Monday, November 22, 2010

BILA BENDA KECIL SEPERTI TANDAS TAK DAPAT DIATASI...AGAK2 MANA SILAPNYA...

Lebih separuh tandas awam di seluruh negara kotor


KUALA LUMPUR -- Walaupun pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan kebersihan tandas awam, satu audit menunjukkan 3,000 daripada 5,764 tandas di seluruh negara adalah kotor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata audit menerusi kaedah penarafan oleh Pihak Berkuasa Tempatan menunjukkan 51.6 peratus daripada tandas awam hanya mampu mencapai tahap satu atau dua bintang, dan hanya
tujuh peratus atau kira-kira 400 tandas yang mencapai taraf lima bintang, iaitu kebersihan paling memuaskan.

"Daripada data tersebut, nampaknya masih jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai tahap tandas awam yang baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tandas Sedunia dan Seminar Kesihatan Persekitaran Peringkat Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Bagi memastikan tandas di premis-premis awam tidak terus kotor, Chor berkata tindakan penguatkuasaan oleh PBT terhadap mana-mana premis awam yang tandasnya terlampau kotor akan diperketatkan lagi mulai tahun depan, antaranya membuat pemeriksaan mengejut dua kali setahun, di samping pemeriksaan biasa.

Menurut beliau, jika inisiatif sebegini tidak dijalankan, ia bukan sahaja akan menyebabkan masalah sanitasi dan kesihatan kepada masyarakat tetapi turut menjejaskan imej negara di mata pelancong asing.


"Saya pasti jika tandas-tandas di stesen minyak, restoran dan di tempat awam yang lain kotor, tiada pelancong dari negara maju yang mahu datang melancong ke negara ini," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pindaan perlembagaan Barisan Nasional (BN), Chor yang juga Naib Presiden MCA berkata, satu mekanisme terbaik perlu diadakan bagi memastikan hanya anggota parti yang layak sahaja dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya.

"Cadangan Perdana Menteri itu memang mempunyai aspek yang positif, tetapi kalau sesiapa sahaja boleh jadi ahli BN, maka macam mana kita nak cari kaedah terbaik dalam melantik wakil BN untuk pilihan raya jika mereka tidak menjadi ahli dalam parti?
"Adakah ini bermakna sesiapa sahaja boleh jadi calon (kerana mereka masuk secara bersendirian dan tidak perlu melalui parti). Ini yang perlu diperjelaskan," katanya.

Sabtu lepas, Dewan Tertinggi BN bersetuju meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN dalam menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan serta selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu. -- BERNAMA


ASP didakwa rompak juruteknologi perubatan


KUALA LUMPUR -- Seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hari ini atas tuduhan merompak seorang juruteknologi perubatan, tahun lepas.

ASP Che Anua Che Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit, kesemua bernilai RM10,000, milik Ahmad Shabri Mohd Halami, 29.

Che Anua, dari Seri Gombak di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Che Anua, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarganya. "Saya tidak mempunyai wang yang banyak kerana isteri tidak bekerja dan saya perlu menanggung empat anak di samping membiayai rawatan di Institut Jantung Negara bagi mengubati penyakit jantung yang saya hidapi," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes. -- BERNAMA



Kenduri terakhir

SEKINCHAN - Semalam merupakan undangan kenduri perkahwinan terakhir buat seorang warga emas apabila dia maut ketika perjalanan pulang setelah terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Tali Air 6, hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, kira-kira 12 tengah hari.

Mangsa, Ruminah Mat Kassim, 76, meninggal dunia di tempat kejadian sebaik motosikal jenis Yamaha yang dinaiki bersama anak lelakinya dirempuh sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menghala ke Tanjung Karang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala sementara anak mangsa berusia 45 tahun patah kaki kiri.

Menurutnya, kereta jenis Mercedes yang dinaiki sebuah keluarga dipandu di lorong laju, gagal mengelak motosikal berkenaan yang cuba untuk melintas laluan menyebabkan pertembungan berlaku.

“Mangsa yang melambung dan tercampak ke bahagian tengah jalan mati di tempat kejadian sementara anak lelaki terseret beberapa meter cedera di bahagian kaki kiri, topi keledar yang digunakan mangsa juga tercampak,” katanya.

Kedua-duanya, Noor Mushar berkata, dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Parit 7 Ban 1 Sungai Leman setelah selesai menghadiri majlis perkahwinan di rumah kenalannya di Tali Air 6 berhampiran Kampung Sungai Labu.

Jenazah mangsa yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam telah dituntut keluarga sementara anak mangsa kini dirawat di hospital sama.

Pemandu dan penumpang kereta dilaporkan selamat


6, 133 penjawat awam bermasalah, prestasi rendah tahun lepas


PUTRAJAYA -- Jumlah penjawat awam yang bermasalah dan berprestasi rendah meningkat kepada 6,133 orang pada tahun lepas berbanding 5,344 atau 0.84 peratus pada 2008, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata antara masalah yang dihadapi adalah disiplin, hubungan interpersonal, psikologi, prestasi rendah serta kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis.

"Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah merupakan tiga masalah paling utama," katanya semasa berucap merasmikan majlis pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) kali keenam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakan pembimbing membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam mengatasi masalah yang timbul selain mempamerkan diri mereka sebagai model contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tatalaku yang boleh dicontohi.

"Ahli psikologi berpendapat rakan sekerja akan berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sekerja berbanding dengan pegawai atasan mereka. Selain itu teguran daripada seorang rakan lebih mudah diterima berbanding teguran ketua yang mudah disalah tafsir sebagai hukuman lisan," katanya.

Abu Bakar berkata elemen 'buddy system' (sistem sahabat) perlu dimasukkan ke dalam modul pasca AKRAB dan seterusnnya menggerakkan sistem sahabat kepada ahli AKRAB secara lebih tersusun dan komprehensif.

"Misalnya seorang AKRAB akan segera menghubungi rakan 'buddy'nya jika didapati rakan 'buddy'nya itu sedang menghadapi masalah kesihatan atau kewangan yang boleh menjejaskan tugas-tugas hariannya dan bantuan segera akan dihulurkan kepada rakan tersebut semampunya," katanya.

Pada majlis itu, 1,027 pegawai ditauliahkan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam menjadikan jumlahnya bertambah kepada 3,583 orang sejak ia dilaksanakan pada 2005.

Anugerah AKRAB Utama bagi kategori individu diterima oleh Pauzan Ahmad dari Jabatan Perkhidmatan Awam manakala SME Corp Malaysia menerima Anugerah AKRAB Gemilang untuk kategori organisasi dengan masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Abu Bakar percaya peningkatan bilangan keahlian AKRAB yang ditauliahkan setiap tahun mampu memberikan impak yang besar terutama dalam membantu pihak pengurusan sumber manusia meningkatkan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berpretasi tinggi di agensi masing-masing. -- BERNAMA


Kejahilan, kemiskinan dan politik
- ABDUL AZIZ BARI

BEKAS Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid pernah bercakap mengenai apa yang disebutnya 3P; yakni poverty, padi and Pas. Apa yang hendak disampaikan oleh bekas Menteri Besar Kedah itu ialah bahawa di mana ada kemiskinan, yang kebanyakannya dalam kalangan penanam padi, maka di situ ada Pas. Secara mudah Sanusi melihat kemiskinan sebagai punca kewujudan Pas. Teori Sanusi itu pernah dipegang oleh media yang semuanya milik Barisan Nasional (BN). Mereka mendakwa bahawa jiwa dan semangat 'kepembangkangan' timbul kerana kemiskinan dan rasa tidak puas hati. Semua itu akan tamat bila ada kemajuan. Mereka juga mengaitkan kemenangan dan kekuatan BN dengan pembangunan dan kemajuan.

Bagaimanapun sejak PRU 12 pada 2008 teori (kalau ia boleh dikatakan teori) yang dibawa bekas Menteri Pertanian yang pernah mencadangkan tanaman padi di atas bumbung itu nampaknya semakin meleset. Ini terbayang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Kelantan.

Fenomena yang sama juga kelihatan dalam PRK sebelumnya; yakni di Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Bukit Gantang (Perak) dan Hulu Selangor (Selangor).

Malahan keputusan PRU 2008 yang menyaksikan BN tewas di Semenanjung (ia hanya dapat 48 peratus undi popular) sebenarnya memaparkan kenyataan yang tidak berbeza.

Semua sedar bahawa BN dapat terus berkuasa kerana undi dari Sabah dan Sarawak. Dan hakikatnya ialah kedua-dua ini (meskipun kaya daripada segi sumber dan hasil mahsul) mempunyai rakyat yang miskin dan tinggal di pedalaman.

Kemiskinan dan kemunduran adalah penghalang kepada perubahan. Khususnya perubahan ke arah ketelusan dan pertanggungjawaban. Sifat ini adalah idea pokok di sebalik pelbagai peruntukan dalam perlembagaan kita. Untuk memastikan ia berlaku perlembagaan menjamin tiga hak penting yang bersifat asasi; yakni hak bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Malangnya perlembagaan tidak menjadikan peruntukan ini kebal apabila ia mengizinkan Parlimen mengadakan sekatan melalui undang-undang. Sepatutnya undang-undang ini dihalusi oleh mahkamah. Bagaimanapun mahkamah gagal berbuat demikian. Sebab itu model terbaik ialah Amerika Syarikat di mana Kongres tidak dibenarkan langsung menyentuh hak yang tiga itu.

Kemiskinan dan kemunduran menyebabkan maklumat tidak tersebar. Apabila rakyat tidak bermaklumat mereka tidak peduli apa yang berlaku. Inilah yang kelihatan di kawasan yang disebutkan tadi. Hatta di Bukit Gantang sekalipun ada kampung yang begitu. Tapi calon Pas, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin, bernasib baik sebab ada kawasan, khususnya kawasan Cina, yang tidak begitu.

Jika dilihat kepada sifat kawasan yang mereka menangi agak jelas bahawa BN bergantung kepada kemiskinan, kejahilan dan kemunduran. Kawasan bandar, sejak dulu lagi, memang azab buat Barisan. Sebab itu tidak hairan mengapa mereka hapuskan pilihan raya kerajaan tempatan pada 1960an, Kawasan-bandar juga diberi kerusi Parlimen yang sedikit meskipun daripada segi perlembagaan kawasan bandar sepatutnya diberi kerusi yang lebih selaras dengan prinsip demokrasi. Ini semua menyebabkan BN selesa berkuasa sejak 1955.

Orang miskin yang melarat tidak peduli ketelusan dan kebebasan kerana perut mereka kosong. Mereka juga tidak peduli perkembangan negara. Di Batu Sapi umpamanya saya diberitahu beras dijual dalam paket kecil. Begitu juga dengan minyak masak. Paket kecil ini saja yang mampu dibeli penduduk yang rata-ratanya berpendapatan sekitar RM10 sehari.

Mereka benar-benar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi orang miskin itu berasa bertanggungjawab untuk terus mengundi BN; satu-satunya parti yang mereka kenal dan yakin. Kemiskinan yang hampir mutlak itu menafikan mereka akses kepada maklumat. Mereka tidak tahu apa itu hak dan bagaimana ia penting untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kebanyakan orang Melayu masih miskin dan hidup susah. Kalau mereka mampu membeli TV atau akhbar pun mereka tidak boleh berfikir dengan baik kerana apa yang disajikan tidak merangsang minda mereka.

Kebanyakan menteri UMNO mendakwa, demokrasi adalah barang mewah yang tidak sesuai untuk rakyat di luar bandar. Ini tidak tepat kerana demokrasilah yang akan memperkasa mereka yang lemah tadi. Contohnya dengan kebebasan yang lebih rakyat boleh menuntut itu dan ini. Jika rakyat sedar dan bermaklumat rumah setinggan tidak boleh dirobohkan dengan mudah dan secara paksa.

Sebenarnya tidak terlalu susah untuk meratakan demokrasi dan kebebasan yang amat penting untuk perubahan itu. Tetapi ini tidak akan berlaku selagi parti yang menguasai kerajaan persekutuan adalah parti yang mahu mengekalkan segala kekangan yang disebutkan tadi. Apalagi sekiranya ia sedar bahawa kejahilan dan ketiadaan maklumat itulah yang menyelamatkan kedudukannya selama ini.


Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun

No comments:

Post a Comment