Ayam miliki 10 jari kaki
28 Januari 2013
Pemilik ayam tersebut, Maimon Mohd Zain, 45, berkata, pada awalnya, dia tidak sedar terdapat keganjilan pada kaki ayam betina itu.
“Namun, akibat sering membelai ayam berkenaan, barulah saya perasan ia memiliki lebih dari empat jari pada kedua-dua kakinya.
“Lebihan jari kakinya berada di bahagian belakang dan jika diamati memang tidak perasan sangat. Ayam betina ini memang sangat jinak, ke mana saya pergi, memang akan ikut dan seolah-olah memahami saya tuannya,” katanya ditemui di rumahnya dekat Kampung Kabong, Inas, di sini.
Maimon berkata, anak ayam itu dibeli daripada peniaga di Senaling dengan harga RM2.70 seekor.
“Kini saya sudah ada 50 ekor ayam dan lebih 10 ekor ternakan itik. Saya memang minat kepada bidang ternakan,” katanya.
Maimon berkata, dia juga memiliki seekor itik nila yang unik kerana menetas 18 biji telur secara serentak.
“Jarang hendak jumpa, seekor itik menetas dalam jumlah telur yang banyak. Saya memang terkejut apabila lihat 18 biji telur pada masa yang sama.
“Mungkin ini rezeki saya, syukur kepada ALLAH kerana menambah pendapatan saya dan setiap kejadian ada hikmah-Nya,” katanya.
Dadah: Lelaki dijel 30 bulan, tiga sebatan
28 Januari 2013
Majistret Mohd Isa Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Juhari Mat Jusoh, 26, selepas dia mengaku memiliki dadah seberat 6.14 gram berkenaan pada jam 9.25 malam pada 15 Oktober 2012.
Mengikut pertuduhan, Juhari yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang didakwa memiliki dadah tersebut di tepi Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.
Pada 15 Oktober lalu, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan membuat rondaan dan terserempak sebuah kereta waja di bulatan Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa dalam keadaan laju.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua plastik berwarna biru di dalam poket seluar hadapan sebelah kanan yang dipakai tertuduh, setiap satu mengandungi 198 pil berwarna kemerahan dan dua pil warna kehijauan disyaki dadah.
Jumlah keseluruhan ialah 396 pil berwarna kemerahan dan empat pil berwarna kehijauan.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh. Bagaimanapun, Juhari yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman paling minimum terhadapnya.
Dipenjara enam bulan kerana curi lembu
28 Januari 2013
Malah, lebih malang, Azhari Bidin, 32, dari Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buluh, di sini, turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri haiwan ternakan berkenaan.
Azhari mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri lembu berkenaan bersama-sama tiga lagi rakannya termasuk seorang wanita, Che Wan Norsharinawati Che Wan Abdullah, 30; Saadon Atan, 49; Zamri Ismail @ Yunus, 46.
Dia mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu betina di sebuah landang lembu di belakang rumah, Jalan Pusara, di sini, antara jam 6 petang hingga 4 pagi, pada 23 dan 24 Januari lalu.
Bagaimanapun, tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga rakannya direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 21 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur di rumahnya telah dimaklumkan seorang lelaki dikenali Ijam bahawa ada orang mencuri lembu miliknya.
Sejurus itu, mangsa segera ke kandang lembu yang terletak di belakang rumahnya dan mendapati dua ekor lembu betinanya sudah hilang.
Bagaimanapun, semasa melewati kawasan jirat Cina di Jalan Pusara, di sini, mangsa ternampak beberapa anggota polis bersama kesemua tertuduh dan dua ekor lembu berwarna hitam dan putih yang disyaki dicuri dari kandang miliknya.
Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 25 Januari lalu melaporkan seorang ibu tunggal enam anak antara empat pencuri yang ditahan ketika cuba melarikan dua lembu milik penduduk kampung di jirat Cina, Jalan Pusara, di sini.
Janda berusia 30 tahun dari Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, itu ditahan bersama kekasihnya serta dua lagi rakan lelakinya ketika cuba memasukkan haiwan itu ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria.
Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan mencuri haiwan ternakan itu untuk dijual dengan harga RM500 seekor bagi anak lembu betina sementara RM7 sekilogram bagi daging lembu yang siap diproses.
'Kaki minum' kantoi
28 Januari 2013
Kecurigaan penduduk itu berasas apabila mereka mendapati kumpulan terbabit melepak dalam keadaan mabuk sedangkan tiada botol arak di temui di kawasan itu sebaliknya hanya plastik bungkusan minuman yang bertaburan.
Susulan kecurigaan mereka itu, penduduk tampil membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk memantau dan mengambil tindakan lanjut berhubung aktiviti kumpulan tersebut.
Hasil aduan penduduk, seramai 15 pegawai penguat kuasa diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Mohd Anis Mohd Azmi dengan kerjasama polis menjalankan pemeriksaan di kawasan taman permainan itu sebelum menahan 13
lelaki berusia antara 25 hingga 65 tahun untuk siasatan.
Ketua Bahagian Penguatkuasa-an Jaip, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, pihaknya mendapati 10 daripada mereka berada dalam pengaruh alkoho.
Menurutnya, agak mengejutkan apabila minuman yang ditemui mendapati ianya mengandungi minuman keras yang dipercayai dibungkus terlebih dahulu sebelum dibawa ke lokasi itu bagi mengaburi masyarakat.
“Kita tidak pasti sama ada mereka membeli minuman keras itu dan membungkus sendiri atau ada kedai yang menyediakan arak bungkus untuk pelanggan beragama Islam.
“Ini kali pertama kita berdepan dengan taktik ini namun atas kerjasama masyarakat dan polis kita berjaya mengesan dan membongkar aktiviti itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ahmad Raffli berkata, semua yang ditahan termasuk seorang warga emas itu dibawa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Lipis untuk siasatan lanjut atas kesalahan meminum arak mengikut Seksyen 136
Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).
“Semua yang terlibat berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun dan tidak kurang enam sebatan,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berlainan, tiga lelaki termasuk seorang warga emas berusia 68 tahun ditahan kerana berjudi.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan hasil serbuan ke atas premis judi nombor ekor berlesen di Pekan Benta, Lipis, petang kelmarin.
“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan jika sabit kesalahan individu terlibat boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga
satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Ahmad Raffli berkata, operasi yang melibatkan pegawai penguat kuasa seluruh daerah itu sebahagian daripada operasi berjadual Jaip dalam usaha menangani kes-kes jenayah syariah di negeri ini.
“Kita juga akan meneruskan operasi bersepadu dan operasi khas sekiranya ada keperluan dan aduan," katanya.
Beliau berkata, sepanjang Januari tahun ini, seramai 22 individu ditahan atas kesalahan minum arak hasil beberapa operasi yang dijalankan pihaknya.
Peruncit kena rompak naik angin
28 Januari 2013
Insiden mengejar itu bagaimanapun berakhir apabila peniaga berkenaan terlibat kemalangan kecil.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin, apabila kedai milik Soh Chee Seong, 40, di pekan Masjid Tanah, di sini didatangi dua perompak.
Chee Seong berkata, sebelum kejadian, dia sedang menikmati makan malam bersama isteri, Pang Moi Chu, 42, di kaunter kedai. Kemudian dua lelaki datang berpura-pura mahu membeli rokok.
“Ketika isteri saya tunduk untuk mengambil rokok, seorang daripada lelaki itu meluru laju ke arah saya dan mengacukan sebilah pisau Rambo di tengkuk saya menyebabkan isteri saya menjerit ketakutan," katanya.
Katanya, isterinya turut ditolak sehingga jatuh, sebelum mereka sempat merentap tujuh kotak rokok dan telefon bimbit yang berada di sebelah mesin kaunter, dan bergegas keluar menuju ke arah sebuah kereta.
Chee Seong berkata, menyedari dua perompak itu baru masuk dalam kereta, dia bertindak pantas mencapai kunci kereta dan mengejar kereta jenis Proton Wira dinaiki penjenayah terbabit.
“Sebaik berjaya mengenal pasti kereta penjenayah itu, saya segera mengekori rapat di belakangnya sebelum memotong di sebelah kiri dan menghimpit keretanya, terus merempuh bahagian pintu sebelah penumpang.
“Marah dengan tindakan saya, penjenayah itu mengeluarkan pisau sambil menunjuk ke arah saya, seolah-olah mengugut bunuh jika terus mengekori mereka, sebelum mereka melemparkan pisau itu ke tepi jalan,” katanya.
Menurutnya, ketika pisau berkenaan dilempar, ia terkena pada seorang penunggang motosikal, bagaimanapun dia sempat mengelak dan memberhentikan motosikalnya.
“Perompak berkenaan memandu laju dan saya terus mengejar sebelum merempuh bahagian belakang kereta menyebabkan bahagian depan kereta saya remuk. Disebabkan itu saya terpaksa biarkan sahaja kereta itu memecut laju ke arah Sungai Udang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Kontraktor warga Indonesia bebas tuduhan edar dadah
28 Januari 2013
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah ke atas pertuduhan tersebut.
Marcelino, 32, seorang warga Indonesia sebelum ini dituduh mengedar dadah sejumlah berkenaan di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas/Pejalan Kaki, Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu kira-kira jam 9 malam pada 27 Mei 2011.
Bapa kepada dua anak itu dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, berdasarkan keterangan pembelaan bersumpah tertuduh menaiki bas dari Hat Yai, Thailand ke negara ini bersama dua lagi rakannya yang bernama Arianto tidak dipanggil memberi keterangan.
Katanya, tertuduh ada menyebut dia tersalah mengambil beg kepunyaan Arianto yang mempunyai jenis, saiz dan sama warna beg miliknya dari tempat simpanan barang bas untuk pemeriksaan mesin pengimbas.
Menurutnya, pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menyiasat tentang perkara itu untuk membuktikan tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan tentang kandungan dadah dalam beg itu.
“Keterangan pembelaan dengan mendakwa beg itu kepunyaan Arianto berjaya menimbulkan keraguan munasabah tertuduh tidak mempunyai kawalan, milikan serta pengetahuan mengenai kewujudan dadah.
“Tindakan pihak pendakwaan meminta tertuduh memakai pakaian yang berada dalam beg untuk membuktikan beg itu kepunyaan tertuduh tidak boleh diterima,” katanya.
Mohd Zaki berkata, tertuduh berjaya membuktikan imbangan kebarangkalian apabila mengesahkan beg itu kepunyaan rakannya dan keterangan saksi pembelaan, iaitu pemandu bas tidak menafikan keterangan itu apabila penumpang mengambil sendiri beg mereka.
Sepanjang prosiding dijalankan, pihak pendakwaan menampilkan tujuh orang saksi manakala tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh.
Cubaan seludup masuk empat Pati gagal
28 Januari 2013
Ketua Penguatkuasa Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Rozali Md Said berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.05 pagi berhampiran Tanjung Ayam, anggotanya yang sedang menjalankan rondaan rutin mengesan sebuah bot yang mencurigakan sebelum mengejarnya.
“Bot fiber berwarna kuning dari perairan negara jiran itu cuba menyusup ke negara ini dengan kelajuan yang rendah dan apabila kita menghampiri, bot tersebut terus memecut laju.
“Anggota Maritim mengejarnya kira-kira 25 minit sebelum tekong bot terbabit mengalah. Pemeriksaan di dalam bot itu mendapati terdapat empat lelaki warga Indonesia berumur antara 18 hingga 41 tahun yang sedang berbaring.
“Kita turut menahan tekong bot berkenaan berumur 48 tahun dan siasatan mendapati kesemua mereka dari Batam, Indonesia menuju ke Sungai Rengit, Kota Tinggi untuk bekerja di negara ini,” katanya.
Rozali berkata siasatan lanjut ke atas tekong bot, dia menerima upah RM150 untuk satu perjalanan dan beberapa kali membawa keluar Pati secara haram.
Keempat-empat Pati itu dikenakan bayaran sehingga mencecah RM1,000 setiap seorang kepada seorang ejen bagi menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Daerah Maritim di Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Seksyen 52, Akta Imirgresen 1959/63 (Akta 155) memasuki negara melalui laluan tidak sah.
“Kita menasihatkan kepada warga asing yang ingin bekerja di negara ini melalui saluran yang betul bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan mengelakkan berlaku kehilangan nyawa seperti kemalangan bot di laut,” katanya.
Tuduhan Rampas Kekasih, Aidil Zafuan Tuntut Mohd Nazmi Mohon Maaf
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak menuntut bintang bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Mohd. Nazmi Faiz Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanitanya, Tengku Fiella.
Aidil, 25, yang juga pemain bola sepak pasukan negeri Johor berkata, tuduhan Mohd Nazmi, 19, yang dibuat menerusi Twitter miliknya itu telah memburukkan lagi keadaan Aidil yang masih berhadapan masalah rumah tangga dengan pelakon Rita Rudaini.
“Masalah saya dengan Rita masih belum selesai, timbul pula hal baru yang tidak benar. Saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan saya minta Mohd Nazmi memohon maaf dengan tuduhannya itu,” kata Aidil kepada mStar Online yang dihubungi di sini petang pada Isnin.
Malah Mohd Nazmi juga mendakwa kedua-dua mereka turut tinggal bersama sejak beberapa minggu lalu selepas diberitahu oleh rakannya.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin, Mohd Nazmi telah memadamkan komen berkenaan menerusi Twitter miliknya tetapi sempat disalin oleh pihak mStar Online.
Tambah Aidil, dia telah menghubungi Mohd Nazmi yang kini berada di Portugal pada petang Isnin untuk mendapatkan gambaran kenapakah dia memuat naik status tersebut.
Katanya, Mohd Nazmi memberitahu dia berbuat demikian kerana begitu marahkan bekas teman wanitanya itu selain terlalu mendengar cakap rakan-rakan mengenai hal berkenaan.
“Nazmi menjelaskan bahawa dia tidak fikir panjang apabila mendapat tahu kononnya saya mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya selain tidak memikirkan kesan daripada tindakannya memuat naik status tidak benar itu.
“Dia sudah memohon maaf daripada saya dan sebagai orang yang lebih tua daripadanya, saya memaafkan dia walaupun yang nampak buruknya akan terkena pada saya. Maklumlah (dia) darah muda.
“Cuma saya mahu dia bersihkan nama saya. Lagipun kami tidak bermusuhan pun,” ujarnya.
Aidil turut memberitahu dia tidak mengenali gadis yang dimaksudkan Mohd Nazmi manakala jumlah RM1,000 yang dikatakan itu juga tidak benar.
Sementara itu Tengku Fiella yang merupakan gadis kelahiran Kelantan berkata Mohd Nazmi merupakan seorang yang kuat cemburu dan meminta semua pihak tidak mengambil serius kenyataan itu.
“Jangan ambil serius apa yang Nazmi Faiz tulis di Twitter kerana dia sendiri belum matang dan mungkin dalam keadaan tertekan dengan kelab di portugal,” katanya seperti dilaporkan portal rotikaya.com. pada Isnin.
Malah gadis tersebut juga berkata dia tidak pernah mengenali Aidil Zafuan dan bersimpati kerana turut dikaitkan dalam isu itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Nazmi telah membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin dan meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil.
“Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada kaitan dalam hal ini,” katanya.
mStar
Bertudung bukan kerana putus cinta
DUNGUN: “Ramai beranggapan saya bertudung kerana kecewa putus cinta malah tidak kurang menganggap ingin mendapat perhatian peminat tetapi sebenarnya penghijrahan ini tidak kena mengena dengan gosip berkenaan sebaliknya datang dari niat yang ikhlas dan hidayah,” kata pelakon dan pengacara terkenal, Irma Hasmie Ibrahim.Ketika ditemui pada Majlis Perasmian Butik dan Duta D’Haja di Bangunan Arked Mara, di sini, semalam, Irma Hasmie berkata, dia sudah lali dengan pertanyaan banyak pihak serta tohmahan dilemparkan kepadanya dan menyifatkan setiap penghijrahan pasti mempunyai ujian atau dugaannya tersendiri.
“Saya tidak kisah dengan tohmahan segelintir pihak, paling penting perubahan ini dibuat dengan kerelaan sendiri dan berharap ia diterima Allah seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Saya lebih suka berdiam diri daripada bercerita mengenai orang lain serta memberi sepenuh perhatian kepada kerja dan tanggungjawab,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya, rezeki pelakon itu semakin sempit sejak bertudung, Irma Hasmie berkata, dia tidak setuju dengan kenyataan itu kerana perubahan imejnya langsung tidak menjejaskan tawaran berlakon atau bidang pengacaraan sebaliknya semakin dihujani dengan pelbagai tawaran.
“Bukan saya seorang saja yang berhijrah daripada tidak bertudung kepada bertudung sebaliknya ramai artis berbuat demikian dan terbaru Raja Farah juga turut memilih untuk bertudung.
“Ia secara terang-terangan membuktikan bertudung tidak menyebabkan seorang artis kehilangan ‘job’ atau peluang dalam lakonan tetapi mereka akan menjayakan watak yang bersesuaian dengan imej muslimah pada masa akan datang.
“Perubahan ini juga sebenarnya tanggungjawab seorang artis kerana mereka sering dijadikan ikon atau idola remaja, justeru penghijrahan seseorang artis itu bukan saja untuk kebaikan dirinya malah sebagai dakwah kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, selain dilantik sebagai duta tudung D’Haja, beliau kini terbabit sebagai pengacara rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah setiap Sabtu dan Ahad selain menjalani penggambaran telefilem Psikik arahan Wan Hasliza dan drama bersiri lakonannya Kasih Alia akan menemui penonton di slot Akasia TV3 sepanjang Ramadan ini.
Harian Metro
Azza Elite Dapat Hidayah Bertudung Ketika Berlakon Drama
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan watak yang dilakonkannya sebagai wanita muslimah bertudung menerusi drama Mujahid pada tahun lalu telah membuka hatinya untuk terus menutup aurat.Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini.
“Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita berhijrah terus.
“Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup ini,” katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Azza yang mula bertudung pada 6 Januari lalu, dia juga bersyukur apabila keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap perubahan penampilan barunya itu.
Kata Azza, suaminya juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, namun lelaki itu tidak memaksanya untuk melakukan perubahan secara drastik.
“Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang pada pertengahan Disember lalu.
“Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga,” tuturnya yang turut diberikan hadiah pelbagai jenis tudung daripada rakan-rakannya termasuk daripada pelakon Sheila Rusly.
Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa.
Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya.
“Ini (berlakon) adalah sumber pendapatan saya. Selama ini, lakonan saya tidak pernah melebihi batas-batas atau mengundang rasa tidak senang kepada orang ramai.
“Saya akan terus berlakon dan menyanyi seperti biasa. Cuma yang bezanya hanyalah penampilan diri sahaja.
“Apa-apa pun diharap, setiap tutur kata dan perlakuan saya lebih bersifat sederhana, Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna.
mStar
No comments:
Post a Comment