LykanHypersport, kereta sport Arab pertama
DOHA, Qatar – Sebuah kereta buatan firma Lebanon, W Motors yang bernilai £2.2 juta (RM10.65 juta) dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Qatar di sini kelmarin.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline semalam, kereta sport LykanHypersport itu lebih mahal berbanding Bugatti Veyron yang berharga £1.5 juta (RM7.26 juta).
Bagaimanapun, LykanHypersport masih belum dapat menandingi kelajuan Bugatti Veyron.
Kereta sport LykanHypersport mencatatkan kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.8 saat.
Kelajuan maksimum kereta itu ialah 395 km/j.
Kereta sport Bugatti Veyron pula mencatatkan kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 2.5 saat.
Kelajuan maksimum kereta itu ialah 431.072 km/j.
Kereta sport LykanHypersport itu dihasilkan dengan kerjasama firma Magna Steyr Italia, RUF Automobile, Studiotorino, Viotti, dan ID4MOTIO.
Hanya tujuh buah kereta itu yang akan dikeluarkan dalam tahun ini. – Agensi
Bayi lelaki di dalam beg pakaian
SABAK BERNAM – Seorang peniaga terkejut apabila menemui sebuah beg pakaian diisi dengan seorang bayi lelaki yang hidup ditinggalkan di luar warung miliknya di Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan di sini semalam.
Khairuddin Hassan, 51, menjumpai bayi yang dibalut dengan kain batik tanpa dokumen ketika hendak membuka warung pada pukul 7 pagi.
“Sebaik zip beg tersebut dibuka, saya terkejut apabila melihat ada seorang bayi dalam beg itu. Ketika itu, bayi terbabit masih tidur.
Kejadian berlaku jam 7 pagi semalam sejurus lelaki itu hendak memulakan perniagaan di Kampung Tali Air 7, Sungai Leman, Sekinchan, di sini.
Hairudin berkata, sejurus hendak membuka warung, dia ternampak beg
pakaian atas lantai di ruang terbuka kedai dan ketika mendekati beg itu
dia terkejut mendapati ada sekujur tubuh bayi di dalamnya.
“Saya nampak bayi dibalut kain batik dengan mata
tertutup dan beg yang ditinggalkan itu tidak dizip lalu menyentuh bayi
itu untuk memastikan sama ada dia masih bernyawa…syukurlah dia terjaga
dan mengeliat,” katanya.Berikutan penemuan itu, dia segera menghubungi polis yang tiba sejurus menerima maklumat untuk menjalankan pemeriksaan.
Kosmo
Pengawal terkejut jolok mayat bayi
PONTIAN: Seorang pengawal keselamatan mahu membuang air kecil terkejut menemui mayat bayi lelaki diselimuti tudung dan selendang di atas pam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian-Benut, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Abdullah Kasek, 72, berkata, dia terpandang objek terkulai di atas pam itu sebelum mengambil kayu untuk menjolok.
“Biasanya, sebelum memulakan tugas, saya akan memeriksa kawasan sekeliling bagi memastikan dalam keadaan baik termasuk tandas.
“Ketika masuk ke tandas untuk membuang air kecil, saya terpandang objek mencurigakan dan cuba menjolok sebelum terkejut apabila ia mayat bayi yang cukup sifat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
“Saya tidak sangka ada manusia berperangai lebih keji daripada haiwan di muka bumi ini, jangan diperlakukan bayi tidak berdosa itu sedemikian rupa,” katanya.
Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia mendapati mayat bayi itu dalam keadaan bersih.
“Tiada kesan darah, malah tali pusatnya sudah dipotong dan saya berharap polis mengheret individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis Pontian ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.
“Pegawai kami dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan termasuk kemungkinan bayi lelaki itu sudah meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di atas pam tandas berkenaan.
“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pontian (HP) untuk dibedah siasat,” katanya.
Jurucakap itu berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih mengumpul maklumat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
Source: Harian Metro
Bapa perkosa, cabul dua anak kandung
Kuala Lumpur: “Ayah sayang Ina macam ayah sayangkan ibu. Ayah tak mahu berjauhan dengan Ina kerana wajah Ina sama macam ibu,” itu ungkapan yang sering didengar Harlina, 19, (bukan nama sebenar) setiap kali ‘dijamah’ bapanya.
Dia mendakwa menjadi mangsa noda bapanya sejak berusia 13 tahun, iaitu beberapa bulan selepas ibunya meninggal ketika melahirkan adik bongsunya, tujuh tahun lalu.
“Ayah beri alasan dia tak inginkan wanita lain selepas ibu. Dia seolah-olah tak dapat terima hakikat ibu sudah tiada. Taksub dengan perasaan cinta terhadap ibu menyebabkan saya pula menjadi mangsa.
“Memang tak dapat dinafikan wajah saya saling tidak tumpah seperti ibu membuatkan ayah berasa saya pengganti ibu,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.
Hilang hormat kepada lelaki
Sabak Bernam: Diperkosa bapa kandung ketika berusia lapan tahun dan dirogol beramai-ramai oleh kenalan lelaki membuatkan gadis ini membenci lelaki.
Menurut Ally, 19, rasa hormatnya kepada kaum Adam makin menipis setiap kali dia mengingati kenangan pahit itu.
“Saya benci berada dekat lelaki. Membayangkan kejadian saya diperkosa dan didera bapa sebelum kenalan rapat pula menjadi dalang rancangan rogol beramai-ramai membuatkan saya jijik dan benci pada lelaki.
“Semua lelaki mempunyai pemikiran sama biarpun saya cuba menafikannya berkali-kali. Mungkin saya tak bernasib baik dikelilingi lelaki bernafsu binatang,” katanya.
Menceritakan kembali saat dirinya diperkosa bapa sendiri, Ally berkata, bapanya penagih dadah yang bercerai dengan ibunya ketika dia berusia enam tahun.
“Satu hari ayah datang menjemput saya pulang sebaik tamat sekolah. Ayah kata saya perlu tinggal bersamanya dan saya bersetuju kerana dia bapa kandung saya. Bagaimanapun, sepanjang beberapa bulan dengannya, saya didera dan kemuncaknya saya dirogol.
“Meskipun masih mentah, rasa malu diperlakukan kurang sopan oleh bapa sendiri dirasai ketika itu. Malah, rasa sakit ketika diratah sepuas-puasnya ayah masih terbayang hingga kini.
“Tiada langsung rasa simpati, sebaliknya ditampar setiap kali menangis ketika minta bapa melepaskan saya. Paling saya tidak tahan, dia mencucuh puntung rokok pada kemaluan saya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik apabila diselamatkan bapa saudara sebelah bapanya ketika hampir dijual untuk melangsaikan hutang judi si ayah.
“Mujur pak cik menemui dan menyelamatkan saya,” katanya.
Tidak cukup dengan penderitaan dirogol bapa sendiri, hidup Ally semakin kelam apabila diperkosa beramai-ramai akibat perangkap kenalan lelaki ketika masih belajar di sekolah menengah.
“Saya terlalu naif apabila sekali lagi meletakkan kepercayaan pada lelaki. Saya terperangkap dengan sandiwaranya. Dia begitu baik dan sering membantu saya ketika dalam kesusahan, tetapi kemudian sanggup berpakat dengan beberapa rakannya untuk merogol saya.
“Bukan seorang, tetapi tujuh lelaki memperkosa saya berkali-kali tanpa belas kasihan,” kata penghuni Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, di sini.
Harian Metro
Mayat bayi disangka sampah
ALOR SETAR – Seorang jemaah Masjid Al-Rahman, Alor Merah di sini terkejut apabila beg kertas yang disangka berisi sampah rupa-rupanya mengandungi mayat bayi lelaki dibuang di depan pintu tandas masjid itu kelmarin.
Beg itu ditemui pada pukul 8.45 malam iaitu ketika Ishak Chik, 54, hendak menutup pintu pagar masjid selepas menunaikan solat Isyak berjemaah.
“Sebaik memandang ke arah tandas, saya dapati satu beg kertas diletakkan di depan pintunya. Saya ingatkan sampah tetapi apabila diangkat ia agak berat.
Tambahnya, tanpa membuang masa, dia terus memaklumkan kepada imam dan jemaah lain sebelum membuat laporan di Balai Polis Alor Merah.
Menurut Ishak, bayi lelaki itu cukup sifat, masih bertali pusat dan berkulit sawo matang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Kosmo
Tengkorak rambut panjang tergantung dicelah pokok
SEPANG – Seorang pekerja landskap terkejut menemui tengkorak wanita berambut panjang tergantung di celah sebatang pokok rimbun di pintu masuk Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Kejadian pukul 11 pagi itu disedari oleh pekerja itu kira-kira 100 meter dari bangunan Terminal Penerbangan KLIA.
Sumber itu berkata, pokok itu dipercayai pokok mengkuang.
“Semasa melakukan kerja-kerja di situ, pekerja itu terkejut menemui tengkorak manusia tergantung di celah pokok manakala rangkanya pula bersepah di tanah.
“Rangka manusia itu berseluar jeans dan berbaju serta berambut panjang,” kata sumber itu ketika dihubungi Kosmo!.
Kosmo
Rajagobal perlekeh Badri
“KENAPA tanya saya, beliau jurulatih, seharusnya beliau tahu pemain macam mana yang beliau mahu. Saya tak faham kenapa dia suruh tanya saya. Jawapan macam mana yang anda jangka boleh saya berikan?”
Itu komen ketua pasukan Kelantan, yang berjaya menjulang tiga piala musim lalu, Badri Radzi selepas namanya terus tersisih daripada kem skuad kebangsaan biarpun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini dalam situasi terdesak selepas kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.
Menurutnya, selepas berjaya membawa Kelantan ke tahap yang begitu tinggi termasuk memenangi tiga kejuaraan musim lalu, kelibatnya di padang masih tetap gagal memikat hati Rajagobal yang terus meragui keupayaannya.
“Beliau tidak perlu mengajukan soalan berkenaan kepada saya atau bekas jurulatih saya, Datuk M. Karathu atau B. Sathianathan. Kami semua tidak ada jawapan kerana jawapan itu ada pada beliau sendiri,” kata Badri ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, jika Rajagobal menganggap dia bukan seorang pemain yang bagus dan tidak menepati kriteria yang diperlukan, dia sedia menerima kritikan berkenaan kerana jurulatih skuad kebangsaan itu lebih berpengalaman.
Katanya, impiannya untuk bermain dan menabur bakti dalam skuad kebangsaan tidak pernah padam dan akan berusaha untuk terus memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.
“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah kemuncak dalam karier anda. Semua pemain mengidamkan untuk menyarung jersi kebangsaan, begitu juga saya. Kalau tidak baik tak payah main bola.
“Kali terakhir saya dipanggil pada tahun 2010, ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia. Pembantunya (Tan Cheng Hoe) telefon saya minta nombor pasport.
“Dia beri tempoh dua jam untuk saya dapatkan nombor pasport, saya beritahu pasport ada di rumah, macam mana saya hendak beri. Sukar untuk saya dapatkan nombor pasport ketika itu kerana kami terpaksa singgah di Gua Musang dulu untuk menemui peminat. Selepas itu senyap begitu saja,” ujarnya.
Jelas Badri, sebelum ini ada yang berpendapat pemain sepertinya, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin hanya mampu bermain dalam tempoh 30 minit sahaja ekoran faktor usia, dan keputusan Rajagobal memilih pemain muda mungkin satu pilihan yang tepat.
Kali pertama dan terakhir ‘jeneral padang’ berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan adalah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
Kosmo
Sekeluarga gajah mati diracun
TAWAU – Kawasan Hutan Simpan Gunung Rara yang terletak kira-kira 130 kilometer dari sini bukan lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo apabila 10 ekor haiwan spesies yang dilindungi itu ditemui mati dipercayai diracun dalam tempoh dua minggu lalu.
Kesemua gajah yang ditemui mati itu dipercayai daripada satu keluarga membabitkan tujuh betina dan tiga jantan berusia dari empat hingga 20 tahun.
Teori racun tikus itu timbul selepas kes tujuh ekor gajah pigmy ditemui mati akibat termakan bahan berbahaya itu di Rizah Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu kira-kira 10 tahun lalu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika dihubungi semalam menceritakan, misteri kematian haiwan itu dilaporkan pada 23 Januari lalu selepas empat bangkai gajah ditemui di sepanjang jalan pembalakan Telupid di kawasan hutan simpan berkenaan.
Kawasan penemuan bangkai itu pula terletak kira-kira lima kilometer dari kem pembalakan Empayar Kejora Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.
“Sepasukan anggota dari Jabatan Hidupan Liar telah menyiasat di lokasi tersebut sebelum menemui empat lagi bangkai gajah dua hari kemudian,” katanya.
Awal bulan ini, kakitangan jabatan itu menemui dua bangkai gajah di kawasan berkenaan dan menjadikan keseluruhan bangkai yang ditemui ialah 10 ekor.
Beliau juga mengesahkan siasatan awal mendapati kesemua gajah tersebut mati akibat termakan racun.
Kosmo
Kisah Benar: Taubat Nasuha dari Seorang Pramugari
Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an.Kejadian itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya menguruskan satu rombongan haji. Ketika itu umur saya 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kebetulan ketika itu saya balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.
Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga saya memang semuanya di Mekah, cuma saya seorang saja tinggal dengan nenek saya di Perak. Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan saya adalah anak sulung dalam keluarga.
Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun dari bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit.
Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecahkan bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan. “Kakak ni sakit,” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain. Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya…kita bawa dia ke hospital,” kata saya.Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing.
Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal. Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma. Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut.
Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu. Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil.
Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Tapi sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis??
Saya bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa kakak menangis?” “Mazlan.. kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia bersuara , menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua. Katanya, “Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi kakak silap.
Kakak ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak buat.
Rumah kakak penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak terajang, kakak pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.
“Habis yang kakak pergi haji ini?”
“Yalah…kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak pergi.”
“Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang kakak alami semasa sakit?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan, “Mazlan…Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, kakak telah di azab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah kakak buat selama ini.
“Betul ke kak?” tanya saya, terkejut.
“Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan balasan syurga. Kakak rasa seperti di azab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut kakak ditarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun minta maaf kepada Allah.”
“Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini… putus, jatuh ke dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan.. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik.” tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya, “Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala.. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih…pedih yang amat sangat…tak boleh nak diceritakan. ” sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu.
Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar. “Mazlan…kakak ni nama saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi dan segala macam dosa besar.
Kerana kakak suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidaksedarkan diri itu kakak telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja. tapi kakak perlu makan buah-buah itu sebab kakak betul-betul lapar. “Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut kakak.
Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak makan, kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya. Selepas habis bara api, kakak minta minuman, tapi…kakak dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari nanah. Baunya cukup busuk. Tapi kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak lalui… azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak hidup di dunia ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun.. Terasa sungguh kebesaran Allah. “Masa di azab itu, kakak merayu mohon kepada Allah supaya berilah kakak nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa kakak tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan ingkar perintah Allah akan jadi umat yg soleh.
Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan semula, kakak akan tampung segala kekurangan dan kesilapan kakak dahulu, kakak akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak tinggalkan.”
Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa.. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.
“Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan kakak dahulu. Kakak bertaubat… kakak taubat nasuha,” katanya sambil menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.
“Kakak…yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa. Kakak kena jaga juga kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah, makan nasi ke, berehat ke…” tegur saya.
“Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa kakak lapar.” menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia mengqadakan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu.
Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
“Tak boleh Mazlan.. Kakak takut…kakak dah merasai pedihnya azab tuhan. Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu, Mazlan juga akan jadi macam kakak. Kakak betul- betul bertaubat.”
Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya, “Mazlan, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang saja yang merasai seksaan itu, kakak tak mau wanita lain pula jadi macam kakak. Semasa di azab, kakak tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna kakak mendapat 10 dosa.”
“Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni??? Allah…”
“Kakak berazam, balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Kakak nak ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa dia masuk Islam, tapi kakak tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula yang jadi seperti orang bukan Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut. Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya di azab semasa koma? Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis. Adakah ia bercanggah? Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah di azab barulah kita mahu percaya bahawa “Oh… memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal….” itu dah terlambat.
Halim Islam
VIDEO & BERGAMBAR: Tangisan Anak Gajah Melihat Ibunya Yang Mati Keracunan Di Sabah
Gajah Borneo Mati Diracun
KOTA KINABALU: Sesuatu yang menyayat hati bagi pakar veterinar, Dr Sen Nathan apabila melihat seekor anak gajah pigmi Borneo cuba menggerakkan ibunya yang sudah mati di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau di Sabah.
Pakar veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menyaksikan sendiri detik berkenaan ketika melakukan siasatan berhubung misteri kematian sepuluh ekor gajah terdiri daripada tujuh gajah betina dan tiga gajah jantan di Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi Yayasan Sabah di hutan simpan berkenaan iaitu kira-kira 130 kilometer dari Tawau.
"Saya berasa sangat sedih, tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya," katanya, sambil menambah bahawa anak gajah jantan berusia tiga bulan bernama Kejora itu telah dihantar ke Zoo Hidupan Liar Lok Kawi untuk dijaga termasuk bagi memberi susu botol.
Sepuluh ekor gajah berumur antara empat hingga 20 tahun ditemui mati antara 29 Disember dan 24 Januari lalu di kawasan Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu berkata keracunan mungkin punca utama kematian gajah berkenaan.
"Post mortem yang dilakukan mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan sebaliknya bahagian organ dalaman gajah-gajah berkenaan rosak teruk. Selain bahagian usus, mulut dan anus mereka turut didapati berdarah.
"Kami mengesyaki terdapat unsur keracunan daripada bahan makanan yang mereka makan (toksin semulajadi atau racun perosak) tetapi kita masih menunggu laporan makmal analisis kimia," kata Dr Ambu.
Menurut Ambu, laporan pertama diterima pada Selasa ketika pegawai Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan kajian hidupan liar dimaklumkan oleh seorang pekerja mengenai kematian gajah kira-kira 5 kilometer dari pintu Syarikat Empayar Kejora Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.
Katanya gajah berkenaan mungkin termakan racun di tempat lain dan berjalan beberapa kilometer sebelum rebah di kawasan berhampiran Empayar Kejora.
"Kami percaya bahawa kematian semua gajah ini ada kaitan antara satu sama lain," katanya. -mstar
No comments:
Post a Comment