Dua beradik melecur diseterika
PASIR MAS - Dua beradik antara 11 pelajar yang melecur akibat tindakan melampau seorang guru menggunakan seterika panas bagi mengejutkan mereka supaya menunaikan solat Subuh baru-baru ini.
Kejadian berlaku di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dekat sini pada 12 Oktober lalu ketika Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, nyenyak tidur.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, kedua-dua mereka melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru tersebut yang juga warden asrama menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.
Turut mengalami nasib yang sama ialah sembilan lagi pelajar lain.
Menurut Muhammad Al-Hakim, biasanya mereka akan bangun pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.
Bagaimanapun, pada hari tersebut, sebahagian besar pelajar di dalam dom asrama itu nyenyak tidur.
"Ketika nyenyak tidur, saya terkejut apabila terasa panas pada kaki.
"Apabila tersedar, saya nampak cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas yang digunakan untuk mengejutkan kami.
"Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat daripada dikenakan tindakan oleh cikgu tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Keranji, Slow Machang dekat sini semalam.
NEGARA
Pemandu bas terbalik tiada lesen
|
|
KUALA LUMPUR - Sukar untuk dibayangkan pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 36, Lebuh Raya Karak dekat Genting Sempah di sini kelmarin tiada lesen memandu.
Namun, itulah hakikat yang disahkan oleh Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supritendan Che Hussin Omar.
Sebelum kemalangan kira-kira pukul 7.40 malam itu, dia dipercayai telah memandu sejauh lebih 400 kilometer dari Baling, Kedah ke Genting Highlands.
Menurut beliau, berikutan kemalangan itu lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 40-an kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan keterangan daripada penumpang, lelaki tersebut didakwa memandu bas ketika kejadian dan kita menahannya untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini dia masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana kakinya patah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam
NEGARA
Hidup Husin Jebon kembali melarat
|
|
KUALA LUMPUR – Saat dipertemukan dengan abang kedua kira-kira empat tahun lalu setelah terpisah selama 29 tahun, Muhammad Husabni Che Rashid, 35, mengharap sinar baru dalam hidupnya.
Bagaimanapun, impian Muhammad Husabni atau dikenali sebagai ‘Husin Jebon’ tidak kesampaian apabila dia kembali terpisah dengan saudara kandungnya, Muhammad Husaiful, 37, sekali lagi menyebabkan hidupnya kembali melarat.
Situasi Husin bertambah buruk apabila datuk yang menjaganya sejak kecil meninggal dunia di Kelantan setahun lalu.
Susulan daripada itu, dia yang pernah berlakon sebagai hero dalam telemovie, Pontianak Jebon pada tahun 1999 berhijrah ke ibu kota.
Mereka yang selalu mengunjungi Chow Kit pasti akan terserempak dengan Husin yang merayau-rayau di situ.
“Saya kini hidup sebatang kara dan menumpang di rumah flat di Chow Kit dengan kawan-kawan OKU yang lain,” katanya.
Husin yang berketinggian 105 sentimeter (sm) dan berat 15 kilogram, pernah mendapat liputan meluas di Kosmo! empat tahun lalu
NEGARA
Mangsa puting beliung rayu bantuan
KANGAR - Mangsa-mangsa ribut puting beliung dilima buah kampung di sekitar Jejawi, Arau, Khamis lalu merayu pihak berkenaan segera menyalurkan peruntukan membaiki bumbung rumah mereka yang rosak.
Tinjauan Kosmo Ahad! mendapati tiada kerja-kerja membaiki bumbung dibuat kerana kebanyakan mangsa tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Abas Jusoh, 78, berkata, dia masih terkejut dengan bencana itu sehingga tidak tahu apa yang hendak dilakukan disebabkan mereka hidup susah.
"Nasib saya bagai jatuh ditimpa tangga, sudahlah rumah rosak dipukul ribut, hendak baiki pun kami tidak cukup wang.
"Jadi, saya dan isteri terpaksa keluar dan menumpang di rumah anak," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau, Arau di sini semalam
HIBURAN
Fasha bahagia dibenci
TANPA mahu agar penjuru-penjuru romantikanya bersama sang pengarang jantung, Rizal Ashram Ramli diperhalusi berulang-ulang kali, bait dan jeda dalam bicara bersama Fasha Sandha sebaliknya terisi oleh khabar kontemporari.
Sengaja alur bicara diolah begitu, barangkali kami sepakat, enggan bingkisan terkini Fasha yang sudah bertahun terpisah daripada Sensasi Bintang ini cenderung klise sifat lahiriahnya.
Saya tertarik tatkala rasa yang bertakung di hempedu hatinya melantun patah demi patah dari mongel bibirnya. Dia masih beraksi sebagai Fasha Sandha, yang berhemah menuturkan bahasa walaupun di tangannya, tergenggam erat gading bertuah idaman ramai.
Mengalih perhatiannya menelaah topik kemahuan, wanita yang kelihatannya matang berbanding usia 26 tahun itu dipinta mengulas, cukup selesakah hidup buatnya hingga setiap kemahuan sudah mampu digentas tanpa terkekang banyak halangan.
“Setakat ini, banyak kemahuan saya sudah tercapai memandangkan hidup saya juga sekadar sederhana. Tetapi untuk kemahuan akan datang, saya tidak tahu. Apa yang paling membahagiakan saya adalah, setiap kali membuka mata, saya sedar bahawa masih ada ramai peminat yang menyokong perjuangan saya. Ada yang bencikan saya tetapi mereka masih menonton kerja saya. Itulah momen paling bahagia buat saya,” beritahunya menambah informasi, terdapat sekitar 31,870 peminat yang mengikuti perkembangannya di laman perkongsian sosial Twitter.
Tidak pernah berkehendakkan sesuatu yang mustahil cuma katanya, kemahuan kewanitaan tidak akan tercapai tanpa ikatan perkahwinan atau menimang cahaya mata sendiri.
“Seseorang wanita itu tidak sempurna selagi belum bergelar isteri dan ibu,” ujarnya dipintas satu usikan, bagaimana jika bahagia dan impian untuk hidup bersama lelaki yang digelar ‘sayang’ ketika ini tidak berakhir di jinjang pelamin.
Fasha menjawab spontan: “Saya tidak gentar, saya masih muda dan bukannya berusia 40 tahun, jadi saya tidak perlu pening kepala. Macam-macam perkara yang lebih teruk pernah berlaku dalam hidup saya. Rasanya tidak perlulah ia dihuraikan satu-persatu. Saya menjadi semakin matang, lebih dekat dengan keluarga dan paling penting, saya kenal siapa kawan dan siapa lawan.
|
|
Fasha masih berpegang dengan kata-katanya, dia bahagia dengan situasi ketika ini, bahagia kerana kemunculan sebagai pelakon semakin diterima dan bahagia diulik cinta Rizal Ashram yang lebih mesra dipanggil Jejai walaupun ditohmah bermacam nista. Ketika masyrakat asyik mempertikaikan sejauh mana dirinya mampu diterima keluarga Jejai, dalam masa yang sama pula, keluarga Fasha sendiri ditindih kesulitan mengenangkan Jejai sendiri ada sejarah kelam. Itu situasi ‘vakum’ yang peribadinya memberikan manis kepada Fasha, satu situasi yang memberikan lebih banyak tempoh terutama untuk diri sendiri membelah kesediaan.
Pelacur kelas atasan
Sedang terbakar rasa terujanya, Fasha dibidik persoalan lagi. Kali ini tentang gelombang apakah yang paling kencang berkocak kencang di jiwa. Dia tersenyum seraya membolak-balikkan gaun labuhnya. Duduknya dibetulkan sebelum menghela nafas panjang.
“Fenomena Natasha kembali dalam karier lakonan saya. Lama benar rasanya khalayak tidak memanggil saya dengan nama watak, kecuali dulu ketika drama Natasha ditayangkan. Sekarang, sejak Chinta ditayangkan dan meraih rating antara yang tertinggi, rasanya fenomena itu kembali kepada saya,” kata pembawa roh Chinta Chandurry yang mula berlegar di sekelilingnya.
Menjiwai watak pelacur kelas atasan yang memilih Tuhan untuk dimusuhi, itu satu dendam yang maha berat. Enam tahun bergelar pelakon, menghayati karakter Chinta melebihi segala cabaran mental dan fizikal watak-watak terdahulu yang pernah dilakonkannya.
“Watak Chinta datang pada ketika dan usia saya yang tepat, pengalaman terdahulu juga antara yang mematangkan lakonan saya dalam drama itu. Ia bukan kisah pelacur tetapi bagaimana seorang gadis baik bertukar menjadi pendendam kepada lelaki lebih besar lagi kepada Tuhan kerana kecewa dengan takdir. Chinta satu watak berat dan ramai menyatakan Chinta sebuah karya yang sukar dijangka,” meladeni Chinta juga katanya, menjadi bekal untuk dijadikan sempadan dan teladan.
Sepintas lalu, watak Chinta Chandurry pantas mengheret satu nama, Nidah Kirani menerusi judul sebuah novel dari seberang yang berjudul Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Pelacur! Memoir Luka Seorang Muslimah.
Novel karya Muhidin M. Dahlan itu banyak diperdebatkan atas dasar kemunafikan seorang muslim, iaitu Nidah yang memilih Allah sebagai subjek mahupun objek untuknya melampiaskan dendam. Nidah bulat hati menjadi penggoda dan menjadikan seks sebagai makanan percuma untuk merosakkan akidah ahli-ahli agama manakala Chinta pula menjadi pelacur bagi mengisi kekosongan hati.
“Saya gelar Chinta sebagai pelacur kelas atasan dan dia melacur bukan kerana duit tetapi untuk keseronokan, mengisi sepi dan dendamnya kepada Tuhan. Terlalu besar dan banyak ilmu yang saya kutip daripada Chinta, apa yang patut dan apa yang terlarang, jika yang terlarang juga yang dipilih, ada pula akibatnya,” walaupun sebuah cereka, Fasha menembus realiti hidup daripada naskhah arahan Feroz Khan itu.
Menjadi pemandu jentera akal dan hati, aktres yang pernah membintangi puluhan judul filem termasuk Berlari Ke Langit, Evolusi KL Drift serta terbaru 4 Madu itu semakin mengenali erti optimistik. Semakin lama dalam industri, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu juga semakin berani menjadi selektif terhadap watak. Terbaru dari lokasi, Fasha kini sibuk berlatih tubi untuk beraksi bersama Awie menerusi filem Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila. Sekitar Februari 2011 pula, satu projek besar yang ditunggu-tunggunya bakal menjadi nyata. Tunggu! itu kata Fasha kepada peminatnya
DUNIA
Yogyakarta dilanda hujan abu
HARGOBINANGUN, Yogyakarta - Orang ramai bertempiaran melarikan diri ke tempat lebih selamat apabila Gunung Merapi di Indonesia mengeluarkan letusan dahsyat awal semalam.
Gunung setinggi 2,968 meter itu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Yogyakarta, Jawa Tengah, meletus selama 21 minit.
Abu dari gunung berkenaan melitupi kawasan lebih 10 kilometer di sekitarnya.
Anggota tentera dan polis yang berkawal di sekitar Merapi bergegas menyelamatkan diri bersama ratusan penduduk apabila mendengar bunyi gegak gempita sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam.
Tidak sampai beberapa minit, jalan-jalan di sekitar Merapi dipenuhi trak, kereta dan motosikal ketika orang ramai segera meninggalkan lokasi bencana.
Jurucakap Hospital Sardjito di Yogyakarta, Arif Novianto berkata, setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa yang terbunuh dalam bencana semalam. Namun, dua orang maut semasa orang ramai berasak-asak melarikan diri.
"Dua lagi, seorang wanita dewasa dan seorang budak lelaki dua tahun, maut dalam kemalangan semasa bencana semalam," katanya.
Letusan semalam adalah yang kedua selepas Merapi meletus pada Isnin lalu yang meragut nyawa 36 orang.
Sebelum meletus, Merapi mengeluarkan asap dan memuntahkan lahar sejauh 3.5 kilometer ke bawah cerun pada pagi semalam.
Sementara itu, di zon tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, pasukan petugas bantuan swasta bergelut dengan ombak besar dan hujan lebat untuk menghantar makanan dan bekalan lain kepada mangsa-mangsa tsunami.
Lokasi tersebut terjejas teruk akibat tsunami yang dicetuskan oleh satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada skala Richter pada Isnin lalu.
Cuaca buruk di kepulauan Mentawai memaksa pihak tentera menggugurkan bekalan dari beberapa pesawat dan menghentikan penggunaan bot dan helikopter bagi penghantaran bantuan.
Setakat ini, lebih 413 orang terkorban manakala lebih 23,000 lagi hilang tempat tinggal dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, doktor-doktor di Hospital Sikakap, pulau Pagai Utara yang paling teruk terjejas akibat tsunami kecewa kerana tidak dapat membantu sekitar 150 mangsa yang cedera ekoran kekurangan bekalan ubat-ubatan.
"Kami amat memerlukan morfin," kata seorang sukarelawan, Dr. Alyssa Scurrah, dari Sydney, Australia.
Katanya, hospital berkenaan amat memerlukan sebuah generator dan ubat antibiotik dan lain-lain peralatan perubatan.
Di sisinya, seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang terbaring nazak akibat kecederaan di dada.
Scurrah bimbang kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan kerana kekurangan peralatan perubatan manakala usaha memindahkannya ke hospital utama di Sumatera tergendala akibat ombak besar dan hujan lebat. - Agensi
No comments:
Post a Comment