Friday, November 5, 2010

DIDUNIA PENUH DENGAN UJIAN...SABARLAH...RAPATLAH DENGAN ALLAH SERTA MOHON PERTOLONGAN DAN PERLINDUNGNYA

'Nenek marah lambat solat'

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.
Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengebumian mengikut adat agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.
Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

“Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan dia Buddha, itu tidak menjadi halangan untuk mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu.

“Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin serta menghormati agama lain.

“Dia sering menghantar saya mengaji al-Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya,” katanya. Seorang lagi cucunya, Kalsom Ahmad, 43, berkata, neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. “Walaupun tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami.

“Malah, kami semua paling gembira setiap kali menjelang musim perayaan kerana kami menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya

Kalsom berkata, nenek juga sering mengingatkan mereka agar bersederhana dalam perbelanjaan harian kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan susah sejak zaman muda.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Katanya, bukan saja tidak pernah membezakan agama, moyangnya juga melarang mereka daripada menjamah makanan tidak halal hinggakan menu makanan istimewa pada majlis makan besar Tahun Baru Cina turut diubah kepada masakan Melayu.

Moyang yang manja dengan panggilan ‘Mama’ itu juga dianggap istimewa apabila meminati penyanyi Melayu kelahiran negeri ini, Mawi selain gemar menonton drama Melayu dan Indonesia di televisyen (TV) termasuk sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

“Oleh kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemarannya, Mama sanggup makan malam lebih awal sebelum duduk depan TV.

“Pling menarik, Mama tidak membaca akhbar berbahasa Cina, tetapi memilih Harian Metro sebagai bacaan kegemarannya.

“Saya sentiasa ingat pesan Mama yang tidak suka perbuatan kurang ajar apa lagi menderhaka kepada orang tua atau membuli ahli keluarga,” katanya


'Bas ni terlalu laju...aku seram'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

MASUK SUNGAI...bas ekspres Transnasional yang membawa 33 penumpang terjunam di Kilometer 20, Jalan Pekan-Nenasi, dekat Pekan, malam kelmarin.
MASUK SUNGAI...bas ekspres Transnasional yang membawa 33 penumpang terjunam di Kilometer 20, Jalan Pekan-Nenasi, dekat Pekan, malam kelmarin.
MAUT...jenazah Ismail ditutup kain selepas dikeluarkan dari bas.
MAUT...jenazah Ismail ditutup kain selepas dikeluarkan dari bas.
PEKAN: “Pemandu ini berhenti rehat nanti, aku nak tegur. Bas ini terlalu laju...aku seram,” itulah keluhan terakhir Ismail Naqiuddin Hamdan, 25, kepada rakannya sebelum dia mati lemas apabila bas ekspres Transnasional dinaikinya melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam tali air di Kilometer 20, Jalan Pekan-Nenasi, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bas ekspres yang membawa 33 penumpang dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke Kuantan turut mengakibatkan empat penumpang wanita cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Penumpang bas lain yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pekan (HP), di sini, sebelum dibenarkan pulang.
Ismail yang berasal dari Taman Cenderawasih, Kuantan, menaiki bas ekspres berkenaan bersama rakannya, Shukri Zahat, 25, untuk pulang ke Kuantan selepas tamat menghadiri kursus teknologi maklumat di Senai, dekat, Johor Bahru.

Mengimbas kejadian, Shukri yang duduk di belakang Ismail Naqiuddin berkata, arwah sempat memberitahu kepadanya bahawa dia berasa tidak sedap hati berikutan bas itu dipandu laju.

Menurutnya, tidak sampai lima minit selepas arwah mengeluh demikian, bas ekspres berkenaan merempuh penghadang di kiri jalan sebelum terjunam dalam tali air menyebabkan arwah tercampak ke depan.

Katanya, dalam keadaan cemas dan gelap-gelita, dia cuba mencari arwah namun gagal berikutan bas ekspres berkenaan mula dimasuki air menyebabkan dia terpaksa bertindak memecahkan cermin dalam usaha untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu keadaan amat cemas dan sebahagian penumpang menjerit malah ada yang menangis kerana ketakutan sebelum keluar menyelamatkan diri melalui pintu kecemasan serta cermin yang dipecahkan

“Saya juga berasa tidak sedap hati dan terkilan kerana kata-kata arwah mahu menegur pemandu itu supaya memperlahankan kenderaan tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penumpang, M Marippan, 19, berkata dia yang duduk di barisan belakang cedera di dagu dan tangan sebelum keluar menyelamatkan diri melalui cermin yang dipecahkan pemandu bas.

Menurutnya, dia dan bapanya pulang ke Kuantan untuk menyambut Deepavali bersama keluarga bersyukur kerana terselamat namun pengalaman terbabit dalam kemalangan menaiki bas mungkin tidak dapat dilupakan selama-lamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, mayat mangsa lemas terbabit dihantar ke HP untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya pagi semalam



Sedih namun reda kehilangan tunang



KUANTAN: “Saya sedih kerana kehilangan tunang yang baik serta disenangi keluarga namun terpaksa reda dan menerima hakikat dengan kejadian terbabit,” kata Nurul Hana Abu Hassan, 25, tunang kepada Ismail Naqiuddin Hamdan, 25, yang terbunuh selepas bas Transnasional dinaikinya terjunam dalam tali air, di Jalan Pekan-Nenasi, kelmarin.
Menurut Nurul Hana, keluarganya sepatutnya berbincang dengan keluarga arwah pada 13 November ini untuk menetapkan tarikh perkahwinan namun hasrat untuk bergelar raja sehari tidak kesampaian apabila tunangnya pergi buat selama-lamanya.

“Saya mendapat tahu berhubung tragedi menyedihkan itu melalui ibu yang menerima panggilan kecemasan daripada keluarga tunang saya pada jam 10 malam tadi (kelmarin) sebelum bergegas ke Kuantan dari Muar.
“Sepanjang perjalanan ke Kuantan, saya tidak dapat memikirkan apa-apa kecuali berharap tunang saya selamat walaupun sudah diberitahu bahawa lelaki yang disayangi dan dicintai itu sudah pulang ke rahmatullah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, dia menerima khidmat pesanan ringkas daripada tunangnya mengatakan akan pulang ke Kuantan selepas tamat berkursus namun tidak menunjukkan sebarang petanda pelik

'Tak pernah-pernah'

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.
TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.
ALOR SETAR: “Tidak pernah sepanjang hidup selama 67 tahun kawasan kami dinaiki air termasuk ketika Kedah dilanda banjir besar pada 1999 dan 2005, tetapi (banjir) kali ini, kami turut terjejas.” Itu luahan penduduk Hutan Kampung, dekat sini, Mokhtar Ahmad, 67, yang terkejut apabila kawasan tempat tinggalnya dinaiki air sehingga sedalam dua meter semalam.
Menurutnya, ketika keluar dari rumahnya ke pusat bandar raya untuk membeli keperluan rumah kira-kira jam 7 malam semalam, keadaan jalan dari Hutan Kampung ke Alor Setar masih seperti biasa sedangkan daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Langgar teruk dilanda banjir selain beberapa kawasan bersebelahan Sungai Kedah di Alor Setar.

“Bagaimanapun, air meningkat mendadak di Hutan Kampung dan Jalan Langgar sejak awal pagi tadi (semalam) menyebabkan sebahagian besar jalan utama di Hutan Kampung ditenggelami air.
“Keadaan air juga dilaporkan agak tinggi di Kepala Batas berpunca dari banjir yang sudah surut di Bukit Pinang mengalir ke Hutan Kampung dan Kepala Batas,” katanya.

Peniaga, Tolha Ahmad, 49, pula bimbang barangan persediaan perkahwinan anaknya dua minggu lagi musnah apabila rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung dilanda banjir.

“Saya hanya mendapat tahu rumah kami dimasuki air pagi ini (semalam) apabila dihubungi jiran ketika saya berada di rumah seorang lagi anak di Kuala Kedah sejak dua hari lalu,” katanya


Menurutnya, dia bergegas pulang bersama dua anaknya untuk menyelamatkan barangan dalam rumah termasuk peralatan perkahwinan anak ketiganya yang akan berlangsung dua minggu lagi.



Minta siasat individu berpengaruh didakwa terbabit kes Sosilawati



KLANG: “Jangan kerana dia individu berpengaruh, pihak berkuasa tidak mahu menyiasatnya. Saya ada bukti mengaitkannya dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya,” kata Ahli Parlimen Kapar, S Manikawasagam, ketika ditemui di pejabatnya di Kapar, dekat sini, semalam.
Beliau mendakwa, individu itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan adiknya bekerjasama dengan tertuduh pertama kes pembunuhan Sosilawati, peguam, N Pathmanabhan dalam urusan menukar hak milik tiga bidang tanah di Batu Ferringhi, Pulau Pinang membabitkan nilai RM30 juta tanpa pengetahuan pemilik asal tanah berkenaan.

Menurutnya, status tanah itu dipindah milik atas nama Ample Quality Sdn Bhd dengan adiknya yang berusia 33 tahun dan Pathmanabhan bertindak sebagai pengarah syarikat itu.
“Kemungkinan banyak pihak terbabit dalam kes itu. Saya harap polis dapat siasat segera bagi mengelak timbul spekulasi,” katanya.

Manikavasagam mendakwa turut mempunyai beberapa dokumen yang mengaitkan penukaran hak milik tanah di Batu Ferringhi itu dilakukan secara tidak sah.

Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang didakwa di Mahkamah Majistret Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, Ogos lalu

Pathmanabhan, 41, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, bersama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa membunuh Kamaruddin Shansudin, 44; pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32


Amarah suami

Oleh Hadzlihady Hassan

AMPANG: Hanya kerana menolak ajakan untuk tidur bersama, seorang isteri bergaduh dengan suaminya sebelum lelaki itu yang berang kerana anak perempuannya turut mencampuri urusan rumah tangga mereka mengambil pisau dan mahu menikamnya dalam kejadian di Taman Cempaka, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki terbabit yang berusia lingkungan 50-an pada mulanya dikatakan berang dengan sikap isteri yang menolak ajakan untuk tidur bersama.

Menurut sumber polis, lelaki terbabit beberapa kali mengajak isterinya yang berusia lingkungan 40-an itu untuk tidur bersama namun tidak dilayan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
“Lelaki itu beberapa kali mengetuk pintu bilik yang dikunci isterinya, namun wanita berkenaan enggan melayan sebelum memberikan tilam kepada suaminya itu untuk tidur di ruang tamu.

“Dia yang berang dengan tindakan isterinya itu kemudian sekali lagi mengetuk pintu dengan kuat. Ini membuatkan anaknya yang tidur di bilik bersebelahan keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang berusia 18 tahun itu kemudian melihat bapanya dengan perasaan tidak puas hati membuatkan lelaki terbabit bertambah berang

“Tanpa sepatah kata, lelaki itu terus menghampiri anaknya dan menampar muka remaja terbabit sebelum memarahinya.

“Dia juga meminta anaknya itu supaya tidak campur tangan dalam urusan rumah tangganya dan meminta remaja terbabit masuk tidur,” katanya

Sumber berkata, mendengar kekecohan itu, isterinya keluar dan cuba menghalang lelaki terbabit daripada terus memukul anak mereka.

“Namun, lelaki itu menjadi marah sebelum meluru ke dapur dan mengambil pisau dan mengacukan ke arah anaknya.

“Remaja terbabit yang takut melihat kelakuan bapanya itu melarikan diri dan bersembunyi dalam bilik sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di rumah itu menasihatkan anaknya membuat laporan sebelum lelaki terbabit ditahan untuk siasatan.

“Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan dan polis turut merampas pisau digunakan ketika mengugut untuk mencederakan anaknya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri berkenaan memang mempunyai masalah rumah tangga mereka sejak setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat remaja terbabit



Penuntut kolej jururawat hilang



IPOH: “Saya merayu kepada sesiapa yang menemui atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Balqis Azman, 18, (gambar) hubungi saya segera.
“Saya tidak dapat tidur lena memikirkan keselamatan dirinya sejak dia hilang,” kata Noorlela Abd Rahman, 37, ibu kepada Balqis, penuntut sebuah kolej kejururawatan di sini yang dilaporkan hilang sejak 30 September lalu selepas selesai menjalani latihan praktikal di Taiping.

Lebih membimbangkan, Noorlela berkata, dia dan suaminya, Azman Sulaiman hanya menyedari kehilangan anaknya itu pada 4 Oktober lalu ketika mahu mengambilnya di tempat praktikal di Kawasan Perindustrian IGB di Taiping.
“Saya mula tidak sedap hati apabila dimaklumkan pihak pengurusan kampus kolejnya itu bahawa Balqis sudah pulang ke rumah dari Taiping pada 30 September.

“Namun, sejak menghantarnya ke rumah sewa yang diuruskan pengurusan kolejnya di Kampung Boyan, Taiping pada 13 September, Balqis tidak pernah pulang ke rumah kami di Kampung Kepayang, Fair Park dekat sini,” katanya di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di sini, semalam. Sehubungan itu, Noorlela merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 014-2527050 atau suaminya, 012-5894347



Lagi bakal pengantin lesap

Oleh Rahmat Othman

POKOK SENA: “Semua kelengkapan perkahwinan termasuk bunga telur, pakaian dan kad jemputan sudah disiapkan, manakala wang hantaran RM8,284 juga sudah diterima daripada pihak lelaki, tetapi anak saya hilang entah ke mana,” kata Zaiton Abdul Halim, 58, ibu Siti Sakinah Ismail, 25, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Pegawai, di sini kira-kira jam 7 pagi, Sabtu lalu.
Siti Sakinah yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kuari bakal melangsungkan perkahwinan pada 20 November depan dengan Helmi Afendi Aris, 24, dari Kuala Sanglang, Perlis, selepas mengikat tali pertunangan kira-kira seminggu sebelum Ramadan lalu.

Zaiton berkata, ketika keluar bekerja, Siti Sakinah memandu kereta Perodua Viva warna merah hati miliknya menggunakan nombor pendaftaran KCB 7249.
“Kami menyedari kehilangan Siti Sakinah apabila pengurusnya menghubungi kira-kira jam 9.30 pagi Sabtu lalu bertanyakan mengapa dia tidak hadir ke pejabat.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara itu sedangkan Siti Sakinah keluar seperti biasa dengan memakai baju kurung biru dan tudung merah.

“Kami sekeluarga bimbang mengenai keadaannya kerana dia turut memakai barangan kemas selain keretanya juga tidak ditemui,” katanya ditemui di sini, semalam

Menurutnya, anaknya itu sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan tiada sebarang perselisihan antara mereka sekeluarga.

“Dia juga tidak menunjukkan tanda membantah calon suami pilihan keluarga itu,” katanya

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Siti Sakinah diminta menghubungi talian 019-4649104 atau 019-4783421 atau balai polis terdekat.


Rita tertekan isu saman

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu secara terperinci perjanjian antara ibu dengan mereka. Lebih merumitkan keadaan urusan itu dikendalikan peguam ibu, (Allahyarham Ahmad Kamil Abdul Karim).”
Itu komen Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya terhadap saman dikemukakan dua ahli perniagaan terhadap syarikatnya, Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd (Nouvelle Beauty).

Saman difailkan pada 5 Ogos lalu mendakwa Nouvelle Beauty melanggar perjanjian jual beli tanah yang di atasnya mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita berkata, apa yang diketahuinya, plaintif memang berminat membeli tanah itu dan pada mulanya Allahyarham ibunya hendak menjual, tetapi menarik balik hasrat itu serta mahu memulangkan semula wang.
“Semua proses itu dikendalikan Ahmad Kamil dan Allahyarham sepatutnya berjumpa mereka (plaintif) untuk menyelesaikan, namun selepas itu dia hilang bersama ibu,” katanya yang dihubungi, semalam.

Rita, 25, berkata, tindakan saman dua ahli perniagaan itu mengejutkan dia serta menyebabkan keadaannya sekarang agak tertekan.

“Saya cuba bersabar dan anggap ia satu lagi dugaan selepas kehilangan orang tersayang dalam keadaan mengejut. Saya juga ingin berterima kasih kepada mereka yang memahami masalah kami,” katanya

Nouvelle Beauty dalam satu kenyataan berasingan pula berkata, pihaknya melantik peguam untuk meneliti dakwaan terbabit. “Peguam diarahkan untuk mempertikaikan dakwaan seperti dinyatakan di dalam saman itu di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Khamis lalu akhbar melaporkan saman itu difailkan pada 5 Ogos lalu iaitu 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dilaporkan hilang dan kemudian disahkan dibunuh mati bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, pada 30 Ogos lalu

Plaintif, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan Nouvelle Beauty sebagai defendan dalam saman mereka yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada 5 Ogos lalu.

Peguam SH Tang hadir mewakili kedua-dua individu itu, namun Nouvelle Beauty tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan mendengar permohonan Low dan Lim bagi memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty selepas syarikat itu gagal memfailkan afidavit balasan selepas 14 hari saman dikemukakan.

Berdasarkan surat tawaran yang dipersetujui dan ditandatangani wakil Nouvelle Beauty pada 2 April lalu, defendan bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi bersama dengan kedai dan pejabat empat tingkat di tanah milik syarikat itu pada harga RM3 juta.

Plaintif mendakwa membayar RM60,000 ketika surat tawaran jual beli itu ditandatangani dan baki deposit RM240,000 dibayar ketika Perjanjian Jual Beli ditandatangani manakala selebihnya dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani.

Mereka memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan pelaksanaan perjanjian jual beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah itu kepada orang lain selain daripada plaintif.

Mereka mendakwa terma dan syarat dalam draf perjanjian jual beli sudah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April 2010.

Dalam afidavit itu mereka mendakwa selepas sebulan surat itu ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguam caranya bertarikh 30 April 2010 memaklumkan tidak berniat meneruskan transaksi jual beli itu.

Plaintif mendakwa, melalui surat bertarikh 3 Mei, Nouvelle Beauty terikat dengan terma dalam perjanjian jual beli hartanah.

Pada 25 Mei 2010, Nouvelle Beauty memulangkan surat perjanjian jual beli, suratcara pindah milik, borang permohonan kebenaran pindah milik serta cek RM240,000, tetapi gagal membayar balik wang deposit RM60,000.

No comments:

Post a Comment