DUNIA
Ratu Elizabeth II jadi tumpuan
ABU DHABI - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II mencuri perhatian media negara kelahirannya apabila baginda menutup rambut, memakai kot labuh bersulam kristal Swarovski dan berkaki ayam semasa melawat ruang solat Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi kelmarin.
Sebuah akhbar melaporkan Ratu Elizabeth II yang diiringi suaminya, Putera Philip dan anak ketiga mereka, Putera Andrew, tiba di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kelmarin bagi melakukan lawatan.
Sebelum melawat ruang solat masjid berkenaan, baginda memberi penghormatan di makam Sheikh Zayed yang merupakan pengasas negara UAE.
Baginda kemudian membuka kasut sebagai tanda menghormati ajaran agama Islam sebelum memasuki ruang solat utama masjid itu.
Lantai ruang solat utama Masjid Sheikh Zayed iaitu masjid terbesar di UAE, dilitupi karpet seberat 35 tan yang ditenun oleh 1,200 wanita Iran selama dua tahun.
Semasa berada dalam Masjid Sheikh Zayed, Ratu Elizabeth II berkesempatan melihat sekumpulan gadis membaca kitab suci al-Quran.
Ratu Elizabeth II mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke UAE dalam usaha untuk merapatkan hubungan negara berkenaan dengan Britain. - Agensi
DUNIA
Obama didoa neneknya di Mekah supaya peluk Islam
RIYADH - Nenek Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan dia berdoa supaya cucunya itu menganut agama Islam.
Menurut nenek Obama itu, Sarah Omar, doa itu dipohon semasa dia mengerjakan haji di Mekah.
"Saya berdoa agar Obama memeluk agama Islam," kata Sarah Omar yang berusia 88 tahun dalam satu temu ramah bersama akhbar Al-Watan Saudi di Jeddah yang disiarkan kelmarin dan dilaporkan agensi berita AFP semalam.
Akhbar itu melaporkan bahawa Sarah menunaikan haji bersama anaknya yang merupakan bapa saudara Obama, Saeed Hussein Obama serta empat orang lagi cucunya.
Sarah menyatakan dia hanya boleh bercakap mengenai haji dan tidak akan memberi komen berkaitan isu politik Obama.
Keluarga itu dijemput oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah tersebut.
Saeed juga mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah ekoran layanan baik yang diterimanya.
Bapa Obama, Barack Hussein Obama Sr. merupakan penganut Islam dari Nyangoma-Kogel, Kenya ketika berkahwin dengan ibunya, Ann Dunham, seorang pengikut atheis dari Kansas, AS.
Pasangan itu bercerai semasa Obama berusia dua tahun. Ibu Obama kemudian berkahwin dengan Lolo Soetoro dari Indonesia.
Tinjauan pendapat di AS pada Ogos lalu menunjukkan bahawa seorang daripada lima rakyat AS percaya bahawa Obama beragama Islam.
Dakwaan itu dinafikan oleh White House yang menegaskan bahawa Obama ialah seorang penganut Kristian yang taat. - Agensi
DUNIA
Bekas peguam akui guna wang adik Sultan Brunei
|
|
NEW YORK - Bekas peguam Putera Jefri Bolkiah, Faith Derbyshire memberitahu Mahkamah Tinggi New York kelmarin bahawa dia menggunakan wang AS$5 juta (RM15.6 juta) hasil jualan ladang milik kerabat diraja Brunei itu di Las Vegas untuk membeli sebuah rumah di Pantai Manhattan, Los Angeles.
Wanita tersebut berkata, Putera Jefri, 56, yang merupakan adik Sultan Brunei pernah memberitahunya supaya menggunakan hasil jualan ladang itu untuk membayar gajinya dan suaminya Thomas Derbyshire, 39, yang dianggar sekitar AS$3.1 juta (RM9.6 juta) setahun.
Faith, 30, turut mengaku dia memindahkan AS$100,000 (RM312,700) dari akaun Putera Jefri sebagai bayaran perbelanjaan untuk sebuah hartanah milik kerabat diraja itu.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia pernah menggunakan wang Putera Jefri untuk membeli dua jam tangan jenama Rolex dan seutas jam tangan Cartier dengan nilai keseluruhan AS$16,000 (RM50,032).
Namun, kata Derbyshire, semua jam tangan itu bukan untuk suaminya tetapi untuk keluarga diraja berkenaan.
"Putera Bahar (salah seorang anak lelaki Putera Jefri) meminta saya membeli jam tangan Cartier untuk seorang wanita," ujarnya.
Derbyshire dan suaminya, Thomas Derbyshire, 39, dipecat pada tahun 2006 selepas dua tahun bekerja dengan Putera Jefri.
Putera berkenaan menyaman dua bekas peguamnya itu bagi menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$7 juta (RM21.8 juta) kerana mendakwa mereka menyeleweng wangnya semasa bekerja untuknya.
Perbicaraan disambung semula pada minggu depan. - AP
DUNIA
Estrada terdesak jual rumah mewah
|
|
MANILA - Bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada yang kini berdepan dengan masalah kewangan berharap beliau dapat menjual rumah mewahnya yang bernilai hampir AS$7 juta (RM21.8 juta).
Estrada berharap, hasil jualan rumah itu akan digunakan untuk menjalankan perniagaan hartanah yang menjadi minatnya selain merancang untuk berpindah ke sebuah kondominium bersama isterinya.
Pemimpin yang berusia 73 tahun itu pernah dipenjarakan selama enam tahun dan didapati bersalah menyalahgunakan wang pemerintah sebelum mendapat pengampunan daripada Presiden Filipina, Gloria Macapagal-Arroyo pada tahun 2007.
"Realitinya, Estrada tidak bekerja dan kalah dalam pilihan raya. Semua anaknya juga sudah besar, hanya beliau dan isteri yang tinggal di rumah besar itu manakala kos penyelenggaraannya tinggi," kata pembantu kanannya, Ferdie Ramos.
Rumah seluas 3,000 meter persegi yang meliputi empat buah bangunan termasuk sebuah rumah kelab itu terletak di daerah San Juan.
Estrada sudah membina dua kondominium dan merancang untuk membina sebuah lagi.
Bekas pelakon filem itu menang besar dalam pilihan raya Presiden pada tahun 1998 dan berkuasa sehingga tahun 2001.
Ekoran tuduhan menggelapkan wang sebanyak AS$80 juta (RM250 juta) milik pemerintah itu, Estrada kemudian berundur daripada jawatan Presiden dan digantikan oleh Arroyo. - AFP
DUNIA
China dan Rusia setuju tidak guna dolar AS
ST. PETERSBURG - China dan Rusia mengumumkan tidak akan menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perjanjian perdagangan bilateral terbaru melibatkan kedua-dua buah negara, lapor sebuah akhbar semalam.Kedua-dua negara itu akan menggunakan mata wang masing-masing bagi menggantikan dolar AS.
Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan rakan sejawatannya Vladimir Putin.
Ia dilihat sebagai bukti hubungan antara kedua-dua buah negara yang semakin kukuh dan bertujuan untuk melindungi ekonomi domestik.
"Selama ini kami menggunakan mata wang asing iaitu dolar AS. Sebagai langkah pertama, perdagangan menggunakan Rubel Rusia sudah bermula di China. Pada Disember nanti, yuan pula akan digunakan di Moscow," jelas Putin.
Kedua-dua pemimpin itu bertukar-tukar dokumen semasa mesyuarat yang berlangsung di St. Petersburg.
China mewakili 8.3 peratus perdangangan keseluruhan Rusia.
DUNIA
Wanita tanggal pakaian semasa diperiksa
|
|
SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penumpang wanita menanggalkan jaket dan seluar jean sehingga mendedahkan singlet dan seluar dalamnya yang nipis untuk mengelak menjalani pemeriksaan mesin imbasan tubuh badan dikenali sebagai mesin bogel di sebuah lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam keadaan separuh bogel di depan orang ramai, wanita itu yang dikenali sebagai Furrygirl melakukan perbuatan tersebut sebagai sindiran terhadap pihak berkuasa AS di Lapangan Terbang Seatac di sini, yang melakukan pemeriksaan imbasan dengan menggunakan mesin pengimbas bogel.
Sebelum ini, pemerintah AS mencetuskan kontroversi dengan mewajibkan orang awam melalui mesin imbasan yang mendedahkan tubuh mereka dalam bentuk hitam putih di skrin sebagai langkah keselamatan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Dalam insiden melucukan pada Ahad lalu, wanita tersebut mahu menanggalkan seluar dalamnya tetapi dia dihalang oleh beberapa anggota keselamatan di lapangan terbang berkenaan.
Ketika disoal mengenai tindakannya, dengan nada sinis dia menjawab: "Saya mahu diri saya telus untuk pemeriksaan keselamatan,"
Wanita itu turut merakamkan aksinya dengan sebuah kamera video yang diletakkan di sudut berhampiran.
Dalam kejadian serupa pada pagi semalam, seorang wanita lain dikenali sebagai Corinne membuka jaketnya sekali gus mendedahkan dia cuma memakai coli dan seluar dalam semasa hendak menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
"Saya tidak mahu menjalani pemeriksaan imbasan tubuh, saya berharap dengan memakai bikini, mereka dapat melihat apa yang mereka ingin lihat," katanya. - Agensi
DUNIA
Diselamatkan selepas hanyut 50 hari
WELLINGTON - Tiga remaja lelaki dari Pulau Tokelau, di Lautan Pasifik kelmarin dilaporkan diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan ikan tuna dekat Kepulauan Fiji selepas 50 hari mereka hanyut di atas sebuah bot aluminium.
Tiga budak lelaki berkenaan yang berusia 14 tahun dan 15 tahun, hilang dalam sebuah bot aluminium kecil pada awal Oktober lalu dan dianggap telah mati selepas usaha mencari yang dilakukan anggota-anggota tentera udara New Zealand gagal menemui mereka.
Seorang kelasi kapal tuna San Nikunau yang berpangkalan di New Zealand, Tai Fredricsen memberitahu stesen radio New Zealand kelmarin bahawa mereka ditemui di perairan Fiji kira-kira 1,420 kilometer dari Tokelau.
Agensi berita Fairfax Media melaporkan bahawa ketiga-tiga remaja itu cuma memakan seekor burung camar dan minum air laut sepanjang tujuh minggu mereka hanyut.
Ketiga-tiga mangsa yang dilaporkan mengalami kekurangan air manakala kulit mereka dibakar pancaran matahari akan dihantar ke sebuah hospital apabila kapal nelayan itu tiba di Fiji hari ini. - Agensi
DUNIA
Facebook mahu patenkan perkataan 'Face'
LOS ANGELES - Laman rangkaian sosial terkenal, Facebook memohon tanda niaga bagi perkataan face sebagai usaha menyekat syarikat-syarikat lain menggunakan perkataan sama bagi tujuan meniru sehingga boleh merosakkan jenamanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Peringkat pertama permohonan itu telah diluluskan.
Jika Facebook dapat menyediakan semua kertas kerja, tanda niaga itu akan disahkan oleh Pejabat Paten dan Tanda Niaga Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh enam bulan.
Para peguam paten masih ragu-ragu adakah Facebook akan diberi tanda niaga ke atas terma yang begitu umum seperti 'face'.
Tindakan itu nyata menimbulkan persoalan mengenai motif dan matlamat jangka panjangnya.
Dengan lebih 500 juta pengguna di seluruh dunia, Facebook merupakan laman rangkaian sosial terbesar di dunia.
Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg berusia 26 tahun yang kini disenaraikan oleh Forbes sebagai bilionair di tempat ke-212 dengan kekayaan berjumlah AS$4 bilion (RM12.5 bilion).
Selagi Facebook membayar yuran yang sepatutnya, permohonan itu akan diterima tanpa sebarang masalah.
Pejabat Paten dan Tanda Niaga AS sudah membenarkan masa untuk membuat bantahan.
Namun tiada bantahan yang diterima. - Agensi
No comments:
Post a Comment