Sunday, January 27, 2013

IBUBAPA HENDAK YANG TERBAIK...NAK MENJAGA KESELAMATAN....LEBIH2 DIZAMAN NI YANG PENUH TIPU DAYA SERTA KEMUNGKARAN@MAKSIAT

Diraba, nyaris kena pijak

Posted on the January 27th, 2013 under Tempatan by admin


Remaja yang pengsan dibawa ke hospital oleh anggota JPAM.
JERTIH – Sambutan luar biasa. Lebih 2,000 pengunjung menyerbu pembukaan sebuah gedung seawal jam 7 pagi, semalam.
Pelbagai cerita suka duka menghiasi hari pertama pembukaannya yang ternyata mendapat sambutan luar biasa penduduk setempat.

Antaranya, seorang remaja perempuan nyaris dipijak orang ramai, apabila dia pengsan dan terjatuh sebaik sahaja memasuki gedung itu selepas pintu utama dibuka.
Kejadian berlaku apabila remaja yang berada paling hadapan itu, terjatuh ketika orang ramai berasak-asak untuk masuk bagi mendapatkan barangan yang ditawarkan dengan harga rendah.
Remaja perempuan itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dilaporkan stabil.
Tidak lama kemudian, kecoh pula apabila seorang lelaki diberkas polis, kerana didakwa mengambil kesempatan mencabul kehormatan wanita yang berkunjung di situ.
Suspek, 19 tahun dari Kampung Beris Cawat, Kuala Besut itu didakwa meraba seorang suri rumah berusia 24 tahun dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang sedang beratur mendapatkan baucar harga murah di gedung berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang menyedari tindakan suspek memberitahu suaminya, sebelum dilaporkan kepada polis yang sedang membuat rondaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan tangkapan itu dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Sinarpix_topright

TERHIDU BAU WANGI

“Mak tulis ya, biar tak lupa, nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak.”
Itu antara permintaan terakhir Siti Hajar Ahmad Sabir, 20, pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) yang bertarung nyawa selama dua minggu di Hospital Melaka selepas terbabit dalam kemalangan di Solok Duku, Masjid Tanah, di sini, 6 Januari lalu, kepada ibunya, Noraini Che Mat, 46.

Kisah kecekalan Siti Hajar yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi, 20 Januari lalu, menarik perhatian ramai apabila rentetan pengalaman hari-hari terakhir arwah tersebar di laman sosial Facebook selain turut dikongsi menerusi blog dan forum di Internet.
Noraini berkata, kisah hari-hari terakhir arwah pada asalnya adalah kandungan SMS diberikannya kepada rakan Siti Hajar, Nur Nadia Zakaria, 22.

Menurutnya, ia kemudian dimuat naik ke blog milik Nur Nadia untuk dikongsi bersama rakan lain.

“Disebabkan arwah dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU), tidak ramai dapat menziarahinya, sebab itu saya berkongsi keadaan Siti Hajar setiap hari dengan Nadia.
“Malah, arwah sendiri mahu pengalamannya yang menerima bantuan Allah sepanjang terlantar di hospital dikongsi bersama orang lain kerana baginya itu dakwah terakhir yang dapat disampaikan sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya, di sini, semalam.

Siti Hajar terbabit dalam kemalangan pada 6 Januari lalu apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa ketika dalam perjalanan pulang ke UTeM dari rumah datuknya, Ab Jamal Kudus, 68, di Ramuan China Kechil, Lubuk China terbabas.
Kemalangan itu mengakibatkan Siti Hajar patah kaki kiri dan berisiko lumpuh selepas tulang belakangnya retak dan saraf tunjangnya cedera. Turut bersamanya di dalam kenderaan itu ialah tiga rakan sebayanya iaitu Wan Norsolehah Gaberan yang memandu, Azizue Hasnie Abd Zubair, parah manakala seorang lagi, Tasnim Kamardin @ Kamaruddin cedera ringan.

Noraini berkata, sepanjang dirawat di hospital, Siti Hajar yang juga anak sulung daripada tujuh beradik tidak pernah menyesali nasib menimpanya, sebaliknya menganggap setiap yang berlaku sebagai nikmat daripada Allah SWT.

Dia berkata, minggu pertama selepas kemalangan arwah menunjukkan tindak balas positif dan ditempatkan di wad biasa selepas keadaannya semakin stabil.

“Apabila dia semakin sihat saya terangkan keadaan kesihatannya yang akan lumpuh sementara kerana saraf tunjangnya cedera, tiada air mata setitis pun keluar sebaliknya arwah cukup tenang dan reda.

“Namun, masuk minggu kedua, keadaan kesihatannya makin merosot kerana beberapa organ gagal berfungsi akibat kecederaan saraf tunjang, namun tidak sedikit pun dia mengeluh, sebaliknya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Arwah turut beberapa kali memberikan petanda akan meninggalkan mereka sekeluarga seperti terhidu bau wangi dan mendengar seruan seakan-akan memanggil namanya.

Noraini berkata, pada 19 Januari lalu keadaan arwah semakin kritikal apabila disahkan ususnya bocor, buah pinggang tidak berfungsi dan paru-parunya dijangkiti kuman.

“Keesokan hari tepat jam 9.20 pagi Siti Hajar menghembuskan nafas terakhir di dalam dakapan saya dan suami, Ahmad Sabir Ibrahim, 48,” katanya.

 pix_topright

Tak henti meraung

Seorang isteri tidak henti meraung dan enggan melepaskan tubuh suaminya yang kaku apabila motosikal ditunggangi lelaki berkenaan merempuh lori yang melakukan pusingan `U’ dalam kejadian di Kilometer 14.5, Jalan Tuaran By Pass, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Mohd Razif Mohd Sabtu, 22, mati serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian itu, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggangi mangsa turut terbakar, manakala pemandu lori berkenaan bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Difahamkan, isteri mangsa, Norafiza Mohammad, 23, yang tiba beberapa minit kemudian sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu memeluk erat suaminya yang berlumuran darah selain pengsan beberapa kali selepas gagal mengawal perasaannya sebaik melihat mayat lelaki terbabit ditutupi kain putih.

Orang ramai yang membantu menenangkan isteri mangsa termasuk cuba melepaskan pelukan wanita berkenaan bagi membolehkan mayat mangsa dihantar ke hospital turut gagal.

Namun, beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kota Kinabalu berjaya menenangkan isteri mangsa sebelum mayat lelaki berkenaan berjaya dibawa ke hospital.
Menurut adik mangsa yang dikenali sebagai Norfatiah, 20, sebelum kejadian abang iparnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Sulaman.

“Sebelum keluar, abang ipar ada memberitahu kakak yang ketika itu sedang memasak di dapur untuk ke tempat kerja.
“Beberapa minit kemudian, seorang individu menghubungi kakak mengatakan suaminya terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Norfatiah berkata, abang iparnya baru dua minggu bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri di jalan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Likas menuju Telipok dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh lori jenis Isuzu yang melakukan pusingan U,” katanya.

“Mangsa yang parah mati serta merta di tempat kejadian sementara motosikal miliknya turut terbakar,” katanya.

Katanya, pemandu lori yang menyedari perkara itu bertindak melarikan diri.

“Polis kini sedang giat mengesan pemandu lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


 pix_topright

‘Arwah tak sahut panggilan’

“Arwah tidak menyahut apabila saya menjerit memberitahu kereta yang kami naiki terbakar, namun saya pasti dia masih bernyawa sebelum orang awam membawanya keluar daripada kereta.”
Begitu kata pemain bola sepak Felda United, Ahmad Fauzi Saari, 31, apabila kereta BMW dinaiki bersama Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, terbabit dalam kemalangan menyebabkan rakannya itu terbunuh jam 1.40 pagi semalam. Kejadian berlaku di Kilometer 407.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Lembah Beringin ketika Fauzi dan Muhammad Khairul dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk pulang ke rumah keluarga sebaik tiba dari Sabah.

Fauzi yang patah tangan kanan akibat kemalangan itu berkata, sebelum kejadian mereka berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang untuk mengisi minyak, jam 1 pagi.
Menurutnya, arwah yang memandu kereta berkenaan dipercayai cuba mengelak lubang mengandungi air sebelum kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

“Sebaik melanggar pembahagi jalan berkenaan, kereta berpusing dua kali sebelum terbalik menyebabkan kami terperangkap dalam kenderaan. “Ketika itu, saya cuba keluar sambil mengetuk cermin tingkap, tetapi gagal. Saya cuba kejutkan arwah.

“Namun tanpa diduga, kereta yang pada mulanya berkunci akhirnya terbuka sendiri, lantas saya keluar dari kereta dan menjerit meminta pertolongan,” katanya selepas menghadiri pengebumian Muhammad Khairul di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lala, Pokok Sena, di sini, petang semalam.
Ahmad Fauzi berkata, dia dan arwah berjaya diselamatkan penunggang motosikal yang melalui kawasan terbabit membantu mereka keluar dari kenderaan sebelum ia terbakar kira-kira dua minit kemudian.

Beliau yang masih lagi trauma bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan itu namun tetap terkilan dan sedih apabila rakan yang dikenali sejak enam tahun lalu meninggal dunia.
Bekas pemain Kedah itu kini dijangka bercuti dalam tempoh yang panjang, selain menjalani rawatan selanjutnya di sini.

Sementara itu, ibu Muhammad Khairul, Rusni Ahmad, 54, berkata kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira dua bulan lalu selepas Muhammad Khairul pulang untuk majlis pertunangan kakaknya di Taman Pertama, dekat sini.

Katanya, anak lelakinya itu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan, selain menghalang adik perempuannya, Nurul Ain, 23, daripada pulang bersamanya ke Kedah sebelum terbabit kemalangan yang mengorbankan nyawanya.

 pix_topright

Mati tercampak dari pangkuan

Luluh hati seorang ibu apabila menyedari anak perempuan dipangku maut apabila terlepas dari pegangan sebelum tercampak ke tengah lebuh raya, sebaik kereta dipandu suaminya hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 228.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, kanak-kanak berkenaan, Nor Syaqilah Abu Hashim, satu tahun lima bulan, maut akibat parah di kepala di Hospital Alor Gajah. Menurut Abu Hashim Murtaza, 42, selain Nor Syaqilah, dia bersama isteri, Norzaifa Sarifuddin, 27, seorang anak perempuan, Normila Liyana, 6, adik perempuan, Namrah, 29, serta abangnya, Amiruddin, 47, menaiki Honda CRV dipandu dalam perjalanan dari Pasar Borong Serdang menuju ke rumah kongsi di Ayer Keroh, Melaka. “Kami membeli barang persiapan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah kongsi berkenaan untuk malam ini (semalam). “Sepanjang perjalanan, saya membuka tingkap kereta tidak mahu bau bahan mentah dibeli seperti ikan dan ayam memerangkap udara dalam kereta sehingga menimbulkan rasa kurang enak penumpang,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, semalam. Katanya, dia memandu di lorong tengah dan ketika asyik berborak dengan isteri, tayar kanan belakang kereta meletup menyebabkannya gagal mengawal stereng lalu melanggar penghadang besi kiri lebuh raya. “Dalam keadaan cemas, kami dikejutkan raungan isteri yang menyedari Syaqilah tiada dalam pangkuannya.

“Sebaik kereta berhenti, dia (isteri) berlari ke tengah jalan dan mendapati Syaqilah terbaring atas jalan dalam keadaan telinga berlumuran darah dan tidak bergerak. Mujurlah ketika itu tiada kenderaan melalui lebuh raya,” katanya. Abu Hashim berkata, orang awam menghubungi talian kecemasan sebelum 15 minit kemudian ambulans tiba membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah dan disahkan meninggal dunia jam 11 pagi. Bagaimanapun, Syaqilah dibawa ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu.




Pecah masuk rumah larikan BMW

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 30-an kerugian lebih RM380,000 apabila kereta BMW miliknya dilarikan sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan pistol dalam kejadian di rumahnya di Wangsa Murni, di Wangsa Maju, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua daripada empat penjenayah berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun itu dilaporkan memecah masuk ke rumah mangsa bagi mengambil kunci kereta mewah itu sebelum melarikannya.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang juga peniaga itu sedang tidur di biliknya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi bising di hadapan rumahnya.
“Mangsa kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang mengambil kunci rumah, kunci kereta dan barangan berharga yang berada di ruang tamu rumahnya.

“Dua suspek yang menyedari kehadiran mangsa kemudiannya bergegas keluar daripada rumah berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa memberanikan diri untuk melihat di kawasan luar rumah sebelum mendapati dua lagi rakan suspek sedang menunggu di dalam kereta.
“Menurut mangsa, seorang daripada suspek dilihat memegang senjata seperti pistol menyebabkannya ketakutan sebelum mendiamkan diri,” katanya.

Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk melarikan kereta mewah milik mangsa.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Mabuk punya bapa

Seorang budak tidak dapat makan secara normal dan mungkin gagal bertutur dengan baik kecuali berpeluang menjalani pembedahan selepas hidung dan bibir atasnya digigit bapa sendiri.
Menurut laporan media semalam, Radha diserang bapanya apabila bayi berusia lima bulan itu menangis tidak berhenti-henti.

Polis berkata, bapa Radha, Bhadar Singh ditahan dan didakwa kerana menyebabkan kecederaan parah dengan niat berbahaya.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku di rumah Bhadar - seorang petani - di Siyana di daerah Bikaner, Rajasthan.

“Jika disabitkan kesalahan, Bhadar boleh dipenjara antara 10 tahun hingga seumur hidup,” katanya. Jurucakap polis itu berkata, Bhadar, 36, pulang dalam keadaan mabuk jam 10 malam Khamis lalu.

Isterinya, Santosh, serta adiknya, Saroj ketika itu sedang menghias tangan mereka dengan inai. “Bhadar meminta Santosh membuat sesuatu, tetapi wanita terbabit keberatan kerana tangannya berinai.
“Keengganan Santosh menyebabkan Bhadar berang dan mula membelasah isterinya,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Saroj cuba membantu Santosh, tetapi diugut Bhadar.
Sejurus kemudian, anak perempuan Bhadar berusia tiga tahun, Bhanwar Kanwar mula menangis dan menimbulkan kemarahan lelaki terbabit. Katanya, Bhadar menggigit belakang, tangan serta bahagian lain badan Bhanwar sebelum mencampak budak terbabit ke luar rumah. Kekecohan itu mengejutkan Radha yang sebelumnya tidur di dalam bilik.

Jurucakap polis berkata, Bhadar kemudian mula menyerang Radha sehinggalah Santosh memanggil jiran mereka membantu.

Radha dan Bhanwar kemudian dirawat di Hospital Putera Bijay Singh di Binaker. Ketua Unit Pembedahan Pediatrik hospital itu, Dr Girish Prabhakar berkata, walaupun keadaan Radha kini stabil, dia perlu menjalani pembedahan plastik yang banyak untuk memulihkan mulut serta hidungnya,” katanya.


Ibu bapa kebulur makan anak

Londn: Ibu bapa di Korea Utara didakwa memakan anak mereka bagi mengelak kebuluran, dakwa saksi semalam.
Baru-baru ini, katanya, seorang bapa ditembak mati pihak berkuasa di Hwanghae Selatan kerana membunuh dua anaknya untuk dijadikan makanan. Saksi berkata, lelaki terbabit menawarkan daging itu kepada isterinya apabila wanita terbabit kembali daripada urusan luar. “Ada kemungkinan kejadian seumpama itu berlaku di tempat lain di Korea Utara,” katanya.

Akhbar Sunday Times diberitahu, sekumpulan wartawan menyamar sempat merakamkan insiden mengerikan di negara itu. Antaranya, seorang lelaki menggali kubur cucunya untuk dimakan, manakala di daerah Chongdan, ada individu merebus anak sendiri untuk dimakan dagingnya. Ribuan penduduk Korea Utara dikhuatiri kebuluran ketika pemimpin mereka, Kim Jong-Un terus menikmati hidangan mewah. Sumber berkata, lebih 10,000 orang mungkin mati akibat kebuluran di Pyongyang saja kerana bekalan makanan amat terhad untuk digunakan. - TS


Ibu bapa kongkong kehidupan

Saya berusia 24 tahun dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam pelajaran kerana keputusan peperiksaan sentiasa konsisten.

Cuma, sekarang saya berasa makan hati dengan sikap ibu bapa yang keterlaluan mengongkong hidup saya biarpun pada usia ini saya boleh dikatakan sudah dewasa.

Saya berasal dari keluarga yang boleh dikatakan senang dengan segala keperluan mencukupi. Walaupun ibu bapa bersikap penyayang, sikap suka mengongkong mereka itu membuatkan saya sangat bosan.

Dunia pergaulan saya hanya di kampus dan rumah semata-mata. Saya selalu ditegah keluar rumah dengan tanggapan boleh membahayakan keselamatan.

Malah, lebih teruk, ibu bapa membelikan saya sebuah permainan video dengan tujuan melekakan saya supaya tidak keluar.

Jika keluar pun, perlu memberitahu mereka atau mesti berteman yang selalunya daripada kalangan keluarga.

Saya tahu apa dilakukan mereka tujuannya baik, tapi saya juga mahukan sedikit kebebasan untuk mencorakkan masa sendiri seperti bersama rakan lain menonton wayang dan sebagainya.

Saya tidak faham kenapa mereka melayan saya seperti budak-budak. Saya bukan anak tunggal malah mempunyai tiga orang lagi adik-beradik yang semuanya meningkat dewasa. Kami semua menerima layanan yang sama.

Saya bosan dengan keadaan ini. Bantulah saya.

MAHU BERDIKARI,
Perlis

Membaca coretan adik menjadikan Dr memahami dilema yang sedang adik hadapi. Dalam usia adik yang sudah dewasa tapi masih lagi dikongkong, sudah pasti akan meninggalkan konflik dalam diri.

Apa yang adik lalui ini ada kaitan dengan tahap perkembangan umur diri adik serta gaya asuhan ibu bapa.

Sikap kontra antara kedua-dua pihak akan mewujudkan konflik kerana tidak terdapat keserasian.

Umur adik terus meningkat dengan gaya pemikiran dewasa, tapi bagi pihak ibu bapa pula beranggapan adik masih kecil dan memerlukan pemerhatian demi keselamatan diri.

Percanggahan ini timbul kerana dua generasi iaitu adik dan ibu bapa memandang kehidupan ini dari sudut berbeza. Generasi muda ada matlamat dan perancangannya, begitu juga ibu bapa yang mungkin tidak memahami matlamat itu.

Bagaimanapun, masih banyak lagi jalan penyelesaian boleh dilakukan selain membuat strategi yang boleh mendatangkan kebaikan bersama.

Antaranya mengendalikan konflik antara anak dengan ibu bapa menerusi penyelesaian masalah secara bersama.

Ia bukan mudah kerana masing-masing mempunyai tuntutan sendiri terutama ibu bapa yang bertindak bagi menentukan keberkesanan sesebuah keluarga.

Mahatma Gandhi pernah berkata, `tiada sekolah setanding rumah tangga bahagia dan tiada guru setanding dengan ibu bapa yang tulus ikhlas dan berhati mulia’.

Erikson, seorang ahli psikologi terkenal menjelaskan, pada tahap umur adik ini, individu mula membentuk hubungan yang akrab dan rapat terutama dengan rakan berlainan jantina. Mereka mula memikir soal teman hidup, percintaan, hingga membawa kepada dunia perkahwinan.

Ibu bapa adik mengikut Santrock, seorang ahli psikologi lain, tergolong dalam kategori authoritarian. Ibu bapa jenis ini akan mengenakan peraturan dan hukuman kepada anak mereka.

Selain itu, ibu bapa authoritarian mahukan anak mereka patuh dan menghormati mereka. Pertuturan lisan antara ibu bapa dengan anak adalah terhad dan kurang digalakkan.

Jadi persoalan adik bahawa `saya tidak faham kenapa mereka buat saya seperti budak-budak’ ada kaitannya dengan bentuk asuhan keluarga ibu dan bapa adik.

Beberapa langkah yang digunakan ibu bapa boleh mengurangkan konflik antara anak dengan mereka. Gaya asuhan keluarga yang authoritatif boleh dicadangkan.

Antaranya, ialah melalui pemberian kasih sayang sejati, peruntukan masa bersama- sama, disiplin kukuh, saling menghormati, didikan kepada perkara yang betul bukan sebaliknya dan layanan mesra.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendengar pendapat dan bersifat realistik serta menggalakkan anak remaja berdikari.

Seorang anak pula wajib mentaati ibu bapanya dalam semua perkara kecuali dalam perkara maksiat atau kemungkaran kepada Allah.


Hajar hidu bau wangi sebelum 'pergi'
Wartawan Sinar Harian
28 Januari 2013
Hajar hidu bau wangi sebelum 'pergi'
Sabir menunjukkan gambar ceria Hajar yang diambil ketika berlajar di matrikulasi di Lendu, tahun lalu sambil diperhatikan Noraini dan anaknya, Muaz (kiri) dan Ahmad Syaqir (dua,
Hajar hidu bau wangi sebelum 'pergi'
SITI HAJAR
SAYA menerima panggilan daripada rakan Hajar yang turut terlibat kemalangan, Tasnim Kamardin @ Kamaruddin, 20, selepas menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan rumah kami.

Sebelum itu, Hajar ada maklumkan, dia dan tiga kawannya Tasnim, Azizue Hasni Abd Zubair dan rakan sekuliahnya, Wan Norsolehah Gaberan mahu ke kampung (rumah mertua) untuk menghantar barang-barang kerana asrama mereka perlu dikosongkan pada cuti semester.

Namun selepas solat Maghrib di masjid, saya dikejutkan dengan berita kemalangan dan terus ke Hospital Melaka bersama isteri yang ketika itu turut berjemaah di masjid.

Saya mula merasai Hajar akan ‘pergi’ selepas dia memberitahu terbau wangi pada 14 Januari lalu. Ketika itu, Hajar minta saya pulang ke rumah menjaga adik-adiknya.

Kata Hajar, saya perlu pulang jika saya percaya ALLAH akan menjaganya, sebelum dia tersenyum dan memberitahu ada bau wangi menerjah hidungnya.

Saya tanya, selalukah Hajar terbau seperti itu dan dia jawab kadang-kadang apabila jururawat datang dan ada kalanya waktu sahabat menziarah. Jawapan Hajar menyebabkan saya tidak jadi pulang ke rumah.

Hajar tidak menunjukkan sebarang perubahan pada kali terakhir kami bertemu dengannya seminggu sebelum kemalangan. Cuma melalui kawan-kawannya kami mendapat tahu Hajar sering menyebut ‘Kun Fa Ya Kun’ dan mengingatkan kawan-kawannya mengenai kekuasaan ALLAH dua, tiga minggu sebelum kejadian.

Bagaimanapun, kami telah menempah sebuah al-Quran selepas mendapat tahu Hajar mahu membeli Syaamil Al-Quran Miracle The Reference tetapi dia tidak mempunyai wang yang cukup.

Hajar yang bercita-cita mahu membuka perniagaan sendiri, mengambil jurusan multimedia selepas berdaftar di UTeM September lalu sebelum terlibat kemalangan yang berlaku pada minggu peperiksaan.

Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, Hajar selalu menasihati adik-adiknya dan sering beri tunjuk ajar dalam mata pelajaran dan sejak bersekolah di sebuah pondok dan maahad di Kelantan, saya melihat perubahan positif pada dirinya.

Hasil didikan guru-gurunya, kami bersyukur memiliki anak sepertinya yang tidak sekalipun bersangka buruk akan takdir ALLAH.

Pagi 20 Januari itu, dalam tenang dakapan ibunya, Hajar pergi meninggalkan kami.

"Pergilah nak... kalau itu yang terbaik untuk mu. Pergilah nak...ALLAH lebih menyayangimu. Moga DIA menyediakan tempat yang terindah untuk Hajar di alam barunya itu!"

pix_topright

Guru luar banyak masalah

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
Hari ini, sektor pendidikan negara ter­nyata bergerak cukup pantas merentasi transformasi bagi menyaingi keperluan global termasuk pengiktirafan antarabangsa.
Usaha itu bukan sekadar meninggikan lagi taraf pendidikan nasional malah bukti bahawa sektor pendidikan sudah bersedia melangkau frasa globalisasi ilmu tanpa sempadan.
Pelbagai usaha dipergiat­kan dari semasa ke semasa dengan pendekatan menyeluruh termasuk membawa guru dari luar negara mengajar bahasa Inggeris dan bidang teknikal.

Mungkin usaha itu bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan nasional namun ia menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan.

Ia seperti menidakkan kemampuan tenaga guru tempatan dan kemungkinan mewujudkan masalah lain.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, pe­ngambilan guru dari luar bagi membantu melonjakkan sektor pendidikan negara tidak salah namun bimbang menimbulkan masalah lain.

Beliau berkata, biarpun tujuan pengambilan itu positif, tetapi sensitiviti guru tempatan perlu diambil kira.

“Usaha menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak adalah baik namun perlu mempunyai perancangan rapi bagi mengelak pihak lain tersinggung.

“Bukan tujuan mengkritik atau membangkang, namun perlu ada perbincangan mendalam sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Pelbagai frasa diperkenal dan diperbaharui untuk menjadikan sektor pendidikan negara setanding di peringkat antarabangsa.

Antara yang giat dilakukan ialah memperkasakan modul tertentu seperti bahasa Inggeris dengan usaha proaktif membawa tenaga pengajar dari luar termasuk dari India.

Bagaimanapun, ada pihak berpendapat pendekatan itu boleh mendatangkan implikasi sampingan yang boleh menjejaskan kepentingan dan masa depan guru tempatan.

Lumrahnya, tenaga pengajar dari luar kurang memahami aspek budaya pembelajaran pelajar tempatan selain perbezaan sosial yang boleh mendatangkan konflik sampingan.

“Dalam proses pembelajaran ini, bukan hanya modul perlu diambil kira malah kesediaan guru luar untuk menerima budaya dan sosial tempatan perlu diberi perhatian.

“Mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan supaya boleh memahami, mendekati dan mengenali pelajar dengan lebih baik.

“Meskipun matlamat pe­ngambilan guru luar adalah baik, bukan semua mampu berbuat demikian,” katanya mengakui tanpa pendekatan teliti, ia boleh menjarakkan jurang.

“Kemungkinan guru tempatan akan merasakan khidmat mereka seperti tidak berkualiti atau mendapat pengiktirafan walaupun mempunyai kelayakan.

“Ini bukan saja seperti memperlekehkan keupayaan mereka malah boleh menerbitkan kecenderu­ngan guru tempatan berasa terpinggir.

“Setiap pelaksanaan perlu ada struktur menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil bagi menjaga kepentingan bersama,” katanya.

Ditanya adakah perlu kemasukan guru luar negara, beliau berkata ia boleh dilakukan atas faktor tertentu, tapi perlu memastikan isu berbangkit di kalangan guru dan bakal guru diselesaikan terlebih dulu.

Lambakan lambakan graduan yang mengambil jurusan pendidikan, katanya, perlu diambil perhatian serius.

“Setiap tahun, ramai graduan jurusan ini menanti penempatan. Bayangkan bagaimana nasib bakal guru baru jika lambakan mereka tidak ditangani dengan baik.

“Ada yang sudah lama menamatkan pengajian tapi masih belum ada tempat mengajar. Dari segi teori pendidikan, keadaan ini seharusnya tidak berlaku.

“Kita ada barisan bakal guru muda yang sangat berdedikasi dan lebih arif dengan sistem pembelajaran. Jangan kera di hutan disusukan tetapi anak sendiri mati kelaparan,” katanya.

Pengambilan guru luar negara juga biarpun bertujuan memperkukuhkan beberapa aspek pembelajaran, namun masih boleh diatasi dengan kemampuan guru tempatan.

“Contohnya, pengambilan itu bertujuan memperkasakan bahasa Inggeris. Graduan kita pun boleh berbahasa Ing­geris dengan baik terutama jika mengambil pengkhususan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL).

“Jadi, tiada isu besar bahasa itu tidak boleh diajar guru tempatan. Yang perlu dilakukan ialah memberi latihan berterusan supaya kemahiran mereka lebih tinggi.
“Saya tidak menafikan guru luar ada pengalaman, pertuturan mereka mungkin lebih sedap, tetapi sudut lain juga perlu diambil perhatian.

“ Isu gaji, penempatan dan keistimewaan dalam aspek tertentu harus diambil kira supaya guru luar ini tidak merungut atau berasa tidak puas hati.

“Kita berurusan dengan aspek pendidikan yang seharusnya dimartabatkan dengan rasa hormat, tiada kompromi dalam apa jua hal berbangkit.

“Jika wujud masalah, dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajar, yang akhirnya berbalik kepada guru, sekolah, kementerian, ibu bapa dan masyarakat,” katanya menambah acuan utama dalam proses penerusan usaha itu ialah memastikan matlamat disasarkan tidak menjadi sia - sia.

“Kita tahu proses membawa guru luar negara ini bukan mudah kerana perlu melalui pelbagai rangkaian perjanjian, tolak ansur dan kerjasama.

“Justeru kita mengharap­kan hasilnya juga setimpal dengan apa yang dilaburkan.
“Pada masa sama, hargai jasa dan jangan ketepikan peranan guru tempatan,” katanya.

Tidak pula menganggap apa dilakukan itu satu pembaziran, akuinya, pendekatan itu perlu dilihat sebagai usaha padu untuk menaikkan lagi sektor pendidikan negara.

“Apa dilakukan ini sebahagian transformasi berani kerajaan untuk membangun dan memberi pendidikan terbaik kepada rakyat.

“Usaha ini tidak salah cuma sebelum mengimplikasikannya, kita sudah bersedia dengan pelan tertentu selain jangan ketepikan keperluan guru tempatan.

“Kita tidak boleh berterusan bergantung kepada sumber tenaga luar, jadi guru tempatan inilah yang akan meneruskan kesinambungan proses pendidikan itu, jadi berikanlah mereka juga peranan dan keutamaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment