Thursday, November 18, 2010

YANG BERKORBAN DAN TUKANG SEMBELIH SERTA TUKANG LAPAH KENA TAHU ILMU KORBAN...JANGAN MAIN BELASAH...LEMBU HENDAK...MENGAJI ILMU ISLAM DAN DATANG SURAU MALAS...DATANG BILA KORBAN AJE...

Korban Jangan Jadi Upah

KORBAN JANGAN JADI UPAH
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menjelang musim hariraya korban, maka mungkin beberapa peringata patut diulangi agar amalan korban kita benar-benar memenuhi tuntutan syarak. Antaranya, daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban, sama ada dengan cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja. Apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ samada dengan tukaran duit atau tenaga atau selainnya, adalah dilarang.

Ini kerana para fuqaha (sarjana fekah) bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban (al-adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid:

“Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair)

Upah Hasil Korban
Secara umumnya menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang ini telah diketahui oleh kebanyakan kita. Namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:
“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).
Gambar Hiasan
Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.
Ya, walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan korban atau al-hadi (sembelihan haji).
Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam, katanya:
“Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)
Larangan
Dengan hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya:
“Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah” (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut)
Ketika mengulas Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim:
“Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).
Gambar Hiasan
 Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya:
“Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)
Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar:
“Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat.( m.s 149. Beirut: Dar So`ab)
Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam:
“Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Ctk.: Jordan: Maktabah al-Manar)
Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya.
Beri Upah Asing
Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.
Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban yang dijanji. Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i:
“Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”.( juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)
Syarat Dibolehkan
Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:
“Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)
Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.
Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)
Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.
Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian korban yang mengakibatkan rosaknya korban yang kita lakukan.
Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan.

No comments:

Post a Comment