Friday, November 5, 2010

BELUM TAKDIR..SATU TELAH DITAKDIR....SEMUA DALAM KEKUASAAN...KITA HANYA DIBERI KEMAMPUAN OLEH ALLAH SETAKAT KEHENDAK ALLAH SAJA.

DUNIA


Gunung Merapi mengganas


GAMBAR menunjukkan satu mayat diliputi debu dari Gunung Merapi bergelimpangan di sebatang jalan di Argomulyo,Yogyakarta semalam.


YOGYAKARTA - Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.
Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.
Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.
Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.
Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.
Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."
Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.
Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.
Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.
Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.
Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.
Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.
"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.
Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.
Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.

WAJAH beberapa penduduk sekitar Gunung Merapi dipenuhi dengan debu semasa mereka melarikan diri di Klaten awal pagi semalam.


Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.
Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.
"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.
Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.
"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.
Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.
Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.
Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang. - Agensi


DUNIA


Gambar manusia pertama di dunia


GAMBAR rakaman Louis Daguerre menunjukkan seorang budak sedang mengilat kasut (dalam bulatan) pelanggannya di Boulevard du Temple di Paris, Perancis pada 1838.


PARIS - Gambar hitam putih yang menunjukkan seorang budak lelaki sedang mengilat kasut pelanggannya di Perancis dipercayai merupakan gambar fotografi menunjukkan aksi manusia pertama di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar tersebut dirakamkan oleh perintis dunia fotografi, Louis Daguerre pada tahun 1838 di Boulevard du Temple di Paris, Perancis.
Ia diketahui wujud sejak lama dahulu tetapi mencetuskan minat di Internet baru-baru ini selepas beberapa ahli akademik dari Universiti Rochester mendakwa gambar fotografi manusia pertama dirakamkan di Cincinnati, Amerika Syarikat (AS) pada 1848.
Daguerre merakamkan gambar di Paris itu dengan menggunakan teknik daguerreotype (sempena namanya) yang memerlukaan pendedahan selama beberapa minit untuk membentuk imej di atas satu kepingan perak.
Kawasan Boulevard du Temple itu sibuk dengan orang ramai.
Namun, dalam gambar itu cuma terdapat seorang lelaki dan pengilat kasut.
Keadaan itu berlaku kerana budak pengilat kasut dan lelaki berkenaan di kawasan itu yang tidak bergerak untuk jangka masa agak lama sekali gus membolehkan imej mereka tertera pada gambar itu.
Imej lelaki tersebut dikesan oleh seorang penulis blog, Gig Thurmond dalam blognya, The Hokumburg Goombah, yang mendakwa gambar itu adalah gambar fotografi pertama di dunia yang menunjukkan aksi manusia. - Agensi




DUNIA


Kapten pesawat Qantas A380 dapat pujian




SYDNEY - Juruterbang pesawat Airbus A380 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura akibat kerosakan satu enjin pesawat itu menerima pujian ekoran kemampuannya mengendalikan pendaratan tanpa berlaku sebarang kemalangan jiwa.
Juruterbang kelahiran Australia, Richard Champion de Crespigny (gambar) berjaya mendaratkan pesawat yang membawa 459 orang dengan hanya mengalami kerosakan pada salah satu sayapnya.
Para penumpang memuji cara de Crespigny, 53, yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam penerbangan, menenangkan mereka menerusi pemberitahuan melalui alat Intercom dalam pesawat Airbus ketika saat cemas itu berlaku.
"Saya memohon maaf. Saya pasti anda sedar bahawa enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Anda juga pasti tahu bahawa kita tidak akan meneruskan perjalanan ke Sydney.
"Buat masa sekarang, pesawat terbang dalam keadaan selamat. Terima kasih di atas kesabaran anda," kata de Crespigny menerusi rakaman mengenai insiden yang disiarkan di Internet.
"Kapten dan krewnya sangat hebat," kata seorang penumpang, Simon Johnson yang memberitahu para penumpang tidak berasa panik tetapi mengaku kecut perut apabila terdengar bunyi yang kuat dari dalam pesawat.
Isteri juruterbang itu, Coral Champion de Crespigny menyatakan, dia tidak terkejut dengan sikap tenang Richard ketika berdepan dengan situasi sebegitu.
"Saya boleh katakan bahawa para penumpang sangat bertuah kerana Richard yang menjadi juruterbang mereka," katanya kepada akhbar The Australian. - AFP


DUNIA


68 maut pesawat Cuba terhempas


BEBERAPA penduduk dan anggota penyelamat melihat pesawat Aerocaribbean yang terbakar dekat Kampung Guasimal di wilayah Santi Spiritus, Cuba, kelmarin.


HAVANA, Cuba - Sebuah pesawat yang membawa seramai 68 orang penumpang dan anak kapal dari Cuba, Eropah dan Amerika Latin terhempas dan terbakar di sebuah kawasan pergunungan kelmarin.
Pesawat itu terhempas selepas ia melaporkan isyarat kecemasan serta terputus hubungan dengan pihak pengawal trafik udara.
Insiden yang melibatkan pesawat AeroCaribbean penerbangan 883 itu menyebabkan semua penumpang termasuk tujuh krew maut.
Ia dalam perjalanan dari bandar Santiago de Cuba menuju ke Havana.
Pesawat malang itu terhempas berhampiran Kampung Guasimal di wilayah Santi Spiritus.
Pihak berkuasa menghantar sekumpulan doktor dan pekerja kecemasan ke kawasan pedalaman itu yang terletak 350 kilometer timur Havana.
Punca kejadian masih disiasat.
Pesawat itu merupakan yang terakhir meninggalkan Santiago de Cuba berikutan ribut tropika Tomas.
Insiden terakhir kapal terbang terhempas di pulau itu ialah pada Mac 2002. - AP



DUNIA


Selamat selepas telan gunting


GAMBAR X-ray menunjukkan gunting dalam kerongkong Curtis Francis.


BRISTOL - Doktor-doktor terkejut apabila seorang budak lelaki di Britain, Curtis Francis cuma mengalami luka ringan selepas dia menelan sebilah gunting, lapor sebuah akhbar semalam.
Francis, 12, yang mengalami cacat mental menelan gunting tajam itu bermula dari bahagian tangkal semasa ibunya leka baru-baru ini.
Namun, dia bernasib baik kerana salur pernafasannya tidak tersumbat.
Francis dibawa ke sebuah hospital di sini selepas ibunya melihat dia memuntahkan darah manakala beberapa doktor kemudian mengeluarkan gunting itu.
"Ketika ambulans tiba, saya dan anak lelaki saya menangis. Saya amat bimbang apabila kami tiba di hospital dan diberitahu bahawa anak saya tertelan gunting," kata ibunya, Karon Edwards. - Agensi



DUNIA


Orang tua dari Hong Kong jadi pemuda di Kanada


TOPENG muka yang dipakai pemuda dari Hong Kong.


VANCOUVER, Kanada - Polis menangkap seorang penumpang yang menaiki sebuah pesawat di Hong Kong sebagai orang tua tetapi semasa tiba di Vancouver dia menjadi seorang pemuda, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia ditahan pada 29 Oktober lalu selepas pesawat yang dinaikinya tiba di sebuah lapangan terbang di sini.
Satu amaran perisikan yang dikeluarkan oleh Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada yang menyatakan: "Maklumat telah diterima daripada pihak Keselamatan Penerbangan Kanada berhubung kemungkinan seorang penyamar dalam satu penerbangan dari Hong Kong.
"Penumpang itu diperhatikan dari permulaan penerbangan merupakan seorang lelaki tua Kaukasia yang didapati memiliki tangan orang muda.
"Dalam penerbangan, lelaki itu pergi ke tandas dan kemudian keluar sebagai seornag lelaki Asia berumur dalam lingkungan 20-an."
Selepas pesawat itu mendarat, lelaki yang menyamar itu diiringi oleh beberapa anggota pengawal sempadan Kanada.

WAJAH sebenar pemuda yang memakai topeng.


Agensi itu enggan mendedahkan butiran lanjut tetapi menyatakan, lelaki itu menaiki penerbangan dengan menggunakan pas milik orang lain.
Pemuda itu memakai topeng muka silikon sebagai orang tua dan menanggalkannya semasa berada di dalam tandas pesawat.
Anggota-anggota agensi tersebut turut menemui beg yang mengandungi topeng muka silikon itu. - Agensi 

No comments:

Post a Comment