Sunday, January 27, 2013

MENANG KALAH ADAT BERTANDING...JANGAN NAK MENANG MAIN TEKTIK KOTOR DAN MENIPU...AKHIRAT ALLAH MASUKKAN DALAM NERAKA KERANA PENIPU...RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA...TAK CAYA TANYA MUFTI2

Pemerintah Syria minta warganya berdoa

AFP - BASHAR (kiri) duduk di sebelah Ahmed di sebuah masjid di utara Damsyik.


DAMSYIK – Pihak berkuasa Syria menyeru berjuta-juta warga negara ini untuk berdoa di masjid-masjid pada hari ini bagi mengembalikan keamanan selepas 22 bulan berlaku pertumpahan darah, kata seorang menteri.
“Doa itu perlu dilakukan setiap kali selepas solat Jumaat di masjid-masjid bagi memohon keselamatan dan keamanan di Syria,” kata Menteri Hal Ehwal Agama, Mohammed Abdel Settar dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu disiarkan oleh agensi berita SANA semalam.
Konflik di Syria mula berlaku pada Mac 2011 selepas para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan melancarkan tentangan ke atas rejim Presiden Bashar Al-Assad kerana mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya.
Para penentang itu menuduh Bashar gagal untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara.
Lebih 43,000 nyawa kebanyakan orang awam telah dilaporkan terkorban sejak pertempuran tersebut berlaku di Syria.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 60,000 orang terbunuh.
Sementara itu, Bashar menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di masjid yang terletak di sebuah daerah utara Damsyik semalam.
Beliau dilihat duduk di sebelah Mufti Syria, Ahmed Hassun.
Imej itu disiarkan stesen televisyen Syria. – Agensi

Aktivis tuntut wakil rakyat disiasat kes berkaitan seks di Bolivia


AP - SEORANG anggota polis mengawal Alcibia (kanan) di Sucre, Bolivia pada Selasa lalu.


LA PAZ, Bolivia – Beberapa kumpulan hak asasi wanita menuntut supaya satu siasatan serangan seksual dijalankan ke atas seorang wakil rakyat selepas satu rakaman kamera keselamatan mendedahkan beliau memaksa seorang penjaga bangunan yang mabuk melakukan hubungan seks.
Wakil rakyat itu, Domingo Alcibia telah ditahan pada Selasa lalu iaitu seminggu selepas insiden tersebut berlaku.
Pihak pendakwa raya berkata, Alcibia akan didakwa kerana menyalahgunakan kuasa dan bukan kerana merogol wanita berkenaan disebabkan tiada laporan dibuat berhubung kejadian jenayah tersebut.
“Kami mendesak supaya pejabat pendakwa raya menyiasat insiden itu dan sekiranya perlu, kami akan menjadi orang yang akan memfailkan aduan rogol,” kata jurucakap Pusat Maklumat dan Pembangunan Wanita, Patricia Branez kelmarin. – AP

21,000 bilah pisau diberikan kepada wanita di negeri India


AFP - SEORANG wanita memegang sebilah pisau yang diberikan oleh kakitangan parti Shiv Sena di Mumbai kelmarin.


MUMBAI – Sebuah parti politik berhaluan kanan India mengedarkan beribu-ribu bilah pisau kepada golongan wanita di sebuah negeri di barat India untuk digunakan mereka jika diserang.
Pisau-pisau itu diberikan selepas seorang pelajar wanita yang berusia 23 tahun mati akibat dirogol oleh beberapa lelaki pada Disember tahun lalu.
Parti Shiv Sena itu mengedarkan senjata tersebut pada Rabu lalu pada sebuah majlis yang diadakan di sini.
Pemimpin parti itu, Ajay Chowdhary berkata, wanita harus menyimpan pisau tersebut dekat dompet mereka.
Sejumlah 21,000 bilah pisau itu diedarkan manakala negeri Maharashtra yang kerap berlaku kejadian rogol dan bunuh menjadi tumpuan utama pengedaran. – AFP

Williams pecahkan raket selepas kalah


AP
WILLIAMS memukul raketnya ke atas gelanggang selepas dia kalah pada pertandingan suku akhir Terbuka Australia di Melbourne kelmarin.


MELBOURNE, Australia - Pemain tenis terkenal dunia dari Amerika Syarikat (AS), Serena Williams memecahkan raket selepas dia kalah pada perlawanan suku akhir di sini kelmarin.
Williams, 31, melakukan perbuatan itu selepas dia tewas kepada pemain berusia 19 tahun, Sloane Stephens juga dari AS pada pertandingan Terbuka Australia.
Dia memukul raket tersebut ke atas gelanggang bagi menunjukkan perasaan kecewa ekoran kekalahannya itu. - Agensi

Letup gerabak untuk kajian


AFP
GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan sebuah gerabak diletupkan untuk tujuan kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Newcastle.


LONDON - Beberapa penyelidik di Pusat Penyelidikan Rel, Universiti Newcastle, Britain meletupkan beberapa gerabak kereta api yang tidak lagi digunakan baru-baru ini.
Tren itu diletupkan dengan tujuan untuk menyaksikan serpihan gerabak tersebut berterbangan.
Letupan tersebut dirakamkan menerusi kamera.
Kumpulan penyelidikan itu pernah menyatakan mereka mereka berjaya menghasilkan gerabak yang boleh mengurangkan bilangan kematian dan kecederaan penumpang jika berlaku serangan pengganas.
Pengurangan kecelakaan itu boleh dilakukan menerusi penggunaan tingkap plastik bagi mengelak kaca berterbangan apabila gerabak dibom pengganas. - AFP

Rangka tulang badak air dilelong


AP
SEORANG pekerja Rumah Lelongan Bonhams menyaksikan rangka tulang seekor badak air di London semalam.


LONDON - Rangka tulang seekor badak air akan dilelong di sini pada 29 hingga 30 Januari depan.
Ia dijangka dilelong pada harga antara AS$16,000 (RM48,659) hingga AS$24,000 (RM72,989).
Lelongan itu dianjurkan oleh Rumah Lelongan Bonhams.
Turut dilelong ialah sebatang cerut buatan Cuba yang pernah dimiliki oleh bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill.
Cerut tersebut dianggarkan akan dilelong pada harga antara AS$810 (RM2,463) hingga AS$1,100 (RM3,345). - Agensi

Pelari maraton berusia 101 tahun akan bersara


AFP
GAMBAR fail menunjukkan Fauja (dua dari kanan) menyertai pertandingan maraton di Mumbai, India.


NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 101 tahun, Fauja Singh akan bersara sebagai pelari maraton pada 24 Februari depan, menurut laporan media semalam.
Fauja berkata, dia tidak akan bertanding lagi selepas menyertai pertandingan Hong Kong Maraton pada tarikh tersebut.
Dia yang kini menjadi warga Britain akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-102 pada 1 April depan.
Fauja kini merupakan pelari maraton paling tua di dunia.
"Bagaimanapun, saya akan terus berlari sekurang-kurangnya empat jam sehari selepas pertandingan itu," katanya yang tinggal di Ilford, England.
Fauja memberitahu hasratnya itu kepada akhbar Times of India semasa dia melawat negeri kelahirannya, Punjab di India.
Dia mula berlari ketika berusia 89 tahun dan pernah bertanding pada pertandingan maraton di London, Toronto dan New York.
Lelaki tersebut dilahirkan pada 1 April 1911 di India.
Fauja menegaskan dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit.
Pelari itu menyatakan, dia juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan.
Menurutnya, punca utama dia sihat adalah kerana senaman yang dilakukannya pada setiap hari selain mengamalkan diet yang betul. - AFP

Jepun serang bot Taiwan dengan meriam air


AFP
SEBUAH kapal pengawal pantai Jepun melepaskan tembakan meriam air ke arah bot nelayan Taiwan dekat Kepulauan Senkaku semalam.


TAIPEI - Sebuah kapal pengawal pantai Jepun melepaskan tembakan meriam air ke arah sebuah bot nelayan yang membawa beberapa aktivis Taiwan ke Kepulauan Senkaku di Laut China Timur semalam.
Bot itu membawa tujuh orang penumpang selain empat aktivis itu telah disekat oleh kapal pengawal pantai tersebut kira-kira 17 batu nautika dari kepulauan berkenaan.
Sebuah kapal pengawal pantai milik Taiwan turut melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal milik Jepun itu.
Ketika kejadian, para aktivis itu menuju ke kepulauan tersebut bagi meletak sebuah patung dewi laut untuk melindungi nelayan-nelayan Taiwan ketika berada di kawasan berkenaan.
Tiga buah kepal peninjau China turut kelihatan dekat pulau itu ketika kejadian tersebut berlaku.
Kepulauan Senkaku yang turut dikenali sebagai Diaoyu di China menjadi rebutan antara China, Jepun dan Taiwan. - AFP

6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat

abdul RAHIM (dua dari kanan) menunjukkan gambar bayi yang diselamatkan serta surat kelahiran yang dirampas hasil operasi ke atas sindiket menjual bayi di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket penjualan bayi terbesar di negara ini ekoran penahanan 33 individu sebelum berjaya menyelamatkan enam bayi dan tiga kanak-kanak yang sudah dijual kepada keluarga angkat masing-masing dalam beberapa serbuan bermula Disember tahun lalu sehingga kelmarin.
Ahli sindiket menjual bayi yang ditahan berusia antara 23 tahun dan 62 tahun dan ada antara mereka merupakan kakitangan awam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta doktor di pusat perubatan swasta.
Enam bayi dan tiga kanak-kanak yang diselamatkan itu terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan. Mereka pula dipercayai melibatkan tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang rakyat tempatan dan seorang lagi warga Bangladesh.
Difahamkan, kesemua bayi dan kanak-kanak berkenaan dijual kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat pada harga RM18,000 hingga RM30,000 setiap seorang. Bayi yang dijual pada harga RM30,000 mempunyai sijil kelahiran, MyKid dan surat kesihatan.
Bagaimanapun, penetapan harga bayi juga boleh ditentukan mengikut rupa paras, warna kulit dan jantina bayi terbabit.
Kegiatan sindiket yang didalangi seorang wanita Cina tempatan berusia 50-an yang turut ditahan itu mendapat bekalan bayi untuk dijual dengan menyasarkan wanita Indonesia dan Thailand yang hamil anak luar nikah atau mengalami kesempitan wang.
Ibu yang mengandung dan bekerja di negara ini dikatakan sanggup menjual bayi masing-masing bagi mendapatkan wang.
Sindiket terbabit disyaki mendapatkan maklumat mengenai wanita hamil termasuk yang mahu menggugurkan kandungan daripada doktor di sebuah klinik swasta di sini.
Dalang dan doktor di klinik swasta itu akan bekerjasama dalam urusan pengumpulan maklumat ibu mengandung warga asing yang mendapatkan rawatan susulan di klinik tersebut.
Kakitangan di JPN yang mengurus proses pengeluaran sijil kelahiran turut diberi sejumlah wang.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kegiatan sindiket itu dikesan selepas polis menerima laporan pada awal Disember 2012 mengenai penjualan seorang bayi berusia 40 hari pada harga RM4,300 oleh seorang wanita warga asing.
“Daripada maklumat itu polis melalui Ops Pintas Sayang membongkar satu sindiket jual bayi yang bergerak aktif sejak tahun 2009 sebelum berjaya menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak yang berada di negeri ini, Kedah dan Perak,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, seramai 33 orang yang terdiri daripada 22 suspek berketurunan Cina, enam India, seorang Melayu, seorang rakyat Thailand dan tiga warga Indonesia itu diberkas.
“Sindiket ini hanya membayar kepada ibu mengandung yang tidak mahu bayi mereka antara RM2,500 hingga RM4,500,” katanya.
Mereka yang diberkas ada yang bekerja sebagai ahli perniagaan, pekerja kilang dan seorang kakitangan JPN.
Abdul Rahim memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis merampas 19 buah telefon bimbit, dua buah kereta, lima MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 kad perubatan dan wang tunai berjumlah RM15,000.
Kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Stor diesel di Segamat diserbu


DUA daripada tiga buah tangki yang diletakkan di stor di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat.


SEGAMAT – Hanya seminggu selepas serbuan sebuah stor menyimpan minyak diesel di Pengerang, kegiatan penyeludupan minyak subsidi itu rupa-rupanya sudah merebak ke sebuah kawasan lapang di Jalan Segamat-Kuantan di sini.
Rahsia tersebut terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu markas pengumpulan minyak diesel itu yang dipercayai sudah aktif beroperasi di situ kira-kira setahun lalu.
Semasa serbuan pada pukul 5 petang Selasa lalu, KPDNKK menemui sejumlah 250,000 liter minyak diesel yang berharga RM450,000 yang dikumpul di markas itu dalam tempoh dua minggu lalu. Kesemua minyak diesel itu disimpan dalam tiga buah tangki dan ia dalam proses diseludup ke negara jiran.
Pemeriksaan di tanah lapang yang dikelilingi zink dan dijaga oleh beberapa tonto itu dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 30-an. Lelaki itu masih bebas.
Satu sumber berkata, modus operandi sindiket itu dikatakan menggunakan beberapa buah lori ais dan treler bagi mengangkut minyak diesel yang dibeli di stesen-stesen minyak di sekitar daerah ini.
Seperti kegiatan penyeludupan minyak di Pengerang yang terletak kira-kira 250 kilometer dari daerah ini, sindiket itu juga menggunakan cara sama iaitu membeli minyak diesel pada harga RM1.85 setiap liter berbanding dengan harga asal RM1.80.
Kegiatan membeli diesel itu pula dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi dan kerja-kerja menyimpan diesel dari lori ke dalam tangki di stor itu dilakukan pada waktu pagi hingga petang.
Setiap buah kenderaan yang mampu menampung 6,000 liter minyak diesel itu dikatakan akan memunggah bekalan minyak ke stor itu sebanyak tiga kali sehari.
“Pekerja di stesen minyak di daerah ini menerima komisen lima sen bagi setiap liter diesel yang dijual kepada sindiket itu tanpa had,” kata sumber itu.
Selepas tiga tangki di stor itu penuh, sindiket itu akan memunggah minyak itu ke kawasan persisir pantai di beberapa lokasi di Johor Bahru untuk dihantar ke kapal dan diseludup ke negara jiran.
Jelas sumber itu lagi, sindiket itu memilih daerah ini sebagai lokasi membeli minyak diesel subsidi kerana beberapa daerah lain di Johor Bahru sudah dimonopoli oleh sindiket lain yang lebih berkuasa.
Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd. Yusof Zakaria yang mengetuai operasi tersebut berkata, semasa pemeriksaan di stor itu, mereka menahan pekerja lelaki berusia 26 tahun.
Menurut beliau, lelaki itu yang terkejut dengan kemunculan pihak berkuasa bertindak menghubungi dalangnya.
Bagaimanapun, dalang sindiket itu tidak muncul.
“Dalam serbuan itu kami menyita dua buah lori dan 30,000 liter diesel yang disimpan di stor itu,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi dan Pembangunan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan Selasa lalu merupakan antara sindiket penyeludup minyak diesel yang dipantau pihaknya.
Menurut beliau, kegiatan penyeludupan diesel banyak dilaporkan di Johor kerana faktor geografinya yang berdekatan dengan laut dan negara jiran menyebabkan bekalan minyak diesel mendapat permintaan tinggi.
Difahamkan, diesel seludup yang dijual oleh sindiket ke Singapura, Thailand atau Indonesia pada harga antara RM2.20 hingga RM2.40 satu liter.

2 maut kereta dihempap pokok


KEADAAN kereta selepas dihempap pokok kelapa tumbang mengakibatkan dua maut di Jalan Hutan Lipur Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Hajat dua beranak berjoging di taman rekreasi Hutan Lipur Cherok Tok Kun seperti hari-hari sebelum ini tidak kesampaian apabila mereka maut dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menimpa kereta dinaiki di Jalan Hutan Lipur Cherok Tok Kun di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Tan Sai Lang, 70, dan anak perempuannya, Heng Lee Liew, 44, yang memandu kereta Proton Satria mati di tempat duduk masing-masing.
Dua beranak itu keluar dari rumah di Taman Permai Indah pada pukul 6 pagi dan jarak antara rumah mangsa dengan taman rekreasi tersebut ialah kira-kira 6.5 kilometer.
Tragedi itu berlaku hanya kira-kira satu kilometer dari taman rekreasi tersebut.
Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat selepas memotong bumbung kereta.
Anak lelaki bongsu mangsa, Heng Lih Hwang, 40, berkata, ibu dan kakaknya kerap keluar berjoging di taman rekreasi berkenaan jika ada kelapangan.
"Saya tidak sangka mereka pergi dalam keadaan yang menyayat hati seperti ini," katanya sedih ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Pengawal disko mati ditembak


ANGGOTA polis membawa seorang suspek (depan) yang dipercayai terlibat kes tembak mati di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara semalam.


GEORGE TOWN - Seorang pengawal sebuah kelab malam ditemui mati dengan kesan satu das tembakan di rusuk kiri menembusi dada selepas terlibat dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kedai alat tulis di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa Fauzi Husin, 24, dilaporkan mati di tempat kejadian setelah ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada 10 suspek yang berada di lokasi kejadian.
Premis yang menjadi lokasi pergaduhan itu merupakan sebuah stor simpanan barang alat tulis.
Sebelum tercetus pergaduhan, mangsa dan kumpulan suspek itu dikatakan mengadakan perbincangan mengenai satu urusan perniagaan.
Menurut seorang jurucakap polis, siasatan mendapati suspek utama yang terlibat dalam pergaduhan itu merupakan lelaki berusia 31 tahun. Lelaki itu dipercayai Ketua Kongsi Gelap 24 yang menjalankan kegiatan di kawasan Bayan Lepas di sini.
Mengikut keterangan saksi, pengawal peribadi suspek itu dikatakan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Mangsa yang terbunuh dan suspek utama mempunyai rekod berkaitan kes dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki terbabit daripada orang awam yang menghubungi Balai Polis Sungai Dua.
Beliau berkata, pemeriksaan pasukan polis forensik di lokasi kejadian menjumpai satu kelongsong peluru dan empat kotak mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan.
"Kesemua yang terlibat dalam pergaduhan itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol kerana terdapat banyak tin minuman keras ditemui di lokasi kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Abdul Rahim berkata, setakat ini polis menahan enam suspek termasuk suspek utama kejadian itu.
" Tangkapan itu membabitkan dua lelaki Melayu, dua lelaki Cina, seorang wanita Melayu dan seorang perempuan Vietnam," kata beliau.

Pasar lama Satok dibangun ala Portobello


PEMANDANGAN Pasar Portobello di London yang akan dijadikan model pembangunan semula tapak lama Pasar Tamu Satok di Kuching.


KUCHING - Pasar Portobello di London akan menjadi asas model pembangunan semula tapak lama Pasar Tamu Satok, kata Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg (gambar kecil).
Tapak lama Pasar Tamu Satok dirobohkan awal bulan ini dan para peniaga di kawasan itu dipindahkan ke Medan Niaga Satok di Kubah Ria di sini.
Beliau berkata, tapak lama itu dilihat sesuai untuk dibangunkan menyerupai Pasar Portobello dan akan menjadi satu lagi daya tarikan di Satok.
"Ini idea baharu, kita akan bangunkan kawasan tapak lama seperti Portobello Market di London dan sebuah kawasan di Orlando, Amerika Syarikat yang menjual produk tekstil yang ditolak. Di negara tersebut, mereka menggunakan karavan ketika berurus niaga, jadi kita mungkin menggunakan model karavan yang sama.
"Kita percaya pembangunan semula ini akan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan Satok dan bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancong di kawasan tersebut," katanya.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Satok berkata, pembangunan semula kawasan itu akan dirancang agar selari dengan rancangan awal Dewan Bandaraya Kuching Utara untuk membina sebuah taman mini di atas tapak lama.
Pasar Portobello adalah satu daripada flea market yang menjual barangan antik paling terkenal di dunia dan sentiasa menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong ke London. - Bernama

No comments:

Post a Comment