Tuesday, November 23, 2010

KERJAYA ARTIS MEMANG PERKARA YANG MERAGUKAN...LEBIH2 PERKARA PERGAULAN...MASALAH AURAT YANG LANGSUNG TAK DITITIK BERATKAN...DIKHUATIRI JADI IKUTAN REMAJA2

Kes Cerai Zakiah Anas: Jawatan Kuasa Pendamai Diberi 3 Bulan

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, memberikan tempoh tiga bulan kepada Jawatan Kuasa Pendamai yang dilantik dalam kes perceraian personaliti TV3, Zakiah Anas (gambar) dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taid untuk meneruskan perbincangan.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk memberikan tempoh masa baru itu memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan laporan pelaksanaan seperti yang telah dibuat oleh jawatan kuasa terbabit sebelum ini.
Ini kerana, perbincangan yang diadakan sebanyak dua kali, iaitu pada 6 ogos dan 23 Oktober lalu tidak dihadiri oleh wakil plaintif, iaitu Zakiah, 43, yang melantik anak saudaranya, Affendi Yusoff.
Mohamad Yusof, 48, diwakili oleh Md Hairi Md Salleh dalam jawatan kuasa tersebut yang dipengerusikan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Mahkamah telah memberikan masa selama tiga bulan, bagaimanapun masa itu terbuang begitu sahaja dengan kedua—dua pihak tidak bekerjasama untuk melaksanakan jawatan kuasa yang dilantik.
“Sebelum ini, wakil yang dilantik telah menyatakan kesanggupan untuk menjadi wakil, tetapi sekarang sebaliknya yang berlaku.
"Oleh demikian, saya beri tempoh masa lagi untuk kedua-dua pihak meneruskan proses tersebut,” kata Ghazali.
Sehubungan itu, Ghazali menetapkan kes itu ditangguhkan kepada 9 Februari depan untuk mendengar laporan penuh jawatan kuasa terbabit.
Pada prosiding itu, Zakiah yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan 999 hadir dengan peguam syarienya, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof yang dinamakan sebagai defendan tidak diwakili peguam.
Zakiah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 17 tahun yang lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14


Aizat Tak Kisah Gagal Ke Juara Lagu

PETALING JAYA: Walaupun pernah meraih gelaran juara Anugerah Juara Lagu 24 pada tahun lalu, penyanyi Aizat tidak kisah gagal ke peringkat akhir AJL25 kali ini.
Beritahu Aizat, dia tidak mungkin kecewa dengan kegagalannya untuk mara ke AJL25, sebaliknya bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu akan menyaksikan pertandingan tersebut untuk menyokong rakan-rakannya.
"Mungkin terasa sedikit pelik kerana sebelum ini selama dua tahun berturut-turut saya menyertai AJL dan tidak untuk kali ini.
"Apa-apa pun, saya tidak kecewa. Ia merupakan lumrah dan adat bagi sesebuah pertandingan. Ada masanya kita di atas, dan ada masanya kita di bawah.
"Jika tiada aral, saya tetap akan ke AJL25 untuk menyokong rakan-rakan seperjuangan saya," katanya selepas ditemui ketika dia menghadiri sesi latihan bersama peserta-peserta Kamilah Bintang, di sini, Selasa.
Sementara itu, Aizat mengeluarkan pandangannya bahawa dia gembira dengan peredaran industri muzik masa kini kerana ramai penyanyi muda memiliki bakat besar.
Katanya lagi, berdasarkan pemilihan AJL25 yang didominasikan oleh bakat-bakat muda seperti Yuna, Hujan, Bunkface dan Faizal Tahir, dia percaya, golongan seperti itu bakal menjadi pelapis di masa akan datang.
"Rasanya, muzik kita kini lebih seimbang. Seronok pula bila masing-masing tidak kira bakat baru atau lama bertungkus-lumus menghasilkan karya muzik yang hebat.
"Ia juga memberikan semangat buat penggiat seni muzik untuk menjadi yang terbaik. Bagi saya, ia sebuah persaingan yang sangat positif," ujarnya.


Bicara Permohonan Isteri Joey Sah Lafaz Cerai Januari Depan

Joey dan Watie. Gambar Mingguan Malaysia.
KAJANG: Permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh isteri penyanyi dan pelakon, Joey akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 20 Januari depan.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Amli Embong yang mewakili wanita tersebut, Noraini Mohamad Nasir tidak dapat menghadiri prosiding itu pada Selasa, kerana masalah kesihatan.
Perihal kesihatan Amli dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarie yang mewakili Joey, Fakhrul Azman Abu Hassan pada prosiding sebutan kes itu.
Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 37, dan Noraini, 44, tidak menghadiri prosiding tersebut.
Noraini memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa telah dilafazkan oleh Joey di luar mahkamah pada 4 Jun lalu.
Lafaz itu didakwa diberitahu oleh seorang kawan Joey, yang pernah menghasilkan album Beradu Suratan.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada 15 Oktober lalu, iaitu kira-kira seminggu selepas media melaporkan hubungan baik antara Joey dan pelakon Norwati Sadali atau Watie, bekas anggota kumpulan Elite.
Joey dan Noraini berkahwin pada 4 Mei 2005 dan mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, empat tahun.
Pada sebutan kes 20 Oktober lalu, Joey yang juga vokalis kumpulan Exsits menafikan dakwaan Noraini bahawa dia ada rujuk kembali empat hari selepas didakwa melafazkan cerai.
Dia juga menafikan dakwaan bahawa telah membuat pengakuan hubungannya dengan seorang pelakon wanita yang dikatakan rapat selepas bertemu di lokasi penggambaran sebuah drama bersiri.


Jennifer Aniston Bukan Lesbian

SELEPAS Angelina Jolie merampas aktor hebat, Brad Pitt daripada Jennifer Aniston, ramai yang sedih dan bersimpati dengan nasib yang dialami aktres drama siri Friends itu.
Jennifer seperti hilang arah dan tidak mempunyai kekasih tetap yang setia menemaninya walaupun dia dikatakan sudah melupakan Brad.
Selepas Brad, Jennifer telah bercinta dengan penyanyi John Mayer, diikuti pula dengan Vince Vaughnn. Malangnya, kedua-dua perhubungan itu tidak kekal.
Menurut sumber, Jennifer yang berusia 40 tahun itu sering mempunyai masalah jika bercinta dengan mana-mana lelaki dan kali ini, aktres itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang pelakon wanita yang baru dikenalinya.
"Difahamkan, Jennifer mula berkenalan dengan pelakon Sweden, Malin Akerman, yang merupakan peminatnya.
"Dia mula rapat dengan Malin ketika mula bertemu di lokasi penggambaran filem Wanderlust di mana pada ketika itu Jennifer tidak berbaju. Malin begitu tertarik dengan tubuh aktres itu.
"Jennifer agak rapat dengan pelakon itu. Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka sedang bercinta ataupun tidak. Setahu saya, Jen bukan seorang lesbian. Saya percaya, dia pasti sedang menantikan lelaki sejati untuk melamarnya menjadi isteri," kata sumber itu
Pelakon 'Pilih Kasih 2009' Masih Laku - Rosyam Nor

KUALA LUMPUR: Pelakon Rosyam Nor menepis dakwaan bahawa peserta daripada program realiti Pilih Kasih terbitan syarikatnya, Suhan Movies, tidak menyerlah dalam industri seni lakonan tempatan.
Tegas Rosyam, kebanyakan peserta daripada program realiti itu yang antaranya seperti Ana Dahlia, Iqbal Mazlan, Nabila Dally dan Reza Hasbi mempunyai bakat yang tersendiri dan mereka mungkin akan menyerlah dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.
"Jangan samakan program realiti lakonan dan nyanyian. Menjadi seorang pelakon bukan seperti penyanyi, di mana dengan sebuah lagu single sahaja mereka mudah meraih populariti. Tambah pula dengan kehadiran pelbagai realiti program berbentuk nyanyian.
"Bagi saya, peserta-peserta Pilih Kasih tahun lalu masih laku dan mereka sibuk dengan tawaran lakonan masing-masing.
"Saya percaya, mereka akan popular dalam masa dua hingga tiga tahun ini kerana jangka masa itu adalah masa untuk mengasah bakat masing-masing.
"Saya gembira dengan bakat yang mereka miliki kerana mereka akan mewarnai industri lakonan kelak," katanya yang menerbitkan Pilih Kasih 2 dengan kerjasama pihak RTM.
Pilih Kasih 2 akan bermula pada 29 November ini menerusi diari program, 'Kisah Pilih kasih' yang disiarkan pada pukul 4.30 petang di RTM2 dan diulang tayang di Muzik Aktif pada pukul 10.30 malam, pada hari yang sama.
Tambah Rosyam, dia akan memberikan sedikit kelainan dalam program realiti keduanya itu dan sedang merancang untuk memberi peluang pemenang program tersebut berlakon menerusi drama muzikal khas terbitan syarikatnya bersama RTM.
"Tahun ini, kami dan pihak RTM telah bersetuju untuk menghasilkan 26 episod drama muzikal yang berjudul Inspirasi Kasih.
"Ia akan menampilkan pemenang-pemenang Pilih Kasih 2 serta pemenang tahun lepas. Selain itu, peserta yang memberi komitmen dalam program ini turut diberi peluang dalam drama ini nanti.
"Bagi saya, drama muzikal ini adalah satu batu loncatan buat mereka untuk dikenali umum," katanya.
Bagaimanapun, Rosyam tidak akan mengambil peserta yang menang sebagai pelakon di bawah syarikatnya seperti yang dibuat oleh sesetangah pihak produksi.
"Saya tak akan ikat mereka di bawah Suhan Movies. Saya mahu mereka rasai erti susah dan senang sebagai pelakon.
"Dengan cara itu, mereka akan berfikiran matang dan lebih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini," tegas Rosyam

No comments:

Post a Comment