31 maut rusuhan berdarah kerana bola sepak
|
PORT SAID - Seramai 31 orang mati dalam rusuhan yang berlaku di sini akibat keputusan sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap 21 peminat bola sepak di Mesir, kata beberapa pegawai kesihatan semalam.
Sejumlah penduduk termasuk pemuda merusuh dan mengamuk kelmarin selepas Hakim Mahkamah Jenayah Kaherah, Sobhy Abdel Maguid membaca senarai nama 21 peminat yang dihukum mati.
Mereka dihukum mati selepas didapati bersalah kerana terlibat dalam rusuhan bola sepak yang berlaku di sebuah stadium bola sepak di Port Said yang mengakibatkan 74 orang terbunuh pada 1 Februari tahun lalu.
Rusuhan itu berlaku selepas kemenangan mengejut 3-1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly apabila peminat kelab Al-Masry yang bersenjatakan pisau dan kayu meluru ke padang stadium di sini untuk mengejar pemain dan peminat pasukan lawan.
Hakim itu juga mengumumkan hukuman terhadap 52 lagi defendan termasuk sembilan orang pegawai keselamatan akan diputuskan pada 9 Mac depan
Irwansyah, isteri antara ditahan berpesta dadah
|
JAKARTA - Artis popular Indonesia, Irwansyah dan isterinya, Zaskia Sungkar serta Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah adalah empat artis yang ditahan bersama 13 yang lain ketika sedang berpesta dadah di rumah Raffi di Lebak Bulus, Jakarta Selatan pada pagi semalam.
Mereka ditangkap sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia yang menyerbu rumah Raffi pada waktu subuh setelah mendapat maklumat orang ramai.
Penahanan artis terbabit serta suspek lain itu diumum Ketua BNN, Anang Iskandar pada sidang media di sini petang semalam.
Irwansyah popular di Malaysia menerusi lagu Pecinta Wanita dan My Hearts serta sinetron Andai Ku Tahu dan Upik Abu dan Laura.
Polis siasat unsur dera
|
KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat sama ada terdapat unsur dera terhadap William Yau Zhen Zhong, 6, yang mayatnya dipercayai ditemui di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang Khamis lalu selepas dia dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya pada 16 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya akan memanggil semula ibu bapa William, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, untuk memberi keterangan selepas pihaknya ada menerima maklumat yang mendakwa mangsa pernah didera sebelum hilang.
“Bagaimanapun, ia akan dilakukan selepas kita menerima keputusan penuh bedah siasat dan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) ke atas mayat kanak-kanak yang dipercayai William itu.
“Setakat ini, pasangan itu belum dipanggil lagi untuk diambil keterangan berhubung dakwaan dera ke atas kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Buaya tembaga 300kg ditangkap
KUCHING - Seekor buaya tembaga sepanjang 5 meter yang dipercayai telah membaham anjing peliharaan seorang tukang kebun di rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng ditangkap di Kampung Selang, Jalan Telaga Air di sini semalam.
Sang bedal seberat hampir 300 kilogram yang mendapat jolokan Bujang Teruntum itu ditangkap selepas pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjalankan operasi memburu serta memasang sangkar khas sejak seminggu lalu di Sungai Teruntum di sini.
Buaya yang dinamakan sempena sungai yang menjadi habitatnya itu disedari terperangkap selepas memakan umpan ayam yang diletakkan di dalam sangkar sepanjang 5 meter dan lebar kira-kira 1 meter.
Menurut seorang tukang kebun di kediaman itu, Johari Resal, 63, dia meninjau ke tempat sangkar tersebut dipasang kira-kira pukul 7 pagi semalam dan mendapati seekor buaya berada di dalamnya.
"Sangkar itu juga mengalami sedikit kerosakan dipercayai dirempuh oleh buaya tersebut yang cuba melepaskan diri. Di bahagian kepala buaya juga terdapat kesan luka," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pemain tengah Felda United parah
|
HULU SELANGOR - Seorang pemain bola sepak pasukan Felda United, Ahmad Fauzi Saari parah manakala rakannya maut selepas kereta jenis BMW yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan di kilometer 407.5, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara di sini semalam.
Ahmad Fauzi, 30, mengalami kecederaan di badan selain tangan kanannya patah manakala rakannya, Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu.
Orang awam yang melalui tempat kejadian sempat menarik kedua-duanya keluar sebelum kereta itu terbakar dan rentung.
Ahmad Fauzi merupakan bekas pemain bola sepak Kedah dan Johor sebelum berhijrah ke Felda United untuk bermain di posisi tengah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian berlaku apabila kereta BMW dipandu Muhammad Khairul Adnan itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh penghadang jalan.
Berani lumba depan IPD
KUANTAN - Tindakan biadab sekumpulan pelesit rempit yang menunggang sambil melakukan aksi berbahaya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini memakan diri apabila sembilan daripadanya diberkas semalam.
Pelesit rempit berusia antara 15 hingga 17 tahun tersebut diberkas dalam operasi selama empat jam bermula pukul 1 pagi oleh sepasukan polis dari Unit Khas Ketua Trafik Bukit Aman.
Difahamkan, golongan itu sengaja merempit di depan IPD berkenaan seolah-olah hendak mencabar pasukan keselamatan tersebut.
Antara yang diberkas ialah sepasang remaja yang baru beberapa jam berkenalan dan seorang remaja berusia 15 tahun. Selain memandu laju, mereka juga melakukan aksi mengangkat tayar depan atau wheelie.
Pengguna jalan raya bimbang tanah runtuh
MERSING – Hujan lebat dan banjir yang melanda daerah ini sejak seminggu lalu menyebabkan jalan utama di kilometer 148, Jalan Mersing-Endau mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh.
Berikutan kejadian itu, jalan tersebut mengalami kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak ketika orang ramai keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang.
Seorang pengguna yang juga seorang pemandu lori, Affandi Saat, 54, memberitahu, disebabkan tiada usaha pembaikan berkesan dilakukan terhadap kerosakan itu, dia mengalami masalah menghantar barangan.
“Sekarang susah betul untuk menghantar bekalan sayur-sayuran kepada peniaga kerana saya tiada pilihan lain terpaksa melalui jalan ini.
“Pemandu juga terpaksa lebih berhati-hati kerana satu lorong sahaja dibuka.
“Keadaan menjadi bertambah parah pada waktu malam kerana kawasan itu gelap kerana tiada lampu jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kebimbangan yang sama turut diluahkan oleh seorang lagi pengguna, Sabrina Mohd. Ali, 28.
245 maut kelab malam terbakar di Brazil
|
BRASILIA - Kebakaran yang berlaku di sebuah kelab malam di bandar Santa Maria, selatan Brazil awal pagi semalam mengorbankan kira-kira 245 orang dan mencederakan sekitar 200 orang, kata polis dan bomba.
Seorang pegawai polis tempatan, Cleberson Braida ketika memberitahu media tempatan berkata, 245 mayat dibawa untuk proses pengecaman ke sebuah gimnasium di bandar Santa Maria.
Jumlah kematian itu menjadikan ia salah satu insiden kebakaran kelab malam paling buruk dalam tempoh lebih satu dekad.
Menurut beberapa pegawai, punca kebakaran belum diketahui.
Kebanyakan yang maut kerana terhidu asap atau menjadi mangsa rempuhan pengunjung yang berasak-asak untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, menurut laporan tempatan, kebakaran berlaku akibat percikan bunga api.
Beberapa pegawai berkata, kebakaran tersebut berlaku semasa sebuah band membuat persembahan.
Pada awalnya, para pegawai menganggarkan jumlah kematian seramai 180 orang.
Jurucakap polis awam dan pentadbiran serantau, Marcelo Arigoni pada awalnya memberitahu Radio Gaucha bahawa jumlah sebenar mangsa masih tidak jelas dan mungkin ada beratus-ratus mangsa yang cedera.
Akhbar Diario de Santa Maria melaporkan, api mula marak pada pukul 2 pagi di kelab malam Kiss di bandar selatan Brazil itu dekat sempadan Argentina dan Uruguay.
Seorang pengawal keselamatan kelab malam itu, Rodrigo Moura dilaporkan berkata, pusat hiburan tersebut mencapai kapasiti maksimum antara 1,000 dan 2,000 pengunjung dan mereka menolak dan merempuh untuk menyelamatkan diri.
Seorang pengunjung kelab malam itu, Ezekiel Corte Real, 23, dipetik sebagai berkata, dia membantu orang ramai menyelamatkan diri.
Bandar Santa Maria merupakan sebuah bandar universiti utama dengan jumlah penduduk sekitar suku juta orang. - Agensi
Psy menang anugerah di Perancis
CANNES, Perancis - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menggondol dua anugerah menerusi lagunya, Gangnam Style pada Anugerah Muzik NRJ ke-14 di sini, lapor portal hiburan Contactmusic kelmarin.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang, 35, memenangi kategori lagu antarabangsa terbaik untuk tahun 2012 dan video muzik terbaik.
Dia yang memakai pakaian berkilat sempat membuat persembahan tarian kuda di atas karpet merah.
Sementara itu, kumpulan nyanyian terkenal dari Britain, One Direction pula memenangi kategori artis kumpulan antarabangsa terbaik.
Kumpulan itu dianggotai Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan, Louis Tomlinson dan Liam Payne.
Bintang terkenal kelahiran Barbados, Rihanna, 24, juga merangkul satu anugerah bagi kategori artis wanita antarabangsa terbaik untuk tahun 2012.
Namun, bekas kekasih penyanyi R&B, Chris Brown itu tidak hadir pada majlis tersebut. - Agensi
Kenderaan SUV terjatuh dari jambatan
LAGOS, Nigeria - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh seorang lelaki terbabas dari Jambatan Third Mainland di sini terjunam ke dalam sebuah lagun pagi kelmarin.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan pemandu tersebut terselamat dan hanya mengalami kecederaan.
Mangsa dikeluarkan dari lagun itu oleh seorang nelayan yang tiba di tempat kejadian sejurus kemalangan berlaku. Dia kemudian dibawa ke sebuah hospital di Ikeja.
Menurut laporan pihak berkuasa, punca kemalangan disebabkan SUV tersebut memandu melebihi had laju. - Agensi
Pertandingan robot menari
YOKOHAMA - Satu pertandingan robot menari diadakan di sini semalam.
Sebanyaki enam kategori dipertandingkan termasuk acara persembahan bebas.
Para pemilik robot itu merebut Piala Atlet Robot pada pertandingan berkenaan. - AFP
Pertandingan boling unik
|
KEY WEST, Amerika Syarikat - Satu pertandingan mambaling buah kelapa ke arah 10 buah nanas diadakan di Restoran Blue Heaven di sini kelmarin.
Seorang peserta, Clifford Rolwing memenangi pertandingan itu.
Ia diadakan sempena Festival Buah-Buahan Key West. - AGENSI
No comments:
Post a Comment