Monday, January 28, 2013

BOLEH BAGI PERCUMA KALAU DISINI TENTU KATA BANGKRAP...KRONI2 TAK BAYAR HUTANG TAK PE@TAK BANGKRAP...SUSAH KALU BERSIKAP PILIH BULU

Perumahan di Bukit Setiawangsa kini selamat

AHMAD PHESAL (tengah) meninjau kawasan tanah runtuh yang sedang dalam kerja pembaikan di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 38 daripada 43 pemilik banglo yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa di sini pada 28 Disember lalu, telah dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing sejak 22 Januari.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, tindakan itu dibuat setelah pihaknya mendapati kawasan perumahan tersebut kini benar-benar selamat untuk didiami semula.
Beliau berkata, seramai lima lagi pemilik banglo bagaimanapun masih menunggu untuk kembali semula ke rumah mereka kerana kerja-kerja pembaikan masih dijalankan dan ia dijangka siap dalam masa terdekat ini.
"Sementara itu, kerja-kerja pembaikan semula kawasan cerun di kawasan tersebut yang dilakukan oleh pemaju I&P Group Sdn. Bhd. telah hampir siap.
"Kini kerja-kerja pemasangan sangkar batu yang berfungsi sebagai penampan untuk mengawal berlaku pergerakan tanah yang aktif di kawasan cerun yang terlibat itu sedang dijalankan dengan giat," katanya

Peniaga makanan miliki syiling berusia 214 tahun


RUZAMAN menunjukkan syiling AS tahun 1799 dan laporan Kosmo! mengenai lelongan syiling di New York yang hampir sama dengan syiling miliknya di Selayang semalam.


SELAYANG - Seorang peniaga makanan di sini, Ruzaman Zakaria mendakwa memiliki dua keping duit syiling perak lama yang dipercayai berusia antara 138 hingga 214 tahun.
Menurut Ruzaman, 40, syiling berkenaan diperolehnya kira-kira 12 tahun lalu yang diberi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika dia pulang daripada berniaga di Rawang, Selangor.
Katanya, pada malam itu keretanya kehabisan minyak di sekitar Taman Templer dan dia terpaksa berjalan kaki selama 30 minit ke sebuah stesen minyak berdekatan.
"Ketika dalam perjalanan ke kereta setelah membeli minyak, tiba-tiba seorang lelaki menghampiri saya dan menanyakan masalah yang saya hadapi.
"Kemudiannya, secara tiba-tiba lelaki itu menghulurkan dua keping syiling ini kepada saya dan selepas menerimanya saya terus berlari ke kereta sementara lelaki tersebut juga hilang begitu sahaja," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Buaya terbesar ditangkap di Kampung Selang


BUAYA Selang yang ditangkap di Sungai Teruntum, Kuching kelmarin bukan sahaja menarik perhatian Abang Muhammad Salahuddin (dua dari kiri) malah isterinya, Norkiah memberanikan diri duduk di atas buaya.


KUCHING - Buaya Bujang Teruntum yang ditangkap di Sungai Teruntum berdekatan rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di sini kelmarin adalah seberat 629 kilogram (kg) berbanding anggaran asal 300kg.
Berikutan berat luar biasa itu, Abang Muhammad Salahuddin menukar gelaran reptilia itu kepada Bujang Selang yang mengambil sempena nama kampung tempat buaya itu ditangkap.
Berat buaya tersebut disahkan oleh pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang menimbang reptilia sepanjang lima meter itu setelah ia diangkat oleh sekumpulan 15 lelaki ke atas tebing sungai semalam.
Kerja-kerja menimbang berat buaya itu dilakukan selepas ia dikeluarkan dari sangkar yang memerangkapnya di sungai berkenaan untuk dibawa ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang di sini.

Maut terjatuh tingkat tujuh


ANAK panah menunjukkan arah Mohamad Adam terjatuh dari tingkat 7 Apartmen Sutramas, Puchong Jaya semalam.


PUCHONG – Luluh hati seorang ibu apabila anak tunggal yang menjadi penyeri hidupnya selama ini ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas kanak-kanak tersebut terjatuh dari rumah pengasuhnya di tingkat tujuh Apartmen Sutramas, Puchong Jaya di sini semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan Muhamad Adam Zafuan, 6, maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Serdang akibat cedera parah di kepala dan badan selepas terjatuh dari bangunan yang mempunyai 12 tingkat itu.
Difahamkan, Muhamad Adam merupakan kanak-kanak hiperaktif.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Siti Nur Jannah Azman, 24, berkata, Muhamad Adam dihantar ke rumah pengasuh pada pukul 9 pagi oleh neneknya dari Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Kata pekerja pusat kecergasan di sini itu, mangsa tinggal bersama neneknya sejak Jumaat lalu berikutan cuti panjang.
“Ibu menghantar Muhamad Adam ke rumah pengasuh kerana saya bercadang untuk mengambilnya selepas pulang kerja pada sebelah petang kerana saya tinggal di tingkat lima apartmen yang sama. Suami pula keluar bekerja.
“Namun setengah jam selepas dihantar, saya menerima panggilan daripada rakan mengatakan anak saya telah terjatuh daripada balkoni rumah pengasuh,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Serdang dekat sini semalam.

Memang sah mayat William

SUBANG JAYA – Polis semalam mengesahkan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui terapung di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang Khamis lalu sebagai William Yau Zhen Zhong yang dilaporkan hilang 16 Januari lepas.
Pengesahan itu diumumkan selepas polis menerima laporan penuh asid deoksiribonukliek (DNA) daripada Jabatan Kimia petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ujian tersebut dilakukan ke atas rambut dan tulang yang diambil daripada tubuh mayat kanak-kanak tersebut.
“Selepas menjalani ujian rambut dan tulang kanak-kanak itu dengan darah ibu dan bapanya, kita mendapati ia sepadan. Ini sekali gus mengesahkan mayat kanak-kanak itu adalah William,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan mayat seorang kanak-kanak dipercayai William, 6, ditemui terapung di Sungai Sireh selepas ibu bapanya, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32 mengenal pasti mayat itu sebagai anak mereka berdasarkan kesan parut di belakang kepala dan dahi.

Mati terhempas dari jejambat


BEGINILAH keadaan kereta jenis Daihatsu Charade yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di atas jejambat dekat Desa Jaya, Kepong semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki menemui ajal apabila tercampak dari jejambat setinggi 21 meter selepas kereta jenis Daihatsu Charade yang dipandunya terlibat dalam kemalangan semalam.
Kejadian pukul 2.50 petang di Kilometer 2.7 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Desa Jaya, Kepong di sini itu berlaku apabila V. Adrian Thrishen, 28, tercampak melalui cermin depan keretanya selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah lori yang membawa muatan biskut.
Bagaimanapun, pemandu lori itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Taman Melawati di sini untuk ke tempat kerja di sebuah pusat kecergasan di pusat beli-belah One Utama, Damansara.
Jurucakap polis memberitahu, sebaik dilanggar, mangsa hilang kawalan sebelum merempuh tembok konkrit di tepi jalan hingga menyebabkan dia tercampak melalui cermin depan sebelum terhempas di tempat letak kereta sebuah deretan kedai di bawah jejambat.
Jejambat itu mempunyai ketinggian yang bersamaan dengan bangunan lima tingkat.

Dadah RM129,300 dirampas


TOON KHUAN menunjukkan cara pengedar menyorokkan heroin di dalam plastik makanan ringan pada sidang akhbar di Kuantan semalam.


KUANTAN - Polis menahan enam lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 1,919.33 gram heroin bernilai RM129,300 dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar ini pada Rabu dan Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, rampasan terbesar melibatkan 1,336.98 gram heroin bernilai kira-kira RM90,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah dekat Taman Sri Mahkota Aman di sini pada 23 Januari lalu.
Menurut beliau, dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan pemeriksaan menemui dadah terbabit di belakang sebuah meja kecil dalam rumahnya.
"Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian di Kuala Lumpur untuk diedarkan sekitar bandar ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini semalam.

Mayat mangsa militan Algeria selamat tiba


DUA buah van yang membawa kedua-dua mayat mangsa serangan kumpulan militan di Algeria dibawa ke kampung halaman masing-masing di Kompleks Kargo KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Mayat dua rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan kumpulan militan di Algeria pada 16 Januari lalu selamat tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 8.30 malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, mayat mendiang Tan Ping Wee, 48, dan Chong Chung Ngen, 55, diiringi oleh rakan mereka yang terselamat dalam serangan tersebut, Patrick Purait Awang.
Penghantaran pulang mayat mangsa tersebut diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Algeria bersama-sama dengan syarikat JGC Construction Sdn. Bhd.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay bersama-sama beberapa pegawai daripada Wisma Putra serta ahli keluarga kedua-dua mendiang turut hadir menyambut ketibaan mayat tersebut.

Keganasan terus melanda Mesir

BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Seorang lelaki mati ditembak semalam dalam keganasan yang memasuki hari kelima di Mesir menjadikan 50 orang terbunuh setakat ini.
Lelaki itu yang merupakan seorang pejalan kaki mati akibat terkena tembakan di sini.
Bagaimanapun, masih tidak diketahui siapa yang menembaknya semasa tunjuk perasaan ganas berlaku bagi menentang pemerintahan Presiden Mohamed Morsi.
Ketika kejadian, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah anggota-anggota pasukan keselamatan itu dekat Dataran Tahrir.
"Kami mahu menumbangkan rejim (Morsi) dan menamatkan pemerintahan yang dikendalikan pergerakan Ikhwanul Muslimin," kata seorang tukang masak, Ibrahim Eissa yang berusia 26 tahun.
Dia memakai topeng yang mengelak terhidu gas pemedih mata.
Sejak memenangi jawatan Presiden pada pertengahan tahun lalu, Morsi diselubungi pelbagai krisis dan tunjuk perasaan ganas.
Tunjuk perasaan yang kerap berlaku itu menyebabkan dia sukar untuk menjalankan tugasnya bagi meningkatkan ekonomi negaranya.
Ia turut berlaku di beberapa buah bandar mengakibatkan Morsi terpaksa mengisytiharkan darurat di tiga buah bandar iaitu Port Said, Ismilia dan Suez.
Pihak tentera mengawal dua daripada bandar tersebut manakala Kabinet meluluskan kuasa kepada askar-askar untuk menangkap orang awam yang melakukan keganasan.
Morsi bersimpati dengan mangsa-mangsa rusuhan dan meminta dialog diadakan antara sekutu-sekutu Islamnya dan beberapa parti pembangkang.
Namun, perikatan Barisan Penyelamat kebangsaan menolak tawaran berdialog dengan menetapkan syarat seperti pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.
Perikatan tersebut juga menuntut supaya Morsi bertanggungjawab berhubung pertumpahan darah yang berlaku di negara ini.
Keganasan itu bermula pada 25 Januari lalu semasa penduduk menyambut ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011. - Agensi

Iran hantar monyet ke angkasa lepas


IMej yang disiarkan saluran televisyen Al-Alam semalam menunjukkan roket yang membawa kapsul mengandungi monyet ke angkasa lepas dari sebuah lokasi rahsia di Iran.


TEHERAN - Iran semalam menghantar sebuah kapsul yang mengandungi monyet hidup ke angkasa lepas, lapor saluran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam semalam.
Sebelum ini, beberapa percubaan republik Islam tersebut untuk menghantar monyet ke angkasa lepas menemui kegagalan.
"Iran berjaya melancarkan sebuah kapsul dengan kod nama Pishgam yang mengandungi seekor monyet," kata satu kenyataan daripada sebuah jabatan angkasa aeroangkasa di Kementerian Pertahanan.
Monyet itu dilaporkan kembali ke Bumi dengan selamat.
Laporan tersebut tidak menyatakan lokasi kapsul berkenaan dilancarkan.
Agensi berita Fars melaporkan bahawa monyet itu dihantar dengan kapsul yang dibawa roket Kavoshgar.
Roket berkenaan bergerak pada ketinggian lebih 120 kilometer.
Pada tahun 2011, Iran mengumumkan ia akan menghantar monyet ke angkasa lepas.
Negara-negara Barat bimbang teknologi balistik yang dimiliki Iran akan menyebabkan ia mampu melancarkan kepala peledak nuklear.
Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia digunakan untuk tujuan keamanan.
- Reuters

Pertandingan berlari dengan kasut bertumit tinggi


BEBERAPA wanita yang memakai kasut bertumit tinggi berlari di sebatang jalan raya.


SAN SALVADOR - Satu pertandingan berlari dengan menggunakan kasut bertumit tinggi diadakan di bandar raya ini kelmarin.
Sejumlah wanita menyertai pertandingan amal itu yang diadakan buat kali kedua di negara El Salvador.
Setiap kasut yang dipakai oleh para peserta diukur oleh kakitangan pertandingan tersebut bagi memastikan ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan. - AFP

Pengangkutan awam percuma di Tallinn


SEORANG wanita menunggu sebuah bas awam di Tallinn pada 9 Januari lalu.


TALLINN, Estonia - Penduduk di bandar raya ini menikmati pengangkutan awam percuma termasuk bas yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu.
Tallinn merupakan bandar raya pertama Kesatuan Eropah yang menawarkan pengangkutan awam percuma untuk penduduknya berjumlah 420,000 orang.
Timbalan Datuk Bandar Tallinn, Taavi Aas berkata, terdapat pengurangan kesesakan jalan raya selepas pengenalan pengangkutan awam percuma itu.
Menurutnya, dalam minggu pertama pelaksanaan pengangkutan itu, kesesakan jalan raya berkurangan sebanyak 15 peratus berbanding pada bulan November dan Disember tahun lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment