Sunday, January 27, 2013

UNTUNGNYA MISKIN...ORANG TAK DENGKI@JELES...TIADA ORANG NAK ROMPAK...HISAB PUN MUDAH DIAKHIRAT

Gempa bumi kuat gegar wilayah Aceh


PENDUDUK meninggalkan rumah mereka selepas gempa bumi kuat melanda wilayah Aceh
di Indonesia semalam.



BANDA ACEH, Indonesia - Satu gempa bumi kuat menggegarkan rantau barat Indonesia semalam dengan menyebabkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbunuh manakala penduduk yang panik bertempiaran melarikan diri.
Beberapa orang cedera manakala sejumlah kediaman turut rosak dalam bencana tersebut.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia menyatakan, gempa tersebut yang berukuran 6.0 pada skala Richter tidak mencetuskan ombak besar tsunami.
Gempa itu berlaku sekitar pukul 5.22 pagi semalam dan mengejutkan penduduk di beberapa buah bandar dan perkampungan di sini, dalam wilayah Aceh di utara Pulau Sumatera.
Bencana itu disusuli oleh gempa susulan bermagnitud 4.7 beberapa minit kemudian.
Ketua Daerah Pidie, Sarjani Abdullah berkata, seorang budak perempuan berusia sembilan tahun ditemui mati di bawah timbunan rumahnya yang runtuh.
Menurut pegawai berkenaan, sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mengalami luka dan patah tulang.
Sebuah agensi bencana alam tempatan memberitahu, sekurang-kurangnya 30 buah rumah dan sebuah masjid runtuh di daerah Pidie Jaya dengan ratusan penduduk kini dipindahkan ke beberapa tempat perlindungan sementara.
"Kejadian ini menakutkan kami, kami masih trauma dengan gempa bumi itu," kata seorang penduduk setempat, Masriadi.
"Isteri saya menjerit dan anak-anak saya pula menangis," tambahnya lagi.
Satu gempa bumi kuat pada 26 Disember 2004 mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut lebih 230,000 nyawa dengan separuh daripadanya merupakan penduduk wilayah Aceh. - AP

Nenek seludup kokain dihukum mati


REAKSI sedih warga Britain, Lindsay Sandiford di bilik kurungannya selepas perbicaraan di sebuah mahkamah di Denpasar, Bali semalam.



DENPASAR - Sebuah mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang nenek dari Britain kerana menyeludup kokain ke pulau peranginan Bali.
"Kami mendapati Lindsay Sandiford bersalah membawa masuk narkotik (dadah) dan menjatuhkan hukuman mati terhadap defendan," kata Hakim Amser Simanjuntak di Mahkamah Daerah Denpasar di sini.
Sandiford, 56, ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Bali bersama sejumlah 4.79 kilogram kokain bernilai AS$2.5 juta (RM7.5 juta) yang disembunyikan di dalam beg pakaiannya pada Mei lalu.
Polis berkata, dia kemudian membantu siasatan pihak berkuasa yang membawa kepada penahanan tiga rakyat Britain dan seorang warga India berhubung kes dadah.
Hukuman berat itu mengejutkan pihak pendakwa raya kerana mereka pada bulan lalu mencadangkan agar Sandiford dihukum penjara selama 15 tahun selepas dia mengakui kesalahannya dan berkelakuan sopan di mahkamah.
Namun, seorang hakim dalam panel berkenaan, Bagus Komang Wijaya Adi semalam berkata, tiada situasi yang membolehkan hukuman kes tersebut diringankan.
"Semua bukti menunjukkan defendan bersalah," katanya.
Indonesia melaksanakan hukuman berat terhadap penyeludup dadah dengan mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup.
Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak, biasanya, pada waktu malam di lokasi yang dirahsiakan. - Agensi

McDonalds bayar komuniti Islam AS$700,000

DEABORN, Michigan - Rangkaian restoran makanan segera McDonalds dan seorang pemilik francaisnya bersetuju membayar AS$700,000 (RM2.1 juta) kepada komuniti Islam di sini, untuk menyelesaikan saman berhubung sebuah restoran itu menyiarkan iklan palsu bahawa makanan yang disediakan adalah halal.
McDonalds dan Syarikat Pengurusan Finley's bersetuju pada Jumaat untuk membayar wang itu yang akan dikongsi bersama penduduk di sini, Ahmed Ahmed, sebuah klinik setempat dan Muzium Kebangsaan Arab Amerika serta peguam mereka.
Dalam komennya kepada agensi berita The Associated Press (AP) semalam peguam Ahmed, Kassem Dakhlallah berkata, beliau gembira dengan persetujuan itu yang dijangka dimuktamadkan pada 1 Mac depan.
Pada September 2011, Ahmed mendakwa telah membeli sandwic ayam di restoran Mcdonald di sini dan mendapati hidangan tersebut tidak halal malah, penyediaannya tidak dibuat berdasarkan garis panduan Islam.
Menurut Dakhlallah, McDonald menyediakan dua premis restoran makanan halal di AS dengan kedua-duanya terletak di sini ekoran daerah ini mempunyai bilangan penduduk Arab dan Islam antara yang terbesar di Amerika Syarikat.
Tambah Dakhlallah, restoran tersebut sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan produk halal tetapi mereka menjual makanan tidak halal apabila kehabisan stok.
"Ahmed telah menjalankan siasatan di premis berkenaan dan dia mendapati restoran tersebut memang menjual makanan yang tidak halal dan ini bukanlah kali pertama perkara seperti ini terjadi.
"Satu surat telah dihantar kepada pihak pengurusan bagaimanapun tiada tindakan diambil oleh mereka," katanya.
Mereka kemudian memfailkan saman di mahkamah Daerah Wayne pada November 2011 untuk tindakan selanjutnya.
Ini merupakan tuntutan pertama yang diterima McDonald di AS berkaitan isu makanan halal. - AP

Pesawat pejuang bedil kubu penentang



SEORANG penduduk berjalan melintasi sebuah bangunan yang
musnah selepas dibom pesawat pejuang rejim pemerintah Syria di Damsyik kelmarin.



BEIRUT - Pesawat pejuang dan kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad mengebom kubu kuat kumpulan penentang di wilayah Damsyik semalam, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.
Kata badan pemerhati itu, jet-jet pejuang melancarkan serangan ke atas bandar Douma, timur Damsyik dan beberapa bahagian rantau Ghuta Timur yang merupakan kubu kuat Tentera Pembebasan Syria.
Ia merupakan sebahagian daripada kempen untuk menghapuskan terus kumpulan pejuang penentang yang berada di sekitar Damsyik.
Kereta kebal turut digunakan bagi membedil bandar Daraya dan Moadamiyat al-Sham yang terletak di barat daya Damsyik.
Turut dibedil tentera rejim ialah bandar Yalda dan Beit Sahem.
Sementara itu, akhbar pro-Presiden Bashar, Al-Watan membuat pengakuan secara terbuka mengenai serangan udara di wilayah Damsyik dalam laporannya.
Konflik di Syria meletus pada Mac 2011 selepas para penentang melancarkan tentangan ke atas rejim Bashar kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahannya.
Mereka menuduh Bashar gagal untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran dan hak kebebasan bersuara. - Agensi

37 warga asing, 29 militan maut



ANGGOTA bomba Algeria mengusung keranda salah seorang mangsa yang terbunuh dalam tragedi di kompleks pemprosesan minyak dan gas In Amenas kelmarin.



ALGIERS - Pihak berkuasa Algeria semalam bertindak meneruskan gerakan mencari lima lagi warga asing yang masih hilang selepas menjadi tebusan di kompleks pemprosesan minyak dan gas In Amenas di gurun Sahara, kata beberapa sumber keselamatan.
"Masih belum ada sebarang berita mengenai kelima-lima warga asing yang masih hilang itu," sumber tersebut memberitahu agensi berita AFP.
Sabtu lalu, skuad khas tentera Algeria bertindak menyerbu kompleks minyak dan gas tersebut dan berjaya menawan kembali daripada kumpulan militan Islam.
Sehingga semalam pemerintah Algeria mengesahkan 37 warga asing dan 29 militan Islam maut dalam krisis tebusan itu. Dua rakyat Malaysia pula dikuatiri masih hilang.
Drama tebusan kompleks kendalian syarikat minyak BP dari Britain, Statoil milik Norway dan firma Algeria, Sonatrach itu bermula pada 16 Januari lalu.
Sementara itu, menurut sumber yang sama, kerja-kerja memulihkan kompleks tersebut telah bermula.
Katanya, sekurang-kurangnya tempoh seminggu lagi diperlukan sebelum semuanya kembali beroperasi. - Agensi

Bantah masa ke tandas 2 minit



GAMBAR pada 20 Januari lalu menunjukkan bangunan kilang syarikat Shanghai Shinmei Electric Company di Shanghai, China.



SHANGHAI - Sekitar 1,000 pekerja kilang di China yang berang berhubung masa ke tandas yang singkat bertindak menjadikan pengurus tempatan dan Jepun sebagai tebusan selama sehari sebelum polis menyuraikan protes tersebut.
Kumpulan pekerja syarikat Shanghai Shinmei Electric Company di sini menahan 10 warga Jepun dan lapan pengurus Cina di dalam kilang itu di sini bermula pagi Jumaat lalu hingga pukul 11.50 pagi keesokan harinya.
Satu kenyataan syarikat induk Shinmei Electric Co. kelmarin menyatakan, semua pengurus berkenaan tidak dicederakan dengan mereka dibebaskan selepas 300 anggota polis tiba di premis itu.
"Pekerja-pekerja itu menuntut peraturan tidak munasabah yang menyatakan mereka cuma diberikan masa dua minit untuk ke tandas dimansuhkan," kata pengawal keselamatan kilang tersebut yang dikenali sebagai Feng.
"Mereka turut menuntut agar pihak pengurusan membatalkan peraturan mendenda pekerja yang lewat ke tempat kerja untuk kali pertama sebanyak 50 yuan (RM24) dan memecat pekerja yang lewat sebanyak dua kali j," tambahnya.
Menurut pengawal keselamatan berkenaan, semua pengurus itu kemudian bersetuju untuk menimbang semula dua peraturan yang menimbulkan kemarahan pekerja kilang itu.
Kilang tersebut mengeluarkan gegelung elektromagnetik dan beberapa produk elektronik lain. - AP

Penduduk angkat senjata lindungi kampung



GAMBAR pada 18 Januari lalu menunjukkan beberapa lelaki bersenjata dan bertopeng duduk di atas sebuah trak ketika meronda di kampung mereka di Ayutla, Mexico.



AYUTLA, Mexico - Sekumpulan pemuda di Mexico bertindak mengangkat senjata dan memakai topeng muka bagi menjaga keselamatan perkampungan mereka daripada ancaman kumpulan pengedar dadah.
Seorang pemuda yang enggan dikenali dengan nada sebak memberitahu, mayat saudaranya ditemui bersama 40 mangsa lain di dalam sebuah kubur besar selepas ditembak oleh kumpulan pengedar dadah.
"Setiap seorang daripada kami merasai keperitan yang berlaku. Kumpulan pengedar dadah itu menculik salah seorang ahli keluarga kami dan kami tidak dapat mencari mereka kembali," kata pemuda itu yang menjadi salah seorang anggota kawalan keselamatan terlibat.
Dia bersama ratusan pemuda lain di Guerrero, wilayah selatan Mexico telah mengangkat senjata untuk mempertahankan keselamatan perkampungan masing-masing daripada diganggu oleh pengedar dadah.
Anggota pergerakan rukun tetangga itu dilahirkan ekoran perasaan kecewa penduduk selepas aktiviti peras ugut, pembunuhan dan penculikan yang berleluasa gagal dibanteras dan dihalang oleh pihak polis.
Kumpulan rukun tetangga tersebut juga semakin berkembang di beberapa bandar di pinggir Mexico. Walaupun ia tidak diiktiraf pemerintah namun pergerakan keselamatan ini dibenarkan berkembang di seluruh negara.
Jarak kampung-kampung itu terletak cuma 75 kilometer dari markas kumpulan pengedar dadah itu yang bergerak aktif di bandar Acapulco. - AP

Bongkah batu dijadikan rumah



HERNANDEZ berdiri di luar kediamannya dekat San Jose de Las Piedras, dalam negeri Coahuila, utara Mexico pada 16 Januari lalu.



COAHUILA, Mexico - Seorang lelaki di Mexico telah menukar seketul bongkah batu menjadi rumah untuk keluarganya sejak 30 tahun lalu.
Benito Hernandez membina kediaman unik itu dekat kawasan pergunungan San Jose de Las Piedras, dalam negeri Coahuila di utara Mexico.
Sebahagian daripada bongkah batu besar berdiameter 40 meter itu dijadikan bumbung rumah manakala beberapa bahagian lain dikorek untuk membina ruang tamu, dapur dan beberapa buah bilik.
Hernandez tinggal di rumah batu itu bersama isteri, Santa Martha de la Cruz Villarreal, seorang anak lelakinya, Omar Hernandez dan cucu perempuan mereka, Lucero Hernandez.
Kediaman Hernandez itu terletak dekat dengan bandar San Jose de Las Piedras.
Bandar itu merupakan sebuah komuniti terpencil di kawasan gurun Coahuila dan terletak sekitar 80 kilometer dari sempadan Texas, di Amerika Syarikat. - Agensi

Penjenayah larikan budak, Toyota Wish


CHEYANNE ditenteramkan oleh ibunya sebaik dia ditemui oleh orang awam dan diserahkan ke Balai Polis Gita, Kuching semalam.



KUCHING – Seorang budak perempuan melalui detik mencemaskan selama 30 minit apabila dia dilarikan bersama kereta milik ibunya oleh sekumpulan perompak di sebuah stesen minyak di Jalan Matang di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 6.15 pagi, Cheyanne Michcal, 8, ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan Toyota Wish yang enjinnya dihidupkan tetapi berkunci selepas ibunya pergi ke tandas.
Kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, Christinah Madan, 42, yang terkejut apabila mendapati kenderaan itu dan anaknya tiada selepas dia keluar dari tandas beberapa minit kemudian.
Bagaimanapun, Cheyanne bernasib baik apabila dia ditemui oleh seorang penjual kuih di kawasan Pasar Raya E-Mart kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum mangsa dihantar ke Balai Polis Gita.
Ketika ditemui, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya itu sedang menangis meminta pertolongan orang awam.
Christinah yang juga seorang guru di SK St. John, Bau berkata, sebelum kejadian, dia meninggalkan anaknya di dalam kenderaan kerana ketika itu mangsa tidur.
“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong kerana telefon, komputer serta beg tangan mengandungi wang, kad bank dan dokumen peribadi ditinggalkan di dalam kereta yang hilang bersama anak saya,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut wanita itu, dia bernasib baik apabila terdapat orang awam sudi menghulurkan bantuan menghubungi suaminya sebelum dia pergi ke Balai Polis Gita untuk membuat laporan.
“Sebaik tiba di balai polis, saya terkejut melihat anak saya berada di situ,” katanya yang bersyukur kerana Cheyanne ditemui selamat selepas hilang kira-kira 30 minit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, polis percaya suspek berjaya melarikan kenderaan itu selepas mengumpil pintunya dengan alat khas mencuri kenderaan.

Budak lelaki maut dihempap TV



luqhman



ALOR SETAR – Sebuah keluarga tidak menyangka keseronokan selepas pulang daripada makan malam berakhir tragedi apabila anak tunggal mereka maut akibat dihempap sebuah televisyen bersaiz 29 inci di Kampung Masjid Lama, Telok Chengai di sini kelmarin
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, Muhammad Luqhman Hakim Lazzuan, 2, mati sebaik tiba di sebuah hospital swasta di sini kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.
Bapa mangsa, Lazzuan Ishak, 37, berkata, semasa kejadian dia sedang mandi, isterinya, Waida Kasim, 27, bersolat Isyak manakala mangsa menonton televisyen sambil bermain-main berhampiran rak televisyen di ruang tamu rumah sejurus pulang daripada makan.
Ketinggian rak tersebut kira-kira satu meter.
“Sebelum mandi saya menemani Luqhman sementara menunggu isteri solat namun disebabkan berasa panas saya pergi mandi dengan meninggalkan anak saya diperhatikan oleh neneknya,” kata Lazzuan ketika ditemui di sini semalam.


INILAH rak dan televisyen yang meragut nyawa Luqhman.



Lazzuan yang bekerja sebagai pemandu bas berkata, ketika sedang mandi dia mendengar bunyi dentuman kuat menyebabkan dia keluar bilik air.
“Saya terkejut apabila melihat televisyen berusia lebih 10 tahun bersama rak tempat letak televisyen telah rebah dengan Luqhman berada di bawah televisyen.
“Ketika itu juga saya lihat darah banyak keluar dari belakang kepalanya menyebabkan saya segera menghantarnya ke sebuah hospital swasta di sini,” ceritanya sedih.
Ketika tiba di hospital, Luqhman masih bernafas namun dia disahkan meninggal dunia ketika diperiksa oleh doktor di wad kecemasan.
Pemandu bas itu berkata, dia dan nenek mangsa tidak mengetahui bagaimana rak televisyen itu boleh jatuh.
Mayat Luqhman dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Sebelum ini, Lazzuan berkata, dia sering menegur Luqhman agar tidak bermain berhampiran rak televisyen kerana bimbang kejadian ini berlaku.
“Setiap kali saya nampak Luqhman bermain di rak televisyen saya akan panggil dan beritahu dia jangan bermain di situ namun tidak menyangka kejadian sebegini terjadi juga,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Ariff Abu Bakar, 33, berkata, dia tidak menyangka aktiviti memancing yang dilakukan bersama anak buahnya pada waktu petang sebelum kejadian merupakan detik-detik terakhir bersamanya.
“Ketika memancing Luqhman kelihatan sangat manja berbanding hari-hari sebelum ini,” katanya.

BAGAIMANA KALAU GAGAL DATANG SURAU DAN MASJID....NEGARA BUKAN ISLAM ADA MASJID DAN SURAU....DAH BUAT UNGKIT2...BIAR BETUL...JANGAN MACAM BUDAK2

Gagal bina masjid, surau



JITRA - Kerajaan Pas Kedah dicabar mengemukakan fakta dan bukti yang mereka melaksanakan syiar Islam dan menjaga kepentingan umat Islam negeri tersebut.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Johari Baharom (gambar) berkata, setakat ini, tiada satu pun masjid atau surau dibina kerajaan negeri sejak memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008.
Katanya, umat Islam di Kedah beruntung kerana kerajaan Persekutuan terus membela nasib mereka walaupun diperintah pembangkang.
"Nak harapkan kerajaan Pas Kedah, cakap saja lebih macam tong kosong.
"Sejak 2008 hingga tahun lepas, kerajaan Pusat telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membina masjid dan surau serta menaik taraf kedua-dua institusi berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 bagi lima buah sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan Padang Pekan di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Roslee Ismail.
Mohd. Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan Pusat turut membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun bagi membayar gaji dan elaun pegawai masjid serta guru-guru agama di Kedah.
Ketika berucap pada majlis itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri perlu membayar elaun imam sebanyak RM750 bagi menyamai pemberian kerajaan Pusat sebanyak RM750 dan bukannya RM50 sahaja.
Menyentuh soal pendidikan, Mohd. Johari memberitahu, seramai 3,598 pelajar dalam daerah Kubang Pasu menikmati Rancangan Makanan Tambahan bernilai RM1.2 juta, manakala sebanyak 12,674 murid sekolah menerima bantuan berjumlah RM4.355 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar.
"Seramai 1,041 pelajar sekolah menengah pula menerima biasiswa antara RM700 hingga RM840 seorang setahun berjumlah RM942,760.
"Sebanyak 3,110 pelajar sebelas buah sekolah berasrama penuh pula menerima bantuan asrama bernilai RM10.5 juta pada tahun lepas," ujarnya. - Bernama

Balasan bunuh dua orang guna bom



KEADAAN Siew Hong yang maut akibat melecur teruk terkena bahan letupan yang diletakkan di depan rumahnya di Apartmen Desa Tun Razak, Desa Tun Razak, Cheras pada Ogos 2010.



KUALA LUMPUR – Tertekan dengan masalah hutang akibat kalah judi internet, seorang bekas kontraktor komunikasi tergamak meletakkan bom buatan sendiri di depan rumah pengusaha kafe siber sehingga menyebabkan wanita itu dan pekerja lelakinya maut terkena letupan dalam kejadian tiga tahun lalu.
Berikutan perbuatan itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Mohd. Khayry Ismail, 48, dihukum gantung sampai mati selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh Ng Siew Hong, 51, dan Goh Yong Seng, 35. Kedua-dua mangsa mati akibat melecur teruk di seluruh badan.
Hakim Datuk Su Geok Yiam mengenakan hukuman mandatori terhadap Mohd. Khayry selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kedua-dua kes tersebut.
Bapa kepada enam anak itu yang bercermin mata dan memakai jaket biru serta berseluar panjang dilihat tenang di kandang pesalah ketika keputusan dibacakan oleh hakim.
Beberapa ahli keluarga tertuduh yang memenuhi galeri mahkamah dan membaca surah Yasin sebelum prosiding bermula kelihatan sebak.
Mohd. Khayry didakwa membunuh pemilik kafe siber itu, Siew Hong dan pekerjanya, Yong Seng antara pukul 8 pagi dan pukul 8.30 pagi, 29 Ogos 2010 di hadapan rumah No. 2-12-4, Apartmen Desa Tun Razak, Blok 2, Jalan 8/118B, Desa Tun Razak, Cheras di sini.
Dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebelum kejadian itu kerap kali kalah judi di kafe siber milik wanita separuh umur itu sehingga dia terpaksa meminjam wang daripada mangsa.
Tertuduh kemudian memberitahu rakan-rakannya bahawa dia ingin melakukan sesuatu yang buruk terhadap mangsa dengan membuat satu bahan letupan.
Pada awal pagi kejadian, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan meninggalkan sebuah kotak sebesar saiz televisyen 14 inci berisi bahan letupan di depan pintu rumah mangsa di tingkat 12.
Salah seorang mangsa yang cuba mengangkat kotak yang di atasnya turut diletakkan sebiji limau bali menyebabkan kotak tersebut meletup. Letupan itu turut menyebabkan Siew Hong cedera parah akibat melecur.
Bukti keterangan dilakukan tertuduh berdasarkan beberapa pengakuan yang dibuat oleh tertuduh kepada rakan-rakannya selepas kejadian itu.
Terdahulu, peguam Hanif Hashim dan Zambri Ibrahim dalam rayuan berkata, anak guamnya tiada kesalahan lampau dan menyesal atas perbuatan tersebut.
“Tertuduh tidak mengenali mangsa kedua tetapi mangsa pertama merupakan rakannya yang dipanggil kakak,” kata Hanif yang memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman terhadap anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah supaya faktor kepentingan awam lebih diambil kira berbanding kepentingan sendiri kerana bukan sahaja dua nyawa melayang tetapi ahli keluarga kedua-dua mangsa itu turut kehilangan orang yang disayangi.
Perbicaraan bermula 29 November 2011 dengan pendakwaan memanggil 40 saksi manakala pembelaan tiga saksi termasuk tertuduh yang memberi keterangan bersumpah.
Pembelaan memfailkan notis rayuan keputusan itu ke Mahkamah Rayuan semalam.

Makmal proses dadah diserbu



ZAINUDDIN (dua dari kanan) menunjukkan vest polis, peluru hidup dan pelbagai jenis dadah yang dirampas di sebuah stor di Jalan Masai Lama, Plentong, Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menyerbu sebuah stor yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Masai Lama, Plentong di sini kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh geng penjenayah yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Chandra.
Katanya, kumpulan tersebut dipercayai telah menjalankan operasi memproses dadah di stor berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Jelasnya, kejayaan tersebut dicapai selepas pihaknya menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun berdekatan stor berkenaan kira-kira pukul 3.40 petang.
"Hasil siasatan awal, kedua-dua lelaki berkenaan telah membawa anggota polis ke stor berkenaan.
"Kami menahan empat lagi lelaki berusia 26 hingga 50 tahun di dalam stor tersebut dan menemui pelbagai jenis dadah serta 100 butir peluru hidup 9 milimeter dan 0.45 milimeter," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam.
Menurutnya, polis turut menemui dan merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah, wang tunai berjumlah RM14,000, sehelai vest polis dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux," ujarnya.
Jelas Zainuddin, dadah yang dirampas adalah 27 kilogram ketamin, empat gram heroin, 43 gram syabu dan pil ekstasi sebanyak 63 biji yang dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 137,000 penagih.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati lima daripada enam suspek yang ditahan positif dadah dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Zainuddin memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

BILA KEMEWAHAN DITUNJUK2...

Istana Negara jadi Muzium Diraja



PENGELOLA Istana Negara, Rusli Asri (tiga dari kanan) memberi penerangan mengenai Istana Negara lama kepada Ibrahim (kanan) dan wakil-wakil media di istana tersebut di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Buat pertama kalinya, rakyat dibolehkan melawat bilik-bilik di Istana Negara lama yang pernah menjadi penginapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berikutan bangunan lama itu dijadikan Muzium DiRaja dan dibuka kepada umum mulai 1 Februari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, sebelum ini Balairong Seri di istana itu telah dibuka kepada umum sebagai medan 'Pameran Raja Kita' sejak April tahun lepas.
"Kita menerima respons daripada orang ramai yang mahu melawat ke dalam Istana Negara. Kerajaan memutuskan untuk membuka istana itu sebagai sebuah muzium," katanya kepada pemberita semasa mengiringi lawatan media ke istana itu semalam.
Seramai 40 wakil media serta agensi pelancongan dibawa melawat selama dua jam dan buat pertama kalinya memasuki Istana Negara setinggi dua tingkat dengan 22 bilik termasuk bilik beradu, pejabat, dewan, ruang makan dan istirehat.
Katanya, pembukaan muzium itu akan dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 1 Februari ini.
"Kita akan buka setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang dan pada peringkat awal, orang ramai akan diiringi pegawai kita yang akan memberikan taklimat mengenai setiap bilik dan ruang yang pernah digunakan.
Sejarah Istana Negara bermula sebagai rumah agam yang dibina pada tahun 1928 dan penggunaannya berakhir pada November tahun lepas apabila Istana Negara baharu didirikan di Kompleks Istana Negara di Jalan Duta di sini.

No comments:

Post a Comment