Tuesday, November 2, 2010

BILA TAKDIRNYA SAMPAI...MAKA KENA TERIMALAH...MOHONLAH PERLINDUNGAN DARI ALLAH SWT....

Tragedi joging

Oleh Jamaludin Husin
jamaludinhusin@gmail.com

PARAH...Faridah cedera di mata dan muka selepas terkena  bola golf ketika berjoging.
PARAH...Faridah cedera di mata dan muka selepas terkena bola golf ketika berjoging.
MUAR: Seorang isteri pegawai kanan kerajaan yang berjoging di kawasan rekreasi Tanjung Emas di sini, Jumaat lalu parah di muka dan mata selepas terkena lantunan bola golf.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Faridah Mustaffa, 43, parah di mata kanan serta menerima 10 jahitan di muka akibat kecederaan itu.

Suaminya yang enggan dikenali berkata, isterinya masih ditahan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Ketika kejadian, isteri serta rakannya sedang berjoging sebelum tersungkur akibat terkena lantunan bola golf dipercayai dipukul dari sebuah padang golf berhampiran.

“Akibatnya, isteri saya mengalami kecederaan agak parah dan doktor mengatakan, penglihatannya terjejas selain mengambil masa untuk pulih,” katanya, semalam.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana keadaan isterinya itu semakin pulih dan dijangka keluar dari HPSF dalam masa terdekat

Menurutnya, kedudukan laluan pejalan kaki yang dijadikan lokasi berjoging di kawasan itu terlalu hampir dengan padang golf dan ia mendedahkan mereka yang sedang beriadah kepada risiko terkena lantunan bola golf itu.

“Sebahagian padang sukan itu tidak berpagar dan akibatnya, ia memudaratkan mereka yang beriadah di kawasan berkenaan

“Saya berharap pihak pengurusan kelab golf berkenaan meningkatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya


Minta telekung, Quran

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

MALANG...Mohd Ridzuan membawa  jenazah Nor Syahayati yang maut terjerut tali buaian, kelmarin.
MALANG...Mohd Ridzuan membawa jenazah Nor Syahayati yang maut terjerut tali buaian, kelmarin.
ALOR SETAR: “Dia beria-ia minta dibelikan telekung dan al-Quran kerana ingin belajar solat dan mengaji minggu lalu tetapi hasratnya tidak kesampaian,” kata Mohd Ridzuan Cha, 41, bapa tiri Nor Syahayati Yahya, 6, yang mati akibat terjerut tali buaian di rumahnya di Kampung Tok Keling, Pokok Sena, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang juga murid tadika Pokok Sena, dikatakan melilit tali buaian pada lehernya sebelum menolak kakinya ala tarzan ke sofa menyebabkan lehernya terjerut.

Ketika kejadian, ibunya, Siti Aisyah Ishak, 23, menidurkan adiknya yang berusia empat bulan, Muhammad Ikhwan, di buaian lain berhampiran ruang tamu rumah berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Pokok Sena kira-kira jam 4 petang.

Mohd Ridzuan berkata, dia menyedari kejadian itu apabila memasuki rumah selepas membersihkan lantai simen di depan rumahnya dan ternampak anak tirinya itu tidak sedarkan diri manakala tali buaian melilit lehernya.

“Saya segera mengangkat Nor Syahayati dan mendapati badannya sejuk manakala mukanya pucat

“Saya dan isteri membawanya ke klinik kira-kira dua kilometer dari rumah dan setiba di sana, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, Nor Syahayati tidak menunjukkan sebarang petanda pelik sebelum ini cuma sejam sebelum kejadian mereka tiga beranak sempat makan tengah hari bersama

Katanya, Nor Syahayati makan paling akhir sekali dengan menambah nasi dan lauk beberapa kali menyebabkan dia dan isteri hairan melihat gelagat arwah.

“Dia seolah-olah tahu akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya dan disebabkan itu dia makan dengan berselera sekali. “Pagi tadi (kelmarin), dia berkeras tidak mahu ke tadika walaupun sebelum ini dia rajin dan tidak pernah ponteng.

“Dia anak yang baik dan mendengar cakap, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya kerana Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Jenazah Nor Syahayati dituntut keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Naka, Kuala Nerang kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


3 jam paut pokok

Oleh Mohamad Hussin dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohamad@hmetro.com.my

TENGGELAM...laluan ke Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.
TENGGELAM...laluan ke Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.
AGIH...petugas mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pekan Kuala Nerang, semalam.
AGIH...petugas mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pekan Kuala Nerang, semalam.
JITRA: “Saya melihat sendiri bagaimana ibu mentua dihanyutkan air, tetapi tak mampu menolongnya kerana nyawa saya dan suami juga pada waktu itu bagai telur di hujung tanduk.”
Demikian kata Ashalehah Zain, 40, yang terselamat daripada lemas selepas berpaut pada sebatang pokok hampir tiga jam apabila banjir menenggelamkan rumahnya di Kampung Kota Giam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suami Ashalehah, Yusuf Abdullah, 41, seorang warga Jerman turut mengalami pengalaman serupa, namun ibu Yusuf, Erna Fischer, 64, hanya mampu berpaut pada pokok selama satu minit sebelum dihanyutkan arus deras dan masih belum ditemui sehingga petang semalam.

“Saya dan suami yang berpaut pada pokok berasingan hanya mampu bertawakal kepada Allah SWT kerana sedar nyawa kami dalam bahaya,” kata Ashalehah.

Ashalehah dan Yusof diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, kira-kira jam 11.30 malam selepas menerima maklumat penduduk kampung berkenaan.

Ashalehah berkata, sebelum kejadian dia dan suami serta ibu mentuanya keluar daripada kediaman mereka sejurus melihat air sungai membanjiri rumah mereka hingga ke paras pinggang.

Menurutnya, tidak sampai seminit mereka keluar, tiba-tiba arus deras menolak mereka hingga ke sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya.

“Saya sempat berpaut pada sebatang pokok di tepi sungai itu manakala suami berpaut dan memanjat pokok kira-kira lima meter daripada saya.

“Saya dengar ibu menjerit meminta tolong dan lama-kelamaan suara itu semakin sayup dan tidak kedengaran lagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Ashalehah berkata, dia nampak ibu mentuanya dibawa arus deras melalui sungai itu dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkannya.

Bagaimanapun, Ashalehah menyifatkan dia bernasib baik kerana ketika kejadian, anaknya yang berusia 13 dan 10 tahun berada di asrama sekolah.

Katanya, dia sudah tujuh tahun tinggal bersama suami di kampung berkenaan dan kadang-kala ibu mentuanya melawat mereka dan tinggal antara dua atau tiga bulan sebelum pulang ke Jerman.

“Sepatutnya hari ini (semalam) ibu pulang ke Jerman kerana tiket penerbangan sudah ditempah. Namun, segala-galanya sudah ditakdirkan dan saya hanya mampu berdoa supaya ibu selamat,” katanya.

Penduduk kampung, Ropian Hasan, 51, berkata, dia menemui pasangan suami isteri itu selepas terdengar suara meminta tolong dari pokok tidak jauh dari rumahnya.

“Saya meredah air separas dada ke kawasan pokok itu dan terkejut mendapati seorang lelaki dan seorang wanita sedang berpaut pada dua batang pokok,” katanya. Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kota Setar, Leftenan Muda Khairul Afzan Yassin berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Kami mengerah 150 anggota dalam misi menyelamat mangsa di empat daerah yang terbabit banjir,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin pula berkata, Erna dilaporkan hilang kira-kira jam 8.30 malam ketika keluar menyelamatkan diri bersama anak dan menantunya.

No comments:

Post a Comment