DUNIA
Banduan lolos dari celah lokap
BROWNSVILLE – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bingung bagaimana seorang banduan kurus, Kristopher Allen White (gambar kecil) meloloskan diri melalui celah jeriji besi tingkap sebuah penjara di sini, negeri Tennessee.
Sebuah akhbar melaporkan, White, 23, meloloskan diri melalui ruang kecil selebar 10 sentimeter dalam aksi yang dianggap luar biasa dan setanding dengan kehebatan ahli magis legenda, Harry Houdini pada Isnin lepas.
Banduan seberat 74.8 kilogram dengan tinggi 180.3 sentimeter itu ditangkap semula 14 jam kemudian dan dihantar kembali ke penjara Daerah Haywood, di sini.
“Sehingga kini, saya tidak dapat membayangkan bagaimana dia melakukannya,” kata Sherif Daerah Haywood, Melvin Bond.
Menurut satu lagi sumber, banduan itu melicinkan badannya dengan minyak masak dan dia dibantu oleh seorang lagi banduan yang menghuni bilik penjara bersamanya.
Dia ditahan di penjara itu selepas ditangkap kerana memecah masuk ke dalam beberapa buah gereja di Daerah Haywood pada awal tahun ini.
Selepas keluar dari lokap, White memanjat tembok penjara dan melapik pagar berdurinya dengan beberapa helai selimut penjara dan terjun keluar. - Agensi
DUNIA
Penumpang diraba kerana pelapik seluar dalam
NEW YORK – Seorang penumpang wanita mendakwa dia trauma selepas tangan-tangan kasar beberapa pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) meraba bahagian sulitnya ketika menjalani pemeriksaan badan di sebuah lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Peraturan di AS yang dikuatkuasakan oleh TSA mewajibkan setiap penumpang menjalani pemeriksaan mesin imbasan sinar-X yang ‘membogelkan’ mereka bagi mengesan senjata dan bahan letupan tersembunyi sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Wanita itu yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, dia diarah menjalani pemeriksaan badan setelah mesin pengimbas sinar-X di lapangan terbang berkenaan mengesan pelapik seluar dalam yang dipakainya sebagai mencurigakan baru-baru ini.
“Saya menangis selepas itu kerana ia mengembalikan memori tragis serangan seks yang berlaku ke atas diri saya beberapa tahun lalu,” katan wanita itu. – Agensi
DUNIA
Bilionair India perkenal rumah termahal
MUMBAI - Bilionair India, Mukesh Ambani mengadakan parti mewah bagi memperkenalkan rumah barunya di atas sebuah bukit di sini yang dibina dengan kos AS$2 bilion (RM6.3 bilion) sekali gus kediaman persendirian termahal di dunia.
Akhbar Times of India melaporkan sekitar 80 individu berpengaruh dan selebriti Bollywood termasuk Preity Zinta dan Aamir Khan menghadiri parti tersebut pada malam kelmarin di kediaman 27 tingkat itu yang dinamakan Antilia.
Digelar Taj Mahal kurun ke-21, Antilia adalah setinggi 174 meter dengan ruang dalaman seluas 37,161 meter persegi dan dilengkapi ruang parkir enam tingkat, beberapa kolam renang dan sebuah panggung wayang.
“Satu kelegaan dapat menghirup udara segar di tempat tinggi dan meninggalkan pencemaran bandar Mumbai di bawah sana,” kata seorang tetamu parti itu.
Menurut akhbar berkenaan, Ambani memerlukan kira-kira 600 kakitangan bagi menyelenggara kediaman barunya itu
Ambani, 53, merupakan lelaki terkaya di India dengan anggaran kekayaan mencecah AS$27 bilion (RM85.1 bilion). – AFP
No comments:
Post a Comment