Sunday, March 13, 2011

KEMBALI KEPADA ISLAM...AMALANNYA...AKIDAHYA..IBADAHNYA...PENUHKAN MASA MENUNTUT ILMU FARDU AIN....BAGI SEMUA ORANG YG MENGAKU ISLAM...ILMU LAIN KITA TUNTUT...TERMASUK ILMU TAK BERGUNA DAN MAKSIAT...TIBA2 ILMU ISLAM DIABAIKAN...DITEGUR MENGAKU JAHIL...DAH TAHU JAHIL TAPI DEGIL TAK MAU BELAJAR....

20 tahun sisih diri

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Gara-gara tidak mendapat restu untuk mendirikan rumah tangga, seorang wanita dari Sibu, Sarawak, sanggup menyisihkan diri daripada keluarga kandungnya sejak 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, keluarganya yang terlalu merindui wanita berkenaan tidak pernah melupakannya dan berharap, mereka dapat bertemu kembali satu hari kelak.

Adik bongsu wanita itu, Mual Brasap, 27, berkata, keluarganya berharap dapat bersatu kembali dengan kakaknya, Gettude Brasap, berusia akhir 30-an, selepas lama terputus hubungan.
Menurutnya, kejadian bermula apabila kakaknya yang juga anak sulung daripada lapan beradik tinggal berjauhan dengan keluarga dan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Katanya, kakaknya ‘makan hati’ apabila impiannya untuk berkahwin dengan kekasih tidak dipersetujui keluarga hingga menyebabkan punca pertengkaran.

“Kami tidak sangka kakak terus mengasingkan diri dari keluarga sedangkan kami merinduinya dan berusaha pelbagai cara bagi mengesannya di beberapa tempat di Pulau Pinang.

“Kali terakhir saya berbual dengannya menerusi telefon ialah 20 tahun lalu. Ketika itu dia berjanji pulang ke rumah secepat mungkin selain meraikan Hari Krismas bersama-sama, tetapi itulah kali terakhir saya berbual dengannya.

“Kakak terus menyisihkan diri tanpa sebarang panggilan telefon atau surat, namun kami sekeluarga merinduinya dan berharap dapat menemuinya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga berpendapat kakaknya sudah berkahwin dan mempunyai zuriat, namun mereka tetap menerimanya semula.

Mual berkata, dia dan isterinya yang bekerja di Johor tidak pernah berputus asa untuk mengesan kakaknya termasuk mencarinya di sekitar negeri ini.

Menurutnya, mereka pernah membuat laporan berkaitan kehilangan kakaknya itu di Balai Polis Tampoi di sini, dua tahun lalu bagi memudahkan usaha mengesan kakaknya yang memiliki tubuh sederhana dan berkulit hitam manis.

“Saya mewakili ahli keluarga meminta maaf dengan kakak dan berharap dia kembali bertemu dengan mak serta ayah yang lanjut usia.

“Saya meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kakak supaya menghubungi talian 019-7953576 atau 014-8829915,” katanya yang datang ke Pejabat Harian Metro, semalam.



‘Ketepikan ego’

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sama ada si anak mahupun bapa perlu membuang ego dalam diri, selain memaafkan kesalahan yang pernah terjadi demi mencapai jalan penyelesaian terbaik,” kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Niekmah Adam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai dendam kesumat disimpan seorang anak tunggal terhadap ayahnya yang bersikap baran selain mendera dan memaki dirinya hingga menyebabkan anak berkenaan tergamak mendoakan kematian lelaki itu.

Dr Niekmah berkata, apabila dilihat pada zahirnya sikap bapa yang sering mendera anak atau mendidik dengan cara kekerasan bakal mewujudkan satu jurang pemisah selain menanam perasaan dendam yang membara dalam hati.
“Walaupun hakikatnya masalah ini berpunca daripada kesalahan si ayah yang menggunakan kekerasan sepanjang proses membesarkan anaknya namun kesalahan itu tidak sepatutnya diteruskan dan tindakan seumpama 'Si Tanggang' dengan mendoakan kematian lelaki itu nyata tersasar daripada landasan ajaran Islam.

“Anak yang menjadi mangsa penderaan itu perlu menerima segala ketetapan yang termaktub dalam suratan hidupnya dengan kerelaan selain berusaha membersihkan dendam kesumat terhadap lelaki yang hakikatnya adalah ayah kandungnya sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, doa dan ibadat kepada Yang Maha Esa adalah senjata utama yang dapat membuang perasaan negatif dalam diri kerana dendam dan perselisihan yang berpanjangan tidak menjamin kebahagiaan malah memburukkan lagi keadaan.

“Si ayah perlu mengaku terhadap kesalahan sendiri dengan mengungkapkan rasa bersalah selain meminta maaf kepada anaknya demi meredakan perasaan dendam dan marah yang terbuku dalam hati sanubari anak itu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya si anak enggan bertaubat dan masih melakukan kekejaman terhadap bapanya bagi membalas dendam, masalah itu akan berterusan tanpa penghujung dan yang nyata tidak akan mendatangkan sebarang faedah malah mencerminkan senario negatif di kalangan masyarakat tempatan yang beragama Islam.


Pesara tentera disamun lepas keluar duit RM5,000

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pesara tentera berusia 60 tahun untuk menggunakan wang RM5,000 yang baru dikeluarkannya daripada sebuah bank untuk membawa ahli keluarganya bercuti sempena cuti sekolah lebur apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di Setapak, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dihampiri dua lelaki bermotosikal berusia 20-an ketika berjalan menuju kereta yang diletakkan berhampiran bank berkenaan.

Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, seorang daripada suspek meletakkan sebilah pisau di dada lelaki terbabit sebelum mengarahkannya menyerahkan beg serta sampul surat yang mengandungi wang itu.
“Pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian, namun rakan suspek memukulnya sebelum mengugut membunuhnya jika enggan menyerahkan wang berkenaan.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya terpaksa menyerahkan wang berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, sebelum kedua-dua suspek meninggalkan kawasan berkenaan, seorang daripada mereka mengugut membunuhnya jika melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.



Sebak lihat bakal menantu

KOTA BHARU: “Melihat keadaannya (bakal menantu) saya rasa sebak, malah dia tidak putus-putus datang ke rumah untuk membantu kami mengadakan kenduri tahlil yang diadakan untuk Allahyarham Muhammad Nur Farhan, 26,” kata Razali Salleh, 50.
Razali berkata, dia tidak mahu mengganggu emosi bakal menantunya (Tuan Norhidayah Tuan Lah, 24) dan membiarkan masa menentukan segala-galanya kerana yakin sukar untuk gadis berkenaan melupakan detik paling menyedihkan dalam hidupnya.

“Setiap malam, Tuan Norhidayah akan datang berseorangan untuk menghadiri majlis tahlil dan akan pulang kira-kira jam 12 tengah malam, manakala ibu dan keluarganya datang berasingan.
“Buat masa ini biar dia mencari ketenangan dan biar masa menentukan segala-galanya. Daripada raut wajahnya, saya akui penderitaan dilaluinya menyebabkan saya terlalu sebak melihat keadaannya itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Razali yang juga kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Pasir Mas, berkata dia kini masih bercuti dan menguruskan kenduri tahlil Muhammad Nur Farhan yang masuk hari ketiga malam semalam.

Kebahagian bergelar isteri hanya setahun



IPOH: “Biarpun dihantui dosa lampau akibat menggugurkan bayi dalam kandungan, saya sempat menikmati kebahagiaan selepas kami akhirnya bersetuju berkahwin di Yala, Thailand pada Januari tahun lalu,” kata Balqis, 32.
Harian Metro sebelum ini memaparkan kisah Balqis yang membuat pengakuan berani pernah mengugurkan bayi dalam kandungannya sebanyak tujuh kali dalam tempoh empat tahun selepas bersekedudukan dengan seorang guru.

Balqis berkata, perkahwinannya dengan guru berusia 30-an itu hanya bertahan setahun sebelum dia diceraikan akhir tahun lalu tanpa sebarang penjelasan.
“Lebih mengejutkan, saya menerima dokumen lafaz cerai talak satu itu menerusi mesin faksimili ketika berada di pejabat sekolahnya di Pengkalan Hulu.

“Saya hampir terduduk selepas mendapat tahu, suami melepaskan lafaz cerai terhadap saya sambil disaksikan sendiri bekas madu saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, dia hampir pengsan selepas menerima khabar itu dan percaya bekas madunya dalang di sebalik rancangan memisahkannya dengan bekas suami.

Balqis berkata, pada awal perkahwinan, hubungannya dengan bekas madu tiada masalah.

“Bagaimapun, selepas enam bulan, bekas madu mula menunjukkan ‘taring’ dan menghasut suami menceraikan saya,” katanya.


Bomoh ‘nyah’ tukar emas jadi beras

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Seorang bomoh ‘mak nyah’ memperdayakan seorang warga emas supaya menyerahkan kepadanya barangan kemas dan wang tunai RM28,000 dengan mendakwa hartanya akan hilang disedut dan bakal terkena bala angkara perbuatan khianat.
Bomoh ‘mak nyah’ itu juga mendakwa mampu memulihkan warga emas itu jika dia menyerahkan barangan kemas dan wang tunai untuk ditapakan di kayangan oleh Dewa Mayang Mengurai dan Kiai.

Turut menjadi mangsa bomoh dua alam itu ialah datuk saudara dan sepupu mangsa yang masing-masing kerugian RM50,000 dan RM 27,000, selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas untuk dipertapakan. Bagaimanapun, harapan mangsa menyelamatkan barangan kemas dan wang tunai itu musnah apabila ia bertukar menjadi beras.
Dalam kejadian bulan lalu, mangsa, Esah Yaakub, 59, yang ditemani suami dan dua anaknya ke rumah bomoh berusia 30-an di Kampung Paya Mengkuang untuk mengambil barang yang siap dipertapakan dewa kayangan itu.

“Sebelum pulang ke rumah kami, bomoh terbabit mengarahkan supaya jangan membuka beg kecuali selepas tiba di rumah.

“Apabila kami keluar dari rumah bomoh itu, anak saya mengesyaki sesuatu tidak kena sebelum mengambil beg dan membukanya. Kami terkejut apabila mendapati hanya beras di dalam beg dan bukannya wang serta barang kemas yang diberikan kepadanya sebelum ini.

“Kami masuk semula ke rumah bomoh berkenaan untuk meminta penjelasan dan dia yang menyedari tembelangnya pecah mula berlakon seolah dirasuk makhkuk alam ghaib dan bercakap dengan nada suara garau.

“Berang dengan gelagatnya itu, anak saya hilang sabar dan mengheretnya ke balai polis sebelum bomoh itu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Esah berkata, dia mengenali bomoh dua alam itu melalui datuk saudaranya Februari lalu kerana ingin mengubati sakit badan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan harta saya akan hilang kerana disedut individu yang iri hati terhadap saya,” katanya.

Katanya, bomoh itu memujuknya menyerahkan wang tunai dan barang kemas dalam simpanan untuk dipertapakan bagi mengelak ia hilang disedut makhluk dari alam ghaib.

“Saya sering berulang-alik ke rumah bomoh berkenaan untuk proses perubatan secara alam ghaib dalam pada masa sama dia mempengaruhi saya dengan pelbagai cerita karut membuatkan saya percaya apa diperkatakannya. “Memang bingung apabila dimaklumkan wang simpanan dalam akaun bank juga boleh disedut apa lagi barang kemas, namun disebabkan risau dakwaan itu benar saya menyerahkan kepadanya tanpa usul periksa. “Malah, saya juga sanggup mengeluarkan wang daripada akuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan memindahkannya ke akuan bank baru.

“Seperti dipukau kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun baru itu diserahkan kepada bomoh dua alam berkenaan,” katanya. Selepas tembelang bomoh itu terbongkar, Esah hanya terkedu apabila barang kemasnya lesap dan baki dalam akaun bank baru hanya tinggal RM11, manakala barang kemas miliknya dipercayai digadai. Sepanjang tempoh berubat dengan bomoh dua alam itu, Esah mendakwa sakit badannya bertambah teruk menyebabkan dia percaya ada orang iri hati dan menggunakan sihir terhadapnya supaya lumpuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis Tanjung Kupang.

“Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan berharap mangsa memberi masa kepada polis menyelesaikan kes ini,” katanya.

Jumpa mayat terdampar

KUANTAN – Seorang peniaga, Mohd Faizul Ismail, 23, menyangka sekujur tubuh di tepi Pantai Sepat adalah kayu balak yang dihanyutkan ombak namun apabila didekati ia adalah mayat lelaki tanpa baju.

Mohd Faizul berkata, dia terlihat satu objek yang dipukul ombak ketika sedang minum di sebuah kedai makan di seberang jalan pantai itu bersama tujuh lagi rakannya kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, ketika itu dia menyangka kayu balak yang hanyut dibawa ombak. Bagaimanapun, tidak puas hati dengan objek yang dilihat, dia berlari ke tepi pantai dan mendapati sekujur mayat lelaki yang sudah membengkak dan mula berbau.

“Pada mulanya, saya sangka objek itu kayu balak tetapi selepas didekati, objek itu adalah mayat lelaki yang sudah berbau,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Faizul berkata, dia tidak panik sebaliknya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Mayat lelaki tidak berbaju dan berseluar jean biru itu dihantar pasukan polis ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan penemuan mayat lelaki di Pantai Sepat dan siasatan mengenainya masih dijalankan. 



Mencuri dalam tandas

KUALA ROMPIN - Jika kebiasaannya, pencuri lebih berminat menjadikan kedai emas dan bank sebagai sasaran, namun selera sebahagian ‘kaki curi’ di sini, sedikit berlainan apabila mensasarkan barangan peralatan tandas semata-mata.

Buktinya, sebuah tandas di stesen minyak di Kuala Rompin sering dijadikan sasaran sejak beberapa bulan lalu hingga mengundang rasa khuatir pemilik dan pekerja di stesen minyak berkenaan.

Dalam tempoh tiga bulan lalu, tandas di stesen minyak itu sudah tiga kali dimasuki pencuri yang mengambil kesempatan mencuri peralatan seperti pewangi tandas, kepala paip dan terbaru, batang paip pada saluran tempat membuang air kecil.

Lebih mengejutkan, kegiatan itu dilakukan sekitar jam 9 malam ketika kesemua pekerja di stesen minyak terbabit sedang sibuk melayan pelanggan hingga kehadiran ‘pencuri tandas’ itu sukar dikesan.

Pencuri terbabit dipercayai masuk ke tandas stesen berkenaan dengan membawa peralatan yang sesuai untuk memudahkan kerja-kerjanya.



Barangan tandas selalu hilang



Penyelia stesen minyak berkenaan, Faizal Abd Aziz, 32, berkata, kali terakhir tandas di stesen itu dimasuki pencuri malam kelmarin, setelah salah seorang pekerja di situ mendapati batang paip pada saluran tempat membuang air kecil lesap.

Faizal berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam kerana pada waktu sebelumnya, kesemua peralatan tandas mencukupi ketika dia membuat pemeriksaan.

“Saya diberitahu seorang rakan batang paip di tandas ini hilang dan berkemungkinan ia dicuri oleh pencuri sama yang sebelum ini turut mencuri barangan keperluan tandas dua minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyusahkan pengguna lain yang ingin menggunakan tandas di situ.

“Sikap mereka yang tidak berperikemanusiaan ini amat dikesali kerana ia hanya menyusahkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam tandas ini,” katanya.

Faizal yang berkhidmat di stesen minyak itu sejak 16 tahun lalu berkata, perbuatan keji itu perlu dibanteras segera kerana dikhuatiri kejadian sama boleh berulang, selain pemilik terpaksa menanggung kos pemasangan semula yang tinggi.

“Kita sangat berharap pencuri ini dapat diberkas segera memandangkan perbuatannya hanya menyusahkan orang lain, selain ia dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai,” katanya.



Suspek guna modus operandi sama



Rakan sekerja Faizal, Norhafizah Ab Razak, 28, berkata, kemungkinan suspek yang mencuri barangan keperluan tandas itu adalah orang sama yang mencuri sebelum ini.

Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatannya pada waktu malam iaitu ketika kesemua pekerja sedang sibuk dengan tugas masing-masing, supaya kehadirannya tidak disedari.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah sama, namun andaian ini belum dapat dibuktikan kerana dalang di sebalik kejadian ini masih tidak dapat dikesan dan ditangkap,” katanya.

Norhafizah juga tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan penagih dadah yang ingin mendapatkan duit poket untuk memenuhi ketagihan mereka.



Polis perlu buat rondaan



Seorang lagi pekerja, Mohd Amirul Shafiq, 18, berkata, pemantauan dan rondaan secara berkala oleh polis peronda (MPV) diyakini dapat membanteras gejala berkenaan daripada terus berleluasa.


Menurutnya, selagi dalang di sebalik kejadian itu tidak dicekup, selagi itu individu terbabit berani bertindak sesuka hati.

“Pemantauan berterusan pihak berkuasa seperti polis ke stesen minyak pada waktu malam diharapkan dapat mengelakkan kejadian ini terus berlaku pada masa akan datang,” katanya. 
 
 
 
Guru mati

PETALING JAYA – Seorang wanita berusia 25 tahun maut apabila terperangkap dalam kebakaran membabitkan apartmen yang disewanya di tingkat 7 Ritz Perdana, Damansara Perdana, pagi semalam.

Mangsa Elizabeth Wong dipercayai bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta tinggal seorang diri ditemui dalam keadaan melecur teruk di rumah itu.

Kejadian disedari oleh pengawal keselamatan selepas terdengar letupan kuat dari unit rumah itu kira-kira jam 10.20 pagi.

Menurut ketua pengawal keselamatan apartmen, Rahim Mahmud pihaknya terpaksa memecahkan pintu setelah panggilan tidak disahut.

“Kami gunakan alat pemadam api bagi mengelakkan api merebak ke unit sebelah,”katanya.

Menurutnya kali terakhir mangsa dilihat pada Sabtu lalu selepas membuat aduan berhubung masalah pendawaian elektrik di rumahnya.

Sementara itu Penguasa Bomba Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain berkata sepasukan bomba dari Balai Bomba Damansara bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 10.40 pagi.

Menurutnya ketika pihaknya tiba api telah pun dipadamkan namun asap masih tebal di situ.

“Anggota kami melakukan pengudaraan dan pemeriksaan dan ketika itu kami menemui seorang mangsa terbaring di atas lantai berhampiran sebuah katil,”katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supritendan Meor Hamdan Meor Mohamad ketika dihubungi berkata pihaknya masih menunggu pengecaman daripada ahli keluarga mangsa.

Menurutnya buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang tinggal di situ.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya dan keluarga mangsa sudah dihubungi untuk pengecaman,”katanya.

Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat. 
 
 
Pemilik kondo buntu

PUCHONG – Tidak seindah namanya, pemilik kondominium The Heron Residency, Bandar Bukit Puchong dekat sini buntu memikirkan pelbagai masalah yang dihadapi mereka selepas membeli unit rumah berharga antara RM170,000 hingga RM235,000 itu enam tahun lalu.

Difahamkan, lebih 30 peratus daripada 299 pemilik berdepan masalah kerosakan jubin lantai selain siling mengalami kebocoran.

Sinar Harian dimaklumkan aduan berhubung perkara itu sudah diajukan kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan namun menyedihkan tiada sebarang tindakan diambil.

Dakwa penduduk, pemaju melalui surat bertarikh 23 Disember tahun lalu mendakwa pemilihan dan pemasangan jubin mereka mengikut spesifikasi seperti praktis pembinaan industri.

Dengan memberi alasan tempoh tanggungan kecacatan (DLP) sudah tamat pada Januari 2009 seperti mana terkandung dalam Perjanjian Jual Beli Rumah (SNP) pihak itu, dakwa penduduk turut dilihat seolah-olah tidak mahu mengambil langkah pembaikan terhadap aduan yang disalurkan.

Melalui surat dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula, penduduk difahamkan permasalahan timbul tidak berkaitan dengan DLP sebaliknya ia berkaitan dengan kegagalan bangunan atau kemungkinan sebahagian daripada bangunan (kemasan lantai) ketika dibina.

MPSJ dalam surat tersebut memaklumkan permasalahan terjadi berkemungkinan daripada kualiti jubin import yang tidak sekata dan terdapat kualiti jubin tahap sederhana yang mengembang apabila cuaca panas selain faktor keadaan pemasangan jubin yang terlalu rapat.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengarahkan pemaju bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembaikan jubin dengan mematuhi piawaian termasuk undang-undang binaan yang sewajarnya.

Bagaimanapun, sejak beberapa surat peringatan dikeluarkan kepada pemaju bertarikh 16 Jun 2010, sehingga kini penduduk memaklumkan tiada sebarang tindakan diambil pemaju berhubung perkara itu.

Kasino dalam hutan

KULIM - Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) dari Balai Polis Kulim, yang diketuai seorang sarjan dan lima anggota berjaya mengesan tempat perjudian haram di sebuah pondok dalam ladang getah berhampiran Taman Dahlia kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.

Dari tinjauan dibuat, hampir 10 kereta mewah dipercayai dimiliki tauke judi yang meletakkan kenderaan di tepi hutan dan menggunakan motosikal untuk ke tempat perjudian yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan lereng bukit.

Jurucakap polis berkata, maklumat diperoleh hasil pemantauan sejak tiga minggu lalu dan kawasan perjudian didatangi oleh golongan elit bagi mempertaruhkan wang yang banyak.

“Tempat perjudian ini dikenali dengan panggilan ‘small casino’. Kawasan ini tersorok dan diawasi ketat oleh tonto yang diupah untuk mengawasi 600 meter dari kawasan pondok perjudian.

“Dari Taman Dahlia, polis terpaksa menggunakan jalan tanah dengan menaiki motosikal sejauh satu kilometer. Apabila tiba di lereng bukit yang dipenuhi dengan belukar dan ladang getah, polis terpaksa berjalan kira-kira 600 meter untuk sampai ke lokasi perjudian,” katanya.

Polis turut menemui penempatan pendatang asing tanpa izin yang bekerja di sekitar kawasan kebun sayur dan ladang getah yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perjudian.

Dari pemantauan dibuat, polis mendapati lebih tiga pondok kecil dibina dan ia mampu menempatkan hampir 12 pendatang.

Ketika serbuan dibuat, polis terpaksa berhati-hati berikutan terpaksa menggunakan laluan sempit untuk ke penempatan itu.

Laluan itu dilengkapi dengan pelbagai perangkap di mana beberapa batang buluh tajam serta besi diletakkan di sepanjang jalan selain beberapa lubang besar turut ditemui dan dipercayai ia sengaja dikorek bagi memperlahankan pergerakan polis.

“Polis berjaya mengesan hampir 10 pendatang asing yang tinggal di kawasan itu tetapi mereka berjaya melarikan diri ke puncak bukit bersempadan dengan Junjung.

“Dari tinjauan dibuat terhadap beberapa pondok yang ditinggalkan, polis menemui bekalan makanan yang banyak selain minuman keras dan rokok yang diseludup.

Polis akan membuat pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan lokasi perjudian dan penempatan warga asing tanpa izin ini dihapuskan sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian. 

No comments:

Post a Comment