Monday, January 28, 2013

MAMPUKAH KITA MENGHENTIKAN TAKDIR ALLAH SEPERTI BANJIR DAN LAIN-LAIN LAGI

Laporan awal DNA sahkan mayat William Yau

Posted on the January 28th, 2013 under Tempatan by admin


KUALA LUMPUR – Laporan awal ujian DNA oleh Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang pada 24 Jan lalu adalah William Yau Zhen Zhong.
Ini dinyatakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Bin Ramli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya hari ini.
“Laporan (itu mengesahkan) mayat itu adalah William,” katanya.

William, 6, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Pada 24 Januari, mayat seorang kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 6.30 petang, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
Proses bedah siasat yang dilakukan pada 25 Januari bagaimanapun gagal mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu kerana keadaan mayat dan organ dalaman yang reput. Kanak-kanak itu disahkan telah mati kira-kira seminggu ditemui.
Pada hari sama, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan penemuan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi mangsa, selain penemuan seluar dalam milik William yang dipakai kanak-kanak itu.
Pada ketika itu, siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak itu 75 peratus menyerupai William.
Berita kehilangan William turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi mencari William.
Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuh polis bagi mencari dan mengesan William di kawasan sekitar Putra Heights dalam operasi yang turut disertai Unit K9 dan mendapat kerjasama Alam Flora yang mengarahkan lebih 3,500 warga kerja mengesan William. – Bernama

Israel tidak mampu hentikan Azan

Posted on the January 29th, 2013 under Agama,Luar Negara by admin


Sejumlah kelompok Yahudi ekstrem gagal melakukan konspirasi untuk menghentikan azan yang dikumandangkan di beberapa kawasan pendudukan Palestin.
Sebagaimana dilaporkan TV Alalam, Rabu lalu, sekumpulan pelampau di wilayah Ramat Aviv yang terletak di utara Tel Aviv, mengajak warga Yahudi di wilayah itu untuk bersama-sama menghentikan laungan azan.
Mereka mengajak pendatang Yahudi lain di wilayah itu dengan meneriakkan pengumuman melalui pembesar suara di tengah malam.

Rangkaian 10 televisyen rejim Yahudi dalam laporannya berkata, “Tindakan para kaum ekstrem yang mengajak warga Yahudi di wilayah Ramat Aviv untuk mematikan suara azan di masjid-masjid, di luar dugaan mendapat bantahan keras dari warga Yahudi. Bahkan di beberapa kawasan penempatan pendatang Israel, mereka marah dan mencaci para ekstrimis itu. ”
Sebahagian warga Yahudi, kata Rangkaian 10, menelefon polis dan mendesak agar para ekstrimis itu ditangkap.
Diterjemahkan dari sumber republika via Detik Islam

Ganjaran RM60,000 untuk maklumat kes kematian William Yau

Posted on the January 29th, 2013 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR – Ganjaran RM60,000 menanti sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penangkapan dan sabitan mereka yang bertanggungjawab atas kematian William Yau Zhen Zhong.
“Maklumat itu mestilah sah dan mencukupi untuk mendakwa seseorang di mahkamah,” kata Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong pada sidang media sini, hari ini.
Polis hari ini mengesahkan laporan awal ujian ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) Jabatan Kimia ke atas seorang mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang, pada 24 Januari lalu, adalah William.

William, 6, dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
“Ia belum selesai, hanya kerana pihak polis telah menemui mayatnya. Kami mahu keadilan untuk si kecil William,” kata Chong menambah, ganjaran itu disumbangkan enam pihak yang prihatin.
Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi beliau di talian 013-3982381 atau 03-22033888. – Bernama

Rita Rudaini tidak terkejut dakwaan Nazmi Faiz

Posted on the January 28th, 2013 under Artis by admin

KUALA LUMPUR, 28 JAN.- “Saya tidak terkejut pun, kalau hal itu benar-benar berlaku,” demikian ulas pelakon Rita Rudaini mengenai kontroversi terbaharu membabitkan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang dikatakan telah ‘merampas’ kekasih kepada pemain bolasepak skuad Harimau Muda, Mohd. Nazmi Faiz Mansor.
Rita sendiri membaca komen-komen membabitkan Aidil dalam laman twitter Nazmi, yang dihantar oleh peminat ke laman sosial peribadinya.
“Ini bukan kes pertama dia dikaitkan dengan perempuan, sudah banyak kali. Saya anggap sudah lali dengan cerita cinta dia sampaikan tak mahu fikir lagi dengan siapa dia hendak bercinta, biarkanlah dia dengan cara hidupnya.

“Cuma saya harap, dia akan selesaikan kes mahkamah kami dengan baik dan ingat akan tanggungjawab kepada anak-anak yang sudah sekian lama diabaikan,” beritahu Rita kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas dakwaan pemain yang kini beraksi untuk kelab SC Beira-Mar di Portugal itu di dalam twitter hari ini yang mendakwa Aidil menjalinkan hubungan sulit dengan bekas kekasihnya yang dikenali Tengku Fiella.
Mohd. Nazmi mendakwa, Aidil pernah memberikan sejumlah wang kepada Tengku Fiella untuk dia berbelanja di Johor dan tinggal bersama pemain Johor Darul Takzim itu selama beberapa hari.
Bagaimanapun, Mohd. Nazmi kemudian memadamkan dakwaan itu daripada twitternya tidak lama kemudian. – UTUSAN

Aidil jalin hubungan sulit dengan bekas kekasih Nazmi?

Posted on the January 28th, 2013 under Artis by admin


KUALA LUMPUR 28 Jan. – Bintang bola sepak remaja kebangsaan, Mohd. Nazmi Faiz Mansor hari ini mencetuskan isu sensasi apabila mendakwa pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanitanya yang dikenali sebagai Tengku Fiella.
Mohd. Nazmi Faiz, 19, yang kini bermain untuk kelab SC Beira-Mar di Portugal dalam twitternya pagi ini antara lain mendakwa, Aidil yang kini mewakili Johor Darul Takzim telah memberikan sejumlah wang kepada Tengku Fiella untuk membolehkan bekas kekasihnya itu berbelanja di Johor.
Pemain muda itu turut mendakwa Tengku Fiella pernah tinggal bersama Aidil selama beberapa hari di Johor Bahru.

Beliau mendakwa mengetahui semua aktiviti Aidil yang juga suami kepada Rita Rudaini dan Tengku Fiella itu menerusi seorang rakannya yang berada di tanah air.
Bagaimanapun, Mohd. Nazmi kemudian memadamkan dakwaan itu daripada twitternya tidak lama kemudian.
Sementara itu, Tengku Fiella menafikan dakwaan Mohd. Nazmi Faiz itu dan mengaku tidak mengenali Aidil.
“Saya tidak pernah kenal pun Aidil. Nazmi saya tidak tahulah, dia memang kuat cemburu dan kami sudah lama putus. Dia ada hubungi saya tetapi saya tak layan,” katanya seperti dipetik dari blog Rotikaya.com hari ini.
Bagaimanapun, Mohd. Nazmi Faiz yang berada di Portugal masih gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut. – UTUSAN

Operasi mandul awan cegah hujan di Jakarta

Posted on the January 26th, 2013 under Luar Negara by admin

JAKARTA – Kawasan utara Jakarta diramal mengalami banjir pada Ahad ini akibat air pasang laut, dan bagi mengelak keadaan banjir menjadi lebih buruk jika hujan turun pada hari sama, usaha sedang dijalankan untuk menghentikan hujan melalui teknologi kejuruteraan untuk ‘memandulkan awan’.
Unit Pelaksana Teknik (UPT) Hujan Buatan, Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT), yang diberi tugas itu, bersiap sedia melakukan operasi itu menggunakan pesawat.
Ketua UPT HUjan Buatan BPPT F. Heru Widodo berkata pasukannya akan melakukan pengubahsuaian awan pada Sabtu kerana mengikut ramalan, pergerakan awan mulai 26 Jan hingga 28 Jan akan menyebabkan berlaku hujan lebat.

“Untuk mencegah hujan lebat ini, kami sudah bersiap-siap untuk melakukan pengubahsuaian hujan untuk tempoh selama dua bulan,” katanya seperti yang dipetik portal berita Media Indonesia, pada Jumaat.
Heru berkata kaedah pengubahsuaian yang akan diterap ialah persaingan, dan anggota pasukan itu akan memilih awan dari jenis kumulus di sekitar barat daya, barat laut, sebelah barat Pulau Jawa atau Wilayah Selat Sunda serta Anyer.
Mereka kemudian akan menyemai awan dengan cara menanam bahan mengandungi garam berukuran 2 hingga 5 mikron dengan bantuan pesawat, selain menggunakan sistem statik di darat melalui alat Ground Base Generator (GBG).
Heru berkata lima GBG akan ditempatkan di sekitar Gunung Gede dan 25 lokasi di wilayah Jakarta untuk mengubah suai awan agar terpecah.
Beliau berkata apabila awan kumulus terpecah, seluruh awan akan bersaing, dan semakin banyak persaingan, maka banyaklah awan yang akan menjadi impoten atau mandul kerana tidak boleh menghasilkan air sama sekali. – Bernama

Suami isteri ditahan, polis rampas ganja RM110,000

Posted on the January 26th, 2013 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik gerai makan di Kampung Baru di sini kerana disyaki mengedar dan menyimpan dadah bernilai RM110,000.
Mereka ditahan dalam serbuan polis di gerai makan itu pada 4.30 petang semalam yang menyaksikan rampasan ganja seberat 670 gram, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira sejam selepas serbuan di gerai itu, polis menyerbu sebuah stor kira-kira 200 meter di belakang rumah pasangan itu dan merampas 40 ketulan mampat dipercayai ganja yang telah dibalut.
“Pasangan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak beberapa tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pembeli dadah itu.
“Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun dan saringan awal urin mendapati mereka positif dadah jenis ganja,” katanya sambil memberitahu suspek ditahan reman hari ini hingga Khamis. – Bernama

Mayat bayi tersangkut di perangkap sampah

Posted on the January 24th, 2013 under Tempatan by admin


Kuala Lumpur: Satu mayat bayi lelaki yang cukup sifat serta masih bertali pusat ditemui tersangkut di perangkap sampah sebuah longkang berhampiran Flat Seri Wilayah, di Jalan Sentul Manis, di sini, semalam.
Mayat itu ditemui pekerja kontrak pembersihan perangkap sampah pada jam 12.30 tengah hari sebelum memaklumkan majikannya yang kemudian menghubungi polis.
Saksi, Nor Mohd Razib Mohd Nor, 27, berkata, dia dimaklumkan seorang daripada pekerjanya mengenai penemuan bayi itu melalui telefon sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas pasti objek itu bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat, saya menghubungi polis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan dan polis percaya mayat bayi itu dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dicampak ke sungai.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan beg plastik berisi mayat bayi itu dihanyutkan dari lokasi lain sebelum ditemui.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
“Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.
Harian Metro
P/S: Hampir setiap hari kes buang bayi. 2 hari lepas campak dalam tong sampah!

No comments:

Post a Comment