Thursday, November 18, 2010

GUNALAH UNTUK ISLAM DAN DAKWAH...JANGAN GUNA UNTUK MENGUTIP DOSA DENGAN MEMBUAT PERKARA2 YANG DILARANG ALLAH...SERTA BERNIAGA TIPU DAYA DAN BERTENTANG DENGAN SYARIAT ISLAM@MUAMALAT ISLAM

Mangsa Serangan Facebook Hidup Ketakutan 
 

KUALA LUMPUR: Berhati-hati berkongsi maklumat di internet kerana ia boleh digunakan untuk menyakiti anda, kata Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Michael Chong.
"Privasi tidak wujud di internet kini dan jaringan sosial seperti Facebook selalu digunakan sebagai alat untuk memfitnah satu sama lain," kata Chong pada sidang akhbar di sini, Khamis.
Mangsa Facebook Sammi Lam mengalami kejadian di mana khabar angin dan gambar mengenainya tersebar di Facebook.
"Gambar saya diletakkan di Facebook oleh seorang lelaki bernama Chan Hui Feng (bukan nama sebenar) dan meninggalkan komen mengenai saya memanipulasi dan menipu beberapa lelaki," kata Lam.
Dia membuat laporan polis terhadap Chan Hui Feng pada 15 November di balai polis Sentul.
Lam percaya 'Chan Hui Feng' merupakan lelaki bernama Simen yang pernah ditemuinya untuk membeli polisi insurans daripadanya dua tahun lalu.
"Dia berminat dengan saya dan apabila saya berhenti menghubunginya, dia mula menghantar SMS ancaman. Malah dia memberitahu orang bahawa saya menawarkan khidmat seks," tambah Lam.
Lam kini bimbang apabila 'Chan Hui Feng' mengugut untuk membongkar semua maklumat peribadinya di Facebook.
"Dia telah memaparkan nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan saya di Facebook," kata Lam sambil memberitahu Simen turut memiliki maklumat peribadinya seperti alamat rumah.
Katanya, kejadian itu menjadi lebih buruk apabila suspek menggunakan maklumat majikannya sebagai agen hartanah di Facebook.
"Dia membuat tuduhan palsu terhadap majikan saya dan perniagaan itu terjejas teruk. Nasib baik, majikan memahami keadaan saya," kata Lam.
Simen turut menghantar mesej peribadi kepada teman lelaki Lam dan rakan-rakannya di Facebook mengatakan dia seorang penipu yang mengikis harta lelaki jujur.
Lam berkata, mesej terakhirnya yang diterima daripada Simen Sabtu lalu menyatakan 'Haha, lihat bagaimana awak mati' dalam bahasa Mandarin.
"Amat menyeksakan kerana saya sering menerima panggilan daripada rakan-rakan mengenai isu ini. Perkara paling teruk adalah, sebahagian daripada mereka benar-benar percaya apa yang dikatakan mengenai saya," kata Lam sedih.
Sementara itu, menurut Chong, tahun ini sahaja dia menerima laporan mengenai sembilan kes sama berbanding lima kes sahaja tahun lalu.
"Saya terkejut kerana empat daripada sembilan kes itu, mangsa pernah berbogel di webcam untuk teman lelaki dan kemudiannya gambar tersebut digunakan sebagai bahan ugutan.
"Saya telah memberi amaran kepada umum supaya jangan berbuat perkara demikian tetapi tidak faham kenapa mereka masih meneruskannya," kata Chong.
Facebook Kini Laman Web Paling Popular Di Malaysia 
 
KUALA LUMPUR: Laman web sosial, Facebook, merupakan laman web paling popular di Malaysia pada bulan Oktober dengan lebih 8 juta rakyat Malaysia menggunakannya, kata Persatuan Digital Malaysia (MDA).
MDA dalam mengukur laporan kedudukan laman web Malaysia untuk bulan lepas berkata, blog tempatan dan forum seperti Lowyat, Cari dan Fooyoh adalah antara yang paling tinggi dilawati.
"Blog dan forum mendapat perhatian pelayar online untuk tempoh yang lama, dengan purata 13:38 minit untuk satu sesi. Ini lebih panjang daripada purata tempoh yang digunakan untuk kategori lain.
"Purata mereka yang melawat laman komuniti ialah dua kali sehari. Anggota komuniti adalah yang paling popular adalah antara 15 hingga 30 tahun," katanya.
MDA berkata laman web berita merupakan kategori pertama yang menarik lebih separuh pengunjung sehari, dengan rakyat Malaysia melawat laman web berita tempatan untuk purata empat kali sehari. - BERNAMA

Wanita Diingatkan Waspada Dengan Minuman Dicampur Dadah 
 
KUALA LUMPUR: Kaum wanita dinasihatkan berhati-hati dengan pelawaan makan dan minum individu yang baru dikenali kerana dibimbangi bahan tersebut telah dicampur dengan dadah perangsang seks.
Yang Di-Pertua Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi mendakwa, sesetengah wanita terpedaya sehingga menjadi mangsa rogol.
Katanya, pihaknya mengetahui modus operandi tersebut selepas menjalankan proses temuduga dengan beberapa mangsa yang ditempatkan di Pengasih.
"Kebanyakan mangsa terpedaya dengan rakan-rakan mereka sendiri walaupun mereka tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seks.
"Kenalilah pasangan anda, berhati-hatilah dengan orang asing supaya tidak terjebak dalam penipuan ini. Mereka yang berniat jahat sentiasa tunggu saat dan ketikanya untuk memperdaya mangsa. Tip saya ialah berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Aidiladha di sini, Rabu.
Kira-kira 150 warga dan kakitangan Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai ibadah korban itu.
Sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing sumbangan individu dan ahli-ahli keluarga kakitangan Pengasih dikorbankan kali ini.
Mohd Yunus mengingatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati pelawaan daripada mereka yang tidak atau kurang dikenali.
"Pegang dan goncang botol minuman tersebut untuk memastikan sama ada ia bocor atau tidak. Kalau bocor, bermakna sudah ada usaha untuk menyuntik bahan minuman itu dengan dadah atau bahan perangsang seks," jelasnya.
Sementara itu, penyanyi terkenal, Jamal Abdillah yang turut hadir dalam majlis itu menyumbangkan seekor kambing sebagai korban.
Katanya, ini adalah kali keempat dia melakukan korban sempena Aidiladha.
Jamal menyifatkan ibadah korban yang ditunaikannya sebagai pengorbanan untuk mencapai satu kehidupan yang lebih bermakna

No comments:

Post a Comment