Friday, March 18, 2011

KERANA WANG@DUIT ORANG SANGGUP BUAT APA SAJA...TAK KIRA HALAL ATAU HARAM...TU KADANG2 JADI MISKIN@KURANG WANG...LEBIH TENANG...ELOK KITA MEMADA...

Tauke stesen minyak trauma, rugi RM40,000

SHAH ALAM: Seorang pengusaha stesen minyak bukan saja trauma akibat dirompak sekumpulan tiga lelaki malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000 hasil kutipan harian stesen minyaknya, di sini, semalam.
Rompakan yang berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 26 itu terjadi dalam sekelip mata ketika mangsa baru meletakkan motosikalnya berhampiran bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 40-an tidak menyangka didatangi tiga suspek bersenjatakan pisau dan parang.
Katanya, ketiga-tiga suspek mengarahkan mangsa menyerahkan wang dibawanya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Mangsa hanya menurut kehendak penjenayah berusia lewat 20-an dan awal 30-an itu kerana takut dicederakan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, di sini,” katanya.

Zahedi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun secara berkumpulan


Nyaris bunuh diri rugi RM136,292

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

MANGSA TIPU...Ng sedih rugi RM136,292.
MANGSA TIPU...Ng sedih rugi RM136,292. 
 
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas hampir membunuh dirinya akibat tekanan melampau selepas ditipu ‘tok guru’ nombor ekor yang mendakwa beroperasi di sebuah rumah ibadat di Utara tanah air menyebabkannya kerugian lebih RM100,000.
Difahamkan, kejadian bermula selepas mangsa, bekas penjawat awam menerima risalah yang menyiarkan janji kosong untuk memenangi wang RM1.5 juta melalui cabutan empat nombor ekor pada November tahun lalu. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 72, terlalu taksub mempercayai dakwaan itu selepas membaca testimoni yang terkandung dalam risalah terbabit sebelum menelefon nombor telefon tertera bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk mengubah nasibnya yang bergantung hidup pada wang pencen.

Menurutnya, gambar patung berhala pada risalah itu serta senarai pemenang nombor ekor menjadikannya yakin untuk menghubungi nombor telefon berkenaan.
“Seorang lelaki yang dikenali sebagai Lee menjawab panggilan itu dan dengan nada meyakinkan, dia menerangkan mengenai skim berkenaan yang akan membolehkan saya memenangi wang RM1.5 juta melalui pembelian nombor ekor.

“Saya memasukkan RM250 ke dalam akaun diberikan untuk mendaftarkan diri pada 15 November lalu,” katanya ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Katanya, dia diminta memasukkan lagi RM360 dan RM500 dua hari berturut-turut dan pada 17 November lelaki itu menghubunginya untuk memaklumkan dia sudah memenangi cabutan nombor ekor bernilai RM1.5 juta.

Ng berkata, lelaki itu berjanji menghantar slip nombor ekor itu dan dia menerimanya melalui pos beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan berkata dia perlu memasukkan sejumlah wang lagi bagi bagi urusan ‘sembahyang’, melindungi tiket loteri berkenaan serta mendakwa dia ditahan di Thailand kerana menyimpan nombor loteri yang sudah dimenangi itu.
“Saya yang yakin sudah memenangi wang jutaan ringgit memasukkan lebih banyak wang ke dalam akaun milik seorang lelaki bernama Tan Chung San sehingga kehabisan wang simpanan berjumlah RM136,292.

“Setiap kali dihubungi Lee atau tok guru yang dipercayai berasal dari Thailand dan fasih berahasa Malaysia, mereka turut menyanyikan sebuah lagu berunsur keagamaan dan saya bagai dipukau mengikut setiap permintaan mereka,” katanya.

Katanya, permintaan terakhir Lee adalah memasukkan wang RM52,000 untuk membayar cukai kepada Bank Negara dan disebabkan dia kehabisan wang simpanan, dia membuat keputusan meminjam dengan anak saudaranya.

“Saya hanya sedar selepas anak saudara menyergah ketika meminta wang dan selepas itu, saya menjadi tertekan dan hampir membunuh diri.

“Bagaimanapun, adik saya membantu membuat laporan polis dan laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 16 kes membabitkan penipuan menggunakan risalah nombor ekor yang bersifat keagamaan direkodkan pihaknya sejak 2008.

Menurutnya, semua mangsa ditipu melalui modes operandi sama dan ada juga mangsa membuat pinjaman dengan ceti haram semata-mata untuk memenuhi permintaan bomoh nombor ekor itu.

“Mangsa yang semuanya warga emas terdiri dari berbilang bangsa dan secara keseluruhan, mereka hilang kira-kira RM2 juta,” katanya.


3 tertuduh lari lokap ditahan semula

KLANG: Kompleks Mahkamah Klang di sini, semalam gempar seketika apabila tiga lelaki yang baru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan samun melarikan diri sebelum sempat dimasukkan ke dalam lokap mahkamah.
Bagaimanapun, tindakan berani mati mereka itu ternyata sia-sia apabila dua daripada mereka ditangkap di luar mahkamah, manakala lelaki ketiga ditahan semula ketika bersembunyi dalam semak di tepi Sungai Klang. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof ketika dihubungi pemberita berkata, kejadian itu berlaku jam 11.50 pagi apabila tiga lelaki berkenaan dibawa untuk ditahan di lokap mahkamah. “Bagaimanapun, selepas gari di tangan tertuduh yang berusia antara 19 dan 23 tahun itu dibuka, mereka nekad membuka pintu lokap sebelum melarikan diri.

“Dua daripada lelaki itu dapat ditahan semula di luar bangunan mahkamah, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri dengan terjun ke tepi bukit, sebelum menghala ke arah stesen kereta api. “Lelaki ketiga itu kemudian menyembunyikan diri dalam semak di tepi Sungai Klang, sebelum ditahan semula oleh polis pada jam 1.25 tengah hari,” katanya.
Kedudukan Kompleks Mahkamah Klang di atas bukit terletak kurang 200 meter dari Stesen Kereta Api Klang. Mohamad berkata, sebelum kejadian, tiga sekawan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan samun di Sepang dan masing-masing diperintahkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.


Peragut maut, rakan cedera dilanggar saksi



SUBANG JAYA: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut manakala rakannya cedera apabila dilanggar sebuah kereta ketika cuba melarikan diri selepas meragut seorang wanita di USJ 8, di sini, awal pagi semalam.
Suspek dikatakan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala meninggal dunia sebaik tiba di hospital manakala rakannya yang dilaporkan cedera sempat melarikan diri biarpun saksi kejadian cuba mengejarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kedua-dua suspek dikatakan cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun yang berusaha menahan kumpulan terbabit selepas menyaksikan kejadian ragut itu.
Menurut sumber, kejadian bermula apabila kedua-dua suspek yang menaiki motosikal bertindak memecahkan cermin kereta seorang wanita berusia 30-an yang berhenti di lampu isyarat.

“Ketika kejadian, wanita terbabit bersama ibu dan anak lelakinya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Sebaik memecahkan cermin hadapan sebelah pemandu dipercayai menggunakan kayu, seorang daripada suspek menarik beg tangan milik wanita berkenaan yang diletakkan di atas pehanya,” katanya.

Sumber berkata, tersentak dengan itu, wanita terbabit cuba mempertahankan beg tangannya menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Namun, suspek dapat melarikan beg berkenaan. Bagaimanapun, kejadian itu disaksikan seorang lelaki yang bekerja sebagai peniaga berusia 47 tahun yang kebetulan berada berhampiran.
“Lelaki terbabit yang berang dengan tindakan peragut itu mengejar motosikal yang dinaiki dua suspek dengan kereta miliknya,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek hanya sempat memecut laju kenderaan mereka itu sehingga di tiba di USJ8, di sini.

“Peniaga terbabit yang berjaya menahan mereka nekad merempuh belakang motosikal dinaiki kedua-dua suspek menyebabkan mereka terjatuh.

“Kedua-dua suspek yang cedera cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas peniaga terbabit,” katanya.

Wanita Myanmar kebuluran dikurung enam hari

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Myanmar berusia 36 tahun terpaksa mengharungi detik hitam apabila dia yang diculik dari rumah majikannya dikurung selama enam hari dan dibiarkan kebuluran dalam bilik di sebuah rumah di Taman Segar, Cheras, di sini.
Sepanjang dikurung, wanita terbabit, Nge Lay tidak dibenarkan menjamah sebarang makanan atau minuman. Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah kilang membuat cakera padat di Merlimau, Melaka pada mulanya ‘diselamatkan’ ejen pekerja asing iaitu seorang lelaki senegaranya selepas mangsa mengadu kepada lelaki itu mengenai keadaan kesihatannya yang teruk dan mendakwa dia tidak mampu meneruskan kerjanya pada 4 Mac lalu.

Dia kemudiannya dibawa ke sebuah di Taman Segar pada malam hari sama.
Bagaimanapun, ‘kebebasan’ mangsa tidak bertahan lama apabila dia dikurung lelaki yang ‘menyelamatkannya’ malah, pasportnya turut dirampas.

Selepas enam hari dikurung jeritan mangsa didengari seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan yang kemudiannya membantu mangsa mendapatkan pertolongan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Badan Tindakan Alternatif yang beribu pejabat di Butterworth, Pulau Pinang.

Mendedahkan perkara itu, aktivis Badan Tindakan Alternatif, B Kalai Vanar, berkata dia menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 malam pada 9 Mac lalu dan bertindak bersama sekumpulan ahli badan itu pergi menyelamatkan mangsa.

“Kami ke tempat kurungan mangsa dan terpaksa memecahkan pintu rumah yang bermangga sebelum membawa mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, mengikut cerita mangsa, wanita itu yang mengalami masalah kesihatan memaklumkan kepada ejennya supaya membawanya pulang dari kilang membuat cakera padat di Merlimau yang menjadi tempat dia mencari rezeki sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, pada mulanya, ejen berkenaan meminta dia melarikan diri, tetapi pada 4 Mac, ejennya pula melarikannya dari tempat kerja dan mengurungnya pula.

“Ejen berkenaan bukan saja menderanya sepanjang enam hari dalam kurungan sebaliknya sejak dia mula bekerja dia hanya diberi gaji RM200 sebulan dan selebihnya akan diambil ejen itu,” katanya yang bersama mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras pada 10 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment