Tempoh maksimum lepasi pemeriksaan imigresen di KLIA tidak lebih 10 minit
|
PUTRAJAYA - Para pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak perlu lagi menunggu lama untuk melepasi pemeriksaan di kaunter imigresen apabila piagam 10 Minutes Clearance diperkenalkan di lapangan terbang itu mulai hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui piagam itu, Jabatan Imigresen menetapkan tempoh menunggu maksimum bagi melepasi pemeriksaan imigresen di pintu masuk KLIA adalah 10 minit.
Menurut beliau, waktu menunggu maksimum itu merupakan tempoh standard yang ditetapkan terutamanya pada waktu puncak termasuk masa berbaris di kaunter pendaftaran pintu masuk KLIA bagi melepasi pemeriksaan imigresen.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan mulai 1 Februari 2013 (hari ini) bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu dalam kalangan pelawat di KLIA.
"Ia sekali gus akan memberi imej positif kepada negara," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Imigresen 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.
Harga 13 barangan dikawal
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan terkawal yang dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim itu bermula dari 6 hingga 17 Februari ini dan berkuat kuasa selama 12 hari dan dilaksana mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata, kawalan itu melibatkan harga ayam, telur ayam, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih dan udang putih besar.
"Harga maksimum ditentukan bagi 13 barangan harga terkawal ini di sebanyak 89 daerah/kawasan di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 24 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan perlu pada musim perayaan dengan harga berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau," katanya ketika mengumumkan harga maksimum borong dan runcit barangan harga terkawal sempena Tahun Baru Cina 2013 di sini semalam.
Misi, strategi BN tawan Kedah
ALOR SETAR - Perdana Menteri memulakan usaha untuk menawan semula Kedah dengan menggempur negeri itu melalui kempen yang antara lainnya menjanjikan pembinaan litar lumba untuk golongan muda dan memberi bantuan RM100 kepada anak-anak muda yang menyertai kursus perkahwinan.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan memberikan khidmat bakti yang jauh lebih baik sekiranya diberi mandat memerintah Kedah pada pilihan raya umum akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu, BN memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding Pas sebanyak 16 kerusi, manakala DAP (satu), Parti Keadilan Rakyat (empat) dan Bebas (satu).
Najib berkata, hanya BN yang dapat membuat perubahan terancang dan menentukan pertumbuhan dalam sektor-sektor tertentu bagi meningkatkan pendapatan negara.
"Kita dapat buat perubahan terancang, orang yakin dengan kita. Bila ada pelaburan besar, hasil kerajaan akan bertambah dan kita akan gunakan pendapatan itu untuk memberi bantuan kepada rakyat.
"Kita bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bantuan persekolahan anak-anak, untuk pelajar universiti. Kita boleh buat lebih lagi pada masa depan kalau dapat mandat rakyat," katanya ketika berucap sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini untuk lawatan sehari ke Kedah semalam.
16 NGO dilantik pemerhati perjalanan PRU-13
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 16 badan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, NGO yang dilantik diberi tempoh sebulan bagi menyerahkan senarai biodata petugas dan kawasan Parlimen yang dipilih untuk keperluan persiapan latihan serta penyediaan pas khas pemerhati.
“Mereka yang dilantik akan bertanggungjawab menyediakan laporan lengkap hasil pemantauan sebelum diserahkan kepada SPR,” katanya selepas majlis penyerahan surat pelantikan sebagai Pemerhati Tempatan PRU-13 kepada 16 NGO di sini semalam.
Pas pecat Ustaz Nasharudin
PASIR PUTEH - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesahkan kepimpinan parti itu sudah menolak keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa walaupun tokoh berkenaan mendakwa masih belum menerima surat rasmi berhubung kedudukannya dalam parti berkenaan.Nik Aziz berkata, sama ada surat diterima atau tidak oleh Nasharudin berhubung status keahliannya, ia bukan perkara utama.
"Soal surat sampai ke tidak, ia nombor dua. Yang penting ijab dan kabul sudah berlaku. Lafaz cerai pun sudah. Walaupun surat cerai tidak sampai, daripada segi hukum dan adatnya cerai tetap berlaku dan sah," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Rancangan Kawasan Khas Bandar Tok Bali antara Majlis Daerah Pasir Puteh dengan empat syarikat pelaburan di sini semalam.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nasharudin kelmarin yang mengakui masih ahli Pas berikutan tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung kedudukannya dalam parti.
Budak maut kepala terhantuk lantai
SERDANG - Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dia didakwa terjatuh dan kepalanya terhantuk ke lantai ketika bermain dengan abangnya di rumah mereka di Semenyih dekat sini kelmarin.Sebelum tidur malam kelmarin, mangsa Muhammad Irfan Raiyan Mohammad Shahn, 3, anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh ketika bermain-main dengan abangnya.
Keluarganya tidak membawa Irfan untuk pemeriksaan sebaliknya kanak-kanak itu terus tidur.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pada pukul 11 pagi semalam, ibu kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati anaknya yang tidak bangun daripada tidur sudah tidak bernyawa.
Tujuh kaki tipu jadi buruan polis
BATU PAHAT - Enam lelaki dan seorang perempuan menjadi buruan polis selepas mereka disyaki terlibat dengan penipuan membeli barangan menggunakan cek tendang yang nilai kerugian mencecah RM1 juta dalam tempoh setahun lalu di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketujuh-tujuh suspek yang berusia 30 hingga 60-an itu dilaporkan menjadikan beberapa buah syarikat pembekalan seperti pembekalan tayar lori, minyak pelincir, baja, racun dan kelengkapan perladangan sebagai sasaran.
Menurut beliau, modus operandi kumpulan suspek yang berasal dari Lembah Klang dan Pulau Pinang itu ialah membeli barangan secara pukal daripada syarikat terbabit dengan pembelian kali pertama akan dibuat secara tunai.
"Urus niaga di syarikat tersebut akan diteruskan buat kali kedua dengan suspek-suspek kemudian menambah kuantiti pembelian barangan sebelum membuat pembayaran menggunakan cek tendang.
"Cek-cek itu pula kebiasaannya menggunakan nama dua buah syarikat yang tiada kaitan dengan suspek-suspek," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Suami isteri diberkas
BUKIT KAYU HITAM – Hasrat sepasang suami isteri untuk hidup mewah dengan menjual daun ketum dengan harga tinggi di pasaran Thailand tidak kesampaian apabila mereka diberkas sepasukan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di sini pagi semalam.
Pasangan suami isteri yang bekerja sebagai penoreh getah itu ditahan di sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 dari arah Changlun menghala Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini kira-kira pukul 9 pagi.
Dalam tangkapan tersebut, UPP merampas lebih 500 ikat daun ketum seberat kira-kira 60 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran semasa di Thailand.
Komander Kawasan UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Baharim Kamis memberitahu, sepasukan anggotanya menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan nombor plat kenderaan Thailand yang menghala ke arah CIQ di sini untuk ke negara jiran itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 60kg daun ketum yang telah diikat dan dibungkus untuk dijual kepada pelanggan di Thailand disembunyikan di bahagian bawah tempat duduk belakang, di dalam kotak pembesar suara dan tempat simpanan tayar gantian,” katanya di sini semalam.
Empat spiderman Vietnam pecah masuk kilang diberkas
BATU PAHAT - Empat spiderman Vietnam yang sering memanjat bangunan kilang dan pejabat bagi melakukan rompakan dengan dibantu seorang wanita rakan senegara di sekitar Yong Peng akhirnya memasuki jerat polis.
Empat suspek dan pembantu wanita itu diberkas pada 24 Januari lalu selepas mereka dilaporkan aktif melakukan rompakan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 3.40 pagi ketika empat daripada mereka sedang memanjat bangunan sebuah kilang di Pekan Yong Peng manakala suspek wanita menjadi mata-mata mengawasi kawasan sekeliling.
"Penjenayah itu hanya menggunakan pemutar skru sebagai alat untuk mengumpil bumbung sebelum melarikan pelbagai barangan elektronik termasuk dokumen di kilang tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Ketua parti agama ditangkap rasuah
|
JAKARTA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia semalam buat pertama kalinya telah menahan seorang pemimpin sebuah parti Islam atas tuduhan rasuah.
Jurucakap suruhanjaya tersebut, Johan Budi memberitahu pemimpin Parti Keadilan Sejahtera, Luthfi Hasan Ishaaq ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi mendapatkan kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat pengimport daging, PT. Indoguna Utama.
Parti Keadilan Sejahtera merupakan parti Islam terbesar di Indonesia dan menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran republik itu.
Ishaaq ditahan pada Rabu, dua hari selepas dua orang pengarah syarikat terbabit dan pembantunya ditangkap di sebuah hotel di sini.
Pasukan penyiasat juga merampas wang tunai berjumlah AS$103,000 (RM320,000) yang ditemui di dalam kereta pembantu Ishaaq.
"Memang wujud bukti yang cukup untuk menamakan Luthfi Hasan Ishaaq sebagai suspek," kata pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Indonesia, Bambang Widjojanto.
Ishaaq bagaimanapun mengaku tidak bersalah. - Agensi
Muntah ikan paus bernilai RM210,502
LONDON – Seorang lelaki di sini, Ken Wilman ditawarkan wang berjumlah £43,000 (RM210,502) oleh seorang pembeli dari Perancis untuk muntah ikan paus yang ditemui anjing peliharaannya di sebuah pantai.
Dia menemui objek itu selepas anjingnya mula menghidu batu yang agak besar dengan tekstur melekit berwarna kekuningan ketika bersiar-siar di bandar Morecambe, barat laut England.
Muntah yang jarang ditemui itu dipercayai menjadi bahan asas penting untuk penghasilan minyak wangi.
Wilman percaya objek tersebut adalah sebahagian daripada ambergris, bahan yang ditemui dalam sistem penghadaman ikan paus sperma.
Ikan paus kadang kala memuntahkan ambergris yang kemudian terapung di permukaan air dan dianggap bernilai tinggi sejak berabad-abad lamanya.
– AFP
Kardashian tidak mahu anak masuk televisyen
NEW YORK – Bintang program realiti, Kim Kardashian mendedahkan bahawa dia tidak mahu bakal anak pertamanya bersama penyanyi rap Kanye West muncul dalam rancangan realitinya, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Dia popular dalam siri realiti Amerika Syarikat (AS), Keeping Up With the Kardashians.
“Bayi ini nanti tidak akan terlibat dalam rancangan kami,” katanya ketika dia diwawancara oleh pengacara Jimmy Kimmel Selasa lalu.
Namun, Kardashian berkata, dia akan membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri jika dia ingin terlibat dalam rancangan itu setelah mencapai usia sesuai.
Bekas model majalah bogel Playboy berusia 32 itu kini hamil anak West, 35, yang merupakan kekasihnya.
Pasangan tersebut yang menjalin hubungan sejak April tahun lalu belum berkahwin ekoran kes penceraian Kardashian dengan pemain bola keranjang AS, Kris Humphries masih belum muktamad. – Agensi
Ulat beluncas terbesar ditemui di Switzerland
BERN, Switzerland – Seorang ahli botani di sini telah menemui seekor ulat beluncas terbesar yang pernah ditemui di dunia semalam.
Ahli botani itu, Markus Buerki mendedahkan ulat yang ditemuinya merupakan ulat beluncas dari spesis atlas moth atau attacus atlas.
Atlas moth akan bertukar menjadi kupu-kupu dengan lebar sayapnya boleh mencecah lebih 25 sentimeter.
Ulat beluncas tersebut kini dipelihara di sebuah taman botani di Bern. – Agensi
No comments:
Post a Comment