Sunday, October 31, 2010

JADIKAN IKTIBAR DAN PENGAJARAN DIMASAAKAN DATANG

Terbunuh ketika pujuk isteri



KUALA LUMPUR: Akibat mahu memujuk isterinya, seorang lelaki berusia awal 30-an maut selepas terjatuh dari tingkat 36 sebuah kondominium di KL Sentral, di sini, semalam.
Difahamkan, keengganan isteri mangsa untuk bertemu suaminya dengan mengurungkan di sebuah bilik menyebabkan mangsa nekad memanjat balkoni dan cuba menyelusup masuk melalui tingkap.

Bagaimanapun, tindakannya memakan diri apabila mangsa yang berasal daripada Indonesia itu terjatuh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi berkata, berdasarkan percakapan isteri mangsa, mereka mengalami masalah rumah tangga dan sering bertengkar.


“Ketika kejadian, isteri mangsa mengurung diri dalam bilik utama dan enggan bertemu suaminya. Walaupun mangsa cuba memujuknya untuk membuka pintu, namun wanita terbabit berkeras.

“Mangsa kemudian keluar melalui balkoni kediamannya sebelum cuba memanjat masuk ke bilik berkenaan melalui tingkap,” katanya

Menurutnya, namun mangsa tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat 36 kondominium itu.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Laporan Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Nirvana Memorial Park, seorang pengawal dan sembilan pekerja tanah perkuburan berusia antara 20 hingga 50 tahun diikat sebelum dikurung sekumpulan lapan lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian itu, kumpulan terbabit yang lengkap memakai topeng dan sarung tangan dikatakan memanjat pagar kawasan itu sebelum menyerang mangsa.

Bari berkata, sebaik semua mangsa diikat, kumpulan terbabit melarikan sebuah peti besi mengandungi wang tunai RM300,000


Pelajar kena cekup di hotel murah

Oleh SURAYA ROSLAN

PETALING JAYA: Niat sepasang remaja untuk bermalam di sebuah hotel murah di sini tidak kesampaian apabila dicekup dalam operasi penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), tengah malam kelmarin.
Remaja perempuan berusia 21 tahun itu dari sebuah institusi pengajian tinggi awam disyaki berdua-duaan dengan teman lelakinya yang datang dari Perak.

Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu lori dikatakan mahu menghabiskan baki cutinya dengan kekasihnya di hotel terbabit.

Ketua Unit Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Jais Shah Alam, Mohammad Haffizi Mohd Roslan berkata, operasi bersepadu bersama beberapa anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dibuat khas selepas mendapat aduan orang ramai mengenai wujud aktiviti tidak bermoral di sebuah hotel di sini

“Malah, dalam serbuan itu juga, kami terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum remaja perempuan yang lengkap berpakaian membuka pintu. “Hasil pemeriksaan kami mendapati lelaki berkenaan berpakaian lengkap dan berseluar pendek, manakala kekasihnya berpakaian lengkap. Kedua-duanya terus menuju ke sebuah katil selepas membuka selak pintu bilik,” katanya di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Mohammad Haffizi berkata soal siasat mendapati kedua-dua remaja terbabit didapati tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan seterusnya dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut

Difahamkan, gadis itu memberi alasan dia hanya menemani teman lelakinya seketika sebelum ke kolej.

Menurutnya, kedua-dua mereka dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

Mengikut Seksyen 18 (1), Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, pesalah yang berkhalwat boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Sementara itu, sebuah kelab malam berdekatan hotel berkenaan yang menjadi tumpuan remaja Islam untuk mendapatkan keseronokan dengan mengambil minuman memabukkan dan berpakaian menjolok mata turut diserbu penguat kuasa Jais.

“Tiga remaja lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan ketika leka meneguk minuman keras manakala enam wanita Islam ditahan kerana berpakaian tidak senonoh dan boleh mencemar agama,” katanya



Rita tetap nanti Aidil

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDDIN dan MURSHID EUNOS

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham yang berlaku membabitkan rumah tangga aktres jelita, Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak masih tiada penghujungnya hingga ke hari ini.
Tiada gambar yang merakam pertemuan dua jiwa ini, sebaliknya pasangan yang diijab kabul pada Februari 2008 di Songkla, Thailand itu hanya menggunakan media untuk berperang kenyataan.

Kronologi bermula apabila Mohd Aidil memfailkan permohonan Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selain tidak lagi menjenguknya dan anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin meskipun kini mengandung tiga bulan anak kedua pasangan itu.

Malah, aktres berusia 34 tahun itu pernah mengeluarkan kenyataan yang rumah tangganya dilanda badai akibat campur tangan keluarga mentua dan orang luar.


Bagaimanapun, dalam beberapa laporan akhbar, Aidil mendakwa isterinya yang juga dramatis terkenal bagai keliru dan tidak memahami kaedah Sulh yang dituntutnya hingga mengeluarkan kenyataan yang tersimpang.

Ketika Rita yang popular menerusi filem Mistik, Mami Jarum Junior dan Cinta dihubungi untuk mengulas dakwaan Aidil, dia menyifatkan segala salah faham dan kekeliruan tidak pernah menghantuinya, sebaliknya Aidil gagal merealisasikan proses perbincangan dengannya berhubung kemelut rumah tangga mereka

“Saya terkejut dan kecewa dengan kenyataannya (Aidil). Kononnya saya keliru dengan kaedah Sulh dan mula mengeluarkan kenyataan lain pula, sedangkan sejak awal saya faham sedalam-dalamnya erti taklik sebuah perkahwinan, hukum-hakam dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Mengapa Aidil tidak mengambil inisiatif dengan melapangkan masa untuk duduk berbincang dengan saya selaku isterinya daripada menggunakan media dan menjawab persoalan media berhubung masalah ini.

“Saya memang terkejut kerana hanya mengetahui segala cerita melalui akhbar, sedangkan dia masih suami saya dan kini saya mengandung anak kedua kami.

“Mungkin kekeliruan itu datang hingga meninggalkan tanda tanya kepada saya apabila membaca laporan media yang suami pergi memfailkan Sulh, sedangkan sebelum itu kami sudah berbincang untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Saya semakin tertanya-tanya mengapa dia hanya menangguhkan tuntutan Sulh dan tidak menarik balik. Namun, apabila saya mempersoalkannya, Aidil menjelaskan jika berlaku lagi perselisihan faham seperti ini, dia tidak perlu lagi ke mahkamah dan memfailkan tuntutan Sulh kali kedua.

“Justeru, saya membuat kesimpulan sendiri, berdasarkan kenyataan dan tindakannya yang dia sebenarnya menyimpan niat untuk tidak berbincang atau menyelesaikan masalah kerana awal- awal lagi dia berfikir soal perselisihan faham di kemudian hari,” katanya.

“Saya memang sedih dan kecewa dengan perkara itu. Saya bingung dan enggan berfikir panjang kerana bimbang memudaratkan kandungan,” katanya.

Jelas Rita, berdasarkan apa diketahuinya dan sumber sahih, Sulh adalah untuk pasangan yang sedia bercerai dan bukan sesi kaunseling biasa bagi memperbaiki masalah rumah tangga.

“Sekarang saya ingin bertanya, siapa yang keliru akan fungsi undang-undang yang sebenarnya? Jika benar Aidil pernah membuat kenyataan ingin kembali menjaga kami sekeluarga, mengapa tidak terus dia berbincang dan duduk mencari penyelesaian bersama saya sebagai isterinya,” katanya.

Rita ketika dihubungi, berada di rumah adiknya di Taiping, Perak, bersama anak sulungnya memandangkan kesihatan yang tidak stabil. Dia turut menegaskan suaminya juga tahu perkara itu dan mengizinkannya dan anak untuk tinggal di situ kerana Aidil sibuk memberi tumpuan pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung malam tadi.

Dia mengakui pernah dihimpit masalah serupa sebelum ini tetapi segala-galanya dapat diselesaikan kerana mereka berdua sememangnya mengamalkan sikap terbuka untuk duduk berbincang. Cuma, katanya, kali ini dia tidak faham mengapa Aidil bersikap sedemikian.

“Saya faham keadaannya. Selama ini saya memahami kerjayanya yang menuntut untuk kami berjauhan. Oleh itu, saya meminta izin untuk tinggal bersama adik kerana kesihatan yang tidak mengizinkan sejak mengandung kali kedua.

“Aidil ada menghantar SMS untuk bertanya khabar kepada saya dan anak tapi peliknya, dia tidak pula memujuk untuk kami berdua duduk berbincang. Saya jujurnya terbuka hati dan sentiasa reda bagi bersemuka dan menyelesaikan masalah yang berlaku dengan proses perbincangan. Saya percaya itu saja yang mungkin memberi petunjuk kepada kami berdua menyelesaikan segala kekusutan,” katanya



Ibu tua terbiar

Oleh ARIFIN SALLEH

ALOR GAJAH: Dia mempunyai enam anak berusia 20 hingga 50 tahun, tapi semuanya memilih untuk membawa haluan masing-masing hingga menyebabkan hidup si ibu dalam kedaifan.
Itu nasib K Puspathy, 75, warga emas yang hanya bergantung dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk meneruskan kehidupannya di sebuah rumah usang sejak beberapa tahun lalu.

Dia yang menetap di Kampung Machap Baru, dekat sini, tinggal seorang diri di rumah usang yang menunggu masa untuk rebah ke bumi selepas mendiang suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Puspathy berkata, kehidupannya mula berubah selepas kesemua anaknya tidak tinggal bersama dengannya, sekali gus menyebabkannya sentiasa merenung nasib diri pada sisa-sisa usia


Menurutnya, walaupun menyedari keadaan rumah yang diduduki sejak 35 tahun lalu itu tidak selamat, dia tidak mempunyai pilihan lain selepas kediaman lamanya diambil bagi pembinaan empangan.

“Saya terpaksa tinggal di rumah ini kerana tiada rumah lain, selain biasa dengan keadaan ini. Walaupun rasa kurang selesa, apa boleh buat kerana ini saja tempat yang ada selagi saya masih hidup

“Sebelum ini saya ada memohon bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin tetapi tiada tanah untuk menyokong permohonan. Jika mohon pun belum tentu boleh dapat, menyebabkan tiada pilihan selain terpaksa tinggal di rumah usang ini.

“Cuma saya masih bernasib baik apabila berjiran dengan sebuah keluarga Melayu yang banyak menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit kerana mereka sentiasa mengambil berat keadaan saya yang tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, keadaan rumah itu memang teruk kerana terlalu usang dengan lantai semakin mereput, manakala bumbung pula bocor dan terpaksa ditutup menggunakan plastik sampah bagi mengelak basah jika ditimpa hujan.

Malah, katanya, lantai papan pecah di banyak tempat dan berlubang, manakala siling rumah bocor dan tidak selamat untuk didiami selain pernah beberapa kali dimasuki ular sawa dan binatang liar.

“Semua bumbung dan siling bocor, kalau hujan lebat waktu saya tidur, saya terpaksa berlari turun ke bawah rumah sambil membawa bantal dengan kain selimut untuk berteduh.

“Apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak mampu bekerja kecuali mengharapkan wang bantuan, dan tinggal bertemankan beberapa ekor binatang peliharaan bagi menghilangkan kesunyian, tetapi perlu sentiasa cekal untuk meneruskan hidup.

“Lagipun, saya biasa dengan keadaan di sini. Bila angin kencang, bumbung rumah bergegar dan pasti ada dinding atau bumbung tertanggal, malah papan lantai turut tercabut, tetapi saya nak pergi ke mana lagi, mahu mengharapkan anak, mereka pun jarang menjenguk,” katanya.

Jirannya, Harun Omar, 53, yang juga keluarga angkat kepada warga emas itu berkata, warga emas berkenaan pernah memohon rumah di bawah PPRT sejak dua tahun lalu, tetapi hingga kini tiada jawapan.

“Kalau tengok pada struktur rumah didiami Puspathy, memang tidak sesuai. Saya bukan apa, cuma khuatir kalau perkara tidak diingini berlaku terhadap dirinya,” katanya



Letusan Merapi: 'Banjir' abu setebal dua meter



YOGYAKARTA: Buat sekian kalinya, selepas hampir 50 tahun, Kota Jogja diselaputi abu volkanik yang dihasilkan akibat letusan Gunung Merapi yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, kelmarin.
Muntahan debu putih itu yang kemudian dibawa angin membuatkan sekitar kawasan di barat dan selatan Gunung Merapi terbabit berkabus dengan kesan abu di jalanan yang mencapai ketebalan hingga dua meter.

Jika selama ini Kota Jogja yang dianggap sebagai kawasan ‘kebal’ daripada ancaman daripada Gunung Merapi kerana mempunyai Kraton (istana) tetapi ia berubah apabila turut diselaputi debu putih.

Bagi golongan muda yang tinggal di sekitar kota terbabit, kesempatan itu diambil untuk melihat kesan abu yang kali pertama dialami seumur hidup dengan lebih dekat

Ternyata, mereka bagaikan tidak gentar dengan kesan abu terbabit kerana masing-masing mahu mengalami fenomena yang berlaku akibat muntahan Gunung Merapi yang menghasilkan ‘hujan abu’ itu.

Tinjauan Metro Ahad kira-kira jam 5 pagi (WIB) di sekitar Jalan Kaliurang, Sleman, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kota Jogja mendapati ramai penduduk yang keluar untuk melihat kesan debu putih di jalan

Selain itu, mereka juga dilihat menjalankan aktiviti harian seperti biasa tetapi terpaksa memakai topeng untuk mengelak kesan abu terbabit.

Seorang remaja yang ditemui, Fifi, 19, berkata dia bersama rakan mengambil kesempatan keluar melihat kesan abu berhampiran rumah mereka.

“Ini kali pertama saya mengalami dan melihat kesan debu putih di kawasan ini dan saya mengetahuinya ketika menonton berita di televisyen.

“Ketika letusan berlaku, bau belerang sangat kuat dan bagi saya, ini satu pengalaman dan saya tidak gentar, namun hanya berjaga-jaga kerana risau berlaku kemungkinan perkara buruk,” katanya. Kesan debu juga dapat dilihat di premis, rumah serta kenderaan dan ada beberapa sekolah terpaksa ditutup lebih awal untuk keselamatan.

Dengan jarak penglihatan yang kurang 10 meter boleh dilihat dengan jelas, pemandu di jalanan terpaksa membawa kenderaan dengan lebih berhati-hati bagi mengelak kecelakaan.

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa (Bandar Udara) Adisutjipto Yogyakarta, terpaksa ditutup jam 6 pagi bagi tujuan keselamatan sebelum dibuka kembali sejam kemudian selepas abu reda dan kerja mencuci selesai.

Letusan gunung merapi yang berlaku malam kelmarin itu dikatakan antara yang terkuat sejak 10 tahun lalu hingga membuatkan penduduk yang tinggal kira-kira 10 kilometer dari gunung berapi itu menjadi panik




Tsunami di Mentawai: Hilang keluarga sekelip mata



KEPULAUAN MENTAWAI: Hati wanita mana dapat menahan kesedihan selepas kehilangan lima anak bersama suami tercinta dalam kejadian tsunami yang melanda Pulau Muntei, di sini, lewat malam Isnin lalu.
“Hancur luluh hati saya mengetahui lima anak lelaki saya maut ketika dibadai ombak tsunami berkenaan ketika nyenyak tidur.

“Hanya dua daripada tujuh anak saya dapat diselamatkan tetapi pinggang mereka patah akibat merempuh pokok ketika dihanyutkan air,” kata Warna, 39, yang kehilangan lima anak lelakinya dan suami yang dicintainya dalam bencana tsunami.

Ketika ditemui di Pos Kesihatan Sikakap, di sini, Warna menemani dua anak perempuannya yang masih hidup, namun seorang daripada mereka, Melda Yanti, 10, patah pinggangnya


Menurutnya, ketika kejadian, mereka sekeluarga sembilan beranak tidur di dalam rumah ketika merasakan sedikit gegaran dan membuatkannya terjaga daripada tidur sebelum cuba mengejutkan keluarganya.

“Sebelum sempat saya mengejutkan mereka, rumah kami dihempas ombak tinggi setinggi 13 meter yang menyebabkan kami semua dihanyut ombak berkenaan menghala ke pantai

Saya sempat berpaut pada sebatang pokok di depan rumah sambil melihat suami dan tujuh anak saya dihanyutkan air ke kawasan depan rumah.
“Suasana ketika itu gelap dan saya hanya dapat mendengar teriakan orang kampung yang meminta tolong,” katanya.

Warna berkata, selang beberapa minit air mulai surut dan terus mencari anaknya yang dihanyutkan air dan menemui anak perempuannya Melda tersangkut di sebatang pokok di kawasan semak di depan rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, selepas itu dia mengendong Melda dan pergi mencari anaknya yang masih hilang.

Menurutnya, mereka bertiga dibawa ke pos kesihatan Rabu lalu dengan menaiki bot laju sebelum dirawat bersama ratusan lain yang masih cedera di sini

No comments:

Post a Comment