Polis Colombia rampas 3.8 tan kokain
|
BOGOTA - Polis Colombia merampas 3.8 tan dadah jenis kokain di dalam beberapa buah kontena yang menuju ke Mexico kelmarin.
Pengarah Polis Nasional, Jose Roberto Leon menganggarkan rampasan tersebut bernilai AS$95 juta (RM288.2 juta) di pasaran gelap di Amerika Syarikat yang menjadi pasaran utama kokain dari Colombia.
Semua kontena itu yang dilabel mengandungi gliserin untuk kegunaan farmaseutikal akan dihantar dengan kapal dari pelabuhan Cartagena de Indias di Colombia menuju ke bandar Veracruz di Mexico.
Polis menyiasat kontena-kontena itu selepas mendapati butiran pada dokumen eksportnya menimbulkan keraguan.
Menurut pihak berkuasa, semua dadah itu dihantar oleh sindiket dadah tempatan, Los Urabenos yang mempunyai hubungan dengan kartel dadah Mexico, Los Zetas.
Pada bulan lalu pihak berkuasa Colombia telah merampas kokain seberat 2.3 tan dalam dua serbuan juga di pelabuhan Cartagena. - dpa
Lagi insiden tembakan di institusi pengajian AS
HOUSTON - Seorang pemuda berusia 22 tahun didakwa berhubung insiden tembakan di sebuah kolej komuniti di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan tiga orang cedera dengan seorang parah, kata pihak berkuasa.
Kejadian tembakan di kolej komuniti Lone Star yang menempatkan 10,000 pelajar dekat sini merupakan kes terbaharu melibatkan institusi pengajian AS.
Pada Disember tahun lalu, seorang lelaki bersenjata menembak mati 20 kanak-kanak dan enam penduduk dewasa di Connecticut.
Jurucakap pejabat Syerif Daerah Harris, Alan Bernstein berkata, pemuda tersebut, Carlton Berry didakwa kerana melakukan serangan dalam insiden tembakan di kolej itu kelmarin dengan dia kini dirawat di hospital.
Pihak berkuasa memberitahu, tragedi itu bermula dengan pertengkaran melibatkan Bernstein dan seorang lagi individu sebelum bertukar menjadi kejadian tembakan.
Kedua-dua orang yang terlibat dalam pertengkaran itu kini dirawat di hospital termasuk seorang wanita yang memiliki kad pengenalan pelajar.
Seorang pekerja penyelenggaraan yang kebetulan berada di tempat kejadian turut ditembak di kaki.
Jelas Bernstein, tiada mangsa lain yang terlibat dalam insiden tersebut setakat ini.
Menurut pihak berkuasa, sepucuk pistol digunakan dalam kejadian tersebut tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Seorang petugas ambulans berkata, tiga orang telah dibawa ke beberapa hospital tempatan dengan seorang daripada mereka parah.
Menurut pihak berkuasa, terdapat tiga kejadian tembakan di sekolah dan kolej di seluruh AS sejak dua minggu lalu dengan lebih dua orang maut dan sebilangan lagi cedera. - Reuters
Satelit 'mati' akan dikitar semula
WASHINGTON - Agensi Projek Penyelidikan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) membelanjakan hampir AS$180,000.00 (RM540,00.00) untuk menguji teknologi bagi mengitar semula komponen satelit di orbit Bumi.
Menurut DARPA, apabila jangka hayat sesebuah satelit tamat, beberapa bahagian tertentu seperti antena dan panel solar masih lagi berfungsi seperti biasa.
Namun, sehingga kini, tiada usaha untuk menyelamatkan atau menggunakan kembali komponen-komponen tersebut
Menurut pengurus programnya, David Barnhart, penggunaan semula komponen-komponen itu mampu menjimatkan kos pembuatan satelit dalam jangka masa panjang.
"Kami sedang mencuba untuk menambah pelaburan bagi menguji teknologi itu di samping mencari pendekatan baharu yang mampu menjimatkan kos," katanya.
Teknologi tersebut katanya, melibatkan sebuah robot mekanik dan sebuah satelit mini dihantar ke orbit untuk mengesan komponen-komponen satelit yang masih boleh digunakan.
Robot mekanik itu akan menggabungkan komponen kitar semula itu dengan satelit mini bagi membina satu sistem komunikasi baharu. - Agensi
Kereta hibrid bergerak guna udara
PARIS - Gergasi pengeluar kereta Perancis, PSA Peugeot Citroen menyatakan rancangan untuk menjual kereta hibrid berkuasa udara mampat menjelang 2016.
Menurutnya, kereta hibrid itu mampu menjimatkan petrol sebanyak 45 peratus manakala penjimatan 85 peratus dapat dicapai bagi pemanduan dalam bandar.
Penjimatan tersebut, kata PSA Peugeot Citroen, dapat dicapai ekoran kereta itu bergerak menggunakan tenaga udara mampat untuk hampir keseluruhan pemanduan bandar melibatkan kelajuan kurang 70 kilometer sejam.
Kebanyakan kereta hibrid masa kini dijana oleh petrol dan tenaga elektrik.
Teknologi terbaharu itu juga tidak memerlukan kereta tersebut dicaj semula seperti kereta elektrik kerana udara mampat itu disedut dari persekitaran.
Kereta hibrid terbaharu itu juga lebih murah untuk diselenggara kerana tidak memerlukan pertukaran sel elektrik seperti kereta hibrid masa kini. - Agensi
Tiga beranak maut depan rumah
|
MUAR – Isteri dan dua anak kepada seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di Batu 14, Jalan Muar-Ayer Hitam berhampiran Bukit Naning dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, mangsa Ngaisah Redzuan, 46, yang merupakan seorang guru dan dua anaknya, Mohd. Nurullah Al-Azim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10, meninggal dunia di tempat kejadian.
Tubuh tiga beranak itu berkecai apabila kereta Proton Persona yang dipandu Ngaisah dihempap tiang dan bahan binaan konkrit setelah sebuah lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan tersebut hilang kawalan lalu terbalik.
Lori berkenaan yang datang dari arah Ayer Hitam menghala ke Muar pada mulanya cuba memintas kereta mangsa yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan rumahnya.
Malangnya, lori terbabit tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan konkrit berkenaan bertaburan dan menghempap kereta mangsa.
Lebih memilukan kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah mangsa ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning yang merupakan tempat Ngaisah mengajar. Dua anaknya juga bersekolah di situ.
Buaya Bujang Suai akhirnya tumpas
MIRI – Seekor buaya ganas yang menjadi buruan selepas membaham seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Iran Suai sebulan lalu akhirnya berjaya ditangkap dan dibunuh dekat sini semalam.
Sang bedal yang mendapat jolokan Bujang Suai itu tumpas di tangan dua pawang buaya tempatan, Nyegang Nawing, 53, dan Agong Reyang, 70, yang menggunakan pancing berumpankan daging babi.
Buaya jantan seberat hampir 300 kilogram dan sepanjang empat meter itu disahkan sebagai Bujang Suai berdasarkan kesan tembakan di bahagian bawah rahangnya yang dilepaskan bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, dalam usaha mendapatkan Jerry Apat Angsa, 11, yang digonggong reptilia tersebut selama beberapa jam pada 22 Disember lalu.
Menurut Angsa, buaya itu ditangkap hidup-hidup oleh kedua-dua pawang berkenaan pada pukul 8 pagi semalam selepas memakan umpan yang dipasang di Sungai Suai, kira-kira dua kilometer dari Rumah Panjang Sulang Suai.
Bicara tuntutan nafkah Rita 21 Mac
|
|
PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini Mokhtar yang kini digantung tidak bertali oleh suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak berpeluang memberi keterangan dalam kes tuntutan nafkah pada 21 Mac depan di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bistari di sini.
Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah menetapkan perbicaraan untuk kes tuntutan berkenaan semalam selepas peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili defendan, Aidil, 26, memaklumkan telah memfailkan afidavit pembelaan pagi kelmarin.
Peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita selaku plaintif turut mengesahkan telah menerima penyataan pembelaan tersebut. Kedua-dua pihak kemudian bersetuju supaya tarikh perbicaraan ditetapkan.
Rita memfailkan tuntutan nafkah bagi dirinya dan dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, pada 8 November 2012 selepas Aidil didakwa meninggalkan rumah kelamin mereka sejak Februari tahun lalu.
Terdahulu, Abd. Halim berkata, proses sulh antara plaintif dan defendan gagal disebabkan pemain bola tersebut yang kini bernaung di bawah pasukan Johor Darul Takzim (JDT) tidak pernah hadir ke mahkamah.
Jurutera bersyukur dapat pulang
GEORGE TOWN – Jurutera rakyat Malaysia, K. Ravi, 48, yang menjadi salah seorang tebusan kumpulan militan di loji gas In Amenas, Algeria pada 17 Januari lalu bersyukur dan melahirkan rasa gembira kerana dapat pulang ke tanah air.
Dia bersama 191 pekerja lain yang menjadi mangsa tebusan kira-kira 72 jam itu berjaya diselamatkan setelah pasukan komando Algeria melancarkan serangan besar-besaran menggunakan helikopter penggempur dua hari kemudian.
Ravi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 5.45 petang semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kepulangannya disambut isteri, Doreen Michael Tajie, 45, dan dua anaknya, R. Vijayabalan, 19, dan R. Sharmilah, 18, serta ahli keluarga yang lain.
Sebaik tiba, Ravi terus dipeluk isteri dan dua anaknya selama beberapa minit.
Suami bakar motosikal isteri dijel
|
|
KOTA BHARU – Seorang penganggur menerima balasan atas perbuatannya membakar motosikal milik isterinya pada Sabtu lalu apabila Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap tertuduh.
Mohd. Zulkarnain Mohamad Sapi (gambar), 33, didakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang memfailkan perceraian di mahkamah.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Zulkarnain selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat itu.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Zulkarnain didakwa membakar motosikal Ritz RU110 milik isterinya, Che Norlizawati Che Mohd. Noor, 30, di sebuah rumah sewa di belakang Sekolah Kebangsaan Sri Bemban, Berek 12, di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 19 Januari lalu.
Budak dilari penyamun Storm
KUALA TERENGGANU – Tindakan sepasang suami isteri meninggalkan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun dalam Mitsubishi Storm dengan enjin hidup di sebuah stesen minyak di Kijal, Kemaman mengundang padah apabila budak itu dan kenderaan tersebut dilarikan penyamun.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam ketika mangsa yang sedang tidur di tempat duduk belakang kenderaan tersebut ditinggalkan oleh ibu bapanya yang masuk ke tandas.
Melihat kenderaan itu tidak dikunci dan enjin hidup memudahkan kerja seorang penjenayah yang terus masuk ke dalam kenderaan tersebut dan memandunya ke arah Dungun.
Kejadian tersebut disedari ibu bapa mangsa yang berusia 37 dan 42 tahun apabila mereka melihat kenderaan itu bergerak. Pasangan suami isteri itu terus menghubungi polis.
Sebelum kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kijal menuju ke Chukai, Kemaman untuk urusan perniagaan sebelum singgah di stesen minyak berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, selepas menerima maklumat tersebut, polis terus membuat operasi dan berjaya mengesan kenderaan tersebut di Kerteh.
18 kaki judi belangkas dicekup
ALOR GAJAH – Keseronokan 18 lelaki bermain judi belangkas terbantut apabila polis menyerbu tempat perjudian itu yang terletak berhampiran sebuah kuil di hutan Kuala Ina, Tampin di sini malam kelmarin.
Ketika serbuan pada pukul 7.30 malam itu, kesemua lelaki yang berusia 20 hingga 55 tahun berkenaan sedang sibuk membaling buah dadu dengan wang pertaruhan berjumlah RM41,077.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, serbuan dilakukan selepas intipan dibuat sejak seminggu lalu.
“Kegiatan berkenaan bermula pada pukul 5.30 petang hingga 9.30 malam dan kebanyakan kaki judi merupakan penduduk tempatan.
“Polis percaya kegiatan itu telah dilakukan sejak tiga minggu lalu,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Tin Heng memberitahu, berdasarkan penemuan wang pertaruhan berjumlah RM41,007 itu, pihaknya percaya setiap kaki judi melakukan pertaruhan lebih RM500 setiap seorang.
Gadis lari ikut keluarga tunang
|
|
TAIPING – Seorang ibu tunggal merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang didakwa dilarikan oleh keluarga tunangnya sejak 11 Januari lalu.
Wanita tersebut, Nor Ismara Mohamad, 52, mendakwa sehingga kini dia tidak menerima sebarang berita daripada anaknya, Isdayanti Islahuddin, 26.
Ujarnya, Isdayanti yang menjalankan perniagaan ayam goreng di Kamunting menghilangkan diri selepas dia tidak bersetuju dengan tarikh pernikahan yang diputuskan oleh anaknya itu bersama tunang yang dikenali sebagai ‘Pink’.
Jelasnya, mereka saling mengenali dalam masa singkat sebelum anak gadisnya dipinang oleh lelaki tersebut pada November tahun lalu dan majlis pernikahan dijadual pada September depan.
“Bagaimanapun, tanpa pengetahuan keluarga kami, mereka merancang untuk bernikah pada 23 Mac depan.
“Berlaku pertengkaran antara saya dengan bakal menantu dan ibunya. Saya kemudian membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
No comments:
Post a Comment