Thursday, November 4, 2010

KISAH2 PELIK..SEMUA PATUT JADI RENUNGAN...DAPAT MEMBEZAKAN YANG BAIK DAN YANG MANA BURUK....

DUNIA


Enjin Airbus A380 meletup di udara


Penyembur jentera bomba menembak air ke arah sebuah enjin pesawat Qantas Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura semalam.


SINGAPURA - Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 milik syarikat Qantas Airways dari Australia yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di sini semalam selepas sebuah enjinnya meletup menyebabkan bingkai enjinnya berkecai di udara.
Insiden semalam adalah paling serius membabitkan pesawat Airbus A380 sepanjang tiga tahun sejarah penerbangannya.
Pesawat Airbus A380 yang turut dikenali dengan gelaran Superjumbo memiliki empat enjin dan merupakan pesawat penumpang terbesar, paling senyap dan paling mesra alam di dunia.
"Sebelum ini, beberapa insiden kecil melibatkan enjin Airbus A380 pernah berlaku tetapi tiada satu pun yang serius seperti ini," kata seorang pakar penerbangan, Tom Ballantyne.
Syarikat Qantas pula memiliki rekod penerbangan paling selamat di dunia tanpa nahas udara yang meragut nyawa sepanjang 90 tahun ia beroperasi.
Namun, pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan semalam, pesawat dua tingkat milik Qantas itu terpaksa mendarat cemas.
Juruterbang membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas selepas sebuah enjin di sayap kiri pesawat itu terbakar 15 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 9.56 minit pagi.
Pesawat berkenaan berlepas dari London dan singgah di Singapura semasa dalam penerbangan menuju ke Sydney, Australia.
Beberapa saksi berkata, mereka terdengar letupan kuat di udara dan melihat serpihan-serpihan logam terjatuh ketika pesawat itu mengalami masalah enjin di pulau Batam yang terletak dekat dengan Singapura.
Serpihan-serpihan bingkai itu termasuk sekeping serpihan dengan sebahagian lambang kanggaru terbang terhempas di sebuah kawasan perumahan dan industri di Batam.
"Saya tidak melihat pesawat terhempas tetapi saya terdengar satu letupan kuat di udara. Selepas itu, serpihan-serpihan logam menjunam dari udara dan terhempas di sebuah kawasan industri di Batam," kata seorang saksi, Noor Kanwa.
Seorang lagi saksi berkata, berpuluh-puluh penduduk Batam keluar dari rumah mereka dan melihat pesawat itu berlegar-legar di udara untuk membuang minyak sebelum cuba mendarat.
Beberapa laporan awal media menyatakan, pesawat itu terhempas selepas meletup di ruang udara Batam.
Namun, laporan tersebut kemudian disangkal oleh pihak pengurusan Qantas Airways yang mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan itu terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura selepas mengalami masalah enjin tanpa mengulas lanjut.
Dalam satu wawancara telefon dengan seorang penumpang, Ulf Waschbusch berkata, dia terdengar bunyi letupan di udara dan melihat sayap Qantas A380 terbakar sejurus selepas ia berlepas.
"Kami mendengar bunyi letupan, saya melihat satu kebakaran kecil berlaku pada sayap kirinya," kata Waschbusch yang berasal dari Jerman.
"Sayap kiri pesawat itu pecah sedikit," tambah penumpang itu yang bekerja di sebuah syarikat teknologi di Singapura dan menuju ke Sydney untuk melancong.
Menurutnya, juruterbang kemudian mengumumkan bahawa pesawat tersebut akan membuang minyak sebagai persiapan untuk melakukan pendaratan cemas.
"Kami berlegar-legar di ruang udara Batam selama hampir dua jam untuk membuang minyak," katanya.
"Tanpa diduga, semua penumpang berada dalam keadaan tenang. Kami langsung tidak menjerit," jelas Waschbusch.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai Australia memberitahu, tiada penumpang atau krew pesawat itu yang cedera dalam kejadian tersebut.

GAMBAR menunjukkan bingkai enjin Qantas yang berkecai.


Namun, penumpang-penumpang ditawarkan sesi kaunseling selepas insiden tersebut.
Ekoran kejadian itu, pihak Qantas Airways membuat keputusan menggantung penerbangan semua enam pesawat Airbus A380 miliknya sehingga satu siasatan menyeluruh dijalankan.
Siasatan menyeluruh itu akan turut melibatkan agensi siasatan nahas udara Perancis (BEA).
Seorang jurucakap BEA menyatakan, sebuah enjin pesawat itu mengalami kerosakan serius.
"Apa yang kami tahu buat masa sekarang ialah bingkai bahagian belakang enjin tersebut hilang. Terdapat kerosakan pada bahagian belakang motor jet yang membawa masalah yang serius," katanya di Paris.
Pada masa ini terdapat 37 pesawat Airbus A380 yang beroperasi di seluruh dunia. Sebuah pesawat itu berharga dari AS$346.3 juta (RM1 bilion). - Agensi


NEGARA


Banjir di Kedah, Perlis kian buruk


Sebahagian besar bandar raya Alor Setar ditenggelami banjir manakala beberapa batang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan semalam.


ALOR SETAR - Banjir yang melanda Kedah dan Perlis semakin buruk apabila lebih 40,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.
Angka tersebut lebih sekali ganda daripada angka pemindahan yang dicatatkan dalam banjir besar yang melanda pada tahun 2005 apabila 21,000 penduduk dipindahkan.
Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada lebih 28,569 orang berbanding kira-kira 25,000 kelmarin ekoran keadaan banjir yang semakin buruk di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang manakala keadaan banjir di Padang Terap semakin baik.
Di Kubang Pasu, seramai 15,672 penduduk daripada 4,347 keluarga dipindahkan manakala di Padang Terap, 2,737 orang masih berada di pusat pemindahan.
Banjir di Kota Setar melibatkan 8,184 penduduk, Pokok Sena seramai 1,281 orang dan daerah Pendang merekodkan 158 penduduk yang dipindahkan.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak 103 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang


NEGARA


'Ingatkan dia dah kena gantung'




KUALA LUMPUR – “Saya tak sangka dia masih hidup, ingatkan pembunuh anak saya itu telah digantung sampai mati.’’
Demikian reaksi spontan bapa kepada Sabi’ul Malik Shafiee atau Along Spoon, Tengku Shafiee Tengku Yusof (gambar), 60, mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 November lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh kes itu, Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati.
Tengku Shafiee mengakui dia tidak pernah dimaklumkan mengenai kes itu selepas hukuman mati dijatuhkan pada tahun 2002.
“Tak ada sesiapa memberitahu saya pasal pelaksanaan hukuman kes itu sehinggalah saya tahu kedudukan sebenar selepas terbaca dalam Kosmo!,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan keputusan sebulat suara tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohamed Ya’cob selepas dia didapati bersalah membunuh penyanyi itu 11 tahun lalu.
Dia didapati membunuh penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Serindu-Rindunya itu pada pukul 1 pagi 26 Disember 1999 sebelum rangka penyanyi itu ditemui di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, Jelebu pada 6 Januari 2000



NEGARA


Lemas semasa bersihkan pakaian


LOKASI kejadian di Sungai Buaya, Marang yang telah meragut nyawa Mohd. Muzammil (gambar kecil) kelmarin.


MARANG - Seorang kanak-kanak yang baru pulang daripada bermain bola sepak lemas semasa membersihkan pakaiannya di Sungai Buaya, Bukit Payong di sini petang kelmarin.
Mangsa, Mohd. Muzammil Mohd. Hafzi, 12, dikatakan turun ke sungai itu untuk menghilangkan kesan lumpur pada pakaian kerana bimbang dimarahi ibunya.
Malangnya, mangsa yang berada di dalam sungai telah dihanyutkan arus deras ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.20 petang itu.
Menurut bapa saudaranya, Subky Helmi Abd. Latif, 33, dua hari sebelum kejadian, mangsa dimarahi ibunya, Nur Zalia Wahyuni Abd. Latif, 36, apabila pulang dengan pakaian kotor selepas bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong.
"Mungkin kerana bimbang dimarahi sekali lagi, dia telah mengikut rakan-rakannya pergi ke sungai itu untuk membersihkan pakaian," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Nahu, Bukit Payong di sini semalam


NEGARA


Mayat lelaki dalam but kereta


BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah kenderaan milik mangsa kes bunuh
di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kereta sendiri jadi keranda.
Itulah nasib seorang lelaki yang mati dibunuh dan kemudian diletakkan di dalam but kereta miliknya di belakang deretan kedai di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Mayat lelaki berumur sekitar 20-an itu ditemui kira-kira pukul 1 petang semalam selepas orang awam curiga dengan sebuah kereta pacuan empat roda yang menghalang laluan.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian dan memakai seluar pendek serta kemeja ditemui dalam keadaan terlentang dan mempunyai kesan tikaman di dada kiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang merupakan pemilik sebuah kedai peralatan elektrik dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam lalu di satu lokasi lain


DUNIA


Budak 4 tahun tak makan selama 4 tahun


GAMBAR menunjukkan tiub dimasukkan ke dalam perut Daniel Harrison.


CARLTON - Seorang budak lelaki di Britain, Daniel Harrison, berusia empat tahun trauma untuk mengambil makanan pejal sehingga menyebabkan dia tidak makan selama empat tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Budak lelaki itu yang menghidap autisme, takut untuk makan atau minum selepas dia diserang sakit gastrik yang teruk semasa masih bayi.
Fobia yang dihidapi oleh Daniel menyebabkan dia terpaksa diberi makanan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perutnya.
Bagi mendapatkan makanan dan rawatan, Catherine dan Kevin Harrison iaitu ibu bapa kanak-kanak itu terpaksa berulang alik dari sebuah hospital di London yang terletak agak jauh dari kediaman mereka di sini, England. Kos bagi rawatan tersebut juga mahal.
"Berdasarkan sudut perubatan, anak kami boleh mengambil makanan seperti manusia normal, tetapi dia amat takut untuk makan atau minum," kata bapanya.
Setakat ini, pakar-pakar di Britain gagal mengubati ketakutan Daniel untuk makan tetapi ibu bapanya tidak berputus asa dan merancang untuk membawanya ke sebuah klinik pakar di Austria sebagai jalan terakhir untuk merawat anak mereka.
Keluarga tersebut kini gigih untuk mengumpul dana berjumlah £20,000 (RM99,437) bagi tujuan itu.
- Agensi



DUNIA


Gunung Merapi catat letusan paling kuat


GAMBAR yang dirakamkan dari Klaten menunjukkan Gunung Merapi menghamburkan gas panas dan debu di Pulau Jawa semalam.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi kembali meletus dengan mengeluarkan gas panas dan debu setinggi 4,000 meter ke udara selain mengalirkan lahar dalam satu letusan kuat pada awal pagi semalam, namun tiada kematian baru dilaporkan.
Seorang pakar gunung berapi Indonesia, Surono memberitahu, letusan itu tiga kali lebih kuat berbanding letusan pada minggu lalu.
"Ia letusan yang luar biasa. Nampaknya, kita mungkin memasuki peringkat yang lebih teruk sekarang," kata Surono.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Jawa Tengah, Djarot Nugroho memberi amaran bahawa wang untuk membeli mi segera, air bersih, ubat-ubatan dan bekalan lain akan habis dalam tempoh lima hari untuk membantu lebih 70,000 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Askar-askar membawa golongan wanita dan kanak-kanak ke dalam trak, ketika batu dan debu gugur dari langit.
Letusan itu turut menyebabkan sejumlah kenderaan, pokok dan jalan-jalan di bandar-bandar yang terletak sejauh 130 kilometer dilitupi debu.
Seramai 44 orang terbunuh sejak Gunung Merapi yang setinggi 2,914 meter itu meletus buat kali pertama pada 26 Oktober lalu. - AP


DUNIA


Adik Sultan Brunei halang juri lihat patung erotik




MANHATTAN - Putera Jefri Bolkiah (gambar) yang merupakan adik pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah meminta seorang hakim di sini, menghalang juri daripada melihat empat buah patung yang menunjukkannya sedang bersetubuh, lapor akhbar New York Post semalam.
Permintaan itu disampaikan oleh pasukan peguam Putera Jefri menjelang satu kes sivil terhadap dua bekas peguamnya, Thomas Derbyshire dan Faith Zaman.
Semua patung erotik tersebut disimpan di rumah mewah berharga AS$11 juta (RM33.9 juta) milik putera itu di sini, New York, Amerika Syarikat.
Menurut Mark Cymrot yang mewakili Derbyshire dan Faith patung-patung tersebut diukir oleh seorang artis terkenal, J. Seward Johnson.
Sebuah patung tersebut katanya, menggambarkan Putera Jefri manakala sebuah patung lagi menggambarkan seorang tunangnya. Dua patung yang lain menunjukkan mereka sedang melakukan hubungan seks.
"Muka saya merah kerana segan melihat patung-patung itu," kata Cymrot.
Putera Jefri menyaman kedua-dua peguam itu kerana mendakwa mereka melakukan penyelewengan berjumlah jutaan dolar semasa bekerja untuknya antara tahun 2004 hingga 2006. - Agensi



DUNIA


Pelajar 13 tahun dapat ikan gergasi


JAKE NORTH bergambar bersama dengan seekor ikan gergasi yang berjaya dipancingnya di Sungai Ebro, Sepanyol baru-baru ini.


MEQUINENZA - Seorang pelajar berusia 13 tahun dari Britain, Jake North berjaya memancing seekor ikan air tawar gergasi bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemancing cilik tersebut menaikkan ikan seberat 91.17 kilogram (kg) itu semasa dia dan keluarganya memancing di Sungai Ebro, dekat sini, Sepanyol ketika musim cuti sekolah di Britain baru-baru ini.
Bimbang dia ditarik ke dalam sungai, pemandu pelancong keluarga tersebut terpaksa memeluk pinggang Jake yang bertarung selama 25 minit sebelum ikan gergasi itu berhenti meronta dan ditewaskan.
"Amat jarang seorang budak sebaya Jake dapat menangkap ikan dengan berat melebihi 90 kg. Ramai nelayan gagal melakukannya walaupun mencuba selama beberapa tahun," kata bapanya, Russell North, 40.
Keluarga berkenaan menggunakan umpan bebola ikan sebesar bola golf yang dibawa sejauh 100 meter ke tengah sungai sebelum ia dicampak ke dalam sungai tersebut dari sebuah bot.
"Pada satu ketika, saya hampir berputus asa kerana kedua-dua tangan saya terasa sakit. Saya juga berasa letih selepas menewaskan ikan itu," kata Jake. - Agensi

No comments:

Post a Comment