sungai itu selepas terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang membuat pemeriksaan di kampung tersebut.

Mangsa bagaimanapun hilang dan dipercayai lemas sebelum dijumpai terdapat di Pantai Sepat, kelmarin.

Pengemis warga asing kena cekup


KUANTAN – Seorang warga Thailand yang menjalankan aktiviti mengemis di sekitar bandar Kuantan berjaya di tangkap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Menyelamat, semalam.

Pemangku Pegawai JKM Daerah, Rohayati Puteh berkata, pihaknya telah membuat intipan selama dua minggu sebelum menangkap pengemis terbabit di Pasar Malam Taman Gelora.

“JKM kerap mengadakan Operasi Menyelamat untuk mencari pengemis-pengemis di sekitar bandar.

“Bagaimanapun, dalam operasi semalam, sasaran utama kami adalah untuk menangkap pengemis warga Thailand tersebut memandangkan sebelum ini kami telah menerima banyak aduan mengenainya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Imigresen Negeri, semalam.

Sinar Harian keluaran 20 Februari lalu pernah melaporkan tentang kegiatan pengemis ini yang bijak menggunakan statusnya sebagai warga emas untuk menagih simpati masyarakat.

Biarpun telah berkali-kali ditangkap, namun pengemis tersebut tidak pernah serik, malah semakin berani menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

“Kali ini, kami tidak akan memberi muka kepadanya lagi dan bertindak menyerahkannya kepada pihak Jabatan Imigresen untuk dibawa pulang ke negara asal. Kami harap, selepas ini dia (pengemis) tidak akan kembali lagi ke sini untuk mengemis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Khairul Azrin Mat Siah berkata, bagi membanteras isu pengemis, pihaknya mengadakan operasi berjadual di mana setiap minggu pegawai JKM yang ditugaskan akan ke lokasi sasaran pengemis seperti di pasar malam, pasar tani dan masjid untuk membuat tangkapan.

“Sekiranya pengemis yang ditangkap merupakan warga tempatan, kami akan berbincang dengan keluarga mereka terlebih dahulu sama ada mahu menjaga mereka atau sebaliknya.

“Ini kerana, kami tidak mahu mereka terlibat dengan aktiviti mengemis lagi sekiranya dibebaskan kelak. Jika tiada penyelesaian dari keluarga, kami sendiri akan memutuskan untuk menghantar pengemis terbabit ke Institusi Desa Bina Diri selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai disarankan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat tentang pengemis bagi menangani masalah ini.

“Majoriti yang mengemis merupakan orang yang sama. Walaupun sudah bekali-kali ditangkap, mereka masih berani menjalankan aktiviti tersebut.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, agak sukar untuk kami membersihkan kawasan ini daripada masalah pengemis. Justeru, kami memerlukan kerjasama dari semua pihak agar masalah ini dapat menemui jalan buntu,” katanya.

Pengawal mengaku rogol remaja

SHAH ALAM – Nasib seorang remaja 19 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap lima tuduhan merogol seorang remaja bawah umur akan diketahui 21 April ini.

Malah, hasratnya untuk memohon jawatan sebagai askar mungkin tidak kesampaian.

Muhammad Ariff Jamaludin, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, mengaku bersalah merogol pelajar tingkatan dua itu di sebuah rumah rakannya, di Apartmen Tanjung, Bukit Sentosa Selangor, antara jam 2 dan 4 petang, pada 26, 27, 28, 29 dan 31 Disember 2010.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Latifah Mohd Tahar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Ariff, dari Tapah, Perak, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap kesalahan.

Siasat UMNO Selangor

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri mempertikaikan sumbangan lebih RM500,000 UMNO Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan yang disalurkan kepada pelajar Selangor yang menuntut di Mesir baru-baru ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, beliau hairan dengan tindakan dan kemampuan menyediakan dana itu sedangkan UMNO Bahagian Shah Alam mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, jika UMNO Selangor berkobar-kobar membelanjakan wang tersebut, mengapa mereka tidak sungguh-sungguh untuk melunaskan hutang dengan MBSA.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor akan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyenaraikan semua hutang UMNO kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu.

“Dari manakah UMNO Selangor dan YKE memperoleh begitu banyak dana untuk membiayai sumbangan ini? Apakah aset dan perniagaan yang dijalankan YKE sehingga mampu bekerjasama dengan UMNO Selangor hulurkan sumbangan?

“Kita mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera perkara ini jika benar SPRM bertindak mempertahankan amalan telus dan bertanggungjawab.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menyediakan pelbagai kemudahan kepada hampir 1,200 pelajar dari negeri ini termasuk membelanjakan lebih RM2 juta untuk membiayai kos menghantar pulang pelajar ini menggunakan pesawat yang ditempah khas.


Wanita ditipu hampir bunuh diri

DERGA - Seorang kakitangan kerajaan hampir membunuh diri beberapa kali disebabkan tertipu dengan sindiket telefon yang mendakwa dia telah memenangi cabutan bertuah sebanyak RM156,000 di Hong Kong pada November 2008.

Gara-gara percaya dengan lakonan pegawai dari agensi berkenaan, wang cabutan bertuah yang dimenangi itu dikatakan dilaburkan dalam satu program lumba kuda dan sekali lagi memenangi hadiah tunai sebanyak RM3,299,300.

Kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia mengakui tidak percaya dengan skim cepat menang seperti itu tetapi lakonan yang meyakinkan ditunjukkan oleh pegawai agensi berkenaan membuatkannya percaya.

Menurutnya, kerana terpedaya, dia memasukkan sebanyak RM98,593 ke dalam bank untuk mendapatkan hadiah berkenaan.

“Kerana masalah ini juga, rumah tangga saya hampir retak kerana saya menyembunyikan perkara ini selama setahun daripada pengetahuan suami, akhirnya terbongkar apabila kami memerlukan sejumlah duit bagi pembedahan mata ibu mentua saya pada tahun lepas.

“Selama tempoh itu, hidup saya sangat tertekan tetapi berusaha untuk menyembunyikan daripada pengetahuan keluarga terutamanya suami kerana sebelum ini kami berdua sentiasa terbuka untuk berbincang termasuklah urusan pengurusan kewangan keluarga,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Bilik Gerakan Parti Gerakan Kedah, dekat sini.

Mengimbas kembali ceritanya, Tan berkata, dia telah diminta memasukkan wang secara berperingkat-peringkat bermula dengan wang pendahuluan sebanyak RM6,240 untuk memproses sebelum diminta memasukkan wang RM9,360 untuk mendapatkan nombor pin hadiah.

Menurutnya, dia terus terperdaya apabila agensi berkenaan memberitahu dia memenangi program lumba kuda hasil pelaburan hadiahnya dan hadiahnya berganda kepada lebih RM3 juta.

“Bagi mendapatkan hadiah lumba kuda itu saya perlu membayar wang proses sebanyak RM32,993 namun sekali lagi agensi berkenaan menghubungi saya dan memaklumkan terdapat masalah dengan akaun antarabangsa saya serta meminta memasukkan sebanyak RM50,000 untuk mengaktifkan kembali akaun berkenaan,” katanya.

Tan mendapatkan kerjasama daripada Parti Gerakan Kedah dan kerjasama yang diberikan membuatkan dia memperoleh kembali wangnya sebanyak RM50,000.

Menurutnya, kejayaan mendapatkan kembali sebahagian wangnya juga adalah hasil usaha polis terutamanya Polis Bukit Aman, dan dengan wang itu dapat mengurangkan beban pinjaman bank sebelum ini yang dibuat untuk mendapatkan wang hadiah terbabit.

“Hidup saya sangat tertekan dan hampir membunuh diri beberapa kali, dan walaupun di dalam waktu saya berhati-hati saya masih lagi boleh tertipu dan agensi berkenaan mengakui mendapatkan maklumat telefon rumah saya melalui peraduan teka dan menang daripada pasar raya yang dikunjungi sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai terus menasihati masyarakat supaya tidak terpedaya dengan skim atau panggilan yang mendakwa memenangi hadiah cabutan bertuah.


RM35,000 lesap sekelip mata

KUALA KANGSAR - Seorang guru, Hanafi Salleh, 44, berputih mata apabila wang yang baru beberapa minit dikeluarkan dari sebuah bank di Pekan Kuala Kangsar dilarikan penjenayah apabila kenderaan dinaikinya di pecah masuk, dalam satu kejadian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, guru dari Gerik berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM35,000 dan kehilangan tiga telefon bimbit serta dokumen lain.

Hanafi berkata, dia mengeluarkan wang sebanyak RM32,000 dari CIMB Bank dan kemudiannya memasukkannya ke dalam beg dan diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan pacuan empat rodanya.

Menurutnya, dia kemudiannya berhenti untuk menyelesaikan urusan lain dan kenderaan diletakkan di tepi jalan besar, Jalan Daeng Selili.

“Saya baru sahaja keluar dan masuk ke sebuah kedai tiba-tiba penggera kenderaan saya berbunyi serta saya dapati cermin bahagian belakang kenderaan sudah pecah.

“Wang sebanyak RM35,000 termasuk wang yang sudah berada di dalam beg sebanyak RM3000 itu lesap dan semua kad ATM, kad pengenalan serta lesen memandu turut dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hanafi berkata, tayar kenderaan saya juga dipancitkan penjenayah dan saya percaya mereka sudah mengintip serta mengekori sejak dari bank lagi.

Katanya, wang yang dikeluarkan itu sepatutnya digunakan untuk membayar pinjaman rumah tetapi dia tidak menyangka kejadian seperti itu akan menimpanya.

“Saya segera membuat laporan polis selepas kejadian itu berlaku dan anggota polis segera datang ke lokasi untuk membuat siasatan,” katanya.

Menurut saksi yang melihat kejadian itu, perbuatan pecah masuk kenderaan berkenaan dilakukan oleh dua penjenayah menaiki sebuah motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dilakukan.

Mummy Siam dicekup

JOHOR BAHRU – Seramai 14 wanita berketurunan Siam yang terlibat dengan kegiatan pelacuran di sekitar bandar raya ini sejak tiga bulan lalu ditahan apabila polis menyerbu dua rumah di Bukit Chagar dan sebuah hotel, di sini, semalam.

Kesemua wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 11 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintendan Mohammad Abd Hamid berkata, siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran itu diketuai oleh beberapa wanita yang dipanggil sebagai ‘mummy’.

Menurutnya, mummy terbabit yang juga berketurunan Siam kebiasaannya akan berurusan dengan orang tengah yang mencari pelanggan bagi kegiatan pelacuran ini menerusi panggilan telefon.

“Mereka (mummy) tidak akan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dan hanya menjawab telefon daripada pelanggan tetap sahaja sebelum ia disebarkan kepada pelanggan-pelanggan lain.

“Pelacur terbabit akan dihantar oleh mummy ini ke tempat yang sudah ditetapkan oleh pelanggan menerusi hasil perbincangan dilakukan dan kebiasaannya di hotel-hotel terkemuka termasuklah rumah tumpangan sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.

Mohammad berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati setiap wanita yang dilanggan dikenakan bayaran sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam, manakala pelacur yang agak berusia menjalankan kegiatan terkutuk itu secara bersendirian.

“Bagi wanita yang baru tiba ke negara ini, pelanggan ditawarkan seorang wanita pada harga RM200 sejam dan ada juga menjangkau sehingga RM600 bagi tempoh enam jam.

“Siasatan dilakukan mendapati seorang daripada 14 wanita terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Selain itu, katanya, kesemua wanita termasuk mummy berusia 32 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan

Seramai dua anggota dan lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut.


Wanita maut jatuh bangunan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri Sri Panglima, di Bukit Saujana, di sini.

Mayat wanita dikenali sebagai Lu Siew Huen, 38, ditemui terlentang oleh orang ramai tepat jam 12 tengah hari.

Guru Tadika Hikmah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Kaseh Selamat, 31, dikatakan antara saksi terawal menyedari mayat yang terdampar di lorong pangsapuri terbabit.

“Saya memang tidak sedar kerana tiada bunyi dentuman atau aneh yang didengar biarpun jarak tempat wanita terbabit jatuh kurang 10 meter, sehingga saya didatangi oleh seorang ibu pelajar tadika ini yang mahu mengambil anaknya yang memaklumkan ada wanita berbaring berdekatan tadika itu.

“Selepas diberitahu, saya tidak berani mendekati wanita terbabit, namun mengarahkan pembantu untuk melihat kondisi wanita itu. Setelah dimaklumkan wanita terbabit meninggal dunia, saya terus menelefon polis,” katanya.

Kaseh yang telah mengajar di tadika terbabit sejak 2005 bagaimanapun berkata, tidak pernah melihat wanita terbabit di sekitar pangsapuri tersebut.

Sementara itu, menurut pengawal keselamatan di situ, Ibrahim Kassim yang telah 10 tahun berkhidmat di pangsapuri terbabit mengakui wanita itu bukan penduduk di situ.

“Saya tidak pasti wanita ini datang dari tingkat berapa, namun difahamkan beliau terjun dari tingkat 12 hasil penemuan beg yang dipercayai milik wanita tersebut.

“Sepanjang 10 tahun bekerja, saya tidak pernah melihat wanita ini, malah hasil pertanyaan jiran-jiran juga tidak mengenali wanita terbabit,” katanya.

Wanita itu dipercayai telah datang ke pangsapuri terbabit kerana hasil kad pengenalan yang ditemui, beliau didapati berasal dari Tebrau, Johor Bahru.

Sementara, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment