DUNIA
Pengacara TV wanita tawar Presiden Jerman tidurinya
BERLIN - Seorang pengacara televisyen Jerman dan aktivis antinuklear, Charlotte Roche menawarkan diri untuk melakukan hubungan seks dengan Presiden negaranya yang sudah beristeri jika undang-undang kontroversi untuk melanjutkan jangka hayat 17 reaktor nuklear Jerman dimansuhkan, lapor sebuah akhbar.
Pengacara berusia 32 tahun yang pernah menerima anugerah tertinggi kewartawanan Jerman itu berkata, dia bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan Presiden Jerman, Christian Wulff jika beliau berjaya menghalang pelaksanaan undang-undang tersebut.
"Saya menawarkan untuk tidur bersamanya jika dia tidak menandatangani undang-undang itu," kata Roche dalam satu temu bual dengan majalah Der Spiegel.
Wanita itu menyatakan, beliau telah berbincang mengenai perkara ini dengan suaminya yang tidak menghalang tawaran tersebut.
Peruntukan undang-undang untuk memanjangkan hayat 17 buah reaktor nuklear yang berusia lebih 12 tahun itu sepatutnya berakhir pada tahun 2020.
Undang-undang itu diwujudkan oleh pentadbiran terdahulu dan diluluskan oleh dewan rendah Parlimen Jerman, Bundestag seminggu lalu.
Namun, pemerintah memutuskan bahawa undang-undang baru itu tidak memerlukan kelulusan dewan tertinggi, Bundesrat, dan ia hanya memerlukan tandatangan Wulff untuk disahkan sebagai undang-undang.
Roche menjadi popular di Jerman selepas beliau muncul buat kali pertama pada 1988 di televisyen.
Beliau menjadi penganjur tunjuk perasaan bagi menentang pemindahan 123 tan sisa buangan radioaktif dengan menggunakan kereta api di utara Jerman pada minggu lalu. - Agensi
DUNIA
Ribuan mangsa Merapi pulang ke rumah
GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Beribu-ribu penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing semalam selepas pihak berkuasa Indonesia menyatakan beberapa kawasan tidak lagi berbahaya selepas Gunung Merapi di Pulau Jawa meletus dengan kuat dua minggu lalu.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana, Gunung Merapi yang meletus sejak 26 Oktober lalu telah membunuh lebih 259 orang.
Menurut seorang ahli vulkanologi, Gunung Merapi dilihat masih mengeluarkan asap panas dan debu namun aktivitinya sudah berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Setelah berada selama hampir tiga minggu di kem-kem sementara yang sesak, ramai penduduk kampung kembali ke rumah dengan membawa tikar, selimut dan baju.
Mereka yang pulang ke kampung mendapati hampir semua barang yang dimiliki termasuk rumah sudah musnah.
"Rumah-rumah diselaputi oleh abu tebal dan hasil pertanian tidak boleh dituai.
"Kami perlu mencari jalan untuk membantu mereka kerana ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan," kata seorang ketua kampung Jati, Lilik Sujati. - AP
DUNIA
Kubur ahli astronomi Denmark digali
PRAGUE, Republik Czech - Sepasukan saintis dari Denmark dan Republik Czech semalam menggali semula kubur seorang ahli astronomi Denmark yang terkenal pada kurun ke-16 dalam usaha mencari punca kematian misterinya.
Ahli astronomi itu, mendiang Tycho Brahe yang dilahirkan pada tahun 1546, telah disemadikan di gereja Church of Our Lady berhampiran Old Town Square di Prague sejak kematiannya pada tahun 1601.
Tokoh itu berada di Prague atas jemputan Maharaja Rom, Rudolph II selepas beliau meninggalkan balai cerapnya di Pulau Hven kerana bercanggah pendapat dengan raja Denmark.
Pemerhatian planet-planet dan bintang yang tepat oleh Brahe telah membantu bidang ilmu astronomi moden. Selama ini, kematiannya dikatakan akibat jangkitan pundi kencing.
Namun, ujian-ujian yang dijalankan pada tahun 1996 di Sweden dan Denmark berdasarkan sampel misai serta rambutnya yang diperolehi sewaktu proses penggalian semula kuburnya pada tahun 1901 mendapati wujud tahap kandungan merkuri yang tinggi.
Keadaan itu menimbulkan teori bahawa beliau diracun dan dibunuh.
Seorang profesor arkeologi zaman pertengahan dari Universiti Aarhus Denmark, Jens Vellev menyatakan sebagai seorang ahli sains, Brahe sangat penting kepada dunia. - AP
DUNIA
Pemain bola sepak paling tua
|
|
WEYMOUTH, England - Seorang pemain sayap paling tua di bandar ini, Dicky Borthwick masih mewakili pasukan veterannya, Wyke Rangers walaupun dia sudah berumur 75 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada hujung minggu ini dia akan bermain mewakili pasukannya itu di Stadium Bob Lucas di bandar Wymouth di depan ratusan peminatnya.
Dia sudah bermain bola sepak selama 63 tahun sejak mula bermain pada 1947 ketika berumur 12 tahun.
"Saya mula bermain di Rossshire di Scotland semasa berumur 12 tahun dan kemudian saya berpindah ke Weymouth ketika berusia 16 tahun.
"Saya memperoleh pekerjaan pertama di Weymouth," katanya.
Borthwick berkata, kebolehannya bermain bola sepak menyebabkan dia diberikan pekerjaan.
"Saya tidak pernah digantikan semasa bermain," tambahnya.
Borthwick telah menjaringkan hampir 400 gol sepanjang dia bermain bola sepak. - Agensi
DUNIA
Saintis cipta bintang kecil RM11 bilion
LIVERMORE - Saintis-saintis sedang membina sebuah reaktor lakuran lestari pertama di dunia dengan mencipta sebutir bintang kecil di California, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam
Projek bintang kecil berharga AS$3.5 bilion (RM11 bilion) itu dibina oleh Fasiliti Penyalaan Kebangsaan (NIF) bagi menjana tenaga untuk menyelesaikan krisis kekurangan tenaga dunia yang semakin meruncing.
Lakuran merujuk kepada pencantuman dua atau lebih nukleus atom yang menghasilkan banyak tenaga.
Apabila siap pada tahun 2012, bintang kecil itu berpotensi menjana tenaga menyamai 1,135 liter petrol dengan menggunakan cuma 3.7 liter air laut.
Satu siri ujian menunjukkan tenaga yang dibebaskan bintang kecil itu mencecah 1.3 juta mega joule (MJ) sekali gus mencatat rekod dunia.
"Reaktor lakuran juga mesra alam dan bebas pencemaran karbon selain menghasilkan sisa radioaktif yang lebih mudah untuk disimpan berbanding loji nuklear," kata Pengarah NIF, Ed Moses. - Agens
No comments:
Post a Comment