Bank Negara catu kad kredit
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan beberapa peraturan drastik bagi pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Peraturan baru itu dijangka memberi kesan kepada lebih 480,000 pemilik kad kredit di negara ini yang berada dalam segmen pendapatan itu.
Antara syarat yang dikuatkuasakan serta-merta itu ialah kadar kelayakan gaji minimum bagi setiap permohonan baru kad kredit dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.
Pada masa yang sama, mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun hanya dibenarkan memiliki kad kredit daripada dua buah bank sahaja.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jika seseorang itu mempunyai kad kredit daripada banyak bank, individu itu perlu memilih dua bank sahaja dan membatalkan kad kredit yang lain menjelang akhir tahun ini.
"Kepada mereka yang terpaksa membatalkan kad masing-masing di bawah syarat ini, mereka diberi masa dua tahun untuk melangsaikan baki kredit tanpa sebarang syarat daripada bank," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, syarat umur sekurang-kurangnya 21 tahun untuk memohon kad kredit dikekalkan.
Janda Singapura dihukum gantung
|
|
SHAH ALAM – Seorang janda beranak satu warga Singapura dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan mengedar 372.4 gram dadah campuran heroin dan morfin dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Noor Atiqah M. Lasim (gambar), 27, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah firma guaman dekat sini selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Malah dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, mahkamah mendapati wanita itu mempunyai pengetahuan dan kawalan ke atas dadah-dadah tersebut.
“Tertuduh di dalam pembelaannya menyatakan dadah di dalam beg itu bukan miliknya dan dia hanya membawa bagi pihak orang lain tanpa mengetahui isi kandungan beg itu.
“Pembelaan itu tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai oleh mahkamah kerana seseorang tidak akan membawa beg milik orang lain tanpa sebab,” katanya.
Tanah kubur jadi tapak rumah
GEORGE TOWN – Tak cukup tanah, bina rumah atas tapak kubur.
Demikian dakwaan penduduk Kampung Bukit Kechil, Sungai Nibong dekat sini terhadap rancangan sebuah syarikat pemaju untuk membina projek perumahan di atas sebahagian tanah perkuburan Islam kampung berkenaan tidak lama lagi.
Ia berlaku selepas pemilik tanah bertindak menjual tanah di atas bukit di situ kepada syarikat berkenaan baru-baru ini.
Penduduk mendakwa, tanah itu sebelum ini telah diwakafkan oleh pemiliknya sebagai kawasan perkuburan bersama beberapa pemilik lain semasa mereka meneroka kampung itu kira-kira 200 tahun lalu. malah kawasan seluas kira-kira 0.2 hektar itu telah dipagar oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai tanah wakaf sejak lima tahun lalu.
Fikri Hasanusi, 43, mendakwa, walaupun ia hanya melibatkan kawasan seluas 100 meter persegi, 20 kubur lama di situ bakal lenyap dan bukannya dua kubur seperti yang didakwa oleh pemaju.
“Kami tidak mempertikaikan hak pemilik menjual tanah tetapi kami minta pihak berkuasa meninjau keadaan ini kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai dan ramai waris si mati,” ujarnya kepada Kosmo! semalam
MPPP lulus kerja gali jirat Cina untuk bina projek RM300 juta
GEORGE TOWN - Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meluluskan kerja menggali dan mengalihkan 56 jirat Cina lama berusia 112 tahun di Batu Lancang di sini menimbulkan ke marahan waris-warisnya.
Mereka mendakwa, MPPP telah meluluskan permit menggali semula jirat itu kepada sebuah syarikat pemaju sedangkan pertikaian mengenai perkara itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Seorang waris, Yeoh Cheang Huat, 65, berkata, kelulusan itu sepatutnya ditangguhkan tetapi MPPP membenarkan pemaju melakukannya menerusi peruntukan di bawah Seksyen 97(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Katanya, beberapa rayuan kepada MPPP termasuk untuk bertemu pemimpin kerajaan negeri bagi membincangkan isu itu tidak dilayan.
Katanya, antara tokoh ternama yang disemadikan di tanah perkuburan itu ialah pengasas Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Tan Hup Chui dan dermawan terkenal, Lim Ko Seng.
SUAMI BAIK BOLE BAWA KITA KE SYURGA BUKAN SEBALIKNYA....
Raul mampu jadi suami yang baik - Kris
JAKARTA – Menjelang sehari sebelum majlis pernikahannya, penyanyi Kris Dayanti, 36, semalam tetap yakin lelaki pilihannya, Raul Dos Ries Lemos mampu menjadi suami yang terbaik untuknya.
Perkahwinannya dengan Raul atau lebih dikenali Raul Lemos, seorang usahawan dari Timor Leste, adalah yang kedua buat Kris.
Dalam pertemuan bersama Kosmo! selepas majlis bacaan suci al-Quran dan tazkirah perkahwinan di kediamannya di Radio Dalam, Jakarta Selatan semalam, Kris menyatakan dia kali ini sudah cukup bersedia untuk menjadi isteri.
“Saya yakin Raul adalah pemimpin rumah tangga yang mampu mendidik saya dengan baik. Paling utama dia (Raul) menerima saya seadanya, bukan sebagai seorang artis tetapi sebagai wanita biasa,” katanya.
Majlis pernikahan pasangan itu dijadualkan berlangsung di Masjid Sahid Nurul Iman di sini pada pukul 8 pagi ini.
Majlis resepsi pula akan diadakan pada 25 Mac ini di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta Selatan iaitu sehari selepas penyanyi terkenal itu menyambut ulang tahun ke-36.
Pemandu bas diarah bela diri
|
|
IPOH - Pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan 10 penumpang maut diperintah membela diri pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.
Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memerintahkan demikian setelah pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut.
"Berdasarkan keterangan saksi, ekshibit (barang bukti) dan keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan kes prima facie telah berjaya dibuktikan," jelasnya dalam penghakiman bertulis.
Anak Exco didakwa miliki dadah
KANGAR – Seorang anak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis bersama tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki dadah tahun lalu.
Mohd. Faiz Mansor, 27, bersama Nuri Cham Churi Mat, 36, Nazeri Yusof, 39 dan Fuziana Muhammad, 25, didakwa memiliki 1.46 gram heroin dan 0.4 gram morfin di pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik, Padang Besar pukul 7 malam pada 7 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta yang sama.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
No comments:
Post a Comment