BARU BERMULA...Faith pernah menjayakan drama seperti Tak Pernah Ku Sesali, Renjis 2 dan Siti Kelembai.
Itu kemestian utama hingga peluang lebih terbuka untuk mereka memiliki ciri-ciri berkenaan. Namun, bagaimana dengan bakat kerana ada yang berbakat, tetapi tidak mendapat perhatian?
Malah, tidak dinafikan kebanyakan artis baru kini lebih cenderung memilih karier sebagai artis demi mengejar populariti dan glamor. Termasuk segelintir daripadanya terarah mendampingi golongan kenamaan (VIP) untuk hidup mewah.
Apakah niat yang sama turut tersemat di hati pelakon baru, Nur Faith Ahmad Zakie, 25, atau mesra dengan panggilan Faith?
Gadis kelahiran ibu kota ini menegaskan pembabitannya dalam seni kerana minat mendalam dalam lakonan
“Jujur, saya akui tak pernah perasan diri ini cantik. Apatah lagi, menyimpan hasrat mendampingi lelaki kaya demi hidup mewah. Tujuan saya hanya satu, iaitu mengharapkan ruang dan peluang daripada penonton untuk menilai bakat lakonan.
“Oleh itu, saya sangat berharap tuah akan mengiringi perjalanan karier ini. Semoga semuanya berjalan lancar dan kemunculan saya diterima. Terus terang, saya akui tidak mahu dikenali masyarakat dengan bersandarkan gosip atau kisah sensasi.
“Justeru, saya berusaha sedaya-upaya menonjolkan bakat diri. Ini kerana saya bertanggungjawab menjaga nama baik dan kepercayaan keluarga. Memandangkan masih baru bergelar pelakon, sukar untuk saya berbicara mengenai gosip,” katanya.
Ditanya apakah komennya mengenai lelaki berusia yang kini menjadi pilihan kebanyakan gadis, Faith berkata, dia sama sekali kurang berminat. Katanya, jika ingin bercinta, dia memilih lelaki bijak, mudah mesra dan paling penting boleh membimbing.
“Saya bukan gadis yang memandang kekayaan semata-mata. Bagi saya, sekiranya lelaki itu boleh menerima diri ini seadanya dan keluarga, sudah memadai. Apa yang saya sangat titik beratkan ialah ‘si dia’ dan setia pada cinta serta menyayangi.
“Bagaimanapun, jodoh adalah ketentuan Tuhan. Jadi, siapa jodoh saya diserahkan kepada-Nya. Buat masa ini, saya hanya mahu memberi tumpuan kepada karier dibina. Lagipun, masih banyak pengalaman perlu dikumpul untuk meraih kejayaan.
“Bersandarkan doa dan restu ibu bapa, saya harap segala yang buruk dapat dijauhkan. Malah, saya juga akan menjaga tingkah laku dengan baik supaya diri tidak terjerat kontroversi. Saya percaya, jika pandai bawa diri, pasti akan selamat,” katanya.
Menyentuh permulaan kariernya, Faith berkata dia mula menceburi lakonan pada usia lapan tahun apabila membintangi teater Puteri Santubong. Malah, dia juga pernah mengikuti kelas lakonan di Actor’s Studio pada 2000 di bawah bimbingan Farah Sulaiman.
“Bahkan, ketika itu, saya juga dipilih berlakon muzikal Broadway Babies. Bagi saya ia satu penghargaan besar kepada diri ini. Ia menjadi pengukur pada bakat lakonan dimiliki. Secara tidak langsung, saya tidak bersandar pada kecantikan saja.
“Saya sentiasa yakin pada bakat dimiliki. Jika saya tidak berbakat dan bersandar pada rupa cantik semata-mata, takkan dipilih melakonkan watak Malina dalam drama Tak Pernah Ku Sesali untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Ditambah pula, ketika itu saya sekadar menemankan rakan menghadiri uji bakat. Namun, rezeki nyata berpihak kepada saya. Begitu juga dengan tawaran menjadi artis MIG Production. Saya mulanya ke pejabat MIG untuk bertemu pengarah, Bob Ismail.
“Namun, secara kebetulan saya bertemu dengan produser David Teo. Saya menganggap ia rezeki yang tak diduga. Selepas bertemu David dan berbincang, saya mendapat peluang mengembangkan karier lakonan di bawah MIG,” katanya.
Sehubungan itu, pada awal kemunculan menongkah arus sebagai artis dan pelakon, Faith pernah muncul dalam filem Hooperz. Malah, tidak ketinggalan dia juga pernah menjayakan drama Renjis 2 yang disiarkan Astro Ria. Baru-baru ini, drama Siti Kelembai lakonannya disiarkan TV3.
Menyentuh soal kontrak, Faith berkata dia mengikat perjanjian sebagai residen artis MIG selama lima tahun. Ujarnya, melihatkan pencapaian pelakon di bawah MIG seperti Lisa Surihani, dia yakin peluang untuknya tetap ada dan perlu tingkatkan usaha.
“Siapa yang tidak mahu menjadi seperti Lisa. Apapun, saya tahu bukan senang untuk berjaya tanpa usaha, kerja keras dan pengorbanan. Sebagai artis baru, penting bagi saya menyerlah dan atas sebab itu imej yang baik harus diambil kira.
“Bagi memastikan imej sentiasa terjaga dan terpelihara, saya mengelak daripada berpakaian seksi. Setakat ini, saya memang tak fikir diri seksi berikutan pakaian digayakan sesuai. Bahkan, persoalan seksi ini pada saya adalah subjektif,” katanya.
PROFIL
Nama sebenar: Nur Faith Ahmad Zakie
Tarikh lahir: 6 Februari 1985
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Tinggi: 158 sentimeter
Berat: 50.1 kilogram
Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa
Hobi: Rock climbing, menari, membaca
Kerjaya: Pelakon, pengacara, model
Drama: Siti Kelembai, Renjis 2, Tak Pernahku Sekali
Filem: Hooperz, 321 Cinta
No comments:
Post a Comment