Sunday, January 27, 2013

ALLAH ANTAR LALAT AJE...ALLAH BOLEH ANTAR LEBIH BESAR DARI ITU....ORANG BERPUSU2 MENGUNJUNGI PASAR2 ....TIDAK MASJID2 DAN SURAU2

Ucapan Obama terganggu kerana lalat


OBAMA berucap di sebuah bilik di White House, Washington kelmarin.



WASHINGTON - Seekor lalat menganggu Presiden Amerika Syarikat (AS, Barack Obama yang sedang berucap di dalam sebuah bilik di White House di sini kelmarin.
Lalat tersebut berterbangan dekat Obama dan hinggap di dahinya buat seketika.
Ketika kejadian, Obama sedang berucap bagi mengumumkan bekas peguam, Mary Jo White sebagai calon yang akan mengetuai Suruhanjaya Sekuriti dan Perdagangan.
SERANGGA itu (dalam bulatan) hinggap di dahi Obama.


Dalam ucapannya itu, beliau turut mengumumkan Richard Cordray sebagai calon yang bakal mengekalkan jawatan sebagai Pengarah Biro Perlindungan Kewangan Pengguna.
Presiden AS itu juga cuba menghalau lalat tersebut daripada mendekatinya.
Bagaimanapun, Obama turut membuat komen tentang lalat itu.
"'Orang ini' (lalat) mengganggu saya di sini," katanya.
Pada tahun 2009, Presiden AS itu pernah membunuh seekor lalat yang sedang terbang semasa beliau menghadiri rakaman temu ramah televisyen.
Sebuah kumpulan pembela hak asasi haiwan kemudian membantah perbuatan Obama yang membunuh lalat tersebut. - Agensi

Pejabat Ikhwanul Muslimin dibakar



SEJUMLAH penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah.



ISMAILIYA - Para penunjuk perasaan Mesir semalam membakar ibu pejabat parti yang disokong pergerakan Ikhwanul Muslimin di sini, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Asap hitam juga boleh dilihat keluar dari tingkap pejabat Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).
Sejumlah rakyat Mesir mengadakan perhimpunan seluruh negara bagi menunjukkan bantahan terhadap Presiden Mohamed Morsi pada ulang tahun kedua revolusi yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir.
Pihak Ikhwanul Muslimin berkata, para penunjuk perasaan juga cuba menyerbu salah sebuah pejabatnya di daerah Tawfikiya, Kaherah.
Seorang koresponden agensi berita AFP di tempat kejadian berkata, para penunjuk perasaan membaling batu ke arah sebuah bangunan dan dikejar oleh beberapa penduduk Tawfikiya.
Bunyi tembakan turut kedengaran. - AFP

Putera Turki minta penentang Bashar dibekalkan senjata

DAVOS, Switzerland - Seorang anggota kerabat diraja Arab Saudi, Putera Turki Al-Faisal semalam mendesak para penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dibekalkan senjata.
Para penentang Bashar telah menguasai wilayah utara negara itu dan menawan kawasan timur serta selatan Damsyik.
"Saya tidak berada di dalam kerajaan. Justeru, saya tidak perlu berdiplomasi.
"Saya menganggap kita sedang menghantar senjata api dan jika kita tidak menghantarnya, ia bakal menjadi kesilapan besar," katanya.
Putera Turki merupakan bekas ketua sebuah agensi perisikan Arab Saudi.
Kerabat diraja itu bercakap kepada pemberita pada Forum Ekonomi Sedunia di sini. - Reuters

Dua maut dijangkiti virus selesema burung di Kemboja

PHNOM PENH - Dua warga Kemboja meninggal dunia akibat dijangkiti virus selesema burung (H5N1) ketika mereka melakukan persediaan untuk memasak ayam yang tidak disedari telah dijangkiti virus berkenaan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
Dalam satu kenyataan bersama WHO dan Kementerian Kesihatan Kemboja, ujian terhadap mangsa berusia 15 dan 35 tahun itu yang mati pada awal minggu ini mengesahkan bahawa mereka dijangkiti H5N1.
Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut, seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang dijangkiti virus itu pada 9 Januari lalu di sini telah pulih.
Kemboja merekodkan 24 kes H5N1 sejak tahun 2003 dengan tiga kematian.
Statistik WHO mendedahkan, virus tersebut mengorbankan 362 orang di seluruh dunia sejak ia tersebar secara meluas pada tahun 2003. - AFP

Duit syiling dilelong pada harga lebih AS$10 juta



BENTUK depan duit syiling keluaran tahun 1794.



NEW YORK - Sekeping duit syiling perak keluaran tahun 1794 mencatatkan rekod apabila ia dilelong pada harga lebih AS$10 juta (RM30.44 juta) di sini kelmarin.
Syarikat Legend Numismatics yang beribu pejabat di bandar raya ini membeli duit syiling itu pada harga AS$10,016,875 (RM30,496,368.46).
Ia merupakan syarikat penjual duit syiling.
Duit syiling tersebut dipercayai yang pertama dikeluarkan oleh sebuah kilang duit syiling Amerika Syarikat. - Agensi

Hakim buat komen perogol gagal dapat jawatan di Mahkamah Agung



KERATAN akhbar Kosmo! pada 17 Januari lalu menyiarkan Muhammad meminta maaf ekoran kenyataannya tentang perogol dan mangsa rogol.



JAKARTA - Seorang hakim yang membuat gurauan bahawa perogol dan mangsa rogol sama-sama merasai nikmat gagal mendapat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Agung.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Kehakiman, Imam Anshori Saleh berkata semalam, beliau mencadangkan supaya hakim itu, Muhammad Daming Sunusi disingkirkan kerana kenyataannya melanggar kod etika kehakiman.
Semasa disoal pada sesi ujian kelayakan untuk menduduki jawatan berkenaan pada Isnin lalu di hadapan satu panel peringkat parlimen, Muhammad menyatakan, hukuman mati terhadap perogol perlu difikirkan secara mendalam kerana 'yang merogol dan yang dirogol sama-sama menikmati'.
Muhammad merupakan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Namun, beliau memohon maaf secara terbuka selepas menerima kecaman hebat daripada masyarakat. Beliau berkata, kenyataan itu hanya satu gurauan.
Lapan hakim baharu yang berpotensi telah diluluskan oleh Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia pada Rabu lalu untuk menduduki jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad tidak menerima sebarang undian. - AP

William ditemui sudah mereput


KOK KANG mententeramkan isterinya, Ying Ying sebaik saja membuat pengecaman mayat seorang kanak-kanak dipercayai William (gambar kecil) di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang semalam.



SUBANG JAYA – Misteri kehilangan William Yau Zhen Zhong (gambar kecil), 6, selama sembilan hari berakhir semalam apabila ibu bapanya mengenal pasti mayat kanak-kanak yang dijumpai terapung dalam keadaan mereput di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin merupakan anak mereka.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mayat kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai William berdasarkan pengecaman oleh Yau Kok Kang dan isterinya, Goh Ying Ying yang menemui dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak berkenaan yang mempunyai persamaan dengan William.
“Ibu bapa William turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam pada mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.
“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati mayat kanak-kanak yang dijumpai semalam (kelmarin) 75 peratus mirip William,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Bagaimanapun, menurut Yahaya, kesahihan 100 peratus identiti mayat tersebut hanya dapat ditentukan selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan dalam tempoh tiga hari.
Sampel tulang dan rambut mayat itu diambil untuk analisis DNA.
Tinjauan Kosmo! mendapati Ying Ying, 28, dan Kok Kang, 32, hadir membuat pengecaman terhadap mayat tersebut di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada pukul 12.30 tengah malam dan pukul 11 pagi semalam.
Pasangan suami isteri itu enggan ditemui kerana terlalu sedih selepas melihat mayat kanak-kanak itu.
Yahaya memberitahu, hasil bedah siasat selama sejam yang selesai pukul 12.30 tengah hari semalam mendapati kanak-kanak yang dijumpai itu sudah meninggal dunia dalam tempoh kira-kira seminggu lalu.
Bagaimanapun, kata beliau, punca sebenar kematian mangsa belum dapat ditentukan kerana keadaan mayat yang reput dan banyak organ dalaman sudah rosak.
Hasil bedah siasat tidak menemui kesan kecederaan luaran kecuali kesan gigitan binatang dipercayai ketika mayat itu berada dalam air.
Yahaya berkata, dengan penemuan mayat itu, polis menganggap kes kehilangan William sudah selesai dan setakat ini kematian mangsa diklasifikasi sebagai kematian mengejut.
William, anak kedua daripada tiga beradik, dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights di sini selepas mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
Lokasi Sungai Sireh tempat penemuan mayat itu terletak 33 kilometer dari Putra Heights, tempat William dilaporkan hilang.
Kawasan Putra Heights tiada sungai tetapi terdapat sebatang sungai di Bukit Lanchong yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Putra Heights.
Sungai di Bukit Lanchong itu bersambung dengan Sungai Sireh yang kemudian mengalir ke arah Pelabuhan Klang.
Polis belum dapat merungkai bagaimana kanak-kanak itu boleh ditemui mati di sungai kerana lokasi mangsa hilang terletak jauh dari sungai.
Jarak sungai di Bukit Lanchong dengan Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang ialah 30 kilometer.

Mayat ditemui tanpa kedua-dua belah mata



ANGGOTA polis memeriksa Jeti Sungai Sireh tempat mayat seorang kanak-kanak ditemui kelmarin.



PELABUHAN KLANG - Seorang nelayan tidak menyangka hajatnya untuk memanaskan enjin bot di Jeti Sungai Sireh di sini petang kelmarin membawa kepada penemuan satu mayat kanak-kanak yang terapung.
Satarudin Kamal, 45, berkata, dia ternampak mayat terapung dalam keadaan terlentang, tangan mendepang manakala kaki pula terkangkang ketika air sedang surut pada pukul 6.30 petang.
Satarudin yang merupakan Pengurus Pasar Nelayan di pelabuhan itu berkata, dia terus menarik mayat yang sudah kehilangan kedua-dua belah mata, betis mereput sehingga menampakkan tulang dan kembung ke tepi jeti lalu mengikat mayat itu pada jeti sebelum menghubungi Balai Polis Pelabuhan Klang.

Satarudin Kamal



"Setiap petang saya sentiasa memeriksa bot dan memanaskan enjin bot dan semalam (kelmarin) saya nampak satu mayat terapung dengan separuh muka tenggelam.
"Semasa ditemui mayat itu masih memakai baju T dan berseluar," katanya sambil memberitahu pada setiap petang dia sentiasa berada di jeti untuk memeriksa bot miliknya.
Satarudin yang juga ketua pangkalan jeti di situ memberitahu, dia tidak terkejut ketika ternampak mayat terapung kerana sebagai nelayan kejadian terserempak dengan mayat terapung sama ada di laut atau di sungai sudah kerap dialaminya.





"Masa saya lihat objek hanyut, saya memang tahu itu mayat sebab saya sudah selalu jumpa mayat terapung," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Sireh di sini.
Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang budak lelaki berusia sekitar enam tahun ditemui tersangkut di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau di sini. Semasa ditemui mayat itu memakai baju T yang mempunyai tulisan Active Group dan Best Team.

Bakal dipenjara 14 tahun



ANGGOTA polis mengawal Mohd. Shahrimy ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth semalam.



BUTTERWORTH – Tiga orang kena tahan (OKT) yang lolos daripada kawalan polis pengiring pada 7 Januari lalu bakal berhadapan hukuman penjara 14 tahun selepas kesemuanya mengaku bersalah atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Mohd. Farid Akhtar, 24, Mohd. Shahrimy Md. Noor, 28, dan Mohd. Khairul Nizam Abd. Rani, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hizween Azleena Othman Kamal.
Mengikut pertuduhan satu hingga empat, kesemua tertuduh bersama dengan dua OKT yang telah mati dan dua lagi yang masih bebas didakwa telah mencederakan empat anggota polis yang ketika itu sedang mengiring mereka dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth.
Empat anggota polis itu ialah Mohd. Nazzwuan Md. Zain, Mohd. Azizan Ahmad, Muhammad Sharifuddin Ali dan T. K. Mahendren.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.45 pagi 7 Januari lalu berhampiran Jalan Susur Keluar Bagan Ajam Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda bagi setiap pertuduhan.
Selain itu, mereka turut didakwa lari daripada jagaan polis mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan tertuduh merupakan penjenayah berbahaya.
“Mereka mempunyai rekod jenayah berat. Mohd. Farid pernah menyamun, Mohd. Shahrimy membunuh manakala Mohd. Khairul Nizam pula mencederakan orang awam,” katanya yang memberitahu kemungkinan kesemua tertuduh akan melarikan diri, mengulangi jenayah dan mengancam keselamatan orang awam adalah tinggi jika dibebaskan dengan jaminan.
Hizween Azleena menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh untuk penelitian fakta dan menjatuhkan hukuman selain tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.
Dalam kejadian 7 Januari lalu, Kosmo! melaporkan sembilan OKT melarikan diri selepas mereka membelasah empat anggota polis pengiring sebaik mencampakkan serbuk lada ke arah anggota terbabit.
Bagaimanapun, pada hari sama polis berjaya menahan semula dua OKT terbabit manakala dua tahanan, Mohd. Fairuz Adam, 31, atau Joe Mafia dan Mohd. Noor Mustafa, 28, atau dikenali sebagai Boy ditembak mati.
Mohd. Farid, Mohd. Shahrimy dan Mohd. Khairul Nizam berjaya diberkas manakala Hamzani Harun, 37, yang dikenali sebagai Syam Tok E dan Hisyam Abdul Rahman, 39, atau Mat Blue masih bebas.

Dituduh jual bayi, kanak-kanak



EMPAT wanita yang dituduh memperdagangkan tujuh bayi dan kanak-kanak dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterwoth, Pulau Pinang semalam.



BUTTERWORTH – Lima individu termasuk empat wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperdagangkan tujuh bayi dan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi dengan memindahkan hak jagaan terhadap kanak-kanak tersebut dengan cara menjualnya kepada individu lain.
Tertuduh, Ooi Ah Imm, 47; Lim Choon Liang, 63; D.C. Chin, 57; Lim Soo Chin, 52, dan Bakhtiar Abas, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan minta dibicarakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ah Imm dan Chin masing-masing menghadapi enam pertuduhan kerana memperdagangkan enam bayi dan kanak-kanak yang berlainan pada masa, tarikh dan tempat yang berlainan.
Choon Liang pula menghadapi empat pertuduhan memperdagangankan bayi dan kanak-kanak pada masa, tarikh dan tempat yang berlainan.
Soo Chin dan Bakhtiar pula masing-masing menghadapi satu pertuduhan kerana memperdagangkan seorang bayi dan kanak-kanak pada masa, tarikh dan tempat yang berlainan.
Kesemua mereka dituduh telah melakukan satu aktiviti yang menyalahi undang-undang dengan membuat pindaan hak ke atas kanak-kanak tersebut yang berlawanan dengan Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 dengan memindahkan hak milik daripada penjaga yang sah dengan menjualnya kepada pemilik baharu pada harga tertentu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 30 September 2008 hingga 16 Januari lalu di tujuh lokasi berbeza.
Lokasi tersebut ialah Pantai Remis, Perak; Taman Pelangi di Perai; Taman Duku, Bukit Mertajam; Taman Bercham Baru, Ipoh, Perak; Saujana Height di Jalan Teluk Kumbar, George Town; Taman Desa Permai di Kulim, Kedah dan Taman Pura Jaya di Simpang, Taiping, Perak.
Kesemua bayi dan kanak-kanak yang telah dijual oleh lima tertuduh berkenaan pula adalah berusia antara tiga bulan hingga lima tahun.
Untuk semua pertuduhan tersebut, mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda untuk setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ramlan manakala peguam J. J. Singh mewakili tertuduh ketiga iaitu Chin, peguam K. Supramaniam mewakili tertuduh pertama (Ah Imm) dan peguam Y. Yogeswaran mewakili tertuduh kedua (Choon Liang) dan keempat (Soo Chin).
Bakhtiar pula tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding berlangsung, Siti Aishah menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh setiap tertuduh.
Bagaimanapun ia dibantah oleh Supramaniam dengan alasan wang jaminan adalah proses untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah setiap kali kes berlangsung dan bukannya sebagai hukuman kepada tertuduh.
Hakim Nabisha kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh setiap tertuduh selain menetapkan 15 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh tidak membayar wang jaminan tersebut.

Kanak-kanak tiga tahun maut kemalangan motosikal abang

Faiskandar


PEKAN - Seorang kanak-kanak maut selepas motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki bersama dua abangnya merempuh sebuah kereta di Kilometer 7, Jalan Pasir Panjang-Tanjung Agas di sini semalam.
Kejadian pukul 7.05 pagi itu mengakibatkan Muhammad Faiskandar Abd. Karim, 3, yang duduk di dalam raga motosikal tercampak di atas jalan sebaik kenderaan ditunggang abang sulungnya, Marzuki, 17, merempuh kereta yang diletakkan di tepi jalan tersebut.
Difahamkan, sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan untuk menghantar abang kedua mangsa, Muhammad Fazal, 11, ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas di sini.
Muhammad Fazal cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan manakala Marzuki pula cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Marzuki hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah basikal sebelum merempuh kereta yang berhenti di tepi jalan.
"Mangsa yang duduk di dalam raga terpelanting dan terjatuh di atas jalan lalu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

2,000 serbu pembukaan cawangan baharu Courts di Jerteh



ORANG ramai berasak-asak ketika pembukaan cawangan baharu Courts cawangan Jerteh, Besut semalam.



BESUT - Courts (Malaysia) Sdn. Bhd. yakin akan memperoleh keuntungan tambahan daripada penjualan barangan elektronik seperti komputer dan telefon bimbit serta barangan elektrik dengan pembukaan beberapa cawangan baharunya di seluruh negara pada tahun ini.
Pengarahnya, Allard Sjollema (gambar kecil) berkata, syarikat itu kini memperluaskan aktiviti jualan daripada hanya menumpukan kepada perabot pada masa ini kepada barangan elektronik yang didapati mendapat sambutan di lebih 90 cawangan Courts di seluruh negara.
Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu Courts di Jerteh semalam merupakan yang ketiga di negeri ini selepas Dungun dan Kuala Terengganu.
"Buat masa ini, terdapat sebanyak sembilan cawangan Courts di kawasan Pantai Timur dengan rancangan penambahan setiap sebuah cawangan baharu akan dibuka dalam tempoh dua bulan mulai tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan cawangan Jerteh di sini semalam.
Beliau berkata, sebanyak 1,200 jenis barangan elektronik termasuk telefon bimbit, komputer, barangan elektrik dan perabot ditawarkan pada harga yang berpatutan di cawangan Jerteh.
Katanya, pemilihan Jerteh sebagai cawangan baharu adalah kerana keyakinan Courts terhadap pembeli yang semakin bertambah di daerah Besut buat masa ini.
Sjollema yakin Courts akan dapat menyaingi perniagaan barangan elektronik lain dalam tempoh beberapa tahun lagi dengan sasaran untuk menjadi pusat jualan barangan elektronik utama di Malaysia.
Sementara itu, majlis pembukaan cawangan Courts Malaysia Jerteh yang bermula pukul 10 pagi telah diserbu lebih 2,000 pelanggan yang menunggu pembukaan sejak awal pagi lagi. - Bernama

Polis cari 6 pemuda merusuh






Nilai - Polis mencari enam pemuda bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang lelaki hingga mengakibatkan mangsa cedera parah di muka dan kepala dalam kejadian di kawasan Rehat dan Rawat Seremban menghala ke utara, 14 November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Yusoff Awang berkata, kejadian pada pukul 2.30 pagi itu berlaku apabila salah seorang pemuda tersebut tidak berpuas hati selepas mangsa terlanggar bahunya ketika sedang melangkah keluar dari sebuah kedai di kawasan tersebut.
Katanya, pemuda yang 'naik angin' dengan insiden tersebut kemudian telah memanggil beberapa lagi rakannya sebelum mereka memukul mangsa beramai-ramai.
"Ekoran kejadian itu, peniaga berkenaan mengalami kecederaan serius di muka dan kepala. Polis yang menerima laporan mangsa kemudian telah membuat operasi sebelum berjaya menahan salah seorang suspek di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 30 November tahun lalu.
"Kita sedang mencari enam lagi rakan suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," katanya di sini semalam.
Mereka yang dicari ialah Mohd. Hafiz Azahari, 20; Mohd. Fadly Ab. Manap, 24; Muhamad Zulfikar Annuar Roslan, 22; Lukman Zailan, 22; Ahmad Shafiq Chee Mee, 23 dan Nik Mohamad Hamidi Nik Mohamad Shor, 23.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana enam pemuda tersebut berada supaya menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-758 3222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment