Friday, February 1, 2013

MAIN WAYANGLAH...TAK TUNAI JANJILAH...BURUK2 SEMUA...DIA BAGUS SANGATLAH...TAPI ORANG DALAM GAMBAR TAK BERAPA KERAT...NAMPAK SANGAT TAK DE SAMBUTAN...NI ZAMAN TAK BOLEH TIPU DAN GORENG ORANG

Dua dijel bunuh kekasih adik


RAZIF (kiri) dan Rafik dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.



ALOR SETAR - Dua beradik lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 16 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kenalan mereka gara-gara pergaduhan melalui laman sosial Facebook pada dua tahun lalu.
Mohamad Razif Arshad, 27, dan adiknya, Mohamad Rafik, 22, mengaku bersalah atas tuduhan itu selepas pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun
Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai 2011.
Razif dan Rafik mengaku bersalah menyebabkan kematian Mohd. Amran Ramli, 20, di persimpangan Jalan Lobak 15, Taman Lobak Indah, Lunas di Kulim dekat sini pada pukul 8.30 malam 29 Julai 2011.

Nenek jual tiga bayi dipenjara


KIAN WAN di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang nenek dihukum penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, setahun selepas dua kali dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan menjual tiga bayi empat tahun lalu.
Lim Kian Wan, 60, kelihatan muram sebaik Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman selepas berpuas hati dengan hujah kedua-dua belah pihak.
Kes tersebut dibicarakan semula secara penuh selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kajang pada 13 April 2012.
Abdul Alim dalam penghakiman berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dengan keterangan tertuduh hanya penafian semata-mata.
Beliau juga menyifatkan tindakan tertuduh dalam kes ini kerana mementingkan kemewahan tanpa memikirkan nasib bayi-bayi tersebut.
“Kamu juga mempunyai jaringan kerjasama yang sangat elok yang boleh menjadi penyebab kamu melakukan jenayah yang dibenci ini,” kata beliau.
Sehubungan itu, Abdul Alim memutuskan tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan RM10,000 untuk tiga pertuduhan.
Jika gagal membayar denda, wanita itu perlu menjalani hukuman penjara setahun lagi bagi setiap pertuduhan.

Pasangan dera anak saudara hingga cacat dijel


NASIR dan Zarinah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan mendera anak saudaranya.


PETALING JAYA - Tindakan tidak berhati perut sepasang suami isteri yang mendera anak saudara mereka sehingga koma dan cacat dibalas dengan mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret K. B. Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu lori, Mohd. Nasir Abd. Majid, 37, dan isterinya, Zarinah Ab. Hadhy, 31, seorang suri rumah setelah pasangan itu mengaku salah melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Damansara Damai antara 14 Oktober hingga 27 Oktober pada 2012.
Hukuman penjara itu diarah bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Disember 2012.
Nasir dan Zarinah yang diamanahkan sebagai penjaga kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan ketika itu didakwa atas pertuduhan melakukan penderaan fizikal sehingga menyebabkan kecederaan.
Suami isteri yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Elena dalam penghakimannya menjelaskan, perbuatan kedua-dua tertuduh tersebut amat kejam lebih-lebih lagi tertuduh wanita merupakan kakak kepada ibu kanak-kanak mangsa dera itu.

Tiga lagi bangkai gajah ditemui


BEBERAPA orang kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengukur bangkai gajah yang ditemui di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau baru-baru ini.


TAWAU – Kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah menemui tiga lagi bangkai gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara dekat sini semalam, menjadikan kesemuanya 13 ekor haiwan itu ditemui mati di kawasan yang sama sejak dua minggu lalu.
Siasatan awal jabatan itu mendapati gajah-gajah tersebut juga dari keluarga yang sama dengan bangkai 10 gajah lain dengan punca kematian akibat termakan racun.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika mengesahkan penemuan itu menjelaskan, bangkai tiga ekor gajah itu ditemui pukul 10 pagi semalam, kira-kira satu kilometer dari lokasi bangkai lain yang ditemui sebelum ini.
“Tiga bangkai gajah yang ditemui itu membabitkan seekor jantan dan dua betina. Kesemuanya dipercayai mati sejak seminggu lalu dengan keadaan bangkai telah reput,” katanya di sini semalam.
Difahamkan, kesemua 13 ekor gajah yang ditemui mati itu termasuk seekor anak gajah yang masih hidup merupakan sebahagian daripada kumpulan 20 gajah yang kerap dilihat di kawasan hutan simpan tersebut.
Laurentius tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah tersebut telah memakan tumbuhan yang mengandungi racun ataupun telah diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Punca kematian belum dapat dipastikan, tetapi banyak kemungkinan boleh dibuat termasuklah akibat penggunaan racun tikus.

"Jangan laju bro, kampung tak lari ke mana"


ISMAIL (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) Usop Wilcha, Zul, Noorizah, Chia dan Nash (kanan) di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) akan mengedar poster dan pelekat kereta dengan tema "Jangan Laju Bro. Kampung Tak Lari Ke Mana" dalam kempen mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang Tahun Baru Cina ini.
Poster serta pelekat kereta yang mempunyai tema itu akan diedar kepada pengguna di pondok tol semua lebuh raya di seluruh negara sepanjang kempen itu yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Yang Dipertua PSKLM, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata, tema yang menggunakan bahasa mudah dan ringkas itu dipilih kerana ia lebih dekat di hati dan senang diingat oleh pemandu di negara ini.
"Ia lebih 'catchy' (menarik) tapi dalam masa sama berkemampuan menyampaikan mesej yang besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Awan Besar di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Md. Salleh.
Kempen itu turut melibatkan selebriti seperti Amber Chia, Nash Lefthanded, Usop Wilcha dan pelakon Zul Ariffin bagi menyampaikan nasihat dan panduan pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya

'Kurma' heroin dari Pakistan


SEBAHAGIAN ketulan 'kurma' heroin yang dirampas daripada 11 individu dipamerkan pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Sebiji buah kurma mampu mengembalikan tenaga buat orang berpuasa, namun lain pula halnya bagi sebiji 'kurma' yang cuba diseludup oleh satu sindiket dadah antarabangsa yang mana ia boleh membawa maut jika dimakan.
Sebiji buah 'kurma' yang dijual oleh sindiket tersebut mengandungi kira-kira tiga gram heroin tulen yang boleh menghasilkan lima biji lagi jika diproses sebelum ia dijual di pasaran gelap.
Taktik terbaharu sindiket didalangi lapan lelaki Nigeria dan seorang lelaki Mongolia itu terbongkar apabila polis menemui kira-kira 26,703 ketulan heroin tulen yang dibungkus seakan-akan menyerupai buah kurma dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor Sabtu lalu.
Dadah seberat 80 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM3.2 juta dan ia dikatakan boleh meningkat menjadi 133,515 ketulan bernilai lebih RM100 juta selepas diproses. Jumlah itu boleh menampung untuk kegunaan lebih 100,000 penagih.
Difahamkan, kesemua dadah tersebut dibawa menggunakan kontena dari Pakistan melalui laut ke Pelabuhan Klang, Selangor. Ia melepasi pemeriksaan kastam selepas diisytiharkan sebagai kurma oleh sindiket.
Polis mengambil masa selama sebulan untuk membuat risikan sebelum dapat menahan kesemua suspek dan dua gadis Mongolia yang dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket.

Kerajaan Kelantan main wayang


SEBAHAGIAN daripada peneroka membawa sepanduk membantah campur tangan kerajaan negeri berhubung isu hak milik tanah di Kesedar Lebir, Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – Lebih 100 peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) mendakwa kerajaan negeri cuba bermain wayang dengan tampil menyelesaikan kemelut hak milik tanah.
Ketua peneroka Kesedar Lebir, Abdul Aziz Abdul Rahman, 65, mendakwa, RKT tersebut telah ditadbir oleh pihak Kesedar dengan cukup sempurna sejak ia dibuka pada tahun 1981 dan para peneroka amat menghargai kesungguhan dan bantuan pihak Kesedar dalam menyediakan segala kemudahan yang diperlukan.
“Bagaimanapun, keharmonian kami terancam apabila kerajaan negeri tiba-tiba tampil dan berlagak seperti hero untuk menyelesaikan masalah hak milik tanah kami di sini.
“Apa yang saya tahu, pihak Kesedar sudah membayar premium tanah seluas lebih 4,000 hektar ini dan sudah tentu segala masalah ini diselesaikan oleh Kesedar sendiri tanpa sebarang campur tangan pihak lain,” dakwanya.
Dakwanya, keadaan menjadi semakin huru-hara apabila 82 peneroka Kesedar Lebir secara tiba-tiba diberi geran hak milik oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada satu majlis di sini semalam.
Terdahulu, Abdul Aziz mengadakan demonstrasi aman bersama lebih 100 peneroka di jalan utama menghala ke Kesedar Lebir yang menjadi laluan utama rombongan Nik Aziz ke majlis berkenaan.
Situasi tersebut hampir mencetuskan kekecohan apabila dua kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penyokong kerajaan negeri cuba menghalang peserta demonstrasi.
Abdul Aziz mendakwa, pemberian tersebut dilihat sebagai cubaan memecah-belahkan hubungan antara peneroka dan Kesedar serta cuba mendahului peranan Kesedar.
“Di mana kerajaan negeri ketika kami susah dahulu, ketika belum ada jalan raya yang menghubungkan kami dengan dunia luar. Tiba-tiba selepas semuanya disediakan pihak Kesedar, mereka hadir memberi geran.
“Kononnya mereka membela rakyat tetapi hakikatnya seketul batu daripada kerajaan negeri tidak pernah sampai ke sini untuk membina kemudahan asas seperti jalan raya dan rumah,” dakwanya lagi.

MB didesak selesaikan masalah


PENDUDUK mengadakan demonstrasi mendesak Abdul Khalid menyelesaikan masalah rekahan dan mendapan tanah di Pangsapuri Indahria di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kira-kira 1,000 penghuni Pangsapuri Indahria di Batu Tiga di sini yang semakin terdesak ekoran rekahan dan mendapan tanah di kawasan letak kereta kediaman itu meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelesaikan masalah tersebut.
Semalam, penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Pengerusi JMB pangsapuri itu, Ariffuniza Koraini berkata, rekahan tanah di tempat letak kereta itu pernah berlaku pada tahun 2009 serta 2010 dan ia telah dibaik pulih oleh pihak pemaju.
Bagaimanapun, katanya, kejadian sama berulang setahun kemudian malah lebih teruk apabila berlaku pula masalah mendapan tanah di kawasan pejalan kaki.
“Masalah itu telah disuarakan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pemaju sejak Mei tahun lepas dan beberapa siri perbincangan dijalankan namun tiada tindakan berkesan yang diambil,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pangsapuri Indahria setinggi 15 tingkat itu mempunyai 240 unit rumah berharga kira-kira RM170,000 seunit yang memiliki tiga bilik tidur.

51 bayi termasuk dua kembar bawa pulang kambing RM1


OSMAN (tiga dari kiri) menyerahkan seekor kambing kepada Shahrul Nizam Jaaffar (dua dari kanan) bersama isteri, Sharifah Fatimah (kanan) sambil diperhatikan Noraimi (dua dari kiri) serta isteri, Norawati Ramzah (kiri) di Johor Bahru semalam. Turut kelihatan Halim (tiga dari kanan).


JOHOR BAHRU – Dua pasangan kembar antara 51 bayi yang lahir pada sambutan Maulidur Rasul pada 24 Januari lalu bertuah apabila dapat membawa pulang seekor kambing yang dijual pada harga RM1 sahaja.
Harga seekor kambing semurah itu ditawarkan oleh pengusaha ternakan kambing terkenal di negeri ini, Osman Goat Farm.
Ibu kepada salah seorang pasangan kembar itu, Sharifah Fatimah Syed Ali, 35, melahirkan rasa syukur kerana hasratnya untuk membuat akikah terlaksana dan ia menjadi lebih bermakna apabila dapat membeli seekor kambing dengan harga paling murah.
“Bayi kembar saya iaitu Marya Madhiha dan Mayra Mahdiyah sepatutnya dilahirkan lebih lewat daripada tarikh itu tapi Alhamdulillah lahir pada hari sambutan Maulidur Rasul, itu dinamakan rezeki anak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kambing di Osman Goat Farm, Kangkar, Tebrau di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Puteri Wangsa, Datuk Halim Suleiman.

Lagi kematian perusuh di Mesir

KETIBAAN Morsi (kiri) disambut Canselor Jerman, Angela Merkel di Berlin semalam.


KAHERAH - Seramai dua orang dilaporkan mati dalam pertempuran yang berlaku melibatkan para penunjuk perasaan dan anggota polis berhampiran Dataran Tahrir semalam, kata polis.
Kematian itu menjadikan jumlah kematian akibat keganasan di Mesir menyebabkan lebih 60 orang mati.
Keganasan tersebut berlaku sejak Khamis lalu selepas sejumlah penduduk berhimpun di Kaherah bagi meraikan ulang tahun kedua kebangkitan rakyat.
Kebangkitan rakyat itu menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden pada 11 Februari 2011.
Identiti kedua-dua mangsa itu masih belum dikenal pasti.
Seorang mangsa dipercayai meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Keganasan itu juga merebak menjadi tentangan terhadap pemerintahan Presiden Mohamed Morsi yang dipilih menerusi pilihan raya pada pertengahan tahun lalu.
Berikutan kegawatan politik yang dicetuskan para penentang Morsi termasuk parti politik pembangkang berhubung dasar-dasar pemerintah, seorang pemimpin pembangkang, Mohamed ElBaradei menggesa dialog kebangsaan diadakan.
Beliau yang merupakan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berkata, semua kumpulan dan parti politik perlu menghentikan kekacauan yang berlaku di Mesir.
Sementara itu, Morsi menegaskan di negaranya akan diperintah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan bukannya undang-undang tentera.
Menurutnya, Mesir sedang menuju ke arah pentadbiran yang baik dan mengikut undang-undang dalam negara yang moden.
Beliau berkata, pilihan raya Parlimen akan diadakan dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.
Morsi berada di Jerman dalam lawatannya ke nagara itu.
Menurutnya, perintah berkurung yang dikenakan di tiga buah bandar di Mesir merupakan satu langkah yang sementara.
Morsi berkata, ia akan ditarik balik selepas situasi stabil kembali semula di Mesir. - Agensi

Tentera AS cipta pesawat canggih


PESAWAT Aeroscraft diletakkan di dalam hangar di sebuah bekas pangkalan tentera di Tustin, California pada 24 Januari lalu.


TUSTIN, California - Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mencipta sebuah prototaip pesawat Aeroscraft berteknologi tinggi yang boleh digunakan untuk membawa banyak muatan.
Jabatan Pertahanan AS dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah melaburkan dana sebanyak AS$35 juta (RM108 juta) dalam projek tersebut.
Pesawat tersebut dilihat berpotensi untuk membawa lebih banyak kargo berbanding pesawat udara lain ke kawasan zon bencana selain anggota tentera ke medan perang.
Badan pesawat itu dibina dengan menggunakan rangka aluminium dan gentian fiber yang kuat.
Prototaip pesawat itu dibina oleh firma penerbangan AS, Worldwide Aeros.
Pesawat itu digambarkan mirip pesawat penyelamat Thunderbirds 2.
Ia kini menjalani ujian di hangar pada era Perang Dunia Kedua di sebuah bekas pangkalan tentera di sini.
Pesawat berkenaan akan menjalani lebih banyak ujian sebelum ia boleh digunakan.
Ujian penerbangan pertama telah diadakan pada 3 Januari lalu.
Bagaimanapun, menurut jurutera kawalan penerbangan, Munir Jojo-Verge, cabaran terbesar juruterbang pesawat itu adalah untuk memastikan ia mampu menempuh angin kuat dan cuaca yang ekstrem lain.
- Agensi

Kafe Barbie dibuka di Taipei


SEORANG pelayan menunjukkan menu makanan.


TAIPEI, Taiwan - Sebuah kafe yang menampilkan tema patung permainan Barbie dibuka di sini semalam.
Syarikat pembuat patung Mattel dari Amerika Syarikat memberi lesen kepada kumpulan Sinlaku untuk membuka restoran itu.
Restoran tersebut menyediakan kerusi dan meja yang berwarna merah jambu.
Para pelayan wanita turut memakai pakaian seragam yang sama.
Kek-kek patung itu turut disediakan untuk para pengunjung.
Patung-patung Barbie juga dipamerkan di restoran tersebut. - AFP

Ribuan saksikan aksi pelagak ngeri


SEJUMLAH orang menyaksikan aksi Wallenda.


SARASOTA, Florida - Seorang pelagak ngeri Amerika Syarikat, Nick Wallenda berjalan di atas kabel setinggi 60.96 meter di sini kelmarin.
Pihak Suruhanjaya Bandar Sarasota membenarkan Wallenda membuat aksi itu tanpa jaring keselamatan diletakkan di bawah kabel tersebut.
Dia yang berusia 34 tahun itu berjalan di atas kabel sejauh 152.4 meter. Ribuan orang menyaksikan aksi Wallenda itu.
Wallenda berjalan di atas kabel itu selama 15 minit dari Taman Bayfront ke bangunan Menara Marina. - Agensi

Shah Rukh perjelas komen kontroversinya


SHAH RUKH KHAN


MUMBAI - Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan bertegas dia 'selamat dan gembira' di India dalam usahanya untuk menamatkan kontroversi berhubung artikel tentang pengalamannya sebagai orang Islam di negara ini.
India mempunyai majoriti penduduk beragama Hindu.
Artikel yang disiarkan dalam majalah Outlook Turning itu dihasilkan oleh pelakon tersebut.
Dalam artikel itu, Shah Rukh mendakwa pemimpin-pemimpin politik menjadikannya sebagai simbol tentang semua perkara buruk dan yang tidak patriotik mengenai orang Islam di India.
Artikel berkenaan mendorong pengasas kumpulan Lashkar-e-Taiba, Hafiz Saeed mempelawa Shah Rukh tinggal di Pakistan jika dia berasa tidak selamat hidup di India.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik turut campur tangan dengan menggesa India agar melindungi keselamatan Shah Rukh sekali gus mencetuskan bantahan daripada Setiausaha Dalam Negeri India, R. K. Singh.
"Kita berupaya menjaga keselamatan rakyat kita, lebih baik beliau (Rehman) mengambil berat tentang keselamatan warganya (Pakistan)," kata Singh.
Bagi meredakan keadaan, Shah Rukh dalam kenyataan balasnya kepada media kelmarin menegaskan bahawa komennya dalam majalah berkenaan telah disalah tafsir.
"Tiada satu bahagian pun dalam artikel itu yang menyatakan atau membayangkan saya berasa tidak selamat, terganggu atau bermasalah tinggal di India," jelasnya.
"Saya mahu memberitahu kepada mereka yang memberikan nasihat tanpa diminta bahawa kami di India berasa amat selamat dan gembira. Kami memiliki kehidupan demokratik, bebas dan sekular," tambah aktor tersebut.
Shah Rukh yang melonjak popular menerusi filem pecah panggung, Dilwale Dulhania Le Jayenge sebelum ini pernah menjadi sasaran kecaman parti politik Shiv Sena.
Parti politik Hindu berhaluan kanan itu kerap memainkan sentimen anti-Islam dan anti-Pakistan. - Agensi

No comments:

Post a Comment