Boleh hanyut dalam setengah jam
|
SUBANG JAYA - Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak hilang, William Yau Zhen Zhong, 6, yang mayatnya ditemui di Jeti Sungai Sireh, Klang kelmarin terjatuh ke dalam longkang besar di Putra Heights di sini sebelum dihanyutkan arus deras.
Longkang tersebut jika dipenuhi air akibat hujan lebat mampu menghanyutkan William yang dianggarkan seberat 15 kilogram, menuju ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang sejauh 30 kilometer dalam tempoh setengah jam.
Kosmo! Ahad difahamkan, dua hari selepas kehilangan kanak-kanak itu iaitu pada 18 Januari lalu, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat.
Pemeriksaan mendapati parit di kawasan tersebut bersambung dengan sebatang longkang di Kampung Bukit Lanchong, sebelum ia bersambung pula dengan Sungai Klang yang mengalir ke Pelabuhan Klang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, adalah tidak mustahil mangsa terjatuh ke dalam longkang.
"Tinjauan mendapati ada sistem longkang yang tidak bertutup kira-kira 200 meter dari lokasi William hilang.
"Situasi itu boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.
"Oleh itu, kemungkinan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tetap ada, lebih-lebih lagi dua hari selepas mangsa hilang, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan bersama hampir 30 anggota polis dan kakitangan JPS di sekitar lokasi William hilang.
William, anak kedua daripada tiga beradik dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights selepas mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
Kelmarin, ibu bapa kanak-kanak itu mengenal pasti mayat budak lelaki yang dijumpai terapung dan mereput di Jeti Sungai Sireh adalah anak mereka.
Pengecaman itu berdasarkan kesan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak itu yang mempunyai persamaan dengan William.
Selain itu, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, yang hadir di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam pada mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, terjatuh ke dalam longkang adalah antara kemungkinan yang sedang disiasat oleh pihaknya.
"Perkara itu masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan kerana siasatan dijalankan daripada semua sudut," ujarnya.
Selain kemungkinan terjatuh, kematian kanak-kanak itu juga turut dikaitkan dengan perlakuan jenayah apabila mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai.
Bagaimanapun, menurut Yahaya, bedah siasat menunjukkan tiada unsur jenayah berikutan tiada kecederaan luaran ditemui pada tubuh si mati.
Kata beliau, pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada penduduk sekitar tempat kejadian bagi mengetahui bagaimana anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui di Jeti Sungai Sireh.
Yahaya juga tidak menolak untuk mengambil semula keterangan daripada pihak keluarga mangsa termasuk ibu bapa William selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada Selasa ini.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kanak-kanak itu masih ditempatkan di HTAR.
Lapan penumpang cedera kereta api tergelincir
JOHOR BAHRU – Lapan penumpang termasuk seorang kru cedera apabila empat daripada 10 gerabak Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) tergelincir dan terbalik di Kilometer 738.25 berhampiran Taman Impian Emas, Skudai di sini semalam.
Menurut Pengurus Pemasaran Unit Pemasaran Strategik Perkhidmatan Bandar KTMB, Mohd. Nordin Kimi, tren Sinaran Selatan yang membawa lebih 200 penumpang itu dalam perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Woodlands, Singapura tergelincir kira-kira pukul 3 petang.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih belum diketahui dan kita masih melakukan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Difahamkan, mangsa yang merupakan kru KTMB yang berusia 50-an mengalami kecederaan parah apabila kakinya tersepit dan seorang wanita berusia 30-an patah tulang pinggang.
Selain KTMB, operasi menyelamat turut melibatkan tiga jentera dengan kekuatan 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dan Taman Pulai.
Susulan daripada insiden itu, Mohd. Nordin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan perjalanan tren Senandung Timuran (Singapura-Tumpat, Kelantan) dan tren Senandung Selatan (Singapura-Tumpat, Kelantan) malam tadi.
“Para penumpang yang terlibat, mereka boleh meminda perjalanan atau pulangan tambang daripada kami. Sebarang perkembangan boleh hubungi KTMB di talian 03- 2267 1200,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, baki penumpang yang terselamat meneruskan perjalanan ke Singapura.
“Mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki enam gerabak kereta api berkenaan yang tidak tergelincir dalam kemalangan itu,” katanya.
Seorang lagi rakyat kita sah terbunuh
|
KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Algiers mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang semasa krisis tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria, terbunuh.
Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata, mayat Tan Ping Wee telah dikenal pasti pasukan forensik melalui rekod pergigian serta pengesahan 'tatoo' oleh keluarga mendiang.
"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mendiang," menurut kenyataan itu di sini.
Kenyataan itu juga menyebut Kedutaan Malaysia dan syarikat JGC Corp sedang menguruskan proses untuk membawa pulang dengan segera mayat Ping Wee bersama mayat seorang lagi rakyat Malaysia, Chong Chung Ngen yang disahkan terbunuh sebelum ini.
Sebelum ini, Wisma Putra mengesahkan tiga daripada lima rakyat Malaysia yang bekerja di kompleks itu terselamat iaitu K. Ravi, Lau Seek Chiang dan Patrick Purait Awang.
Seek Chiang dan Ravi selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing pada 23 Januari lepas.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay memberitahu, mayat dua rakyat Malaysia yang disahkan terbunuh itu dijangka tiba di tanah air Isnin ini.
"Kita kena tunggu beberapa urusan (dokumen dan forensik) yang perlu diselesaikan di sana sebelum membawa mayat pulang dan sekiranya tiada masalah, mayat akan tiba dalam masa dua hari," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam insiden yang berlaku minggu lepas, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di OGPC In Amenas menjadi tebusan kumpulan militan.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.
Sementara itu, isteri Ping Wee, Koh Siow Mun ketika dihubungi semalam memberitahu, dia dimaklumkan berhubung kematian suaminya oleh pihak Wisma Putra pada malam kelmarin.
"Saya kini berada dalam keadaan sedih selepas mendapat berita bahawa suami saya disahkan terkorban dalam kejadian itu.
"Buat masa ini, saya tidak mahu berjumpa dengan pihak media dan hanya mahu tenangkan fikiran bersama keluarga," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun.
Warga kastam dapat durian runtuh
PUTRAJAYA - Warga kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding tahun 2011.Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kutipan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan.
"Keputusan yang dibuat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan memberi semangat kepada 12,500 warga kerja kastam untuk mencapai sasaran RM34 bilion tahun ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ahmad Husni yang ditemui selepas merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-13, berkata, insentif khas itu akan diberi minggu ini.
Pada tahun lepas, kerajaan memberi insentif khas kepada warga kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas berjaya mengutip RM109.674 bilion pada 2011 iaitu meningkat 26.79 peratus atau RM23.175 bilion berbanding tahun 2010.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yakin insentif khas berkenaan akan memberi motivasi dan rangsangan kepada warga kastam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan kepekaan memberikan setengah bulan gaji sebagai insentif khas untuk tahun ini sebagai menghargai peranan dan tanggungjawab kita," katanya. - Bernama
50 maut dalam pertempuran di penjara
CARACAS, Venezuela - Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan 90 yang lain cedera apabila banduan di penjara Uribana merusuh pada Jumaat.
Kebanyakan banduan cedera akibat tembakan, jelas seorang pegawai hospital, Ruy Medina yang menyatakan jumlah kematian mungkin meningkat.
Menteri yang bertanggungjawab ke atas pusat tahanan dan penjara di Venezuela, Iris Varela memberitahu, rusuhan berlaku apabila pihak berkuasa penjara melancarkan operasi mencari senjata-senjata haram yang dimiliki oleh banduan.
Venezuela memang terkenal dengan kondisi penjaranya yang sesak dan tidak terurus. Penjara di negara itu disifatkan sebagai paling teruk di Amerika Latin. Sebagai contoh, sebuah penjara yang boleh memuatkan 14,000 orang banduan kini dihuni oleh hampir 50,000 banduan.
Pilihan raya kecil uji populariti PAP
SINGAPURA - Para pengundi di sini membuang undi semalam dalam satu pilihan raya kecil yang sekali gus menguji pendirian orang ramai terhadap parti pemerintah iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas ia mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya umum di republik tersebut.
Kerusi kawasan Timur Punggol kosong apabila bekas Speaker, Michael Palmer meletak jawatan dan keluar daripada PAP selepas mengaku menjalin hubungan sulit pada Disember tahun lalu.
Kempen pilihan raya didominasi oleh isu sosioekonomi seperti kenaikan kos sara hidup. Para penganalisis menyatakan kehadiran tiga calon pembangkang pasti memecahkan undi pengundi anti-PAP.
Pusat-pusat pengundian dibuka seawal pukul 8 pagi selama 12 jam dan keputusan dijangka diumumkan pada malam ini (semalam).
Lebih 31,000 pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kecil itu. Ia merupakan pilihan raya kecil kali kedua sejak pilihan raya umum pada Mei 2011 yang menyaksikan PAP hanya memperoleh undi sebanyak 60 peratus.
Doktor bedah, Koh Poh Koon yang mewakili PAP dicabar oleh Lee Li Lian dari Parti Pekerja, Desmond Lim (parti Perikatan Demokratik Singapura) dan Kenneth Jeyaretnam (Parti Reformasi). - AFP
Pilihan raya kecil uji populariti PAP
SINGAPURA - Para pengundi di sini membuang undi semalam dalam satu pilihan raya kecil yang sekali gus menguji pendirian orang ramai terhadap parti pemerintah iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas ia mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya umum di republik tersebut.
Kerusi kawasan Timur Punggol kosong apabila bekas Speaker, Michael Palmer meletak jawatan dan keluar daripada PAP selepas mengaku menjalin hubungan sulit pada Disember tahun lalu.
Kempen pilihan raya didominasi oleh isu sosioekonomi seperti kenaikan kos sara hidup. Para penganalisis menyatakan kehadiran tiga calon pembangkang pasti memecahkan undi pengundi anti-PAP.
Pusat-pusat pengundian dibuka seawal pukul 8 pagi selama 12 jam dan keputusan dijangka diumumkan pada malam ini (semalam).
Lebih 31,000 pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kecil itu. Ia merupakan pilihan raya kecil kali kedua sejak pilihan raya umum pada Mei 2011 yang menyaksikan PAP hanya memperoleh undi sebanyak 60 peratus.
Doktor bedah, Koh Poh Koon yang mewakili PAP dicabar oleh Lee Li Lian dari Parti Pekerja, Desmond Lim (parti Perikatan Demokratik Singapura) dan Kenneth Jeyaretnam (Parti Reformasi). - AFP
Filem pengasas Apple di Festival Filem Sundance
PARK CITY, Utah, Amerika Syarikat - Filem pertama mengenai pengasas bersama syarikat teknologi Apple, Steve Jobs ditayangkan kelmarin selepas hanya 15 bulan mendiang meninggal dunia.
Filem bertajuk jOBS dilakonkan oleh pelakon terkenal, Ashton Kutcher itu ditayangkan di Festival Filem Sundance dan bakal menemui peminat di panggung wayang mulai April depan.
jOBS mengisahkan mengenai kehidupan bekas pengerusi Apple itu selama 30 tahun yang berjaya merevolusikan cara orang ramai mendengar muzik dan membina Apple sebagai sebuah jenama terkemuka dunia.
Jobs meninggal dunia akibat kanser pankreas pada 2011 ketika berusia 56 tahun.
Kutcher, 34, menyatakan dia berbesar hati kerana diberi peluang memainkan watak Jobs. Tetapi pada masa yang sama berasa sangat bimbang kerana status ikonik yang dimiliki Jobs.
"Melakonkan watak seorang lelaki yang begitu diingati dan dikenali memang menakutkan kerana semua orang boleh memberikan kritikan," kata Kutcher.
Beberapa jam sebelum tayangan, pengasas bersama Apple, Steve Wozniak menyatakan filem tersebut gagal menampilkan personaliti dam visi awal mereka dengan tepat.
Wozniak memberi komen tersebut selepas menonton satu klip pendek yang disiarkan di laman web pada Khamis. Namun, Wozniak berharap filem itu akan mendapat sambutan hangat dan menghiburkan. - Reuters
No comments:
Post a Comment